jump to navigation

Islam dan Liberalisme Ogos 31, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohamad Hairi RabirSemua orang ingin berasa bebas, tidak terkongkong, tiada sekatan dan benci kepada pengawalan terhadap diri. Semua orang mahu sekiranya diri mereka sendiri yang menentukan halatuju kehidupan masing-masing serta menentukan sendiri segala keputusan dan tindakan yang ingin diambil.

Namun begitu, adakah semua orang mempunyai pandangan yang sama tentang konsep kebebasan, atau mungkinkah wujud suatu piawai sebenar mengenai definisi kebebasan? Adakah bebas maksudnya membiarkan diri kita terbawa-bawa dengan kemahuan untuk mencapai keseronokan, kepuasan dan keinginan duniawi semata-mata? Mana mungkin kehidupan dunia ini tempat untuk kita mencapai kebebasan sedang kita sentiasa terikat dengan kematian dan kehancuran dunia yang boleh datang bila-bila masa dan dengan cara yang bermacam-macam. 

Mungkin inilah yang tidak dapat dilihat oleh golongan yang memperjuangkan fahaman liberalisme lantaran keinginan yang membuak-buak kepada kebebasan dan membuang sejauh-jauhnya aspek agama yang dianggap menyekat dan sentiasa mengawal hidup mereka daripada mencapai kemajuan dan kepuasan. Mungkin pandangan seperti ini muncul kerana keadaan yang menimpa masyarakat Eropah pada zaman Renaisans sekitar kurun ke-14 M.

Pada ketika itu, pihak gereja amat besar pengaruhnya dalam masyarakat dan mempunyai kedudukan yang sama tingginya dengan kerajaan sehingga berkuasa mengutip cukai dari rakyat. Bukan setakat itu sahaja malah pihak gereja mendakwa bahawa segala ilmu boleh diperolehi hanya dari pihaknya dan ilmu asing adalah sesat. Begitu juga dengan penterjemahan Bible, segala persoalan mestilah diajukan kepada gereja untuk menjawabnya. Orang biasa tidak dibolehkan untuk menterjemah kitab Bible.

Pertembungan tamadun barat yang mundur ketika itu dengan tamadun Islam dalam era kegemilangannya, memberikan impak yang ketara terutamanya kepada golongan intelek barat. Islam yang menganjurkan pemikiran yang mendalam dalam mencari ilmu dan kebenaran bersumberkan wahyu dilihat memberi peluang kepada perkembangan ilmu dan potensi akal, berbanding polisi gereja yang seolah-olah menyekat keterbukaan fikiran bukan sahaja kepada masyarakat umum malah golongan ilmuan.

Maka golongan ilmuan cuba mengambil ilmu dari tokoh-tokoh Islam dan mengemukakan pendapat sendiri tanpa merujuk kepada gereja lagi. Hasilnya pihak gereja mengambil tindakan keras menghukum dan membunuh ramai orang dengan alasan membawa ajaran atau ilmu yang sesat. Penindasan dan keganasan yang dilakukan gereja menyebabkan masyarakat Eropah umumnya bertindak cuba untuk memisahkan diri dari pengaruh dan kawalan gereja.

Akhirnya gerakan ‘reformasi’ muncul yang dipelopori oleh Martin Luther (1483-1546) cuba untuk ‘membersihkan’ gereja dari penyelewengan dan amalan yang salah. Gerakan ini juga cuba membebaskan penganut Kristian dari kuasa Gereja Rom seterusnya menyebabkan timbulnya mazhab baru iaitu Protestant pada abad ke-16.

Antara lain prinsip yang dibawa oleh mazhab ini ialah individu Kristian berhak mentafsir sendiri kitab Bible dan Gereja Rom tiada hak dalam pengampunan dosa-dosa individu. Gerakan reformasi seperti ini membangkitkan semangat masyarakat Eropah yang selama ini dalam cengkaman gereja dan menuntut pemisahan sepenuhnya dari pengaruh Gereja Katholik Rom.

Akibatnya tiada lagi pergantungan secara total kepada pihak gereja. Masyarakat mahupun individu bebas membuat keputusan dan tindakan berdasarkan kemahuan sendiri. Masyarakat menganggap dengan potensi dan kemampuan diri sendiri mereka boleh menjalani hidup yang lebih baik berbanding jika ada kawalan atau sekatan.

Konsep kebebasan seperti ini dilanjutkan lagi sebagaimana liberalisme itu sendiri yang ditakrifkan sebagai aliran pemikiran yang bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberikan kepada individu. Ini bermaksud kebebasan tanpa sekatan atau dengan sekatan yang minimum dalam ekonomi, politik, perundangan dan sosial atau disebut juga kebebasan moral.

Aliran ini mempunyai gagasan-gagasan fikiran iaitu menjadikan individu lebih penting dari masyarakat. Masyarakat wujud untuk individu dan individu itu pula bebas dari nilai-nilai agama. Maka golongan liberalisme menukar moral agama dengan nilai etika yang menurut mereka bagi menjaga ketentraman masyarakat.

Hal ini sebenarnya berbeza dengan konsep kemasyarakatan yang berteraskan agama, contohnya dalam Islam setiap peringkat masyarakat sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun kerajaan mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing antara satu sama lain. Hubungan ini dikawal dan diatur oleh kerajaan sebagai institusi induk ummah.

Aliran liberalisme ini juga mempunyai kaitan yang rapat dengan kelahiran demokrasi Eropah. Eropah telah memilih sistem demokrasi sebagai satu jalan keluar melarikan diri dari kuasa gereja dan menghapuskan hak-hak Tuhan menurut gereja ke atas diri mereka. Demokrasi melaungkan cogankata ‘kebebasan, persaudaraan dan persamaan’. Rakyat telah diberikan kebebasan berfikir dan memilih wakil-wakil dalam pemerintahan negara.

Semua ini telah membawa perubahan besar di Eropah yang mana telah mengangkat rakyat dari ketiadaan insaniah dalam sistem ‘milik tanah oleh bangsawan’ iaitu feudal kepada perhubungan insaniah dalam lindungan demokrasi. Kini liberalisme mengatakan bahawa suatu pemerintahan itu sebenarnya hanyalah bertujuan untuk mempertahankan kebebasan individu dan hak milik peribadi. Kerajaan tidak seharusnya terlibat dalam urusan peribadi rakyat.

Menurut tokoh liberalisme iaitu John Locke (1632-1704) kuasa politik terhadap rakyat itu seharusnya terhad kerana beliau percaya kepada wujudnya hak semulajadi yang tidak boleh dibatasi oleh mana-mana peraturan. John Locke telah mengembangkan lagi idea hak semulajadi ini sebagai, ‘kehidupan, kebebasan dan hak milik peribadi’ dan ini menjadi asas kepada konsep moden hak asasi manusia.

Walaubagaimanapun, bagi beliau hak milik peribadi atau harta individu lebih penting dari hak untuk melibatkan diri dalam kerajaan, hairannya beliau tidak begitu senang dengan konsep demokrasi kerana takut penyerahan kuasa kepada kumpulan tertentu akan menjejaskan pemilikan mutlak harta peribadi. Seperti yang telah diketahui, demokrasi itu sendiri adalah alternatif utama dalam liberalisme sebelum ini!

Jika dilihat secara telus fahaman liberalisme ini khususnya dalam hal negara atau politik, timbul kekeliruan dan konflik dalaman bagi menentukan program-program yang sesuai dengan matlamatnya untuk meningkatkan kebebasan individu. Hal ini sememangnya tidak pernah berlaku dalam Islam yang mempunyai susunan dan aturan yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan.

Tidak seperti dalam liberalisme yang seboleh-bolehnya membataskan peraturan-peraturan tertentu dalam kehidupan, Islam menyediakan manusia dengan panduan menyeluruh. Misalnya dalam syariat (ibadat dan muamalat) Islam terdapat kaedah dan peraturan yang telah ditetapkan bagi urusan peribadi seperti perkahwinan dan perwarisan harta. Begitu juga dalam urusan am seperti hukum jenayah, perhubungan antarabangasa dan hukum perniagaan.

Hak milik peribadi dan ‘individual contracts’ membentuk asas kepada teori ekonomi liberalisme. Teori tersebut menyatakan bahawa tindakan individu diadasarkan terutamanya kepada keinginan dan kehendak sendiri dan membenarkan tindakan ini tanpa ada sebarang sekatan dalam hak pemilikan harta dan berniaga, akan membuahkan hasil yang terbaik.

Dengan kata lainnya menghadkan atau menyediakan piawaian yang minimum dalam perundangan dan peraturan perniagaan. Konsep ekonomi liberalisme ini menjurus kepada sistem ekonomi pasaran bebas dan ‘Leisez Faire’ yang membataskan peranan dan kawalan faktor luar yang mempengaruhi urusan perniagaan contohnya kerajaan dan peraturan agama.

Dalam Islam pemilikan harta tidaklah mutlak, segala kekayaan adalah milik Allah semata-mata dan ia adalah anugerah dan amanah kepada manusia untuk dimanfaatkan. Liberalisme terlalu mementingkan hak individu semata-mata manakala Islam memandang berat kepentingan individu dan masyarakat, sebab itulah perlu kepada peraturan atau konsep jual beli dan sistem muamalat. Zakat itu sendiri menunjukkan yang setiap individu itu ada tanggungjawab dan kewjipan terhadap orang lain, bukan hanya kepentingan sendiri sahaja diutamakan.

Sistem ekonomi Islam juga sebenarnya meletakkan kerajaan sebagai faktor yang mesti memainkan peranan dalam mana aktiviti perniagaan mahupun dalam soal pemilikan harta peribadi. Campurtangan kerajaan yang amat ditentang dalam liberalisme ini ada kepentingannya dalam Islam antaranya ialah supaya setiap anggota masyarakat mendapat jaminan hidup yang minima, seperti yang disebutkan dalam maksud ayat ke-19 surah Al-Dzariyat iaitu, “dan pada harta-harta mereka (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (dari meminta)”.

Kerajaan juga berperanan bagi memastikan pengagihan pendapatan dengan adil. Islam mengakui tiada persamaan dari segi kemampuan dan perolehan keuntungan tetapi melarang berlakunya jurang perbezaan pendapatan yang besar yang boleh mengakibatkan permusuhan. Dalam surah Al-Hasyr ayat ketujuh menyebutkan tentang hal ini iaitu maksudnya, “supaya kekayaan itu tidak beredar di tangan segelintir orang-orang kaya sahaja”.

Selain pengagihan pendapatan secara adil, dalam soal ekonomi amat perlu kepada jaminan persamaan peluang. Kerajaan perlu campurtangan bukan sahaja untuk memberikan peluang seluas-luasnya kepada yang berhak tetapi meletakkan seseorang di tempat yang layak.

Seterusnya tanpa pengawasan pihak berkuasa dan penguatkuasaan peraturan sudah pasti akan berlakunya tipu helah, riba, rasuah dan monopoli. Masalah-masalah seperti ini akan menimbulkan suasana tidak baik dalam ekonomi dan prasangka buruk di antara golongan kaya dan golongan miskin serta menghancurkan konsep keadilan.

Permasalahan moral dan nilai etika dalam liberalisme pula tidaklah begitu jelas. Kemungkinan besar hal ini berlaku kerana bagi golongan liberal, jika sesuatu nilai moral itu ditetapkan dan telah jelas, maka tiada lagi apa yang dikatakan sebagai kebebasan moral. Maka nilai etika dan moral menurut mereka tidak tetap sepertimana yang telah digariskan oleh agama-agama di dunia.

Nilai itu perlu berubah mengikut zaman, tempat dan keadaan masyarakat. Sebenarnya semua agama samawi telah menetapkan garis-garis tertentu berkaitan nilai benar atau tidak benar. Dalam Islam nilai-nilai akhlak telah ditentukan oleh Allah sebagai pencipta yang maha mengetahui serba-serbi tentang sifat diri manusia.

Manusia dalam pandangan liberalisme berada dalam keadaan yang masih dalam proses ubahunsur daripada masyarakat primitif kepada masyarakat berteknologi. Setelah manusia sampai ke tahap kesempurnaan dari segi jasmaninya ia akan mengalami proses evolusi dari segi rohaninya. Roh yang rendah (kotor) berevolusi kepada roh yang lebih suci.

Begitu juga nilai moral menurut liberalisme seharusnya berubah dari masa ke semasa. Pandangan ini boleh dikatakan tidak menghairankan lagi kerana liberalisme itu amat menganjurkan kepada perubahan dan tidak mengingini sesatu yang tetap atau beku seperti ajaran agama.

Pandangan seperti ini bukanlah ancaman yang besar bagi Islam. Islam itu sememangnya beku dan tetap tetapi yang dimaksudkan di sini adalah kerana ia sudah lengkap dan sempurna untuk dijadikan panduan, malah ia satu-satunya agama terbaik tanpa meniggalkan apa-apa persoalan yang tidak terjawab dalam kehidupan dan amalan ibadat.

Semuanya diterangkan dengan jelas dan terperinci sehinggakan adab memasuki tandas juga disebutkan. Islam pula tidak menghalang manusia untuk berubah bagi mencapai kemajuan dan memperbaiki keadaan diri malah Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum itu jika ia tidak berubah terlebih dahulu.

Seharusnya disedari nilai-nilai moral Islam atau akhlak itulah yang akan menjana perubahan ke arah hidup yang lebih baik atau dengan kata lain sebagai platform untuk manusia menjadi lebih maju. Maka platform itu perlu tetap dan teguh tanpa berubah mengikut peredaran zaman dan keadaan masyarakat.

Kita tidak akan dapat memastikan bahawa kita telah berubah ke arah kebaikan atau menjadi semakin buruk jika perubahan itu kita sandarkan sesuatu yang tidak pasti dan sering berubah. Disinilah fungsinya akhlak sebagai sesuatu yang piawai dan tetap yang tidak bergantungkepada akal manusia yang terbatas serta tidak pula dipengaruhi keadaan dan tekanan persekitaran.

Pada hakikatnya memberi kebebasan yang tiada sekatan kepada individu boleh membawa kepada keadaan huru-hara serta timbulnya sikap rakus, tindas-menindas, dan sifat pentingkan diri . Liberalisme mengembangkan lagi konsep kebebasan itu kepada kebebasan untuk mengikut kata hati sendiri. Konsep ini merupakan lanjutan daripada pandangan John Locke yang mengatakan, “…free individuals could form the basis of political stability…”.

Golongan liberal juga percaya kepada kesempurnaan keadaan semulajadi manusia dan menurut mereka jika diberi kebebasan keadaan kesempurnaan ini dengan sendirinya akan mamandu halatuju sesuatu masyarakat itu. Secara logiknya ini adalah alasan jika keadaan semulajadi manusia ini sempurna, maka masyarakat itu sepatutnya beroperasi secara bebas tanpa campurtangan mana-mana pihak atau kerajaan.

Liberalisme menolak mana-mana agensi sama ada agama atau kerajaan dalam menentukan bagaimana seseorang individu itu mengecap kebahagiaan. Malah mereka menafsirkan kebahagiaan itu berdasarkan ‘fikiran yang bebas’ masing-masing.

Dari aspek inilah ada parti-parti politik berfahaman liberalisme memperjuangkan bukan sahaja persamaan hak wanita terhadap lelaki tetapi hak sebagai pengamal homoseksual. Ini amat bertentangan dengan pandangan Islam iaitu kebahagiaan sebenar dicapai dengan kepatuhan perlaksanaan sepenuhnya terhadap perintah Allah, Dialah yang menentukan rupa bentuk kebahagiaan dan dan Dialah yang menetapkan cara mendapatkannya.

Persoalan persamaan hak wanita dan lelaki pula tidak timbul dalam Islam. Islam telah memberi keadilan kepada lelaki dan wanita sesuai dengan fitrah semulajadinya. Wanita dan lelaki itu mempunyai tanggungjawab masing-masing sesuai dengan perbezaan tabii mereka dan perbezaan ini sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain, contohnya dalam surah Al-Baqarah ayat 228 bermaksud, “dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya..”. Islam menegaskan persamaan lelaki dan wanita adalah dari segi hak memiliki dan mengumpul harta, hak bersuara dan hak mendapatkan ilmu serta pendidikan.

Cuma yang perlu ditekankan disini ialah kelebihan sedikit yang ada pada lelaki. Kedua-dua lelaki dan perempuan mempunyai kelebihan masing-masing, tetapi dalam hal ehwal umum lelaki ada sedikit kelebihan namun bukan secara mutlak, sambungan kepada ayat 228 surah Al-Baqarah menyebut, “…akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya”. Kelebihan ini adalah dari segi tanggungjawab termasuk dalam bidang keluarga. Ia bukanlah kelebihan dalam hak insaniah ataupun sifat-sifatnya.

Lanjutan daripada ‘perjuangan’ tehadap hak persamaan jantina, golongan liberal menghendaki supaya masyarakat umumnya tidak mempersoalkan atau tidak boleh menyekat sebarang aktiviti dan kehidupan peribadi individu atas alasan kebebasan menjalani hidup sendiri.

Ini termasuklah juga dalam soal hubungan seksual, kebebasan bersuara, kesedaran diri dan pengamalan terhadap mana-mana kepercayaan atau agama. Memastikan kemerdekaan seseorang atau kebebasannya khususnya dari sudut pandangan individual merupakan kriteria yang amat penting dalam liberalisme. Ini selari dengan kata-kata John Rawls iaitu, “the state has no right to determine a particular conceiption of the good life”.

Dalam Islam perlakuan seks secara berleluasa merupakan satu bencana yang amat besar kepada umat manusia. Manusia itu adalah khalifah di muka bumi untuk menjalankan amanah Allah, salah satunya ialah menyuruh kepada amal baik dan mencegah kemunkaran.

Ini menjadi tanggungjawab setiap unit masyarakat yang mesti dilaksanakan contohnya menghalang perlakuan zina apatah lagi seks bebas. Islam menganjurkan supaya kerja yang dilakukan ini hendaklah secara berjemaah kerana ia lebih berkesan. Begitu juga dengan seluruh unit masyarakat seharusnya saling bekerjasama dan peka terhadap persekitaran mereka. Hal ini ada disebutkan dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud, “hendaklah ada di kalangan kamu golongan yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar”.

Secara kerasnya kita boleh mengatakan pandangan-pandangan berkenaan nilai moral yang dikemukakan liberalisme hanya akan menjatuhkan manusia ke peringkat haiwan dari segi akhlak dan perikemanusiaanya. Seperti mana disarankan oleh pendokong teori evolusi, fahaman ‘peraturan rimba’ terlaksana di kalangan insan.

Liberalisme dalam nilai etika dan moral telah menimbulkan beberapa masalah umpamanya penyakit jantina telah dilaporkan membunuh lebih ramai orang di Amerika pada tahun 1964 berbanding wabak penyakit polio, typhoid (demam kepialu) dan penyakit cacar. Masalah pelacuran menjadi-jadi dan penyakit jiwa juga sedang melarat di negara-negara barat. Dilaporkan di New York dan California sahaja didapati tidak kurang dari 20 buah hospital-hospital sakit jiwa dalam tiap-tiap negeri itu.

Statistik-statistik daripada Amerika Syarikat menjadi rujukan disini kerana ia senang didapati dan bukan bertujuan untuk mengutuk negara tersebut. Negara itu sangat maju dalam aspek yang lain atau sekurang-kurangnya ia jauh lebih baik daripada negara sosialis-Marxis dari segi hak asasi manusia. Tetapi yang menjadi masalah ialah fahaman liberalisme tersebut seolah-olah telah menjadi senjata pula untuk merosakkan manusia dan mewujudkan huru hara dalam masyarakat.

Sebagai kesimpulan ditekankan disini ialah Islam sebenarnya mengalakkan sikap ‘liberal’ (dalam skop Islam) tetapi menentang fahaman liberalisme yang membenarkan budaya dan kelakuan melampaui batas. Ini langsung tidak menjamin kedamaian dan kebahagiaan manusia di muka bumi. Islam turut menyediakan ruang untuk individu menikmati kebebasan diri sama ada kebebasan berfikir, memiliki harta mahupun kebebasan bergerak.

Dalam Islam kebebasan bergerak itu sendiri dipertahankan dengan memberi hak perlindungan keselamatan dan hak kehormatan tempat tinggal dari dicerobohi. Kebebasan berfikir pula merupakan suatu galakan dalam Islam yang merangkumi hak bersuara dan memberikan pendapat seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis, “sebaik-baik jihad itu ialah mengeluarkan kata-kata yang benar di hadapan seorang raja yang zalim”.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: