jump to navigation

Khalif Muammar: Ummah Harus Muafakat Melawan Liberalisasi Islam September 28, 2006

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Khairul Arifin Mohd Munir

Berikut adalah hasil temubual yang dilakukan oleh Setiausaha Agung ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), Khairul Arifin Mohd Munir, bersama Ustaz Khalif Muammar penulis buku Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal pada 13 Ogos 2006.

Yang menarik dari temubual ini ialah sorotan pandangan Ustaz Khalif Muammar tentang rencam pemikiran yang hadir dalam pemikiran masyarakat Malaysia dewasa ini. Menerusi buku yang telah dihasilkan tersebut, tentu pandangan beliau amat dinantikan:-

Baru-baru ini ustaz telah menulis sebuah buku yang menjelaskan kekeliruan golongan Islam Liberal, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Islam Liberal?

Pada dasarnya, Islam Liberal adalah sebuah gerakan yang mempunyai objektif untuk meliberalisasikan Islam. Sejak mula kemunculan gerakan ini saya dapati bahawa ia adalah satu fenomena global. Ia memiliki jaringan luas, tersusun dan mempunyai sumber kewangan yang besar. Kemunculan gerakan ini berkait rapat dengan merebaknya kekeliruan dan salah faham terhadap Islam. Ia berangkat daripada premis dan andaian bahawa terdapat banyak versi Islam seperti Islam sufi, Islam salafi, Islam tablighi, Islam fundamentalis, Islam politik, Islam modenis dsb. Atas dasar ini, golongan liberal ingin menyatakan bahawa kefahaman Islam yang mereka miliki adalah Islam versi liberal.

Siapakah golongan Islam Liberal ini?

Nama Islam Liberal diberikan oleh orientalis dan diterima oleh golongan Islam Liberal sendiri. Leornard Binder dan Charles Kurzman adalah orang yang mempopularkan nama ini. Golongan Islam Liberal terkadang menggunakan nama lain seperti Muslim Refusenik, Islam Progresif, Islam Moderat dll, intinya golongan ini menginginkan Islam yang baru, yang bukan difahami dan ditafsirkan oleh para ulama sepanjang zaman. Jika diteliti, kemunculan golongan ini sengaja dipupuk oleh Barat untuk memastikan pengaruh yang mereka namakan �fundamentalisme� terhadap masyarakat Islam hilang. Dalam buku saya, saya telah jelaskan peranan cendekiawan Barat dalam memburuk-burukkan fundamentalisme Islam dan membesar-besarkan Islam Liberal atau Islam Moderat. Bagi saya kedua-dua pendekatan liberal dan literal, progresif dan konservatif dalam memahami Islam adalah pendekatan yang terperangkap dengan cara berfikir dikotomis dan cara berfikir seperti ini adalah asing dalam Islam.

Mengapakah begitu penting untuk menjelaskan kekeliruan pemikiran Islam Liberal ini?

Yang menjadikan isu ini begitu kritikal dan sekaligus menjadi dorongan saya menulis buku ini adalah hakikat bahawa yang keliru dan mengelirukan pada hari ini adalah terdiri daripada golongan intelektual, bukan orang biasa, mereka sangat berpengaruh terhadap masa depan dan halatuju masyarakat Islam. Golongan yang sepatutnya berfungsi mencerahkan dan menjadi harapan umat Islam justeru merupakan ancaman kepada jatidiri mereka. Setelah meneliti karya tulis mereka, khususnya para ideolog Islam Liberal seperti Fazlur Rahman, Arkoun, Abu Zayd, Ashmawi dan Abou el-Fadl, saya mendapati bahawa mereka telah meletakkan kepercayaan yang begitu tinggi terhadap tradisi keilmuan Barat dalam masa yang sama cenderung meremehkan tradisi keintelektualan Islam. Sehingga tanpa mereka sedari worldview (pandangan sarwa) mereka tidak lagi worldview Islam tetapi worldview Barat.

Mengapakah golongan intelektual ini keliru? Bukankah sebahagian besar mereka adalah pakar-pakar dalam pengajian Islam?

Ya, itulah yang menjadi persoalan besar, sebahagian mereka adalah orang yang pakar dalam pengajian Islam seperti usul al-fiqh, tafsir, pemikiran Islam dll. Contohnya Amina Wadud yang suatu masa telah menggemparkan umat Islam apabila dia menjadi Imam dan Khatib solat Jumaat, beliau adalah pakar dalam Usul al-Fiqh. Oleh sebab itu kita perlu perjelaskan bahawa banyaknya pengetahuan seseorang dalam ilmu-ilmu keislaman tidak bermakna seseorang itu boleh dianggap alim ulama� dan menjadi rujukan dalam memahami Islam. Kita perlu membezakan antara orang yang benar-benar berilmu dengan orang yang hanya bertindak sebagai pengumpul maklumat. Sebahagian orientalis memang pakar dalam bidang-bidang keilmuan Islam tertentu namun mereka tetap tidak boleh dijadikan rujukan dalam memahami Islam. Kerana dalam Islam ilmu itu adalah pemberian Tuhan, Tuhan tidak memberikan ilmu keislaman kepada orang yang tidak mendapat hidayah dan tawfiq-Nya.

Masih ramai yang tidak mengerti siapakah yang dimaksudkan dengan golongan Islam Liberal, bolehkah ustaz meringkaskan fahaman yang mereka pegang?

Kita perlu mengenali mereka melalui pemikiran dan fahaman yang mereka pegang, bukan melalui nama dan slogan yang mereka zahirkan. Kerana seperti yang saya sebutkan sebelum ini mereka memiliki pelbagai nama. Dapat saya rumuskan bahawa dari segi teologi, golongan liberal berpegang kepada teologi inklusif-pluralis atau pluralisme agama dengan maksud fahaman bahawa semua agama sama benar. Dari segi epistemologi mereka berpegang kepada relativisme, bahawa seseorang itu tidak mungkin mencapai kepastian dalam hal-hal keagamaan. Mereka menentang autoriti ulama, golongan ini dikatakan sama dengan golongan clergy/ rijal al-din di Barat pada zaman pertengahan yang bersikap kuku besi. Dari segi sosial dan moral, mereka menyokong utilitarianisme, seperti di Amerika yang tiada kongkongan dan pengawasan terhadap perilaku individu walau apapun yang ingin dilakukan, mereka juga menyuarakan kesetaraan gender (gender equality) dan beranggapan bahawa Islam telah merendahkan martabat wanita. Dari segi politik, mereka menentang keras konsep negara Islam, bagi mereka ia adalah negara teokrasi. Mereka inginkan demokrasi liberal dengan sekularisme sebagai dasar negara. Dari segi perundangan, mereka menyuarakan idea dekonstruksi (merombak) Shari�ah, bagi mereka Shari�ah mesti tunduk kepada undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Mereka menghalalkan homoseksual, menghalalkan arak dan riba. Mereka juga meragukan kesucian dan kemurnian al-Qur�an, mereka ingin agar al-Qur�an ditafsirkan kembali bukan oleh para ulama tetapi oleh para para ahli sosiologi, antropologi dan kaum feminis.

Menurut sebahagian cendekiawan Muslim pluralisme agama sebenarnya disokong oleh beberapa ayat al-Qur�an dan Sunnah Rasulullah, benarkah demikian?

Kita tidak boleh mudah tertipu dengan dakwaan kaum liberal. Ada dua pendekatan yang mereka lakukan. Pertama dengan mendangkalkan konsep pluralisme agama iaitu mengatakan bahawa pluralisme agama bermaksud menerima kepelbagaian agama. Memang jika kita buka kamus, pluralisme bermakna kepelbagaian. Akan tetapi semua orang tahu pluralisme agama bukan lagi satu perkataan biasa ia telah menjadi satu konsep dan fahaman. Oleh itu, untuk memahami hakikat pluralisme agama kamus dan ensiklopedia bukanlah sumber rujukan yang sesuai, kita harus merujuk kepada pemikir-pemikir pluralisme agama seperti John Hick, Frithjof Schuon, Nurcholish Madjid, Alwi Shihab dan Budhy Munawwar Rachman, di situ kita akan dapati bahawa yang mereka maksudkan dengan pluralisme agama adalah persamaan kebenaran semua agama. Pendekatan kedua adalah memilih satu dua ayat al-Qur�an secara selektif dan menjadikannya sandaran untuk menjustifikasikan faham pluralisme agama, sebagaimana yang dilakukan oleh Alwi Shihab terhadap surah al-Baqarah ayat 62 dan al-Ma�idah ayat 69 di mana beliau telah mentafsirkannya secara sewenang-wenang dan out of context. Pendekatan ini sangat tidak adil kerana telah mengetepikan banyak ayat-ayat lain yang justru bertentangan dengan faham pluralisme agama. Pendek kata umat Islam menerima kepelbagaian agama atau pluraliti agama, kerana Islam agama yang menyeru kepada kedamaian dan keharmonian, tetapi tidak pluralisme agama, kerana pluralisme agama meletakkan relativisme dan no truth-claim sebagai pegangan dengannya kebenaran agama Islam dilihat sebagai sesuatu yang relatif.

Bagaimanakah buku ustaz mendapat sokongan dan pujian daripada ramai tokoh dan cendekiawan di Malaysia seperti Dato� Harussani, Dato� Mohd Tamyes, Dato� Dr. Siddiq fadzil dan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud?

Sebenarnya, saya sendiri tidak pernah membayangkan sokongan sedemikian rupa. Saya merasakan bahawa apa yang telah saya lakukan adalah merupakan juga hasrat mereka, saya dapati Dato� Siddiq, Prof. Wan Mohd Nor, Dato� Tamyes dan Dato� Harussani sangat concern dan prihatinan terhadap krisis pemikiran umat Islam saat ini. Mereka memahami betul apa yang saya perjuangkan dan mendapati hujah-hujah yang saya kemukakan cukup kuat untuk menjawab kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan liberal ini. Oleh kerananya saya sangat bersyukur mendapat sokongan daripada beberapa cendekiawan ulung Islam seperti Prof. al-Attas, bukan kerana kepentingan peribadi tetapi kerana dengan sokongan mereka saya merasa tidak bersendirian dalam memerangi pemikiran golongan liberal ini. Oleh itu dapat dikatakan bahawa saya hanya mewakili dan menunaikan hasrat mereka.

Apakah harapan ustaz setelah menulis buku ini?

Saya berharap agar umat Islam dapat memperdalam ilmu mereka terhadap Islam, kerana kejahilan dan kekeliruan terhadap Islam merupakan lahan yang subur untuk merebaknya faham liberal ini. Saya melihat cabaran liberalisasi merupakan isyarat bagi umat Islam bahawa inilah masanya untuk kembali memperdalam kefahaman kita terhadap Islam. Golongan cendekiawan, penguasa dan ulama perlu bersatu menentang liberalisasi Islam, berusaha dengan sungguh-sungguh mencerdaskan dan memperkasakan Ummah. Umat Islam perlu faham isunya di sini bukan kebebasan berpendapat tetapi isu sebenar adalah ancaman terhadap Islam dan ancaman terhadap jatidiri umat Islam. Untuk memastikan projek liberalisasi Islam ini berhasil, kuasa Barat sanggup melakukan apa sahaja, kerana setelah mereka berjaya menguasai minda sesuatu bangsa mereka boleh berbuat apa sahaja. Golongan Liberal mendakwa bahawa fahaman merekalah yang benar, dan menganggap umat Islam selama ini dikongkong oleh para ulama yang telah memonopoli Islam. Bagi mereka Islam itu bukan satu, ada banyak versi Islam. Segala penafsiran mereka terhadap Islam adalah benar dengan pendekatan seperti ini fahaman keliru mengenai Islam telah dianggap sebahagian daripada Islam itu sendiri. Hal seperti ini tidak boleh sama sekali kita biarkan, ia akan menjadi malapetaka dan fitnah yang besar terhadap umat Islam.

About these ads

Komentar»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: