jump to navigation

Teo Kok Seong: Bahasa Melayu Mangsa Globalisasi (Siri 1) Jun 4, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: UoL Team

“Tuhan bagi saya akal. Biarpun sekadar ahli bahasa, namun saya ada amanah ilmu. Maka ilmu yang saya peroleh harus dikongsi dengan khalayak.” Begitu antara kalimah terakhir Teo Kok Seong, professor sosiolinguistik, UKM sewaktu mahu menamatkan wawancara bersama Ummahonline.com (UoL) tanggal 2 Mac 2008.

Dalam wawancara tiga siri ini, anak tiong hua kelahiran Kelantan ini telah berkongsi wawasannya tentang kedudukan bahasa Melayu ketika berdepan dengan kemajmukan kaum dan kederasan arus globalisasi. Beliau cuba meleraikan hubungan antara bahasa Melayu dengan himpitan bahasa-bahasa lain di Malaysia. Baginya, sebarang anjakan bahasa hanya cerminan kepada nasionisme, bukan kepada nasionalisme.

Ternyata, fikirannya sarat dengan idea-idea nasionalisme. Faham kaum telah berkecai dalam pemikirannya. Mungkin kaum Melayu sendiri patut merasa ralat, bagaimana ada anak tiong hua yang begitu menyayangi bahasa Melayu, sehingga seperti melebihi kaum asal bahasa tersebut. Ini barangkali antara keinsafan yang boleh ditimba dari hasil wawancara ini: bahawa perkauman bukanlah suatu faham yang kukuh!

Barangkali isu terbesar dalam soal bahasa dewasa ini ialah tentang hubungannya dengan globalisasi. Atau yang lebih tepat lagi, kesan yang dibawakan oleh globalisasi terhadap kedudukan bahasa setempat. Sebagai ahli bahasa, menurut anda sejauh manakah globalisasi ini telah memberi dampak terhadap bahasa, terutamanya bahasa-bahasa tempatan?

Ya! Memang, globalisasi telah memberi kesan kepada bahasa-bahasa kecil, atau kita panggil sebagai minor languages ini. Pada zaman globalisasi ini, kita melihat kemusnahan bahasa itu berlaku dengan lebih pantas. Kalau dulu, seperti yang dikatakan dalam teori bahasa, sesuatu bahasa itu akan pupus dalam rentang waktu antara 50 tahun hingga 100 tahun, iaitu kira-kira antara dua generasi hingga empat generasi. Tetapi akhir-akhir ini, semenjak adanya bahang globalisasi, kita melihat bahasa-bahasa kecil itu mulai pupus dalam satu generasi saja. Maksudnya, bahasa-bahasa kecil tidak dapat diwariskan kepada generasi yang lebih muda ini. Sebaleknya, bahasa-bahasa kecil ini kelihatannya sudah diabaikan aspek penggunaannya, yang lama-kelamaan bahasa ini akan hilang dimamah zaman.

Bagaimana dalam kes bahasa Melayu?

Memang, dalam globalisasi ini, bahasa-bahasa besar maseh lagi bertahan. Tapi, dalam kes bahasa Melayu, ternyata sudah ada kesan yang ketara. Mithalnya, anjakan bahasa yang berlaku pada Januari 2003, iaitu sewaktu kerajaan mula-mula mahu melaksanakan pengajaran sains dan matematik ke dalam bahasa Inggeris. Jadi, anjakan bahasa ini adalah satu fenomena yang merujuk—kalau diperhatikan dari sudut ilmu sosiolinguistik—kepada peralihan bahasa kurang berprestij kepada bahasa yang lebih berprestij, terutamanya dalam penggunaan bidang-bidang penting.

Umpamanya dalam bidang pendidikan. Dan dalam bidang pendidikan itu ada banyak aspek pula. Sayangnya, aspek yang telah kerajaan pilih adalah aspek suatu penting juga, iaitu bidang sains dan matematik. Padahal, di samping bidang sains dan matematik, kita asasnya turut ada pendidikan bahasa, pendidikan agama, pendidikan seni, pendidikan jasmani, dll. Maka, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengantikan bahasa Melayu yang dikatakan kurang berprestij itu, berbanding dengan bahasa Inggeris. Dan dalam bidang ilmu yang saya tekuni ini, iaitu sosiolinguistik, keadaan ini dinamakan anjakan bahasa (language shift). Maknanya, sudah ada anjakan dari satu bahasa ke satu bahasa yang lain yang drastik skali di Malaysia.

Jadi, dorongan kerajaan untuk melakukan anjakan bahasa ini kerana dihambat oleh arus globalisasi?

Benar. Dan inilah kesan globalisasi. Maksudnya, sebelum ini tidak ada pun kerajaan hendak fikir-fikir mahu menukar bahasa. Namun, kini mengapa tiba-tiba mahu tukar? Saya kira kerana kerajaan kita, atau pemimpin kitalah, ingin sangat Malaysia tidak ketinggalan dalam globalisasi ini. Tapi, dengan kita memilih bahasa Inggeris tanpa fikir secara mendalam, telah menyebabkan kita menjadi mangsa kepada arus era globalisasi.

Kita mahu memainkan peranan utama (active player). Tapi nampaknya dalam kes ini kita menjadi mangsa kepada globalisasi. Walhal, satu komponen penting dalam pendidikan kita yang sebelum ini sudah elok dilakukan dalam bahasa Melayu. Malah, tidak ada aduan ataupun rungutan pun tidak ada. Tapi tiba-tiba pemimpin kita rasa kita akan ketinggalan dalam arus globalisasi ini. Saya katakana ini, kerana jelas kelihatan seweaktu mereka bertegas mahu matapelajaran sains dan matematik dijalankan semuanya dalam bahasa Inggeris. Bahkan, menurut mereka, kalau matapelajaran sains dan matematik terus dijalankan dalam bahasa Melayu, maka kita akan ketinggalan. Jadi, satu tindakan drastik telah dilakukan oleh kerajaan. Saya ingat lagi, usul di mana mahu digunakan bahasa Inggeris dalam sains dan matematik ini kali pertama disuarakan pada Mei 2002. Jadi, selepas itu, dalam tempoh tujuh bulan sahaja, secara pantas pada Januari 2003 dasar ini dilaksanakan.

Malah, kalau kita kaji balek, kerajaan melalui pemimpin kita Tun Dr. Mahathir Mohammad pada waktu tersebut pernah berusaha untuk melaksanakan bahasa Inggeris ini dalam sains dan matematik semenjak tahun 1993 lagi. Waktu itu Tun Dr. Mahathir mencuba, tetapi gerakan yang menentang cadangan pada waktu tersebut sangat kuat. Sebab itu, dasar ini tidak sampai boleh dilaksanakan. Malah, ada buku ditulis yang memperlihatkan usulan Tun Dr. Mahathir pada waktu itu yang mahu menggunakan bahasa Inggeris dalam mengajar matapelajaran sains dan teknologi di IPTA. Walaubagaimanapun, ada badan-badan bukan kerajaan yang bergabung, serta menghantar memorandum. Akhirnya, idea tersebut gagal.

Tapi, ia tidak berakhir begitu saja.

Ya. Ia tidak berakhir di situ. Dan hampir sedekad selepas itu, iaitu pada awal Mei 2002, saya maseh ingat lagi yang saya berada di selatan Thailand untuk menghadiri suatu seminar. Bila saya pulang, maka sudah heboh di seluruh negara berkenaan hasrat untuk melaksanakan anjakan bahasa ini. Hasrat ini kemudiannya mendapat sokongan. Maksudnya, pandangan Tun Dr. Mahathir disokong oleh Umno dan dengan cepatnya dilaksanakan tanpa sebarang banyak persediaan. Dasar ini mula-mula diperkenalkan pada Januari 2003. Jadi, pada tahun ini (2008) adalah merupakan tahun terakhir untuk generasi 2003 akan menamatkan tahun 6. Nanti kita dapat tengok, sejauh mana kesan daripada pelaksanaan dasar tersebut.

Hakikatnya, banyak masalah dari dasar ini. Malah, cekgu pun merangkak-rangkak untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Murid pun berbaur antara faham atau tidak faham. Jadi tahun 2008 ini, murid yang pernah berada tahun 1 pada tahun 2003 sudah berada pada tahun 6. Pada hujung tahun ini mereka hendak mengambil peperiksaan. Seperti biasa, kerajaan melalui lembaga peperiksaan, akan buat soalan dalam dua bahasa. Satu soalan dalam bahasa Melayu. Dan satu lagi dalam bahasa Inggeris. Sementara para murid dibenarkan sama ada mahu menjawab dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Rata-rata memang murid terutamanya di luar Bandar agak kesulitan. Tapi, bagaimana pula dengan pihak cekgu-cekgu?

Cekgu-cekgu juga begitu. Adalah anehnya, yang selama ini di sekolah, cekgu-cekgu telah diarahkan untuk mengajar dalam bahasa Inggeris. Bahkan, cekgu-cekgu dilarang untuk guna bahasa Melayu pun. Cekgu yang boleh mengajar, maka bolehlah mereka mengajar. Sebaleknya, yang tidak boleh mengajar, terpaksalah merangkak. Jadi bila dalam keterbatasan ini, para murid pun dapat dapat ilmu sedikit sahaja. Tapi bila peperiksaan dijalankan sekarang, alih-alih dibenarkan para murid untu menjawab dalam bahasa Melayu.

Jadi lebih kurang beginilah. Kalau nak cakap jahat sikit, “apa kejadahnya mengajar dalam bahasa Inggeris yang lintang pukang.” Sebab, kalau para murid sekarang menjawab dalam bahasa Melayu sekalipun, maka ilmu yang telah diperoleh mereka dalam bahasa Inggeris tidaklah sempurna. Macam faham tak faham sahaja. Inilah masalahnya sekarang. Jadi akhirnya, kerajaan pun tak sanggup nak suroh para pelajar tersebut untuk menjawab dalam bahasa Inggeris. Kerajaan takut keputusan peperiksaan yang diperoleh lagi teruk. Melihat kemungkinan tersebut, kerajaan terpaksa bagi pilihan kepada mereka. Maka, tentu ada para pelajar Cina dan India yang pandai-pandai akan memilih menjawab dalam bahasa Inggeris. Tapi cekgu-cekgu Melayu pun pasti rasa tertipu juga. Merangkak-rangkak mereka mengajar dalam bahasa Inggeris, tiba-tiba bila waktu peperiksaan, para pelajar boleh menjawab dalam bahasa Melayu.

Apa yang boleh kita ibaratkan tentang hal ini?

Bagi sayalah, semua yang berlaku ini adalah nestapa sosial kebangsaan (national social tragedy). Benar, kita tidaklah sampai menafikan kepentingan bahasa Inggeris. Saya kira, macam sebelum ini pun—kalau kita tengok balek akhbar-akhbar yang memaparkan untuk mengajar sains dan matemarik dalam bahasa Inggeris—hujah yang selalu saya baca ialah pelaksanaan ini dilakukan untuk mengatasi kelemahan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar. Malah, waktu itu pun sudah ada yang bantah dengan berkata bahawa ini bukan caranya. Ini kerana, sains dan matematik tidak ada kandungan yang boleh memperkayakan penguasaan sesuatu bahasa. Kalau ada pun, mungkin matapelajaran sastera Inggeris. Jadi khalayak sudah mula bercakap pada waktu itu. Tapi nampaknya suara tersebut tidak diendah oleh pihak kerajaan. Kerajaan mahu melaksanakan juga.

Memang agak rapuh hujah tersebut. Namun, apakah benar mereka tidak ada kekuatan hujah lain sebagai alasan untuk melaksanakan dasar ini?

Seperti yang saya perhatikan, tidak pernah saya lihat secara konsisten hujah mereka bahawa mereka mahu menggunakan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini kerana kita tidak mahu ketinggalan dalam arus globalisasi. Ataupun, saya tidak pernah mendengar mereka yang menyatakan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan kerana terjemahan kita lambat, atau tidak tepat. Hujah tersebut jarang sekali kita dengar. Yang selalu kita dengar ialah kerana bahasa Inggeris di kalangan rakyat kita lemah. Saya rasa, untuk buktinya, elok kita tengok balek akhbar-akhbar yang disimpan secara digital.

Tapi, bukan bila kita menggunakan bahasa Inggeris kita dapat pergi kepada bahasa pertama sumber ilmu tersebut? Ini barangkali merupakan satu jalan pintas? Sebab kalau kita perhatikan sekarang, banyak ilmu yang terdapat pada waktu ini tersedia dalam bahasa Inggeris. Ini ditambahkan lagi, apa yang berlaku di Malaysia, di mana proses terjemahan memakan masa yang agak lama, dan tidak tepat macam yang dikatakan tadi. Malah, para ahli akademik kita tidak giat menerjemah. Jadi, tidakkah pelaksanaan bahasa Inggeris dalam sains dan matematik hakikatnya satu jalan pintas dalam memantaskan pembangunan negara?

Ya, betul. Dasar ini adalah jalan pintas untuk membangunkan negara. Tapi, kita tidak boleh lihat semuanya dari segi ekonomi begitu. Sebab dari segi budaya, kita akan banyak kehilangan. Maksudnya, dari segi budaya, orang Melayu amnya, atau bangsa Malaysia khususnya, akan kehilangan satu saluran untuk menyatakan hal-hal yang berkaitan dengan sains dan teknologi dalam bahasa Melayu itu. Hari ini, saluran tersebut sudahpun hilang. Dan kita tahu, kalau nak nyatakan sains dan teknologi dalam bahasa sendiri, memang ia dilakukan oleh orang cina di China, orang jepun di Jepun, orang korea di Korea, atau orang jerman di Jerman. Dan meraka pun dapat maju dari segi sains dan teknologi. Dalam waktu yang sama, mereka pun tahu kekurangan bahasa Inggeris mereka. Namun, mereka ada cara tersendiri untuk mengatasi kelemahan mereka ini.

Jadi, bagaimana caranya untuk mengatasi kelemahan ini?

Jadi kalau kita mahu mempertingkatan kurikulum kita, kita ubah cara belajar kita. Kita membaca buku sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, dan memahaminya. Kemudian kita mengungkapkan semula apa yang kita faham tersebut dalam bahasa kebangsaan kita. Maka, menerusi itu, bahasa kebangsaan kita akan maju. Sebenarnya bahasa kebangsaan kita boleh maju. Bahasa kita boleh ungkap apa-apa saja. Sains angkasa lepas pun boleh. Sains samudera pun boleh. Apa-apa ilmu pun boleh. Cuma kita saja yang tidak yakin pada bahasa kita. Bagi saya, tidak perlu berlaku pun anjakan bahasa. Teruskan dalam bahasa kebangsaaan itu. Sebab semua orang boleh terima. Orang cina pun terima. Tak pernah orang cina tuntut nak tukar sains dan matematik dalam bahasa mereka. Mereka belajar sains dan matematik ini sampailah ke tahun 6. Kemudian pada tingkatan 1, mereka belajar balek dalam bahasa Melayu. Mereka pun tak tuntut anjakan bahasa.

Mungkin pemimpin kita salah memandang?

Yalah, pemimpin kita melihat begitu. Pemimpin kita melihat begitulah caranya. Mereka lihat dari segi nasionisme, iaitu bagaimana nak membangunkan negara. Apa cara pun tak kira. Mungkin mereka yang mahukan bahasa Melayu ini berkeras mahu membangunkan negara dari segi nasionalisme. Sebaleknya, pemimpin kita mahu nasion, bukan nasionalisme.

Saya kira Tun Dr. Mahathir lihat dari segi itu. Kita pun tak boleh kata Tun Dr. Mahathir tidak sayang pada bangsa Melayu dan negara. Cuma pragmatisme Tun Dr. Mahathir itu dari segi nasionisme. Jadi, bila nasion itu penting, maka tidak kiralah bagaimanapun, asalkan negara kita maju. Sebaleknya, satu pihak lagi yang menentang, dan mereka mahu nasionalisme. Nasionalisme maksudnya, kita mahu menggunakan apa-apa yang bersifat tempatan serta membantu meningkatkan jatidiri rakyat kita.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: