jump to navigation

Teo Kok Seong: Rakyat Malaysia Perlu Menguasai Bahasa Melayu (Siri II) Julai 14, 2008

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Bahasa itu jiwa bangsa: dari bahasa kita akan dapat mengetahui sejauh mana bentuk budaya yang terakam dalam binaan sesuatu bangsa tersebut. Lebih menarik, Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang bangsa, yang dari kemajmukan ini menuntut satu rumusan dasar yang teliti tentang bahasa.

Bersama dengan Teo Kok Seong, professor sosiolinguistik linguistik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam siri II ini, Ummahonline.com cuba melihat persoalan bahasa kebangsaan dari perspektif bangsa lain.

Kalau kita kembali dalam konteks kebangsaan kita, sejauh manakah penerimaan orang bukan Melayu terhadap bahasa Melayu?

Saya kira, kalau nak sedap di mulut, orang bukan Melayu akan kata bahawa bahasa Melayu itu penting. Mereka juga akan kata bahawa mereka tidak ada masalah dengan bahasa Melayu. Malah, mereka sokong bahawa bahasa Melayu itu menjadi bahasa kebangsaaan. Itu pengakuan mereka secara mulut. Tapi saya kira kita juga kena tengok amalan mereka. Amalan ini yang lebih penting. Mengaku senang saja.

Memang, dari segi pengakuan, semua orang menerima bahasa Melayu itu sebagai bahasa kebangsaan. Tapi amalan itu bagaimana pula? Adakah orang cina itu selesa dan tidak menganggap janggal bila menggunakan bahasa Melayu sesama mereka? Rata-rata saya dapati orang cina kurang senang bila sesama mereka menggunakan berbahasa Melayu. Tapi menggunakan bahasa Inggeris boleh pula. Sebaleknya, cina sesama cina akan tmapak janggal bila berbahasa Melayu.

Pernah saya kadang-kadang diminta untuk bercakap di hadapan khalayak cina. Padahal saya sepatah pun tak tahu Mandarin. Boleh dikatakan saya ini buta huruflah dalam Mandarin. Sebab saya tidak boleh bercakap dalam bahasa Mandarin, maka mereka terpaksa terimalah pemilihan bahasa saya. Saya kira mereka lebih selesa jika saya bercakap dalam bahasa Inggeris. Tapi, di kalangan hadirin ada pula yang tidak tahu bahasa Inggeris. Maka saya menggunakan bahasa Melayu, sebab saya fikir semua orang boleh memahaminya. Jadi, saya kira ada perbezaan antara pengakuan dengan amalan di kalangan masyarakat cina.

Bagaimana dengan budaya masyarakat cina pula yang gemar menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan mereka?

Ya, berkenaan menghantar anak ke jenis sekolah. Saya hairan, mengapa ada yang mati-matian mahu juga anak mereka belajar dalam bahasa cina. Macam anak saya, saya hantar mereka ke sekolah kebangsaaan. Tak kesahlah kalau mereka tidak reti Mandarin pun. Bagi saya, itu tidak menjadi perkara besar. Tapi bagi sesetengah orang, itu menjadi benda besar.

Kerana itu, saya kira penerimaan bahasa Melayu memang tidak ada masalah. Walau bagaimanapun, seperti saya sebutkan tadi, amalan itu yang berbeza. Saya ada kawan-kawan Melayu yang menjadi jurulatih dalam program khidmat Negara. Dan mereka mendapati ada belia-belia bukan Melayu tidak reti sepatah pun bahasa Melayu. Memang benarlah yang mereka keciciran di peringkat sekolah, meskipun mereka terpilih untuk ikuti program khidmat Negara. Tapi yang paling penting isunya di sini, mereka boleh terus takat dalam sebuah negara yang majoritinya Melayu. Maksudnya, mereka boleh hidup, meskipun tidak tahu sepatah pun perkataan Melayu. Bahasa pasar pun tak tahu. Namun, mereka terus hidup hari-hari. Padahal, perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

Nampaknya mereka tidak perlu lagi untuk tahu bahasa Melayu bagi mengurus kehidupan hariannya. Saya rasa pernah menyuarakan hal ini dalam beberapa forum. Dan ada juga pemimpin-pemimpin cina yang membalas. Kata mereka, kita tidak boleh kata bahawa orang cina yang tidak boleh berbahasa melayu ini tidak patriotik.

Saya tak kata mereka tidak patriotik. Cuma saya kata agak pelik. Ini kerana hal ini tidak semestinya berlaku. Sebab bagi saya, seorang warganegara Malaysia mesti mempunyai pengetahuan bahasa melayu yang mencukupi. Sikit-sikitpun tidak mengapa. Sebab, setiap warganegara Malaysia seharusnya tahu berbahasa Melayu. Baru anda boleh panggil diri anda rakyat Malaysia. Sedangkan kita tengok ada yang sepatah pun tak tahu. Jadi macamana?

Jadi, apa peranan orang melayu di sini?

Maksudnya, orang Melayu kalau boleh, tak usah bercakap menggunakan bahasa pasar pada orang cina dan tamil. Cakap dalam bahasa Melayu yang mudah. Memang ada beza apa itu bahasa mudah berbanding dengan bahasa pasar. “Lu lain hari, sini marilah, nanti gua bikin sama lu la,” satu contoh ayat pasar yang selalu digunakan. Soalnya, kenapa kita harus bercakap demikian. Elok cakap, “awak datang lain kali. Bila saya ada senang, saya buatlah untuk awak.” Bukan bahasa mudah begini lebih elok. Ini terbalik pula. Kita yang sesuaikan dengan mereka. Jadi, saya kira bahasa Melayu pasar patut tidak ada lagi. Patutnya kita sekurang-kurangnya perlu bercakap bahasa Melayu yang mudah. Bukan tidak boleh pun. Sebab semuanya rata-rata ke sekolah Melayu, ataupun pernah belajar bahasa Melayu di sekolah.

Ya, satu hal faktor yang mendorong kekurangan ini adalah kerana keciciran persekolahan mereka. Tapi, adakah dengan kewujudan sekolah jenis kebangsaan cina dan tamil turut menyumbang kepada kegagalan sebahagian rakyat untuk berbahasa Melayu dengan baik?

Saya kira bagi pelajar yang cerdik, mereka dapatlah menguasai bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda mereka dengan baik. Yang tak cerdik ini, semua perkara pun macam tak cerdik. Saya tidak nafikan, bahawa dalam usia yang muda, iaitu sekurang-kurangnya umur 7 tahun, anak-anak sudah perlu menguasai tiga bahasa. Dan kita pun boleh tengok, yang anak-anak Melayu ke sekolah cina, nampaknya bahasa Melayu mereka pun teruk. Memang, mereka boleh berbahasa Melayu di rumah: iaitu bahasa Melayu basahan tadi. Bahasa Melayu kolokial. Tapi dalam politik malaysia susah kita nak tutup sekolah vernakular ini. Sebab kalau kita tengok sekarang pun, kerajaan sendiri bagi wang untuk sekolah cina dan sekolah tamil. Sebab, itu yang dituntut oleh masyarakat.

Tapi kita tak boleh kata yang masyarakat itu salah. Sebab kalau kita pakai kerangka yang bahasa itu sebahagian bahagian daripada budaya, maka apa gunanya cina yang tak reti cakap cina macam saya. Jadi, saya tidak boleh menjadi pemimpin cina langsung pada peringkat nasional. Mereka tidak akan terima. Pertama, saya tidak ada rupa cina. Itu barangkali tidak berapa penting. Tapi memang saya tidak tahu bahasa cina. Jadi macamana saya boleh berdiri sebagai ikon cina untuk memperomosikan bahasa dan budaya cina. Sedangkan cakap pun tak boleh.

Tapi apakah dasar sekolah kebangsaan jenis ini, perlu diteruskan lagi atau sebaliknya?

Begini, saya fikir ada perbezaan antara mereka yang sekolah kebangsaan, atau sekolah Inggeris, ataupun satu lagi sekolah cina atau india. Jadi memang ada perbezaan pemikiran bagi mereka. Tapi, kalau tanya saya yang tak pernah belajar selain dari sekolah kebangsaan, saya akan kata tidak perlu pun. Sebab saya pun tak pentingkan pendidikan cina. Maka saya pun tak hantar anak saya ke sekolah cina. Isteri saya pun tak pandai macam saya juga. Tapi, kami tidak merasa apa-apa pun. Tapi yang ada latar belakang bersekolah cina ini, tentulah mereka nak diteruskan dasar ini sebab mereka lihat budaya cina, identiti cina pada mereka itu terletak paling besarnya pada bahasa. Dan saya walaupun anggap diri saya cina, tapi saya menganggap bahasa cina itu tidak besar. Maksudnya, saya dikenali sebagai orang cina, tapi saya tidak reti sepatah pun cina. Maka, kalau tanya saya, tak perlulah. Sebaliknya, kalau tanya orang yang pernah bersekolah cina, memang mati-matian mereka mahu pertahankan.

Jadi, kalau begitu, tampak ada tekad yang kuat di kalangan bangsa di Malaysia, terutamanya dari bangsa cina dalam mempertahankan bahasa dalam jiwa pendidikan. Itu pengalaman dalam budaya cina. Tapi, menurut anda, adakah tekad yang sama juga ada dalam bangsa Melayu?

Saya rasa ada. Maksudnya, kalau tidak ada, maka tidak adalah bantahan yang kuat terhadap penggunaan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini. Maksudnya orang melayu, mahukan bahasa melayu digunakan dalam kapasiti penuh, iaitu termasuklah dalam sains dan tenologi yang dikatakan ilmu canggih itu. Dan kalau boleh orang cina pun mahukan begitu juga, mereka hanya menuntut sains dan mateamtik itu diajar dalam bahasa cina setakat darjah 6 sahaja. Mereka tidak tuntut dah selepas itu. Maka, siapa yang rasa nak lagi belajar dalam bahasa cina pergilah ke sekolah swasta.

Jadi, bangsa cina akur. Malah, orang india pun akur bahasa pembelajaran sekolah dalam bahasa mereka hanya setakat sekolah rendah sahaja. Tapi melihat dari arus ini dalam orang melayu, memanglah orang melayu mahu bahasa kebangsaan digunakan dalam kapasiti yang penuh.

Satu sifat menarik negara kita ialah memiliki keragaman bangsa, dan tentunya ragam bahasa juga. Dan kelihatan, masing-masing kaum mahu menegakkan bahasa masing-masing, sekurang-kurangnya pada tahap awal pendidikan. Cuma persoalannya di sini, sejauh mana bahasa melayu dapat menjadi pengikat ataupun dapat menjadi teras kepada semua bahasa-bahasa lain di Malaysia? Adakah bila kita menggunakan bahasa melayu, secara menyeluruh katakan, ia akan mengikis bahasa ibunda yang lain?

Tidak ada. Maksudnya, pertama sekali, kita harus berfikir dalam kerangka bahawa lebih banyak penggunaan bahasa yang kita tahu, itu lebih baik. Bagi orang cina, apa yang mereka mahu, iaitu bahasa ibunda dalam pendidikan sudah diperoleh. Macam saya, saya tidak boleh dikatakan yang saya tidak tahu bahasa ibunda saya. Saya tahu bahasa hokkein saya. Saya dari suku hokkein. Jadi, bahasa suku hokkein saya tahu. Hanya saya tidak tahu bahasa mandarin saja yang diajar di sekolah. Jadi, kecinaan saya, kebangsaan cina saya masih ada pada suku saya. Hanya saya tidak belajar yang di sekolah cina saja. Saya kira itu tidaklah menghakis bahasa ibunda pun. Sebab orang cina pun tidak bising-bising hendak menolak bahasa Melayu. Hanya amalan mereka saja yang tidak beri penekanan yang sepatutnya.

Komentar»

1. cclim - Julai 22, 2008

It is said that 95% of Chinese parents in Malaysia send their children to Chinese elementary schools. That includes those English educated Chinese parents who don’t speak Mandarin nor write any Chinese word.

There must be a very good reason for this. This fact is so STRONG that on one could play blind to it.

That’s all I want to say. Thank you.


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: