jump to navigation

Farish A. Noor: Kembalikan PAS Kepada Pucuk Perjuangan Asal April 27, 2004

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

 

Oleh: UmmahOnline Team Natijah daripada Pilihanraya Umum ke-11 telah mencetuskan satu perbahasan baru tentang peranan, prospek dan survival PAS dalam konteks perjuangan Islam di tanahair. Bermula dari kecaman terhadap Barisan Nasional, SPR dan Polis hinggalah pula kepada kritikan terhadap kredibiliti Presiden PAS, semuanya diungkap dan dirumuskan bagi mencari punca sebenar faktor kekalahan teruk PAS pada pilihanraya kali ini.

Justeru itu, Farish A Noor, 37, anak kelahiran Georgetown yang kini sedang bertugas di Zentrum fur Moderner Orient, Berlin, telahpun membentangkan secara panjang lebar pandangan beliau terhadap perbahasan ini sepertimana yang di siarkan dalam akhbar Harakah edisi 16-30 April 2004 yang lalu di bawah tajuk �memikirkan semula pendekatan PAS�. Secara umumnya, idea yang beliau kemukakan memang kontroversi sehingga mengundang kritikan di kalangan pembaca, ahli dan para pimpinan PAS khususnya.

Lantaran itu, bagi mendapatkan penjelasan lanjut terhadap artikel kontroversi tersebut, UmmahOnline telahpun berpeluang untuk menemubual beliau melalui Emel – sekalipun beliau mempunyai jadual kerja yang agak padat. Dan, jawapan temubual yang kami terima pada hari Ahad (25 April 2004), secara keseluruhannya bolehlah disifatkan sebagai pengukuhan hujah-hujah beliau terhadap artikel “memikirkan semula pendekatan PAS.” Berikut adalah petikan temubual tersebut:-

Sebelum kita pergi lebih lanjut, bolehkah saudara berkongsi sedikit perkembangan terbaru saudara terutamanya mengenai kajian yang sedang saudara lakukan?

Dewasa ini saya bertugas sebagai para ahli kajian akademik di Pusat Pengajian Orient (Zentrum fur Moderner Orient), Berlin, German dan sebagai professor jemputan di Institut Kajian Islam dan Masyarakat Muslimin (Institut D’Islam et Societes du Monde Musulman), Paris, Perancis. Buku saya tentang sejarah perjuangan Parti Islam se-Malaysia PAS yang berjudul ‘Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS 1951-2003’ telah siap di-edit dan sedang dicetak oleh Institut Kajian Sosiologi Malaysia (MSRI) waktu ini. Saya berharap ia akan diterbit di pertengahan tahun ini juga.

Selain menulis tentang sejarah parti PAS, saya menumpu perhatian saya kepada sejarah kedatangan kaum Muslimin India dari benua India (India, Pakistan dan Bangladesh) ke Nusantara dan kepulauan Melayu dari abad ke 13 hingga ke zaman ini. Saya harap kajian ini dapat dikumpul dan dijadikan suatu lagi buku tentang diaspora Muslim Asia di rantau Asia. Saya juga harap buku ini akan memberi bukti yang kukuh tentang perhubungan erat antara-budaya dan bangsa yang wujud pada zaman pra-kolonial lagi, apabila konsep ‘race’ itu belum lagi wujud. Sekian lama golongan India-Muslim di Malaysia dianggap sebagai ‘pendatang asing’, walaupun merekalah yang membawa Islam ke kepulauan Melayu ini dan merekalah yang memberi sumbangan yang begitu penting kepada kebangkitan nasionalisme dan kefahaman politik dikalangan bangsa-bangsa pribumi di Nusantara. Semoga buku ini dapat membuktikan kehebatan sumbangan golongan India ini dan saya berharap bahawa warganegara Malaysia yang berketurunan India itu tidak lagi dianggap (atau menganggap diri mereka sendiri) sebagai ‘pendatang dari jauh’. Selanjutnya saya juga menjalankan kajian tentang perhubungan komunikasi ide dan ilmu antara madrasah-madrasah di benua India dan Nusantara – Ini juga sebahagian dari kajian sejarah dan fenomena diaspora India-Muslim itu.

Berbalik kita kepada fokus temubual, menurut pengamatan saudara, apakah iktibar terbesar yang boleh di pelajari oleh PAS daripada natijah pilihanraya Umum Malaysia yang ke-11?

Bagi saya mesej Pilihanraya Umum ke-11 (PU11) itu jelas sekali: Walaupun segolongan besar antara rakyat Melayu-Muslim tertarik kepada nilai-nilai dan ide-ide Islamisme, golongan cendiakiawan, penulis, aktivis dan pemimpin gerakan Islamis itu sendiri perlu mengkaji kembali taktik mereka dan cara mereka berkomunikasi dengan masyarakat jelata. Saya rasa bahawa sebenarnya sokongan untuk parti PAS masih ada dan masih kuat dikalangan penyokong ‘hardcore’ mereka. Tetapi apa yang jelas ialah golongan tengah yang bersifat neutral itu lebih besar dan mereka inilah yang telah mengalih sokongan mereka kepada Abdullah Badawi dan Barisan Nasional. Saya masih teringat perjumpaan saya dengan beberapa pemimpin PAS di Kelantan pada tahun 2001. Seorang dari mereka telah berkata pada saya: “walaupun kita menang besar kali ini (pilihanraya 1999), penyokong kuat kita di sini (Kelantan) hanya 20 peratus dari masyarakat. Yang 20 peratus lagi penyokong kuat UMNO. Yang penting ialah sentimen golongan tengah yang berjumlah 60 peratus itu.” Nampaknya golongan tengah itu telah berpaling tadah dan memberi sokongan mereka kepada UMNO dan BN kali ini. Soalannya mengapa? Ini soalan yang perlu dijawab oleh pemimpin dan ahli PAS itu sendiri.

Di dalam artikel saudara yang di siarkan di Harakah (edisi 16-30 April 2004), saudara begitu menekankan tuntutan reformasi dalaman terhadap PAS. Persoalannya, sejauh manakah keperluan tuntutan ini terhadap PAS?

Tidak ada mana mana parti politik yang dapat bertahan jikalau ia tidak melaksanakan reformasi, kritikan dalaman dan pembaharuan dari dalam. Ini bukan saja suatu agenda bagi PAS, tetapi bagi semua parti. Kita patut sedar bahawa UMNO telah dapat kemenangan besar kerana persepsi rakyat jelata ialah bahawa Badawi telah memulakan reformasi dalaman dalam UMNO itu sendiri. Walaupun kasus-kasus korupsi dan nepotisme yang didedahkan itu dianggap kasus ‘ikan bilis’ manakala ‘ikan payu korupsi’ itu masih berkeliaran, tetapi sekurang-kurangnya perubahan telah bermula, walaupun pada saat ini hanya pada suatu tahap yang kosmetik.

Demikian juga, apakah maksud saudara bahawa sudah tiba masanya peralihan generasi kepimpinan di dalam PAS terutamanya kepada golongan intelektual muda? Bukankah, gesaan ini secara tersiratnya membawa erti bahawa era kepimpinan ulama’ di dalam PAS sudah tidak lagi relevan? Benarkah begitu?

Ya dan tidak. Ulama ada peranan dan fungsi mereka, begitu juga golongan intelek dan aktivis. Inilah relasi seimbang yang saya maksudkan dalam artikel saya itu. Dari masa Ustaz Yusof Rawa lagi kepimpinan PAS telah cuba mendirikan suatu sistem pentadbiran dalam PAS dimana kedua-dua golongan ini saling membantu dan menegur satu sama lain. Tetapi dewasa ini kita lihat bahawa keadaaan tidak seimbang telah wujud, dan golongan intelek-aktivis ini ditenggelamkan langsung oleh kerana dominasi kuasa dan hegemoni pihak ulama, seakan mereka ini (aktivis-cendiakiawan) hanya berperanan untuk melaksanakan apa saja yang dituntut dan diperintah oleh ulama. Persepsi ini amat bahaya sekali, kerana (1) ia mengukuhkan lagi pandangan stereotip bahawa PAS itu parti kolot dan ketinggalan zaman, (2) dipimpin oleh ulama yang jauh dari hakikat realiti harian, (3) hanya menumpu perhatiannya kepada isu-isu berkaitan dengan agama dan ritual normatif Islam sahaja. Ini merbahaya untuk PAS kerana persepsi negatif ini diperalatkan oleh musuh dan tentangan mereka.

Saudara di lihat begitu memuji pemikiran Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Presiden PAS yang ketiga. Sekiranya saudara tidak keberatan, bolehkah saudara nyatakan apakah perbezaaan ketara antara karekter kepimpinan beliau dengan Presiden PAS sekarang?

Bagi saya Dr Burhanuddin al-Helmy itu suatu model pemimpin bukan saja bagi PAS, tetapi semua gerakan politik dan aktivis di Malaysia. Kalau saya nak senaraikan segala kelebihan dan keistimewaan beliau, tidak mungkin ada ruang yang cukup! Tetapi secara ringkas saya ingin menekankan faktor-faktor berikut:

(a.) Dr Burhanuddin, walaupun seorang yang berpendidikan agama (madrasah di Malaysia dan Sumatra) merupakan seorang yang berpendidikan moden juga (Aligarh Islamic University, India dan Islameah University India). Beliau mempunyai asas (foundation) agama yang kukuh tetapi juga fahaman isu semasa yang mendalam: Dia menjadi doktor hemeopathy Melayu yang pertama (kalau tidak salah saya) dan mengambil bahagian dalam perjuangan nasionalis di India dan juga perjuangan anti-kolonial di Palestin. Dia mempunyai sudut pandangan yang universal dan terbuka, dan dia tidak pernah menggunakan kata-kata atau ucapan yang bersifat esoterik (vokabulari yang tidak difahami masyarakat biasa) untuk mengkagumi pengikutnya. Aspek sufi (tasawwuf) peribadi Dr Burhanuddin juga penting. Baginya Islam itu bukan hanya suatu sistem ritual normatif yang mesti ditonjolkan didepan khalayak ramai. ‘Islam’ itu bukan saja janggut dan kepiah semata-mata bagi beliau. Dia tidak menggunakan kata-kata Arab (walaupun fasih dalam bahasa itu) untuk menawan hati orang lain, dan tidak pernah menggunakan taktik takfir (menuduh muslim lain sebagai kafir atau munafik) yang dikeji dan jijik, seperti yang berlaku sekarang ini. Dari sudut pandangannya, Islam itu bukan saja holistik dan relevan untuk semua zaman dan masharakat, tetapi merupakan suatu ideologi yang dapat digunakan untuk menentang penjajah dan sistem politik neo-kolonial masa itu. Dari ini dia membentuk suatu ideologi Islamisme yang bersifat aktivis dan pragmatik.

(b.) Keduanya, Dr. Burhanuddin sangat terbuka, toleran dan pragmatik watak dan mindanya. Oleh kerana itu dia diterima oleh semua pihak, termasuk parti-parti sekular haluan kiri seperti Parti Rakyat dan Fron Sosialis pada masa itu. Dr. Burhanuddin dihormati oleh tokoh-tokoh lain seperti Ahmad Boestaman, pemimpin Parti Rakyat pada masa itu (dan bapa kepada aktivis-akademik Rustam Sani). Dibawah kepimpinannya, PAS juga membela hak asasi golongan komunis yang dianyai oleh regim British dan kerajaan Malaysia, walaupun pendiriannya sendiri sebagai seorang Islamis tidak terjejas. Beliau juga membela hak rakyat negara-negara asing, dari Afrika ke Asia; dan pada masa itu model and idola bagi PAS merupakan Soekarno di Indonesia dan Gammel Abdul Nasser di Mesir. Bandingkan watak dan karekter Dr. Burhanuddin dengan Nik Aziz, yang telah menyatakan bahawa Dr. Syed Husin Ali tidak layak bertanding di Kelantan baru-baru ini kerana beliau itu ‘berfahaman sosialis’ dan tidak bisa diterima!

(c.) Ketiga, Dr. Burhanuddinlah yang mula-mula menentang ideologi rasisme yang sekarang ini menjadi akar-umbi kepada sistem politik Malaysia dan ideologi BN. Dia menganggap semua bangsa di Malaysia itu sama, mempunyai hak yang sama dibumi ini. Bukankah ini suatu model yang patut dicontohi? Bagi Dr. Burhanuddin, konsep ‘race’ itu suatu ide kolonial yang di-impot oleh British untuk memecah-belahkan masyarakat Asia, agar lebih senang dijajah. Sebagai seorang Muslim, dia tidak terima konsep ini: Dari sudut pandangan teologis Islam, ‘race’ itu tidak relevan. Hanya ada satu ‘race’, iaitu manusia, dan kita semua insan dialam ini. Inilah kelebihan Dr. Burhanuddin, yang masih tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ahli politik di Malaysia sehingga hari ini.

Saudara turut mengutarakan persoalan globalisasi – yang merupakan satu perkara yang PAS gagal tangani dengan baik. Lebih berani lagi, saudara menyifatkan ia adalah kesilapan terbesar dalam sejarah penubuhan PAS. Boleh perjelaskan lagi pandangan saudara ini?

Gerakan Islam sedunia – bukan saja PAS di Malaysia – nampaknya tidak faham tentang mekanisme globalisasi langsung. Mereka sungguh cerewet dan marah bila adanya konsert muzik Barat, apabila adanya restoran MacDonalds, dan sebagainya. Tetapi ini semua hanya tanda-tanda proses globalisasi itu. MacDonanlds bukan menyebabkan globalisasi, ia hanya hasil proses globalisasi. Jadi MacDonalds bukan punca masalahnya.

Bagi saya ‘globalisasi’ itu merupakan suatu label bagi suatu fenomena sosial-ekonomik yang amat kompleks dan merbahaya. Jentera dibelakang proses globalisasi ini tidak lain dan tidak bukan ideologi dan praxis kapitalisme itu sendiri. Logik kapitalisme itulah yang mendorong dan memandu proses integrasi global yang kita lihat diseluruh dunia waktu ini.

Sebagai contoh: Cuba kita lihat apa yang berlaku di Iraq. Amerika telah menghantar 120,000 askar ke sana, atas alasan ‘memberentas terror’ dan memulihkan keadaan politik dan ekonomi Iraq. Tetapi siapakan yang meruntuhkan ekonomi Iraq itu? Bukankah penyekatan ekonomi yang diketatkan oleh Amerika dan negara kapitalis barat yang melumpuhkan ekonomi Iraq, sehingga segala infrastruktur negara itu lumpuh langsung, sehingga tiap-tiap 30 minit seorang kanak-kanak Iraq mati kebuluran selama 10 tahun?

Dengan kuasa ekonominya Amerika bisa menghantar 120,000 askar ke Iraq. Ini bermakna 120,000 askar itu mesti diberi makan dan minum 360,000 kali sehari! Katil dan tempat tidur, mandi, rehat mesti diberi kepada mereka semua. Tidak kira lagi kos kommunikasi, perubatan, transport, hiburan, dan lain-lain. Siapakah yang memberi semua perkhidmatan ini, dan siapakah yang diberi kontrak lumayan untuk segala khidmat ini? Jelas sekali dari zaman kolonial lagi imperialisme dan kolonialisme dikaitkan dengan kapitalisme dan militerisme. Seperti yang disebut oleh pakar sains peperangan bangsa German Karl von Clauswitz: ‘War is simply an extension of State policy’. Peperangan itu sebahagian dari praxis pentadbiran, dan segala propaganda dan alasan kosong, seperti ‘perang kontra-terror’ digunakan untuk menakutkan masyarakat dan mengkaut sokongan mereka untuk kempen militer begini.

Satu lagi faktor yang teramat penting adalah kesedaran bahawa masalah ekonomi-politik yang dihadapi negara Islam juga dihadapi oleh negara lain. Di Amerika Selatan kita lihat bagaimana ekonomi Venezuela, Brazil, Mexico telah dimusnahkan oleh kompeni Amerika dan eropah. Juga di Afrika, kompeni minyak Amerika telah dapat monopoli lebih 70% produksi minyak dan gas dari negara-negara Afrika Sahara, seperti Sierra Leone, Uganda, Tazania dan lain lagi. Ini hanya melemahkan ekonomi Afrika, manakala memperkuatkan dominasi ekonomi Barat.

Berhadapan dengan realiti yang begitu pahit, ummat Islam mesti sedar bahawa jawapan dan penyelesaian masalah ini memerlukan suatu analisis dan kritikan yang bersifat rasionalis dan sistematik. Masalah ini dapat dikaji dan dipulihkan jika kita faham dan peka kepada trends ekonomi dan politik. Ini bukan perkara ghaib atau supernatural: Bukan hantu, jin atau pelesit yang meruntuhkan ekonomi dunia ketiga! ‘Hantu-hantu’nya tidak lain dan tidak bukan kompeni gergasi Barat seperti Halliburton, UNOCAL, kompeni minyak dan gas, kompeni senjata, dll.

Oleh kerana itulah apa yang perlu pada waktu ini ialah solidaritas dan kerjasama antara semua negara membangun. Tetapi gerakan NAM sekarang ini tidak ada kuasa atau kewibawaan, dan gerakan lain seperti OIC hanya tunduk kepada logik kapitalisme yang sama! Selagi keadaan tidak berubah, bagaimanakan ummat manusia akan dapat mendirikan suatu sistem antarabangsa yang adil?

Globalisasi yang berlandaskan kapitalisme merupakan suatu gejala yang ada struktur-struktur dan proses-proses yang khusus dan dapat dikenalpasti. Jikalau kita berfikir secara mendalam dan persis, kita dapat mengenalpasti apa faktor-faktor yang dapat kita tanggani dan selesaikan. Tetapi ini hanya dapat dijalankan jika kita berfikir secara waras, logik dan rasional, dan menggunakan instrumen sains sosial seperti sains ekonomi, sosiologi dan politik. Mustahil globalisasi akan dapat ditawan dan dikalahkan dengan air jampi!! (Malah beli-jual air jampi itu juga mengikut logik kapitalisme sendiri!)

Sekiranya PAS sedia untuk berubah, apakah langkah pertama yang mesti di lakukannya?

Kembali kepada pucuk perjuangan yang asal, hidupkan kembali semangat perjuangan yang begitu hebat pada zaman Dr Burhanuddin al-Helmy, Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Omar Sayid Tjokroaminoto, Ali Shariati, Fazlur Rehman dan golongan reformis Kaum Muda tahun 1920-an!!!!

Dan jangan lupa bahawa perjuangan ummat Islam pada zaman ini adalah sebahagian dari perjuangan semua masyarakat tertindas diseluruh dunia. Lihat ke Venezuela, Mexico, Brazil, Cuba, seluruh benua Afrika, benua India dan Asia: Bukankah mereka semua menghadapi jegala dan bencana globalisasi yang sama? Mereka patut dianggap oleh para aktivis Muslim sebagai rakan perjuangan (allies) dan teman perjalanan. ‘Keadilan’ yang dicari-cari oleh ummat Islam itu adalah untuk semua insan di dunia ini. ‘Kemenangan Islam’ (victory of Islam) itu bukan semata-mata kemenangan Muslim (victory of Muslims), tetapi kemenangan untuk keadilan sejagat untuk seluruh ummat manusia dan segala insan. Islamisme patut kita fahami sebagai suatu ideologi yang menolak segala jenis sektarianisme dan politik perkauman (termasuklah kaum berlandaskan agama).

UmmahOnline agak tertarik bilamana saudara menyentuh mengenai perbezaan pendirian antara Hezbollah dan PAS dalam isu Osama ben Laden, Al-Qaeda dan Taleban. Pada hemat saudara, apakah faktor-faktor yang mendorong wujudnya perbezaan ini? Dan, mengapakah pula pendirian Hezbollah ini juga di lihat terpisah dengan kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia?

Hezbollah adalah suatu gerakan anti-imperialis berhaluan Islamis. Jadi oleh kerana itu objektif dan matlamat mereka adalah kemerdekaan yang tulen, bebas dari genggaman imperialisme dan kapitalisme barat. Dari segi ini mereka lebih konsisten dan ideologi mereka lebih tulen. Mereka tidak ‘bermain politik’ dengan musuh mereka.

Parti Islamis seperti PAS di Malaysia dan Jamaat-e Islami dan Jamiat’ul Ulema-e Islam di Pakistan yang menyokong Taleban itu seakan-akan tidak sedar bahawa Taleban itu hanya boneka bagi Amerika dan Israel.

Pemimpin Taleban sendiri datang dari kelas bahawan, manusia yang jahil dan kasar wataknya, dan oleh kerana itu senang diperalatkan dan diekploitasi oleh kuasa-besar Barat. Kebanyakkan pengikut mereka budak-budak belaka, yang buta huruf, jahil tentang isu politik semasa dan tidak langsung digalakkan menggunakan intelek mereka. Budaya taklid buta inilah yang melahirkan suatu gerakan fanatik yang begitu senang digunakan, dan setelah diperah dan diperalatkan habis-habisan oleh Amerika, dicampak saja ke dalam tong sampah. Taleban itu boneka, tetapi dalangnya Amerika dan pihak Zionis. Walaupun saya marah dengan Taleban (kerana memburukkan imej Islam), saya lebih marah dengan gangster-gangster di kalangan elit politik dan militer Amerika.

Saya masih teringat apabila Taleban menawan kota Kabul pada tahun 1996. Saya di Eropah pada masa itu dan saya membaca suratkhabar Financial Times. Dalam editorial Financial Times, penggarangnya menulis: “The victory of the Taliban is the best news we have heard in years.” Bukankah ini menunjukkan bahawa Taleban disokong oleh kumpulan kapitalis barat? Mereka menggunakan Taleban untuk menawan Afghanistan, agar paip minyak dan gas dapat dibina oleh kompeni minyak Amerika UNOCAL, supaya minyak dari Tajikistan, Uzbekistan, Khazakstan dan Kyrzygstan dapat dibawa ke lautan India melalui Afghanistan dan Pakistan. Jelas sekali bahawa Taleban itu hanya kroni dan budak-suruhan kompeni Amerika!

Kalau di Pulau Pinang dan Kedah bahlol-bahlol begini diberi gelaran ‘barua’. Bagi saya, Taleban itu hanya barua-barua Amerika, Israel dan kompeni minyak Barat. Adakah barua-barua begini yang PAS anggap ‘hero’ Islam?

Terakhir, mungkin saudara ingin meninggalkan sedikit pesanan buat umat Islam di Malaysia?

Oleh kerana pendirian saya adalah pendirian seorang anti-sekterianisme dan anti-perkauman, pesanan saya adalah untuk rakyat Malaysia umumnya. Di Malaysia ini kita diberi peluang untuk mendirikan suatu masyarakat majmuk yang demokratik, plural dan toleran. Saya harap suatu hari nanti hasrat ini akan tercapai, walaupun saya mungkin tidak dapat melihat hasilnya sendiri. Tetapi perjuangan kita – rakyat Malaysia bersama – masih wajib dijalankan. Untuk berjaya dalam hal ini, rasa syak wasangka, rasisme, prejudis, diskriminasi, rasa saling membenci antara kaum, race dan kelas itu mesti dihapuskan.

Saya menganggap diri saya seorang Muslim progresif – tetapi bukan ‘progresif’ mengikut tafsiran Washington atau agensi barat! ‘Islam progresif’ itu adalah suatu ideologi yang berdepan dengan realiti harian yang mesti ditangani. Muslim progressif telah ada dari awal lagi, termasuk Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Burhanuddin al-Helmy, HOS Tjokroaminoto, Ali Shariati, Fazlur Rehman dan segala aktivis anti-kolonial, anti-imperialis dan anti-kapitalis dari abad ke-19. Mereka bersifat rasionalis, menggunakan intelek mereka untuk menyelesaikan masalah praktikal, dan tidak berpegang kepada doa dan air jampi sahaja! Mereka semua berjuang untuk menegakkan keadilan sejagat bagi semua manusia. Sekarang ini kita tidak boleh lari dari undang-undang represif dan zalim seperti ISA dan kezaliman yang dijalankan atas nama ‘perang anti-terror’ yang berlaku di rantau ASEAN waktu ini. Marilah kita berjuang bersama untuk menegakkan keadilan yang tulen dan sempurna, iaitu keadilan yang tidak membelah bagi, keadilan yang adil saksama untuk semua insan didunia ini. Berjaya atau tidak bukan soalnya, – perjuangan untuk keadilan itu merupakan kewajipan semua insan.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: