jump to navigation

Realiti kebangkitan Islam Pattani Mei 12, 2004

Posted by ummahonline in Editorial, Kolum.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Meninjau secara dekat pergolakan Masjid Kerisik, Pattani yang tercetus pada 28 April 2004 telah memahamkan kita bahawa cita-cita perjuangan rakyat Pattani masih lagi jauh untuk digapai. Selama hampir seminggu, penulis berpeluang bersua dengan pelbagai tokoh masyarakat dan aktivis pergerakan Islam di sana dalam kerangka untuk mendapat rumusan terbaik di sebalik peristiwa ‘menyedihkan dan mengecewakan’ tersebut.

Sebenarnya, senario di Pattani hari ini adalah bertitik tolak dari satu rangkaian sejarah yang panjang. Bermula dari pemerintahan Sultan Ahmad Shah hinggalah kepada Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, Pattani tidak pernah sunyi dari kisah perjuangan mempertahan dan menuntut kemerdekaan dari musuh tradisinya, Siam-Thai. Pattani, dari identiti pusat perkembangan Islam yang tertua di Asia Tenggara kini menjadi negeri Melayu yang paling malang – di jajah dan dihina di negeri sendiri!

Rentetan dari deretan pelbagai siri kezaliman Siam-Thai, maka dari bumi Pattani, lahirlah tokoh-tokoh agung dalam diari perjuangan Islam di bumi Melayu. Syeikh Daud Al-Fathani adalah contoh yang sering diungkapkan bilamana kita membicarakan topik ini. Beliau yang di lahirkan di Kampung Gerisik, Pattani merupakan simbol keunggulan Islam di Pattani Darussalam. Selain menjadi tokoh agama di Pattani beliau turut menyebarkan pendirian pembebasan Pattani. Ketegasan, keberanian dan istiqomah beliau dalam usaha membebaskan negeri Pattani mendapat dukungan penuh dari masyarakat Pattani yang begitu merindui kemerdekaan sejati.

Di samping itu, keberanian Tuan Guru Haji Sulung juga turut membawa satu dimensi baru dalam pergerakan pembebasan. Bentuk kesyahidannya; mayatnya yang telah di cincang di humbankan ke laut Senggora, menjadi jawapan dan bukti di atas keluhuran perjuangannya. Tokoh-tokoh yang muncul secara berderetan ini, tidak lain adalah untuk membawa misi yang sama; iaitu ingin membebaskan bumi Pattani dari penjajahan Siam-Thai. Meraka merupakan ulama sekaligus pemimpin perjuangan pembebasan Pattani dari penjajahan Siam-Thai.

Dasar diskriminasi Siam-Thai terhadap Melayu Pattani – negeri yang kaya dengan khazanah hasil buminya yang asli – sebenarnya telah lama bermula. Jika dahulu mereka mengenakan cukai hasil mahsul yang tinggi, kini tekanan ke atas Melayu Pattani lebih meluas dan dashyat lagi. Agenda asimilasi yang mereka laksanakan adalah semata-mata bertujuan untuk membersihkan etnik Melayu Pattani dari buminya sendiri. Demikian juga, dasar pembangunan yang tidak seimbang antara Bangkok dengan selatan Thai yang lantas mencerminkan sikap prejudis dan kekejaman pemerintah Siam-Thai.

Polisi demokrasi Siam yang melaungkan persamaan hak kebebasan, infrastruktur pendidikan dan kemudahan kesihatan nyata sekali tidak sejajar dengan pelaksanaannya. Mungkin demokrasi itu dibangunkan di Bangkok, tetapi tidak di Pattani! Sebaliknya, jika ada perbangunan yang dibangunkan di Pattani adalah mempunyai agenda yang tersembunyi. Sebagai contoh kemudahan Lebuhraya di Pattani, Yala dan Narathiwat adalah kemudahan yang bertaraf dunia – jelas memaparkan dwifungsinya; Lebuhraya atau landasan Kapalterbang (persediaan ke arah perperangan di Pattani). Tegasnya, demokrasi Siam-Thai hanyalah untuk, orang Siam-Thai, untuk penganut Buddha dan untuk menindas masyarakat Melayu Islam di Selatan Thai sahaja, tidak lebih dari itu!

Muktakhir ini, siri kezaliman pemerintah Siam-Thai lebih memuncak. Dalam pertemuan kami dengan para aktivis Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Pattani – sebuah pergerakan yang di asaskan oleh Ustaz Abdul Karim Hassan – beliau mendakwa penentangan masyarakat Melayu Pattani terhadap penjajah Thai bukan sahaja bermuara dari iltizam perjuangan menuntut kemerdekaan, malahan turut berpunca dari kezaliman yang melampau oleh pemerintah Thai. Ini termasuklah penuntupan madrasah-madrasah pengajian agama, penangkapan & pembunuhan ulama-ulama serta pimpinan masyarakat tempatan dan pengamalan paksa budaya & ajaran Buddha di kalangan masyarakat Melayu Pattani. Menurut aktivis itu lagi, kombinasi dari dua elemen inilah yang mendorong kepada kebangkitan perjuangan rakyat Pattani.

Justeru itu, pertempuran antara sebilangan rakyat Pattani dengan tentera Thai di Masjid Kerisik baru-baru ini merupakan natijah dari rasa tidak puas hati masyarakat Melayu Pattani terhadap pemerintah Thai. Dan, lokaliti petempuran mengesahkan bahawa misi perjuangan kelompok ini; pembebasan bumi Pattani Darussalam. Masjid Kerisik yang juga di kenali sebagai Masjid Hang Tuah adalah lambang keagungan Islam di Pattani dan pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Melayu Pattani ketika zaman Sultan Muzaafar Shah dari kesultanan Melayu Melaka. Sejarah dan nostalgia Masjid Kerisik yang panjang ini cukup mengerunkan pemerintah Siam-Thai hinggalah mereka bertindak mendirikan Kuil Buddha bersebelahan dengan Masjid Kerisik bagi mengurangkan pengaruh Masjid Kerisik tersebut. Sekiranya kita himbau ledakan Kerisik pertama pada tahun1988 yang ketika itu dipelopori oleh Sarayot, pemimpin BRN – ia jelas sekali mengambarkan keazaman tinggi masyarakat Melayu Pattani untuk bebas dari cengkaman penjajahan Siam-Thai. Walaupun penentangan ini berjaya di patahkan oleh pemerintah Siam-Thai, di mana Sarayot dijatuhkan hukuman 19 tahun penjara manakala sebahagian pengikutnya bertempirian lari, namun ia adalah hasil perjuangan yang berskima yang berjaya menghasilkan nahdah (kebangkitan)!

Sebaliknya, peristiwa di Masjid Kerisik baru-baru ini adalah adalah potret kenaifan manhaj perjuangan masyarakat Melayu Pattani. Aliran songsang dalam kefahaman Islam mula menyerap dalam keaslian perjuangan pembebasan yang kudus. Kelompok kumpulan Thariqah yang diketuai Ustaz Ya ini lebih mempercayai kekebalan diri dengan berbekalkan kalimat ‘Jihad Fathoni’ semata-mata. Mereka melupakan skima perjuangan yang menuntut persediaan yang lengkap dari pelbagai aspek. Apatah lagi, tindakan melulu kelompok ini dengan memulakan serangan terhadap pos-pos kawalan tentera dan balai polis tanpa memikirkan strategi dan persiapan yang sempurna akhirnya mendedahkan lagi kenaifan pemikiran dan tindakan kelompok ini. Maka sudah tentu – dengan kaedah sebegini – kegagalan adalah jawapannya! Benarlah apa yang dipertuturkan oleh Amirul Mukminin Ali, “kebenaran yang tidak tersusun akan di kalahkan oleh kezaliman yang tersusun”. Memang, kita mengutuk kezaliman dan pembunuhan oleh tentera Thai terhadap anak-anak muda yang berani tersebut, namun kita juga turut mengutuk pelanggaran terhadap skima perjuangan yang di cemari oleh kelompok Thariqah ini. Ia secara tidak langsung memalukan misi mulia pembebasan Pattani.

Perlu di sedari bahawa strategi adalah antara unsur utama dalam sesuatu perjuangan. Namun perjuangan rakyat Pattani dari pelbagai pergerakan mukhtakir ini jarang memerhatikan perkara penting ini. Sumber tenaga muda yang terkorban baru-baru ini seharusnya di gerakkan dalam satu kaedah yang tersusun bagi mengelakkan pergerakan pembebasan Pattani terjerat dalam plot Amerika-Thailand. Angkara kelemahan kita ini, Thaksin telah mengeksploitasinya. Dakwaan pergerakan pembebasan Pattani bertalian dengan Mafia dadah Thailand ada kebenarannya sekalipun ia di luar kawalan kepimpinan pergerakan. Apa yang berlaku di Masjid Kerisik adalah konspirasi peringkat tertinggi yang sangat kompleks untuk huraikan. Dan, tempias konspirasi ini bukan sahaja terkena masyarakat Pattani malahan menjangkau negara kita, Malaysia! Amerika mencatur peristiwa ini untuk meraihkan kepentingan politik; penempatan tenteranya di Selatan Thai manakala Thaksin pula berseteru dengan kumpulan Mafia dadah yang kini di bawah pengaruh Permasuri Sirikit serta putera Mahkotanya. Di samping itu, cubaan pembunuhan ke atas puteri Raja Bhumibol Adulyadej oleh putera Mahkota juga terkait dengan secara tidak langsung dengan peristiwa Masjid Kerisik.

Lantaran ketiadaan tertib perjuangan, kumpulan thariqah ini diperdaya dengan mudah. Perjuangan suci telah bercampaur baur dengan permainanan politik kuasa besar dunia. Ironinya, pergerakan pembebasan Pattani masih gagal menelusuri situasi ini dengan sebaik-baiknya. Dan, melihat kepada fenomena ini, timbul persoalan, apakah natijah perjuangan Melayu Pattani? Adakah mereka selama-lamanya dijajah oleh pemerintah Siam-Thai yang zalim walhal dunia sekarang bergerak kearah membina fahaman demokrasi yang tulen hasil rumusan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) di Lake Success, New York; membebaskan bangsa-bangsa yang terjajah manakala Pattani adalah salah satu negara yang terjajah di dunia. Bangsa Melayu Pattani adalah serangkaian entiti Melayu di dunia. Keprihatinan kita terhadap penderitaan Melayu Pattani adalah terbit dari rasa solidariti Islamis dan Nasionalis kami. Sumbangan kerajaan Melayu Pattani terhadap penyebaran Islam di alam nusantara tidak akan kami lupai. Namun sebelum itu, satu ikhtiar yang tersusun rapi harus di atur semula dari sekarang agar nasib umat Melayu Pattani kembali di tangan mereka sendiri bukannya di bawah telunjuk Siam-Thai.

Kita mungkin boleh menyimpulkan bahawa tiada jalan keluar buat perjuangan pembebasan Pattani melainkan kita kembali kepada satu perjuangan yang berskima di dalam naungan kepimpinan Islamis – Nasionalis yang mantap. Jika Syeikh Daud Fatani, Tuan Guru Haji Sulung, Ustaz Abdul Karim Hassan serta Sarayot telah menunjukkan jalan-jalan perjuangan itu, maka seharusnya menjadi tanggungjawab kita ialah meneruskan jalan-jalan yang telah mereka rintis. Inilah realiti terhadap tuntutan perjuangan Melayu Pattani. Mudah-mudahan era kegemilangan kerajaan Islam Pattani kembali tercatat dalam peta dunia seterusnya menamatkan penderitaan panjang perjuangan Melayu Pattani.

Advertisements

Komen-komen»

1. Wan Ishak - Mei 8, 2008

Article ini sungguh menarik. Saya berharap sangat jika ada sesiapa yang lain yang dapat memberi maklumat mengenai sejarah tokoh tokoh atau penghijrahan penduduk Gerisik ke Malaysia di sebabkan oleh kekejaman Raja Siam dulu.

2. Ibn Ali - September 22, 2008

Ah, saya setuju. Namun maseh lagi menanti dan berfikir bagaimana cara-cara kita mendapatkan kembali tanah yang dirampas (Baca: Bukan Patani Sahaja.)

3. nurul - Mei 31, 2010

salam…nk tny la sket ni…ad la pnh dgr sal msjd kerisik..sape ye pengasas msjd ni?


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: