jump to navigation

Ahmad Lutfi Othman: Membina Malaysia baru bukannya bebanan Anwar seorang September 15, 2004

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Ummahonline.com telah menerima jawapan temubual (melalui e-mel) daripada Ahmad Lutfi Othman pada 14 September 2004; isunya berkisar mengenai bahang pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim! Sebenarnya bukan sahaja kami, malahan ramai pihak lagi yang tidak sabar-sabar menunggu pandangan sang penulis dan aktivis media yang sering bikin kontroversi ini, apatah lagi, ‘fenomena Anwar’ merupakan isu fokusnya semenjak sekian lama.

Dengan kapasiti ini, sudah tentu beliau adalah antara mereka yang layak untuk membicarakan persoalan mengenai perjalanan politik Anwar pasca-pembebasan beliau. Justeru, bagi memenuhi harapan tinggi pelbagai pihak ini, UmmahOnline Team telahpun berpeluang untuk mendapatkan temubual bersama dengan Ahmad Lutfi meskipun dimaklumkan bahawa kesihatan beliau agak terbatas dalam tempoh tersebut. Namun, berbekalkan keazaman tinggi untuk berkongsi pandangan dengan umum, maka temubual ini dapat dilengkapkan akhirnya. Berikut adalah rangkuman temubual menarik tersebut:-

Secara jujur, adakah saudara gembira dengan pembebasan Anwar? Mengapa?

Jelas, Anwar adalah mangsa kezaliman. Beliau dipecat, diaibkan, dipukul separuh mati, dipenjarakan, dinafikan hak untuk mendapat keadilan melalui mahkamah. Pada hari pembebasannya, buat pertama kali saya dan isteri, hadir ke mahkamah. Sehari sebelum itu ketika saya berkunjung ke Hospital Kuala Lumpur, di depan bangunan yang menempatkan wadnya, sudah terasa debar bahawa Anwar akan dibebaskan esok hari.

Tiada dapat digambarkan perasaan sebenar bila mendapat tahu rayuan Anwar diterima. Segalanya berbaur, namun yang pasti, semua gembira, saling mengucapkan tahniah. Putrajaya nampak cerah biarpun suasana agak mendung. Penantian selama enam tahun termakbul. Yang penting, kezaliman ke atasnya sudah tertebus. Maruah diri dan keluarganya dipulihkan. Dan harapnya segala institusi, seperti media massa, polis, jabatan peguam negara, kehakiman, yang dicacatkan dengan teruk selama enam tahun itu dapat dipulihkan segera.

Sejauh mana saudara mengenali Anwar? Adakah saudara mempunyai kenangan peribadi dengan beliau yang boleh dikongsi?

Semasa Anwar mula menjadi Menteri Pendidikan pada awal 1986, saya merupakan Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM). Kami pernah mengatur pertemuan dengannya, dan berlaku sedikit ketegangan apabila dibangkitkan isu pengharaman purdah. Di UTM, sembilan pelajar UTM dipecat kerana menutup muka. Kami membantah keras peraturan itu.

Mewakili PMUTM, saya mengutus surat mengucapkan tahniah kepada Anwar sambil mengingatkannya bahawa pelajar-pelajar akan bangkit menentangnya jika beliau tidak melaksanakan sistem pendidikan berteraskan Islam dan membebaskan mahasiswa daripada kongkongan Akta Universiti. Mingguan Watan kemudiannya, pada 10 Jun 1986, menerbitkan warkah saya itu sepenuhnya dan ia dijadikan bahan berita muka depan, dengan tajuk �Siswa Ugut Anwar�.

Seminggu selepas itu, akhbar sama melaporkan, juga di muka depan, �UTM Pecat Pemimpin Pelajar�, dengan gambar saya tertera di sebelahnya. Ramai beranggapan saya dipecat kerana �ugutan� terhadap Anwar, sedangkan ia tiada kaitan. Sejak itu ada mengandaikan saya menjadi kritikal terhadap Anwar kerana mahu �membalas dendam�, walhal ia tidak timbul sama sekali.

Selepas meninggalkan alam kampus, saya terlibat dengan Harakah � sejak awal penerbitannya � dan juga menulis buku-buku politik. Di Harakah, saya mengendalikan ruangan kampus. Manakala Anwar seorang Menteri Pendidikan, tentulah saya dilihat meneruskan �gelanggang pertempuran� dengannya, melalui Harakah. Dalam pertemuan tertutup dengan pimpinan mahasiswa, Anwar sering menyindir beberapa pemimpin gerakan pelajar yang dianggap pro-pembangkang kerana sering membocorkan isi perbincangan itu kepada Harakah.

Anwar dikritik keras, malah dilabelkan �penipu� oleh Harakah apabila beliau berdolak-dalik ketika ditanya mengenai penahanan dua pemimpin pelajar Universiti Malaya, di bawah ISA, selepas mengetuai demonstrasi membantah konsert. Tidak lama kemudian, saya juga dikurung tanpa bicara ekoran insiden sama.

Setahun sebelum pemilihan kepimpinan Umno 1993, saya mula menulis buku bertajuk �Anwar Lawan Ghafar?� Saya menyerahkan sendiri naskhah awal kepada setiausaha akhbar Anwar semasa saya hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Anwar di Bukit Damansara. Bagi penyokong Anwar, buku itu dilihat lebih menyebelahi Ghafar. Saya diberi pelbagai gelaran buruk, oleh Anwar dan Mahathir, kerana menulis buku itu.

Apa pun, tanggapan saya itu, yang pada awalnya dilihat fitnah dan berusaha untuk adu-domba pemimpin atasan Umno, menjadi kenyataan. Ghafar merajuk keluar negara dengan membimbit beg plastik selepas hanya mendapat 7 pencalonan untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Umno, sedangkan semua bahagian Umno yang lain mencalonkan Anwar.

Sebenarnya menjelang pemilihan Umno, Oktober 1993, saya menyiapkan tiga buku lain, dua darinya khusus tentang Anwar, �Memo Buat Bakal PM� dan �Anwar Salah Pilih�. Buku kedua mengkritik keras Anwar kerana memilih tokoh seperti Abd Rahim Tamby Chik sebagai regunya dalam �Team Wawasan� untuk jawatan Ketua Pemuda Umno. Rahim terkenal kerana isu moral dan rasuah.

Tidak sampai dua tahun selepas itu, saya menulis dua buku, �Krisis Anwar-Mahathir� dan �Mengapa Anwar Perlu Lawan Mahathir�. Sekali lagi penyokong Anwar termasuk ketua pengarang akhbar harian terkemuka menyanggah tanggapan saya itu. Rasanya, dari buku-buku itu, mungkin saya dikira penentang, atau sekurang-kurangnya, pengacau Anwar.

Bagaimanapun, selepas keluar UTM, saya tidak pernah bersemuka dengan Anwar, kata orang, kami �bergaduh� dari jauh saja. Semasa hampir semua penulis politik memujanya, saya lebih selesa untuk memberi teguran kepadanya. Bagi saya, pemimpin biar bagaimana hebat sekalipun, mesti ditegur, dikritik, hatta dikecam bila melakukan kesalahan.

Malah ketika Anwar dipecat enam tahun lalu, sebelum ditahan pada 20 September, saya tidak sempat berjumpa dengannya. Dari penjara, Anwar ada mengirim surat ketika saya terlantar uzur di kampung. Ketika saya menerbitkan majalah Detik dan akhbar-akhbar tidak berkala, Anwar tidak pernah menghampakan harapan saya terutama melalui interviu bertulis dan rencana lainnya, yang kerap menggunakan nama pena.

Menjelang pemecatannya, saya menulis buku �Layakkah Anwar Ketuai Reformasi?� Selepas ditendang keluar Umno dan kerajaan, saya menulis �Skandal Seks atau Konspirasi Politik?� dan �Malaysia Tanpa Anwar�, di samping pelbagai makalah lain.

Sekiranya saudara berpeluang untuk menemubualnya, apakah satu soalan penting yang hendak saudara tanyakan kepadanya?

Saya cuma mahu melafazkan ucapan tahniah di atas ketabahannya yang cukup luar biasa menanggung segala keperitan yang dilaluinya. Tiada soalan eksklusif. Kalau ada pun, apa rahsia beliau menghadapi semua itu? Anwar perlu dibiarkan menikmati kebebasan yang selama ini dinafikan kepadanya. Beliau tentu banyak berfikir dan merancang, selama beliau ditahan, kita hanya perlu bersabar menunggu untuk melihat apa aksi politiknya selepas ini.

Baiklah, apakah saudara telah menduga bahawa Anwar akan dibebaskan dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan baru-baru ini?

Walaupun khabar tentang pembebasannya sudah disebarkan dua minggu sebelum 2 September, namun, saya seperti orang lain juga, tidak mahu dikecewakan lagi. Sudah acap kali kita diberikan harapan setiap kali penghakiman penting Anwar, tapi akhirnya hampa. Kehakiman kita cukup kuat diikat kemahuan pihak eksekutif, khususnya Perdana Menteri. Hanya selepas elit politik melihat tiada problem besar kalau Anwar dibebaskan, maka barulah impian kita untuk melihat �cahaya di hujung terowong� berhasil.

Ramai yang berpendapat bahawa pembebasan Anwar ini telah mencerminkan integriti badan kehakiman negara yang sebelum ini dilihat amat bobrok sekali. Malah, para pemimpin politik pembangkang mengalu-alukan peristiwa ini dengan menyifatkan sebagai proses yang mengukuhkan lagi demokrasi negara. Justeru, bagaimana saudara melihat perkara ini?

Yang sedihnya, Anwar ditangkap, dibicara dan dipenjarakan kerana kehendak penguasa, waktu itu Dr Mahathir Mohamad, bukan berdasarkan fakta keterangan dan undang-undang. Dan sekiranya beliau dibebaskan juga kerana kemahuan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, dan bukan semata-mata fakta kes, maka saya turut bersedih. Maknanya, hakim-hakim masih tidak bebas menentukan penghakiman, mereka perlu melihat isyarat dari pihak eksekutif.

Apa pun, menyedari Pak Lah tidak campur tangan dalam kes ini – walaupun difahamkan pihak lain, termasuk Dr Mahathir, telah berusaha keras menekan hakim-hakim sehingga pagi pada 2 September itu � sudah sepatutnya kita mengharapkan ia sebagai permulaan kepada era baru sistem kehakiman negara yang bebas. Saya lebih suka melihat aspek positif biarpun jelaga hitam masih membungkus sistem kehakiman kita. Ada unsur keterbukaan dalam diri Pak Lah yang harus dimanfaatkan.

Lumpur yang dipalitkan Dr Mahathir ke atas badan kehakiman sudah dimulakan lama sebelum Anwar dianiayai, terutama ketika beliau berdepan dengan hakim-hakim berwibawa, dalam kes yang membabitkan hidup-mati kerjaya politiknya. Kita belum lupa bagaimana Ketua Hakim Negara dan dua hakim Mahkamah Agung dipecat, ekoran rayuan Umno 11 berhubung pengharaman Umno, pada 1988.

Pembebasan Anwar hanya isyarat awal kepada satu proses panjang bagi memulihkan wibawa badan kehakiman kita. Pak Lah harus menunjukkan komitmennya bahawa beliau bersedia menerima apa saja penghakiman, tanpa mempengaruhinya, biarpun nanti ia tidak memihak kepadanya.

Apakah impak terbesar di sebalik pembebasan Anwar terhadap lanskap politik Malaysia selepas ini?

Anwar adalah insan luar biasa yang tidak boleh direndahkan kemampuannya untuk mendefinisikan semula percaturan politik negara. Ringkasnya, gelanggang politik yang kini dilihat tidak bermaya selepas kemenangan besar BN, Mac lalu, akan menjadi lebih bergelora, lebih menarik.

Biarpun suasana sekarang jauh berbeza daripada senario 1998, namun ramai beranggapan ada arus deras di bawah permukaan yang nampak tenang. Ia hanya memerlukan �seorang Anwar� untuk menjadikannya kembali meriah dan bergelombang. Rasanya, kita tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikannya.

Cakap-cakap umum mula kedengaran bahawa Anwar berkemungkinan akan kembali menyertai UMNO. Justeru, bagaimana saudara melihat masadepan politik Anwar samada terus kekal dalam wadah pembangkang atau kembali ke pangkuan UMNO? Begitu juga, bagaimana pula dengan nasib Parti Keadilan?

Saya tertanya-tanya, mengapa pemimpin atasan Umno, termasuk timbalan presidennya, Najib Razak, perlu gusar dan nampak gabra dengan pembebasan Anwar. Bekas TPM itu belum pun melakarkan dengan jelas kerjaya politiknya, selain menegaskan dia akan bersama teman-teman dalam pembangkang dan NGO.

Dari kenyataan-kenyataannya selepas dibebaskan, Anwar nampak cukup berhati-hati apabila bercakap mengenai rencana politiknya. Beliau seperti terbuka kepada semua kemungkinan. Enam tahun beliau keseorangan, saya kira ia cukup lama untuknya melihat apa yang terbaik buat dirinya, keluarga, bangsa Melayu, umat, tanahair dan juga dunia keseluruhannya. Anwar di lihat aset yang tidak wajar diketepikan bukan oleh negara ini tetapi juga di peringkat lebih tinggi.

Di samping peranan penasihat setianya, juga teman-teman pemimpin pembangkang, selain pengaruh reformis yang banyak berkorban, bagi saya, rakyat seluruhnya mampu menentukan rentak politik Anwar. Beliau pasti mengambil kira semua sektor itu. Anwar pada 2004 sudah tentu jauh berbeza dengan Anwar 1982. Saya doakan beliau istiqamah atas jalan yang benar. Pengalaman berkaca 16 tahun bersama Umno mungkin banyak mendewasakannya, siapa kawan, siapa lawan dan siapa teman ketika susah.

Anwar adalah pelopor kepada gerakan reformasi di negara pada tahun 1998. Dan, tidak dapat dinafikan bahawa gerakan reformasi banyak memainkan peranan penting dalam usaha untuk membebaskan Anwar. Jadi, dengan pembebasan Anwar ini, aktivis-aktivis reformasi mungkin kehilangan idea atau tonik untuk meneruskan perjuangan. Bahkan, ada yang menjangkakan gerakan reformasi ini akan berkubur. Benarkah begitu?

Biarpun gerakan reformasi memperjuangkan bukan setakat pembebasan Anwar, namun itulah inti kepadanya. Dan saya kira tidak banyak yang dibincangkan bagi memberi makna menyeluruh kepada tuntutan perubahan itu. Tiada seminar dan diskusi serius tentangnya; ia lebih banyak ditandai oleh aksi-aksi protes di jalanan. Perisytiharan Permatang Pauh yang digariskan Anwar enam tahun dulu pun tidak dihiraukan.

Saya percaya Anwar boleh menyegarkannya kembali, mungkin kepada satu tahap yang tidak difikirkan oleh kita. Namun Anwar tidak boleh merubah segalanya. Semua peringkat rakyat, termasuk dalam Umno, harus berani melakukan anjakan paradigma. Anwar sendiri mengatakan, dalam meneruskan agenda reformasi, beliau bersedia berkerjasama dengan Perdana Menteri Abdullah, biarpun dalam banyak hal lain mereka berbeza pandangan.

Anwar dilihat oleh ramai pihak adalah tokoh yang bersih, berkarismatik dan menjadi harapan rakyat (atau pembangkang) untuk memimpin negara ke arah sebuah negara yang adil dan demokratik. Adakah saudara percaya bahawa Anwar adalah pemimpin terbaik untuk menerajui negara ketika ini?

Dalam dunia tanpa sempadan, cabaran dan asakan semakin sengit. Pemimpin negara kita harus berkemampuan merempuh dugaan itu. Secara peribadi, saya tidak meletakkan kriteria yang terlalu tinggi kepada sesiapa yang mahu menerajui negara. Kadang-kadang pemimpin yang terlalu karismatik pun boleh menjahanamkan dirinya sendiri, juga membawa negara ke jurang kehancuran.

Saya kira, biarpun Pak Lah dilihat baik, mesra rakyat, mahu menghapuskan rasuah, tidak mementingkan golongan taukeh, namun seperti ada sesuatu yang kurang dalam susuk tubuhnya. Pemimpin kanan Umno sendiri mengakui kekurangan Pak Lah ini. Melihatnya melalui kaca TV pun sudah dapat mengesan kelemahan semulajadi Pak Lah. Ada kawan saya memberitahu, itulah kelemahan orang yang jujur, tapi saya tidak setuju seratus peratus dengannya.

Dalam kekurangan Pak Lah itu – tanpa mengetepikan kekuatannya – tampil susuk tubuh Anwar Ibrahim, yang sarat dengan �PM material�. Sekurang-kurangnya itu persepsi majoriti rakyat, juga ahli-ahli Umno, dan dalam politik persepsi merupakan antara unsur terpenting.

Soalan terakhir, harapan saudara secara peribadi terhadap Anwar dalam pentas politik tanahair?

Banyak yang perlu dilakukan untuk membuat perubahan dalam negara ini. Dan banyak pula sektor penting dalam sistem bernegara yang dirosakkan sejak dua dekad lalu. Kita perlu masa bertenang bagi melihat secara keseluruhan apa yang telah berlaku selama ini. Kita tidak perlu terlalu agresif menyusun tindakan sebelum memahami realiti.

Ramai menyedari hakikat ini, sama ada dari dalam parti pembangkang mahupun parti pemerintah. Namun, tidak ramai mampu memecah kebuntuan ini; kita seperti kehilangan punca, tidak tahu dari mana harus memulakan, atau bertindak seperti tikus membaiki labu. Kebendaan cukup menghimpit dan mengasak dari segenap sudut. Agama dipinggirkan. Saya kira Anwar boleh membantu mencerahkan kegelapan itu, namun tidak semua harus digalaskan ke bahunya. Semua pihak harus pro-aktif membina kembali Malaysia baru.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: