jump to navigation

Anwar Ibrahim: Amerika Bermain Dengan Api September 26, 2004

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Farish A. Noor

Anwar Ibrahim merupakan ikon kepada gerakan reformasi di Malaysia. Satu nama yang disegani dan digeruni oleh kawan dan lawan, sekurang-kurangnya dalam konteks politik Malaysia. Umum sedia maklum, selepas dibebaskan pada 2 September 2004, beliau telah bergegas (dan masih) mendapatkan rawatan di Munich, Germany bagi merawati derita tulang belakang yang sekian lama dialaminya.

Lantaran itu, sebagai personaliti yang sarat dengan pelbagai pengalaman – dalam pergerakan Islam (lokal dan global), kepimpinan parti politik dan kerajaan serta mendekam di penjara selama enam tahun – maka sudah tentunya kini beliau ada menyimpan khazanah pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama kita.

Bertitik tolak dari hasrat ini, maka baru-baru ini, Farish A Noor telahpun berjaya mendapatkan temubual (via telefon) dengan Anwar Ibrahim di Munich khususnya untuk menyoroti beberapa keaslian pandangan beliau terhadap isu-isu yang sememangnya begitu akrab dengan reputasi Islam dan Ummah secara global.

Dalam temubual tersebut ada beberapa intipati yang menarik. Ini termasuklah seruannya kepada seluruh dunia Islam dan Barat agar tampil menyemarakkan kembali dialog antara-agama dan dialog antara-peradaban – yang kini seolah-olah telah dilupakan. Begitu juga dengan kesan negatif daripada arus globalisasi yang turut sama dihimbaunya, di samping melontarkan rumusan terkini mengenai dilemma yang dihadapi oleh sistem ekonomi Islam dan mengutarakan teguran terhadap sikap agresif Amerika Syarikat terhadap Iraq dan Afghanistan.

Selain daripada itu, Anwar turut menyampaikan mesej khas kepada para pelaku di sebalik tindakan keganasan yang berterusan di Indonesia – yang disifatkannya sebagai tindakan yang langsung tidak mempunyai tempat dalam Islam. Dalam temubual ini juga, Anwar turut mengambil peluang untuk mengkritik pendirian dan tindakan negara-negara ASEAN yang dilihat oleh beliau sebagai telah cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan akta draconian (tahanan tanpa bicara) di negara masing-masing sambil berdalilkan bahawa ia tindakan yang selari dengan agenda ‘Perang Menentang Keganasan’ sepertimana ditaja oleh Amerika Syarikat.

Namun begitu, apa yang paling mengugah hati nurani kita sepanjang temubual ini dijalankan ialah, bilamana beliau berkongsi pengalaman dan rintihan peribadi yang perit dilaluinya selama enam tahun. Di sana beliau keseorangan dan kesepian, tidak seperti lazimnya. Namun sepertimana yang diungkapkan oleh Ahmad Lutfi Othman ketika temubual Ummahonline.com dengannya sebelum ini, Anwar berjaya meredah segala ujian yang maha hebat tersebut. Cuma, mungkin kita tertanya-tanya, apakah rahsia kekuatan beliau tersebut?

Jadi, sementelah menikmati kebebasan yang terbentang luas ini, apakah pula perasaan dan penghayatan beliau terhadap nilai kebebasan yang diragut daripadanya selama ini? Ke mana pula halatuju karier politik beliau? Untuk butiran yang terperinci mengenai temubual eksklusif ini, silalah ikuti rakaman dibawah:-

Selepas pembebasan anda, beberapa kali anda melahirkan minat untuk memainkan peranan di dalam dialog antara-agama dan antara-peradaban. Kuasa-kuasa Barat juga dilihat sedang cuba untuk membina jambatan budaya dengan negara-negara lain ekoran bencana yang melibatkan Afghanistan dan Iraq. Tetapi sekiranya dialog ini mahu mempunyai kesan yang lama dan utuh, maka ia seharusnya berdepan dengan realiti politik, struktur dan ekonomi yang setakat ini belum pernah ada seorang pun pemimpin Islam yang berjaya mengutarakan persoalan tentang perbezaan kuasa dan ketidakadilan ekonomi di antara negara maju dengan negara membangun. Sejauh manakah harapan anda untuk membawa perubahan ini?

Dialog tidaklah boleh dimulakan dengan membincangkan perkara yang tidak relevan. Adalah naif sekali jika kita beranggapan bahawa dengan berdialog, maka ia akan membenarkan kita memisahkan diri dari realiti terutamanya dari aspek institusi dan struktur. Dialog tidak sepatutnya mempunyai maksud untuk memisahkan diri dari persoalan yang mendesak ini, tetapi sebaliknya ia merupakan suatu cara untuk merapatkan diri dengan mereka secara yang lebih realistik dan bernuansa.

Namun begitu, adalah salah bagi kita untuk menganggap bahawa negara-negara yang sedang membangun sepatutnya menjadikan diri mereka lebih baik dan lebih aman dengan sendirinya. Sehingga hari ini, masalah-masalah seperti rasuah yang berleluasa, undang-undang yang lemah dan ketiadaan demokrasi di negara-negara membangun ini telah menyumbang kepada masalah kemiskinan dan penghakisan hak asasi manusia.

Dialog merupakan satu cara untuk kita menukar persepsi kita dan mendapatkan perspektif yang lebih jelas mengenai isu-isu ini dari pelbagai sudut agar kita dapat mencapai kefahaman yang lebih baik. Berkenaan peranan dan kedudukan saya, secara peribadi, saya tidak pernah meminta hak yang istimewa dan kedudukan sebagai pemimpin. Saya juga bukanlah jurucakap kepada sesiapa. Apa yang saya percaya dan katakan sebelum ini adalah; dialog adalah sangat di perlukan di dunia muktakhir ini. Sehubungan dengan itu, adalah lebih baik bagi kita (negara-negara membangun) untuk berusaha mencapai persefahaman dengan Barat serta memahami kesilapan kedua-dua belah pihak. Saya ingin menegaskan pendirian saya di sini bahawa dialog adalah suatu cara untuk kita memartabatkan agenda mengenai hak asasi manusia, demokrasi, pembasmian kemiskinan, keadilan sosial dan masyarakat sivil diseluruh dunia. Langkah ini bukanlah bermaksud untuk membenarkan sebelah pihak sahaja yang menguasai atau mempengaruhi pihak yang lain. Sebaliknya, kita semua harus menumpukan pemikiran kepada nilai-nilai asas, manakala nilai-nilai ini juga merupakan nilai-nilai asas dalam Islam yang kita sanjungi.

Susulan daripada persoalan di atas yang telah menyentuh mengenai globalisasi dan ketidakadilan sosial, bagaimana anda menimbangkan isu ini dan mengapa pula anda membuat tanggapan bahawa negara-negara membangun setakat ini masih gagal untuk mengubah struktur global yang ada pada masa kini?

Globalisasi adalah bersifat serampang dua mata bagi sesiapa yang menguasainya. Namun begitu, harus di ingat bahawa hingga setakat ini hanya kesan negatifnya sahaja yang telah dirasai di seluruh dunia, dan sebaliknya adalah salah untuk kita mengatakan bahawa globalisasi secara keseluruhannya hanya memberi faedah kepada Barat semata-mata. Kita harus ingat bahawa globalisasi telah mencetuskan huru-hara bukan sahaja di negara-negara maju bahkan juga di negara-negara membangun. Lihat sahaja pada rakyat-rakyat di negara Eropah dan Amerika Syarikat yang miskin. Apakah faedah yang telah mereka perolehi?

Kita perlulah ingat bahawa globalisasi telah wujud dengan kita selama ini. Ia bukanlah baru dicipta semalam. Muslim hari ini sememangnya begitu khuatir akan globalisasi, dan kekhuatiran mereka adalah bersandarkan alasan yang betul. Tetapi Muslim perlu juga menghimbau kembali ketika era di mana ketamadunan Islam berada di kemuncaknya, mereka merupakan penggerak kepada proses globalisasi tersebut. Barat tidak mencipta globalisasi, sebaliknya mereka hanya memperbaharuinya sahaja.

Tetapi yang menjadi pemangkin kepada proses-proses ini adalah mereka yang mempunyai kuasa dari segi kewangan dan pelbagai agensi korporat. Fasa semasa bagi globalisasi inilah yang di lihat tidak adil secara semulajadinya kerana ia hanya mementingkan mereka yang kaya dan berkuasa sahaja. Namun, seperti yang telah saya nyatakan, mangsa kepada arus globalisasi semasa bukan sahaja terdapat di negara-negara membangun tetapi juga terdapat di Barat.

Negara-negara Islam terutamanya adalah agak obses dengan perkara-perkara seperti �ekonomi Islam�, �kewangan Islam� dan sebagainya. Tetapi seperti yang anda sedia maklum, rasuah, nepotisme dan ketidaktelusan adalah fenomena lazim di dalam ekonomi umat Islam. Adakah ungkapan tentang ekonomi Islam ini semuanya retorika semata-mata? Adakah kerajaan Islam benar-benar memahami tentang mekanik dan dinamik mengenai situasi ekonomi global ini?

Ini adalah isu yang selamanya perlu diberi perhatian. Tiada kesalahan di dalam membentuk rangka kerja bagi sistem ekonomi Islam, selagi mana ia bertujuan untuk agenda reformasi demi kepentingan keadilan sosial, ekuiti dan kebajikan � yang mana agenda ini juga merupakan matlamat Islam itu sendiri. Ini kerana, tujuan utama ekonomi Islam ialah untuk membina sistem ekonomi yang sesuai dengan permintaan moral dan spiritual Islam yang universal. Semua ini adalah bermaksud untuk membina satu sistem ekonomi Islam dimana matlamat akhirnya adalah untuk melihat umatnya sebagai penyumbang kebaikan. Sistem ekonomi Islam tidak seharusnya dilihat sebagai agenda bagi mengalih isu ketidakadilan sosial � bilamana kuasa sesuatu rejim itu berada di dalam krisis.

Justeru, di mana yang dikatakan kegagalan ekonomi Islam, dan juga di mana serta bila ia menjadi kosmetik sahaja? Ia sebenarnya berpunca daripada institusi dan struktur ekonomi itu sendiri, dan sebarang perubahan yang dilakukan adalah untuk memenuhi keperluan segelintir pihak sahaja. Maka, adalah amat mendukacitakan bagi kita kerana inilah yang menjadi punca mengapa pada dewasa ini ekonomi Islam (di dalam masyarakat Islam) hanyalah merupakan satu tarikan bagi memenuhi hasrat peribadi agar ia kelihatan lebih religius. Tetapi realitinya, kemiskinan dan ketidakadilan sosial di kalangan masyarakat Islam mereka masih berleluasa. Tiada gunanya kita mempunyai institusi Islam yang bersifat kosmetik selagi mana sistem ekonomi itu sendiri tidak mengutamakan isu sebenar seperti kemiskinan, kekurangan pendidikan, penindasan hak dan sebagainya.

Bagi saya, matlamat ekonomi Islam adalah untuk mengurangkan kemiskinan, ketelusan, keadilan sosial dan menguruskan ketidakaturan serta ketidakadilan dalam sistem ekonomi global. Apabila negara Islam gagal untuk menangani isu yang sebenar, maka mereka selalu mengambil pendekatan yang bersifat kosmetik supaya ia kelihatan lebih islamik walhal mereka adalah sebaliknya.

Kerajaan Amerika Syarikat sekarang kelihatan agak gementar dengan apa yang telah mereka cipta seperti kumpulan Taleban yang sebelum ini disokong oleh Amerika di Afghanistan, tetapi sekarang mereka sudah tidak dapat mengawalnya lagi. Apakah peranan yang dapat dimainkan oleh pemimpin Islam seperti anda bagi menangani realiti yang kompleks ini?

Bukan kerajaan Amerika Syarikat sahaja yang patut gementar. Sebaliknya, kita sebagai Muslim juga patut mengambil berat mengenai perkara ini. Kita sepatutnya bimbang tentang bagaimanakah keganasan yang tidak berakal ini boleh muncul di kalangan kita, berkembang di antara kita dan merekrut ahlinya juga dari kalangan kita juga. Kemunculan pelbagai kumpulan seperti Taleban sebenarnya telah menimbulkan banyak persoalan penting serta cabaran untuk kita di dunia Islam ini. Bagaimanakah nilai dan kepercayaan yang kita pegang teguh selama ini telah dipesongkan lalu berakar di kalangan masyarakat kita?

Terdapat desakan agar perlunya bagi kita memuhasabah diri kita dan bertanya, bagaimanakah dan mengapakah masyarakat serta sistem politik kita boleh membenarkan perkara seumpama ini terjadi? Bagi saya, ketiadaan demokrasi, ketelusan dan dialog di kalangan dunia Islam adalah salah satu faktor utama yang mendorong perkara-perkara seumpama ini. Tetapi faktor luaran turut bertanggungjawab; dan jelas sekali bahawa kerajaan Amerika telah bermain dengan api apabila tidak mengendahkan bahaya serta implikasi yang mungkin terjadi sekiranya mereka cuba untuk menguasai dan memperalatkan kumpulan-kumpulan Muslim. Tindakan ini akhirnya akan menimbulkan perperangan di antara satu sama lain.

Ini adalah sebab mengapa sangat penting buat kerajaan Amerika dan Barat untuk mengambil bahagian dalam dialog yang berkala dan terbuka kerana; manipulasi seperti ini (sokongan Amerika terhadap Taleban) boleh membawa kepada huru-hara sepertimana yang kita dapat lihat sekarang ini di Afghanistan. Saya amat risaukan masa depan Afghanistan kerana setakat ini tiada jawapan yang mudah terhadap masalah-masalah yang ada di sana yang kini menjadi kian rumit di mana setelah berdekad mereka berada di dalam konflik, helah, muslihat dan manipulasi.

Asia Tenggara sekarang telah dilabelkan sebagai medan pertempuran kedua (second front) di dalam �Peperangan Menentang Keganasan� yang di taja oleh Washington. Indonesia telah dikecam teruk akibat pengeboman Bali, Marriott, dan terbaru pengeboman di Kedutaan Australia pada baru-baru ini. Adalah amat sukar untuk mempercayai semua yang kita dengar mengenai Jamaah Islamiyah kerana kita tahu bahawa kebanyakan daripada maklumat ini datangnya daripada tentera dan polis rahsia negara-negara ASEAN. Tetapi, jika benar Jamaah Islamiyyah benar-benar bertanggungjawab terhadap serangan-serangan ini, apakah yang ingin anda sampai mereka? Apakah rayuan anda kepada mereka? Apakah mesej anda kepada kumpulan-kumpulan seumpama itu yang terdapat di ASEAN dan di seluruh dunia Islam?

Saya tidak mempunyai jawapan kepada persoalan penglibatan Jamaah Islamiyah lantaran terlalu banyak maklumat yang telah diterima yang boleh dipertikaikan dan dari sumber yang tidak telus. Tetapi, mesej saya kepada mereka ini – walau sesiapapun mereka – ialah: dengan nama Allah, apakah perjuangan yang sedang anda fikirkan dan terhadap siapakah perjuangan itu anda ditujukan? Kerana apa yang sedang anda lakukan sekarang adalah bukannya perang ataupun jihad. Sebaliknya, pembunuhan insan-insan yang tidak berdosa dan ini adalah merupakan satu tindakan yang tidak boleh diterima. Tindakan seperti ini tidak mempunyai tempat dalam Islam dan haram sepertimana yang telah diungkapkan oleh para ulama�. Jadi apakah yang anda fikir anda sedang lakukan? Bagaimanakah tindakan seperti ini dapat membantu umat Islam, dan reputasi serta imej Islam?

Saya tujukan kata-kata ini kepada mereka yang telah melakukan tindakan yang tidak berperikemanusiaan tersebut, kerana seperti yang telah saya nyatakan, hanya sedikit sahaja yang kita ketahui mengenai kumpulan-kumpulan yang terlibat manakala kerajaan-kerajaan negara ASEAN tidak bersedia untuk membuka hasil siasatan mereka secara terbuka. Nemun begitu saya amat terkejut dan tersentuh dengan tragedi yang telah terjadi.

Berikutan dari persoalan tadi, Perang Menentang Keganasan di ASEAN telah menyebabkan hak asasi manusia dan nilai demokrasi terhakis. Hal ini jelas kelihatan dalam undang-undang yang digunakan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina. Apakah reaksi anda terhadap perkembangan ini dan bagaimanakah anda menangani situasi ini?

Kengerian yang telah kita saksikan di ASEAN sejak beberapa tahun kebelakangan ini memang mengejutkan majoriti moral yang terdapat di dalam komuniti Muslim. Seperti yang telah saya nyatakan, kita tidak boleh lagi mengabaikan persoalan pembangunan di dalam masyarakat kita. Tetapi kita juga tidak boleh melawan kumpulan-kumpulan anti-demokrasi ini berserta kecenderungannya dengan undang-undang yang berbentuk penindasan dan drakonian ini. Kerajaan ASEAN tidak boleh menggunakan penindasan dan ketidakdemokrasian ini sebagai alat atau hujah terhadap Perang Menentang Keganasan yang ditaja oleh Amerika Syarikat bagi mencapai hasrat mereka serta melenyapkan segala bantahan ramai. Kita perlu mencari punca kepada pemasalahan ini dan bagi saya, ketiadaan budaya demokrasi dan masyarakat sivil yang bertanggungjawab serta bertoleransi merupakan punca masalah ini. Apa yang kita perlukan ialah masyarakat yang dinamik dan berfikiran terbuka. Ini adalah bagaimana seseorang itu memenangi perjuangan untuk minda dan hati. Anda tidak boleh memenangi hati masyarakat ini dengan menggunakan kaedah yang zalim seperti penahanan tanpa bicara dan undang-undang yang represif.

Berkaitan dengan perjuangan untuk hati dan minda, Barat sekarang mahu menggalakkan apa yang dipanggil sebagai Islam moderat. Tetapi seperti apa yang di dedahkan di dalam laporan RAND oleh Cheryl Bernhard, apa yang mereka betul-betul maksudkan ialah Islam yang pasif, yang tidak mengancam ekonomi, tentera dan matlamat politik serta cita-cita Amerika Syarikat. Sesetengahnya turut memperkatakan tentang usaha untuk membuatkan Muslim agar berperang sesama sendiri bagi melemahkan momentum pergerakan Muslim global. Tidakkah anda berasa bimbang tentang usaha ini? Bagaimanakah reaksi anda, kerana anda juga kadangkala dirujuk sebagai �model pemimpin Islam yang moderat�?

Izinkan saya untuk menyatakan pendirian saya sekali lagi tentang perkara ini. Saya tidak dan tidak akan meminta kedudukan sebagai pemimpin di dalam komuniti Islam. Saya hanya ingin mengungkapkan pandangan dan kepercayaan saya berteraskan kepada nilai-nilai yang saya dukungi dengan teguh dan ia amat saya sanjungi. Apa yang saya mahu adalah untuk menjadi sebahagian daripada debat global yang telah dilenyap dan ditangguhkan terlalu lama di antara dunia Islam dan Barat.

Tentang laporan RAND yang telah anda nyatakan tadi, ia perlu di ambil perhatian bahawa fenomena ini bukanlah perkara yang baru. Penggunaan label-label dan definasi seperti �Islam yang moderat� bagi menilai, menahan dan mengawal Muslim bukanlah sesuatu perkara yang baru. Kerana itulah saya amat berhati-hati dengan label dan klasifikasi seperti itu. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa objektif mereka adalah sama iaitu untuk memecahbelahkan umat Islam menurut klasifikasi tertentu dan kemudiannya menahan dan mengawal mereka.

Beberapa cendikiawan Barat mungkin mahu menggunakan strategi itu, tetapi perlu dipertegaskan di sini bahawa tiada variasi Islam baru yang boleh dicipta di samping tiada juga bentuk Islam khusus yang boleh dicorak dan dipaksa dari kekuatan luar.

Namun, kita juga tidak seharusnya menipu diri sendiri. Muslim sebenarnya telah bersaing, berkonspirasi dan melemahkan – secara tidak sedar – sesama sendiri semenjak sekian lama dan kita tidak memerlukan peranan pihak luar untuk cuba melemahkan kita. Strategi pecah dan perintah hanya berkesan terhadap Muslim kerana kita sebenarnya sememangnya telah berpecah. Itulah sebab mengapa Islam zaman ini harus menangani masalah dan kelemahan sebenar di dalam masyarakat mereka.

Kita perlu mengetengahkan masalah-masalah penyalahgunaan kuasa, rasuah, kekurangan pendidikan, ketidakadilan sosial dan sebagainya yang telah menyelubungi kita sejak sekian lama. Tanpa menghiraukan pelbagai usaha-usaha Barat untuk melaga-lagakan umat Islam sesama sendiri, di dapati bahawa kegagalan kita untuk memperbaiki masalah struktur dalaman masyarakat yang telah mendedahkan kita kepada manipulasi luar dan lantas ia menyebabkan kita mula merasai bahang terhadap pemecah-belahan politik.

Mengapakah pergerakan-pergerakan Islam gagal mengesan kegagalan dan kelemahan di dalam masyarakat mereka sendiri? Adakah pada pendapat anda mereka perlukan pendekatan secara lebih progresif yang radikal iaitu seperti menangani pemasalahan kemiskinan, rasuah, ketenteraan dan sebagainya daripada terbuai dengan nostalgia, ortodoksi atau pendekatan dogmatik yang lapuk?

Kita perlulah merasa rendah diri untuk mengaku bahawa kita telah gagal mencapai tahap yang pernah kita letakkan kepada diri kita sendiri. Tetapi kita juga perlu menyedari bahawa pergerakan-pergerakan Islam di seluruh dunia perlu berjuang menentang regim yang zalim dalam persekitaran yang tidak demokratik. Jadi kegagalan mereka adalah disebabkan oleh kedua-dua faktor iaitu dalaman dan luaran.

Ramai orang di dunia ini melihat anda sebagai pemimpin Islam yang moderat dan progresif dan itu adalah aset anda yang kekal sehingga sekarang. Bolehkah anda menyatakan visi anda terhadap Islam yang progresif dan masa depannya? Apakah yang patut menjadi isu teras bagi projek Islam yang progresif? Anti-rasisme? Anti-rasuah? Perjuangan untuk demokrasi?

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini saya tidak gemar akan label �Muslim moderat�, �Muslim progresif� dan sebagainya. Bagi saya salah satu dari contoh terbaik untuk model pemimpin Islam ialah Sayyidina Abu Bakar. Apabila beliau diberikan tanggungjawab sebagai Khalifah Islam yang pertama, beliau berulang kali menyatakan bahawa kuasa sebenar masyarakat Islam terletak pada masyarakat itu sendiri dan bukannya pada beliau. Beliau menegaskan bahawa beliau hanyalah penggerak kepada aspirasi rakyatnya dan kuasa sebenar itu terletak di tangan rakyat dan bukannya di tangan pemimpin yang dipilih. Itulah yang sewajarnya kita contohi berkaitan persoalan mengenai kuasa menurut perspektif Islam.

Untuk mengukur kejayaan mana-mana Muslim dalam bentuk kepimpinannya, maka perlulah kita melihat kepada hasilnya serta apa yang boleh ia curahkan. Kejayaan seseorang pemimpin Islam adalah melalui keupayaannya untuk mengubah ke arah positif keadaan hidup rakyat yang telah melantiknya menjadi pemimpin. Apakah maksudnya kenyataan ini di dalam konteks realiti masakini? Sebagai permulaannya, ia bererti perubahan keadaan sosio-ekonomi di populasinya dan memperbaiki taraf hidup serta kebajikan rakyatnya. Di samping itu, ia juga merupakan keadaan persekitaran sosial di tempat mereka tinggal dan ini secara tidak langsung akan membawa kepada persoalan lain seperti toleransi antara budaya, masyarakat majmuk dan masalah prejudis dan diskriminasi.

Saya setuju dengan anda bahawa rasisme adalah isu yang telah lama diabaikan. Para ilmuwan Islam banyak membincangkan tentang keadilan dan universalisme di dalam Islam tetapi mereka juga sepatutnya menghalakan arah perbincangan mereka kepada realiti masa ini. Sebagai contoh, apakah makna semua ini dari segi hubungan antara kaum? Ada fokus yang jelas dalam Islam yang menekankan tentang hak samarata. Oleh itu, masalah rasisme tidak mempunyai tempat di dalam masyarakat Islam. Jadi pergerakan-pergerakan Islam hendaklah berbincang tentang isu-isu ini juga, mereka tidak boleh bersifat rasisme atau berfikiran sempit di dalam pendekatan dan politik mereka.

Akhir sekalinya, mengenai perkara yang sedikit peribadi, setelah 6 tahun, terbukti bahawa dunia masih tidak melupakan anda. Dan disebabkan kepada pemenjaraan anda-lah, maka anda di lihat sebagai pemimpin yang bersih dan tidak tercemar dengan pembangunan politik di Malaysia dan seluruh dunia. Bagaimanakah anda mengendalikan semua harapan yang dibuat ke atas anda dan apakah yang anda rasakan ia sebagai cabaran utama dan tanggungjawab anda sekarang?

Secara jujur, saya rasa khuatir dan bimbang. Saya kini amat tersentuh dengan kebaikan serta ingatan yang diperolehi oleh saya semenjak dibebaskan. Tetapi saya juga sedar akan harapan yang semakin tinggi diletakkan di atas bahu saya. Saya tidak pasti samada seratus orang yang sempurna boleh mencapai apa yang diharapkan dari saya, apatah lagi dari seorang individu biasa seperti saya!

Kebebasan telah menjadi keseronokan bagi saya, dan buat masa ini saya sedang merasai kenikmatan kebebasan yang telah lama hilang. Selama 6 tahun, kadangkala apabila mendekam seorang diri, saya bersendirian dan tidak mempunyai sesiapa sebagai teman bicara. Sekarang saya sudah boleh berbual dan boleh bersama dengan mereka yang saya sayangi, dan ini adalah sesuatu yang sangat indah. Tetapi saya juga menyedari bahawa selepas tempoh ini saya perlu berbuat sesuatu, lebih dari hanya menikmati kebebasan semata-mata.

Terdapat banyak cabaran yang harus saya hadapi. Maka, saya harus bekerja dengan lebih kuat di samping mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan bagi menentukan tindakan saya yang seterusnya. Kemudian, saya harus membuat keputusan dengan penuh hati-hati dan berfikir panjang mengenai bentuk dan kesesuaian peranan saya. Ketika ini, saya perlu menyesuaikan diri dengan perbualan kerana saya tiada teman berbual untuk suatu tempoh yang agak lama! Selain itu, saya juga amat tersentuh hati dengan semua sokongan dan simpati yang dihulurkan, dan saya amat berterima kasih kepada mereka semua.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: