jump to navigation

Husam Musa: Merealisasikan Hagemoni Islam November 1, 2004

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Husam Musa adalah ahli politik PAS yang paling prolifik dewasa ini. Beliau bukan sahaja menjadi suara baru kepada PAS, malahan turut menjadi harapan rakyat Malaysia yang impikan reformasi Islami dalam kepimpinan negara. Lantaran itu, peluang untuk menemubual beliau merupakan satu detik keemasan yang amat kami nantikan.

Umum menyedari, terutamanya dalam Dialog Perdana pada 19 September 04, beliau telah berjaya memperlihatkan kemurnian peranan Islam dengan realiti kehidupan hari ini. Dengan tidak berkompromi terhadap polisi dan praktik rasisme yang mengakar dalam sistem negara, Husam mengemukakan formula agama sebagai penyelesaian terhadap persoalan rasisme sambil menghormati ensistensi komuniti non-Muslim.

Di samping itu, kepantasan dan kebijaksanaan beliau bertindak – atas kapasiti Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat – dalam menangani isu weblog Jeff Ooi, sekurang-kurangnya telah berjaya mengetengahkan pendirian PAS yang komited dengan perjuangan keadilan dan kebenaran berasaskan tuntutan Islami – tanpa mengira agama, ras dan budaya. Bermula daripada rentetan aksi-aksi politik inilah, Ummahonline.com tertarik untuk terus menyoroti pemikiran beliau dengan lebih mendalam lagi.

Kesempatan ini hadir pada 27 Oktober 2004 di Pejabatnya, Kota Darul Naim dimana beliau sedia untuk berkongsi pandangan dengan kami. Dengan peruntukan masa yang terhad, kami telah mengemukakan beberapa persoalan mendesak termasuklah kompetitif gerakan Islamis dengan realiti perjuangannya. Di awal temubual lagi, beliau menegaskan tentang keperluan bagi semua gerakan Islam agar lebih memahami realiti dunia hari ini. Di samping itu, pada beliau, beban yang digalas oleh gerakan Islam pasca serangan 11 September menjadi bertambah berat dengan wujudnya trend penentuan arah gerakan Islam global oleh segelintir individu ataupun kumpulan tertentu.

Namun begitu, apa yang amat menarik perhatian kami semasa temubual ini ialah bilamana beliau dapat membicarakan mengenai isu globalisasi dengan cukup baik dan bermaklumat. Sebenarnya agar jarang bagi pemimpin PAS yang dapat mengolah isu ini dengan sempurna. Dengan tidak menolak globalisasi secara per se begitu, beliau melahirkan harapan agar peluang proses globalisasi yang terbentang hari ini dapat dimanafaatkan oleh gerakan Islam untuk membentuk hagemoni Islam seperti mana yang berlaku ketika era kegemilangan Islam pada masa silam.

Selain daripada itu, dengan mengelak sikap dialektik permusuhan (opposition dialektic), sepertimana yang menjadi tradisi dan label gerakan oposisi, Husam Musa memilih untuk menyokong inspirasi yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir bagi menggunakan kembali matawang dinar dan dirham sebagai agenda untuk mengembalikan kekuatan ekonomi-politik ummah. Menurut beliau lagi, inilah kaedah yang terbaik dan termudah untuk mencapai hasrat tersebut.

Manakala di akhir temubual, kami cuba untuk mendapatkan gambaran aktual mengenai posisi politik beliau muktakhir ini yang dikatakan tergugat, namun sambil tersenyum beliau tegas menyatakan bahawa pencapaian beliau pada hari ini adalah datangnya dari dukungan dalaman sendiri, cuma yang menjadi hasrat beliau adalah untuk berperanan dalam mengurangkan kecurigaan komuniti non-muslim terhadap kepimpinan Islam yang diprakasai oleh PAS itu sendiri.

Justeru itu, idea-idea yang kami soroti dalam pemikiran beliau telah mengingatkan kami kembali kepada pemikiran dan perjuangan Dr. Burhanuddin al-Helmy, Presiden PAS yang ketiga. Dr. Burhanuddin ketika memimpin PAS telah mengamalkan pendekatan yang dapat diterima umum pada waktu tersebut, sehinggakan beliau disifatkan sebagai pemimpin politik terbaik yang pernah dilahirkan oleh negara.

Bertitik tolak dari pengamatan ini, bagi Ummahonline.com, sekiranya kepimpinan utama PAS pada dewasa ini dapat tampil pragmatik, dinamik, progresif dan terbuka sepertimana yang terlukis dalam corak pemikiran Husam Musa, maka tidak mustahil cita-cita Malaysia Baru boleh direalisasikan. Maka bagi anda semua yang berminat untuk meninjau idea-idea Husam Musa, ikutilah keseluruhan temubual menarik ini:-

Pada hemat saudara, apakah matlamat utama yang mesti menjadi agenda perjuangan setiap gerakan Islam pada dewasa ini? Adakah masih lagi Negara Islam atau menoleh kepada perjuangan keadilan sejagat?

Bismillahirahmanirahim. Pada asasnya Islam ini hendak mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT. Bila kita mengabdikan diri kepada Allah SWT, Insha�Allah akan wujud kesejahteraan. Ini perlu dilakukan dalam bidang dakwah untuk memberi penjelasan kepada manusia yang lain tentang keperluan pengabdian diri dan keperluan menyelaraskan kehidupan dengan kehendak Allah SWT. Tetapi dalam dunia realiti, mungkin pada waktu ini gerakan Islam terbahagi kepada dua front yang utama. Satu front yang tidak boleh dielakkan oleh kerana manusia-manusia yang di luar Islam telah melakukan kekejaman dan kezaliman serta menafikan hak-hak umat Islam seperti dalam kes Palestin dan Chechnya. Pilihan yang ada pada mereka ialah untuk berjihad menghapuskan kekerasan dan kezaliman tersebut.

Pada masa lain, sebilangan besar masyarakat dunia masih lagi ignorant – tidak mengenali dan memahami Islam. Bagi kumpulan ini, front kita yang kedua ialah dakwah. Dakwah ini meliputi imej yang munasabah yang dapat diterima oleh masyarakat bukan Islam dan juga personaliti ummah itu sendiri yang setanding untuk menjadi ikutan dan teladan umat manusia yang lain. Di mana satu daripada kesempatan bagi menunjukkan Islam itu komited adalah melalui bidang pemerintahan. Pemerintahan dan kuasa politik adalah satu cara yang paling berkesan untuk membuktikan kemampuan, keistimewaan dan keunggulan Islam itu sendiri. Jadi dalam era sekarang ini, dua front ini harus berjalan serentak mengikut keutamaan tempat masing-masing.

Terdapat persepsi bahawa gerakan Islam hanya di lihat melahirkan reaksi prostes mereka bilamana Islam dan muslim dicabar, dizalimi dan ditindas. Namun apabila penindasan berlaku kepada negara dan komuniti non-muslim, maka gerakan Islam tidak pula melahirkan reaksi keprihatinan seupama sebelumnya, walhal mereka ini turut mengalami bencana globalisasi dan himpitan hagemoni Amerika Syarikat (AS) sepertimana negara dan komuniti muslim. Apa respons saudara terhadap persoalan ini?

Saya fikir itu tidak betul 100%. Seperti di South Africa dalam kes isu apartied. Kumpulan Islam telah menyokong dan duduk bersebelahan dengan Nelson Mandela bagi menentang apartied dengan tidak berbelah-bahagi. Bermakna gerakan Islam di Afrika Selatan telah menyebelahi perjuangan kumpulan yang ditindas oleh dasar apartied. Walaupun kumpulan utama ini iaitu Nelson Mandela dan rakan-rakan mereka adalah bukan Islam. Begitu juga di tempat-tempat lain di Afrika dan di seluruh dunia, gerakan Islam telah memainkan peranan yang sesuai. Tinggal lagi apabila timbul isu 11 September, beban kepada gerakan Islam sudah menjadi bertambah berat, seakan-akan agenda satu-dua orang menentukan agenda gerakan Islam seluruh dunia. Dan ini pada saya menjadi satu trend yang tidak baik. Tidak harus agenda perseorangan atau agenda kumpulan tertentu � secara ketentuan mereka � menjadikan beban dan agenda bagi umat Islam seluruh dunia secara keseluruhannya, pada saya itu adalah tidak bagus. Tetapi pada hakikatnya, satu gerakan Islam dengan gerakan Islam yang lain terpaksa menanggung kadang-kadang beban daripada luar – beban yang tidak bersangkutan dengan mereka. Dan, oleh kerana itu, gerakan Islam setempat yang seharusnya dapat memainkan peranan untuk membebaskan diri mereka daripada beban-beban yang tidak bersangkutan.

Sebab itu pada saya, pembentukan imej dan komunikasi adalah satu daripada perkara yang sangat penting bagi gerakan Islam, termasuk penguasaan media dan saluran media. Jika kita ingin berjaya dalam perjuangan kita, sebahagian daripada keperluan pada waktu ini ialah saluran pembentukan minda. Saluran pembentukan minda ini memerlukan saluran yang kemas, berkesan dan professional. Kerana itu, gerakan Islam di mana sahaja harus memberi penekanan terhadap aspek penguasaan media.

Merujuk kepada PAS, sejauh mana parti ini telah cuba menghubungi atau berkerjasama dengan NGO-NGO lain di luar negara dan sekular pendiriannya, atas nama perjuangan bersama untuk menentang gejala globalisasi dunia? Bukankah ummat Islam dewasa ini mengalami nasib yang sama dengan warga miskin dunia yang non-muslim?

Yang pertama kita kena jelaslah, bukan bererti globalisasi itu satu perkara yang 100% yang tidak baik. Pada masa Islam berkembang dan mempunyai empayar yang luas, Islam adalah kuasa globalisasi (kuasa di belakang globalisasi). Dan, sebenarnya jika kita dapat bertindak secara yang proaktif, kita boleh mengambil kesempatan ini untuk menimbulkan semula hagemoni Islam melalui proses globalisasi yang berlaku sekarang. Dalam zaman globalisasi yang dicorakkan oleh Islam dulu, kita tidak mengenali perbezaan sempadan negara-bangsa. Pada waktu itu, perdagangan umat Islam dan perdagangan manusia seluruhnya adalah bebas. Tidak sekatan cukai, tidak ada sekatan visa, tiada sekatan passport dan kerakyatan seperti yang berlaku yang dikenali dalam dunia moden pada hari ini. Mereka menggunakan satu currency yang boleh diterima umum berasaskan emas dan perak. Mereka boleh berdagang di mana-mana sahaja di dunia ini. Mereka di berikan jaminan keselamatan di mana-mana. Dan orang Islam menguasai perdagangan global, laut dan darat. Tetapi apabila empayar Islam diruntuhkan maka kita diperkenalkan dengan sistem negara-bangsa, sistem currency mengikut negara masing-masing, sistem visa dan passport yang menghadkan pergerakan manusia dan umat Islam secara bebas. Sekarang kita ada peluang untuk memperkenalkan semula konsep globalisasi kita walaupun proses globalisasi yang digerakkan oleh Amerika sekarang ini merujuk kepada one world ini, yang di bentuk untuk mencapai kepentingan mereka. Tetapi pada masa yang sama jika umat Islam dapat bertindak kembali kepada kekuatan kita sepertimana sebelumnya, kita dapat mengatasi niat mereka ini dengan satu bentuk dan format yang lebih baik.

Justeru itu, kita tidak harus menentang globalisasi secara per se macam itu kerana pada pendapat saya lebih baik kita membina satu asas globalisasi yang dapat menyaingi apa yang diketengahkan oleh Amerika pada waktu ini. Bahkan saya yakin, globalisasi ini, walaupun dicetuskan oleh Amerika pada akhirnya ia akan membantu Islam mencapai semula zaman kegemilangannya. Ini permulaan kepada zaman kegemilangan tersebut apabila sistem cukai dihapuskan, matawang mungkin dapat disatukan menjadi matawang tunggal. Pergerakan perdagangan akan menjadi lebih bebas dan pada waktu itu umat Islam akan mendapat tempat dalam persaingan yang lebih terbuka dalam jangka panjang. Jadi kita dengan gerakan NGO yang lain memang kita ada hubungan tetapi seperti yang telah saya sebutkan, jika saudara berharap bahawa hubungan itu ialah untuk menentang globalisasi per se begitu, memang kita tidak ada lakukan.

Dalam usaha menangani gejala-gejala negatif globalisasi?

Dalam menentang gelaja sosial?

Ya, contohnya?

Dalam usaha yang lain kita sentiasa ada hubungan dengan NGO. Pada suatu masa dulu kita telah mengerakkan apa yang dipanggil sebagai GERAK untuk menetang ISA. Dan gerakan ini telah menyatukan semua NGO-NGO di Malaysia termasuk parti-parti politik yang lain. Dan ini bergantung kepada suasana dan keperluan semasa pada satu-satu masa.

Baiklah, Malaysia adalah negara yang pluralisme dengan agama, budaya dan ras. Justeru dalam sistuasi sebegini kompleks, bagaimana PAS mahu menjawab sikap anti-rasismenya apabila dikemukakan persoalan mengenai kesediaan PAS untuk menerima bukan-melayu atau non-muslim sebagai Perdana Menteri Malaysia – sepertimana yang dibangkitkan oleh YB Lim Kit Siang?

Ia ada dua isu di sini, satu isu dari segi idealisme, satu isu lagi dari segi praktikalisme. Dari segi ideal kita boleh cakap macam-macam, tetapi dari segi keperluan politik setempat pada waktu ini, kita perlu mengakui, walaupun kita di bahagikan mengikut asas rasial (racial), tetapi pada asasnya kestabilan politik akan dicapai jika sekiranya teras utama iaitu orang Melayu merasa diri mereka terjamin. Ini telah dibuktikan dalam peristiwa 13 Mei 1969 bilamana satu bangsa iaitu orang Melayu merasa diri mereka terancam, maka berlaku pergaduhan kaum samada ia berlaku secara sebenar atau digerakkan orang lain oleh tangan-tangan tertentu. Tetapi sentiman perkauman tu boleh dimanipulasikan dengan begitu mudah apabila mereka merasa terancam dari segi politik dan ekonomi. Oleh kerana itu, secara praktiknya, apa yang perlu sekarang ialah Perdana Menteri mesti daripada seorang Islam. Ya, secara ideal kita boleh kata ia datang daripada orang Cina, orang India tetapi semuanya mesti orang Islam. YB Lim Kit Siang sendiri saya percaya dia menerima hakikat dalam realiti politik pada waktu ini mesti daripada orang Islam.

Mengapakah gerakan Islam pada masa ini masih curiga dengan idea-idea idealogi haluan kiri, meskipun aliran politik kiri inilah yang lebih mempedulikan isu-isu sosial seperti keadilan ekonomi dan kebajikan rakyat. Bukankah pendekatan ini telahpun dimulakan aktivis Islam seperti oleh Dr. Ali Shariati sendiri?

Sebenarnya mula-mula yang mebahagikan kiri dan kanan ini ialah orang putih, orientalis dan juga orang barat. Jika sekiranya kita keluar dari kepompong pembahagian yang dibuat oleh Mat Salleh ini� sebenarnya tak ada apa-apa. Misalnya sahabat Rasulullah, Abu Dzar al-Ghiffari, dia adalah juga pejuang bagi orang miskin, pejuang keadilan sosial dan sebagainya. Kita ada tokoh-tokoh seperti itu sepanjang masa. Bahkan dalam sepanjang sejarah gerakan Islam mereka boleh bergabung seperti semasa Ayatollah Ruhollah Khomeini, mereka bersatu dengan kumpulan sosialis dan kumpulan-kumpulan sosial yang lain� tidak ada masalah. Cuma barangkali keperluan keadaan dan situasi pada satu-satu masa yang akan mendekatkan atau menjarakkan hubungan mereka. Dalam gerakan Islam seperti ini, ada tokoh-tokoh yang berbeza-beza aliran dan pendirian pendapat mereka sebagai satu daripada kemurnian dan keindahan Islam itu sendiri. Dan asal sahaja mereka bersumber al-Quran dan al-Hadith, ia harus diterima dalam spektrum Islam yang luas, apatah lagi kumpulan-kumpulan non-muslim. Mereka bebas menganut apa sahaja fahaman kiri ataupun kanan, dan tidak harus kita menjarakkan diri dengan mereka. Saya ingat, sebenarnya keraguan itu mungkin dibesar-besarkan. Pada sebarang masa, kadang-kadang mereka dapat bersatu dengan baik. Di Mesir, saya ingat Ikhwanul Muslimin pernah satu masa mempunyai hubungan politik dengan parti yang dianggap berhaluan kiri, dan begitu juga di tempat-tempat lain.

Apakah pendirian PAS terhadap dasar luar Negara Amerika Syarikat, dan dasar kerajaan-kerajaan muslim yang bersengkongkol dalam mengekalkan hagemoni politik-ekonomi-budaya AS itu?

Amerika sepertimana yang kita semua tahu dikuasai oleh Yahudi. Yahudi di belakang Amerika, oleh kerana Yahudi sudah begitu berpengaruh dan kuat dalam kewangan, dalam media, dalam strategi dan perkara-perkara yang lain. Mereka dapat menentukan keadaan dan perkembangan. Dasar luar Amerika adalah dasar Yahudi itu sendiri. Oleh kerana itu, bagi kita untuk menghadapi dasar luar Amerika yang berat sebelah, yang tidak konsisten, yang pilih kasih dan sebagainya, maka kita perlu mempunyai satu kepimpinan yang mampu berhadapan dengan situasi seperti ini. Pada pendapat saya, orang Islam itu memang mempunyai asas kekuatan, tetapi oleh kerana kepimpinan itu tidak kuat maka kita terbahagi dan bercerai berai. Mungkin satu masa kita memerlukan, ataupun boleh melahirkan pemimpin yang dapat diterima oleh semua pihak umat Islam, yang dapat berhadapan dengan fenomena dasar luar Amerika yang berat sebelah seperti yang ada pada hari ini.

Berdasarkan latar belakang saudara dalam bidang ekonomi, setakat manakah projek ekonomi Islam boleh berjaya selagi mana ia tidak menyoal prinsip �private ownership� yang mana prinsip ini menjadi asas kepada idealogi kapitalisme?

Saya adalah penyokong kuat kepada pengunaan matawang dinar dan dirham yang berasaskan emas dan perak. Kerana pendapat saya, kita mewarisi keadaan kepincangan ekonomi pada hari ini, hasil daripada sistem riba yang dibangunkan oleh kapitalis dengan begitu kemas dan di belakang sistem ini ialah orang-orang Yahudi. Kalau kita ingin mencapai kekuatan politik, kita mesti terlebih dahulu mencapai kekuatan kewangan iaitu kembali kepada sunnah seperti yang ditentukan oleh Rasulullah SAW iaitu mengunakan matawang yang tunggal untuk umat Islam dan umat manusia seluruhnya berasaskan emas dan perak. Ini jalan yang paling mudah, yang paling cepat bagi umat Islam untuk kembali mempunyai kekuatan ekonomi dan kewangan. Selagi mana kita subscribe kepada wang kertas yang dipelopori oleh orang-orang Yahudi bagi mencapai tujuan mereka secara strategik, kita tetap akan dibelenggu oleh mereka walaupun kita mempunyai bank, walaupun kita mempunyai minyak, walaupun kita mempunyai sumber-sumber ekonomi yang lain, tetapi semuanya telah di ikat dengan rantai wang kertas dan riba yang dikuasai dibelakang oleh a few bankers – yang dikuasai sepenuhnya oleh orang-orang Yahudi.

Jadi, kita jangan bercakap tentang projek ekonomi, program ekonomi, kita bercakap mengenai asas kewangan yang paling penting iaitu wang, alat pertukaran bagi mengantikan pengaruh dan penguasaan Dollar dan Euro yang ada sekarang dengan satu matawang tunggal yang dapat diterima dan pada masa yang sama kita mempunyai asas nilai sendiri terhadap matawang tersebut. Emas dan perak ini pada bila-bila masa kita, pergi ke mana-mana, dapat untuk menentukan nilai atas dirinya sendiri tidak sebagaimana kertas, kalau telah diturunkan nilai, maka kertas itu tidak lagi berharga. Emas dan perak tidak orang yang boleh menentukan nilainya. Nilainya ada dalam diri dia sendiri. Tidak ada kuasa ataupun dekri mana-mana negara yang boleh menurunkan nilai emas ataupun perak.

Soalan terakhir, ramai yang melihat saudara pemimpin PAS yang terbuka, progresif, prgmatik dan dinamik. Dalam sejarah PAS, karekter ini sebenarnya telah tercermin dalam kepimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy sehingga beliau dapat diterima baik oleh ramai pihak ketika itu. Justeru, dengan imej sebegini, bagaimana saudara dapat mengimbangi antara tekanan dalaman parti dengan harapan luar yang terdiri daripada komuniti non-PAS dan non-muslim?

Tekanan dalaman itu tidak ada, saya dapat support daripada dalam, sebab itu saya berani untuk duduk dalam keadaan seperti pada hari ini. Niat saya yang utama adalah untuk mengurangkan kecurigaan masyarakat terhadap kepimpinan Islam dan kita lihat Rasulullah SAW sendiri dalam beberapa hadith, beliau ada sebut agar elakkan daripada difitnah dan perkara yang menimbulkan fitnah. Ini adalah pembentukan imej, dan dalam sesetangah tempat penggunaan kata-kata oleh Rasulullah SAW adalah begitu teliti. Bahkan dalam al-Quran kita dilarang menghina Tuhan-tuhan sembahan orang lain yang akan menyebabkan mereka mempunyai perasaan pemusuhan yang tinggi dan menghina Tuhan yang kita sembah balik. Jadi penggunaan kata-kata itu adalah sangat mustahak. Dalam tafsir, ayat ini diulas begitu panjang sehingga sesetengah ulama� berpendapat, jika sekiranya ayat Quran yang kita baca di depan orang kafir itu boleh menimbulkan prasangka tertentu, diharuskan ataupun disunatkan kita menghentikan bacaan itu di depan mereka untuk mengelakkan perasaan-perasaan tersebut.

Jadi, etika berkomunikasi dan etika psikologi yang ditunjukkan oleh Allah dan Rasul itu dalam berhadapan dengan orang bukan Islam ini, kita perlu kembangkan lagi bagi mencapai matlamat dakwah kita. Dan, sebenarnya kita amat lemah dari segi propagation Islam� kita amat lemah. Kita tidak meletakkan dalam pemikiran dan fikiran kita, apa orang pandang terhadap kita. Kita hanya kadang-kadang menekankan apa yang kita hendak laksanakan dengan tidak mengambil kira langsung dengan apa yang orang lain fikir dan rasa dan ini pada pendapat saya adalah satu perkara yang tidak mengikuti sunnah sebagaimana Saidina Omar apabila sampai di Baitul Maqdis beliau telah dibawa oleh Paderi untuk memeriksa Gereja. Pada waktu itu telah masuk waktu sembayang Zuhur dan Paderi telah mempersilakan Saidina Omar sembahyang Zuhur dalam Gereja tersebut dan Saidina Omar mengelak kerana kata beliau, jika beliau sembahyang di situ maka akan timbul kemudian anak cucu esok-esok, pertelingkahan tempat ibadah yang berasaskan daripada perbuatan beliau sembahyang di Gereja tersebut. Beliau keluar daripada Gereja dan pergi sembahyang di satu tempat yang sekarang ini didirikan Masjid Omar. Bermakna bahawa pertimbangan terhadap sensitiviti orang lain adalah satu daripada asas yang kita kena ambil kira dalam dakwah kita dan disana kita ada fiqh dakwah, dimana perkara-perkara yang sebenarnya di wajibkan oleh syarak tetapi dalam fiqh dakwah seakan-akan perkara tersebut dilonggarkan sebagimana Rasulullah pernah satu orang datang, dia kata dia boleh masuk Islam, tetapi dia tidak mahu sembahyang. Nabi kata tidak perlu sembayang. Dari segi fiqhnya, wajib sembahyang, tetapi dari segi fiqh dakwah kita boleh kata untuk mereka ini tidak sembahyang untuk membolehkan mereka melepasi beberapa mental blok yang ada dalam diri mereka bagi menerima kebenaran Islam, dan pada pendapat saya gerakan Islam kekurangan ramuan-ramuan ini dalam pendekatan mereka.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: