jump to navigation

Shaharir Mohamad Zain: Ahli Akademik Mesti Artikulasikan Ilmu Dengan Massa November 21, 2004

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri
Dalam dunia akademia tanahair, nama Shaharir Mohamad Zain (Prof Dr. ) tidak perlu diperkenalkan lagi. Profesor UKM ini bolehlah dianggap sebagai mewakili mazhab “sains Islam” di mana beliau telah mengemukakan idea bahawa sains itu tidak bebas nilai, sebaliknya ia identik dengan konteks budaya sesuatu bangsa. Idea-ideanya marak menerobos dan menguasai kancah perbahasan sains Islam di tanahair.

Jika anda tidak percaya, sorotilah saja pandangan beliau dalam beberapa kertas kerja pentingnya seperti “Simbiosis antara Sistem Nilai dengan Tabii Matematik”, “Sains Pribumi” dan “PeMelayuan, PengIslaman dan PeMalaysiaan ilmu sains dan teknologi dalam konteks dasar sains negara”. Nyata sekali, idea-idea yang beliau bentangkan memang berbeza, malah memikat.

Di samping itu, rekod pekhidmatan dan kecemerlangan intelektualnya telah mendapat pengiktirafan daripada banyak badan ikhtisas tempatan dan antarabangsa seperti menjadi Felo Institut Fizik Malaysia (FIFM) sejak 1978, Felo Akademi Sains Malaysia ( F.Ac.S.(M) ) sejak 1996, Felo Institute of Mathematics and its Applications (FIMA)-UK sejak 1989, Felo Islamic Academy (UK) sejak 1987 dan Hon. Member MAAS (India) sejak 1993. Manakala dalam organisasi yang bersifat akademik pula, beliau telah melibatkan diri secara aktif dengan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) dan Persatuan Sanis Matematik (Persama) � kedua-duanya sebagai Presiden.

Demikian juga, adalah tidak lengkap kalau kita tidak berkongsi mengenai sumbangan beliau terhadap fokus keilmuannya. Antara sumbangan besarnya yang perlu disebutkan ialah kejayaan beliau membina teori baru dalam kefahaman mekanik kuantum menerusi kamiran fungsian, membina formulasi teori pengoptimuman multi-matlamat yang lebih serasi dengan Islam, membina Lagrangean baru bagi soliton yang memenuhi persamaan KdV, menemui sistem nombor, angka serta sistem sukatan Melayu, mengukuhkan gagasan teori dan formula yang spesifik dalam pempribumian dan pengIslaman ilmu terutamanya dalam sains matematik serta yang terakhir ialah membina model peruntukan sumber universiti.

Namun apa yang perlu dipertegaskan disini � bagi membezakan antara peranan ahli akademik dengan intelektual � ialah kegigihan dan keberanian beliau dalam mengadunkan fahaman ilmu beliau dengan keperluan dan kepentingan masyarakat. Sekalipun terhambat dengan pelbagai kekangan akta�akta yang dikenakan ke atas kakitangan akademik, beliau tetap tegar dalam menyuarakan pandangannya yang disifatkan oleh beliau sendiri sebagai pandangan yang berteraskan ilmu, bukannya pencak politik! Soal kepentingan pendidikan dan soal penegakan keadilan di tanahair telah diperjuangkan beliau semenjak sekian lama lagi, semata-mata atas kapasisti intelektual beliau.

Justeru itu, dalam interbiu Ummahonline.com dengan beliau ini di pejabatnya pada 26 Oktober 2004, kami sebenarnya mahu meninjau pandangan beliau dalam soal kebebasan akademik yang kini dilihat kian lumpuh dan tersudut. Inilah tema sebenar interbiu! Namun kami turut menyedari, sebelum kami pergi ke tujuan utama tersebut, maka adalah amat perlu untuk kita soroti terlebih dahulu sejarah kecemerlangan karier akademik beliau; bagi mengukuhkan lagi kelayakan beliau dalam memperbahaskan tema interbiu ini.

Justeru itu, interbiu ini bukan sahaja merumuskan tema tersebut, sebaliknya ia turut merangkumi autobiografi intelektualnya secara langsung. Jadi sudah tentunya, kesimpulan kami bahawa beliau memang melengkapi gelaran intelektual � satu gelaran yang mulia – bukannya sebagai ahli akademik semata-mata (atau professor kangkung yang kian bercambah kini!). Maka, tentunya nilai intelektualisme seperti beliau ini sepatutnya dibanggakan oleh kita semua sebagai rakyat Malaysia!

Terlebih dahulu, boleh berkongsi evolusi perkembangan dunia akademik Prof hingga dewasa ini?

Pertamanya saya ingin menyatakan bahawa latarbelakang saya dalam dunia akademik ini bermula pada tahun 1974 bila saya balik dari Australia selepas menghabiskan pendidikan saya dalam bidang matematik-fizik. Bidang ini orang sering keliru kerana mereka ingat ia dua bidang berbeza iaitu matemetik dan fizik, sebaliknya ia sebenarnya merupakan matematik dalam fizik. Dalam bidang seupama ini ada dua aspek iaitu; satu aplikasi dan satu lagi bagaimana untuk mendapatkan idea baru matematik dari bidang fizik. Jadi, bidang ini dia boleh serasi dengan mana-mana bidang, cuma masyarakat sahaja yang tidak faham.

Manakala latarbelakang saya sebelum pergi Australia ialah saya dianggap sebagai baya pertamalah dalam aliran pendidikan Melayu; setelah lulus peperiksaan khas yang ditawarkan oleh UM untuk masuk UM sahaja. Kalau sekarang, ia kira setaralah dengan STPM. Entah macamana pada masa tersebut, kerajaan nak buat eksperimen untuk cuba aliran melayu ini samada boleh tak pergi belajar di seberang laut dalam aliran Inggeris. Jadi dia ambil beberapa orang di kalangan baya saya, lebih kurang 5-6 orang begitulah untuk buat ijazah pertama. Jadi dari situlah saya dapat tawaran biasiswa untuk ke seberang laut. Apabila balik ke sini pada masa 1974 itu, memang Malaysia pada ketika itu bergolak dengan demostrasi Baling, tetapi saya tak begitu mengikuti hingga ia memang mengejutkan saya. Ketika di Australia, saya terlibat dengan kegiatan aktivis pelajar tetapi berkaitan dengan isu seperti perperangan Amerika Syarikat � Vietnam, perperangan Arab � Israel dan beberapa lagi isu-isu yang bersifat antarabangsa.

Di sana Prof terlibat dalam front apa?

Hanya dalam bentuk kegiatan pelajar semata-mata, mungkin bolehlah di anggap terikut-ikut. Saya bukannya pemimpin di sana. Kembali Malaysia fokus saya berubah daripada terlibat daripada isu antarabangsa. Dengan melihat keadaan di Malaysia yang ketika itu di mana gerakan keIslaman begitu hebat pada masa tersebut, di mana kemuncaknya melalui Anwar Ibrahim sebelum beliau masuk politik. Jadi saya tertarik dengan isu-isu keilmuan, bukan politik sangat; isu-isu keilmuan yang dihubungkan dengan keIslaman. Jadi pada masa itu, istilah pengIslaman ilmu belum ada lagi, sekurang-kurangnya belum sampai ke sini. Cuma ada istilah seperti sains daripada perspektif Islam dan beberapa lagi.

Di Malaysia ini, rupa-rupanya saya tengok sudah ada satu persatuan yang diberi nama Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) yang ditubuhkan tahun 1977. Ketika itu saya baru tiga tahun di Malaysia, jadi kesempatan itu saya ambil untuk masuk dalam gerakan itu yang diasaskan antaranya oleh Osman Bakar, walaupun pada awalnya beliau bersama saya di UKM sebelum pindah ke UM. Pada masa tersebut, beliau begiat dengan ABIM sebagai setiausaha di samping cuba untuk membentuk akademi baru ini dimana beliau sebagai setiausaha manakala Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim sebagai Presiden. Kemudian selepas itu barulah Osman Bakar mengajak saya menyertainya.

Di Malaysia, kegiatan saya yang sesetengah orang kata ia politik, sebenarnya tidak. Semua fokus saya dikaitkan dengan ASASI, malahan apabila saya aktif dalam Persatuan Sains Matematik (Persama), saya cuba untuk memasukkan idea menjadikan matematik lebih dekat kepada Islam agar matematik itu lebih menjadi sebahagian daripada budaya kita. Ketika itu orang belum bercakap perkara itu lagi, jadi saya perjuangkan perkara ini sebagai perluasan terhadap apa yang ada dalam ASASI. Jadi, kalau ada keterlibatan saya dalam soal-soal yang secara tidak langsung menyentuh isu politik, adalah kerana saya lihat itu ada hubungan dengan perkembangan ilmu sains di Malaysia menurut perspektif Islam. Dan sekarang saya menjadi Presiden ASASI selepas Osman Bakar menarik diri apabila beliau pergi ke Amerika Syarikat.

Apakah detik-detik kritikal dalam karier, yang Prof sifatkan period penting dalam dunia akademik Prof. sendiri?

Dalam bidang akademik ini, kemuncak kejayaan saya bilamana saya mendapat Profesor pada tahun 1983. Masa itu anugerah ini dianggap satu percapaian yang bagus dimana umur saya agak relatif mudalah untuk dapat Profesor. Kemudian dalam tahun 1990-an, saya banyak dapat pengiktirafan dari seberang laut iaitu di UK di mana saya di lantik sebagai felo. Bagi saya, itu sebenarnya satu perhormatan yang tertinggi dalam dunia akademik di mana menjadi felo kepada satu institusi akademik dari negara maju itu tentunya merupakan satu idaman semua orang dalam dunia akademik. Jadi saya dapat anugerah ini pada tahun 1989 sebagai felo Institute of Mathematics and its Applications (FIMA).

Kemudian, saya juga mendapat beberapa pengiktirafan daripada institusi yang ada kaitan dengan Islam. Saya mendapat pengiktirafan felo daripada Islamic International Institute of Thouhgt (IIIT) yang sekarang ini terpaksa diam, tetapi pada masa itu IIIT agak aktif di New York dan dunia barat. Selain daripada itu, saya turut dapat felo dari Islamic Academy yang merupakan sebuah NGO Islam yang menjadi sekutu kepada Cambridge dimana Presidennya pada masa tersebut adalah seorang Professor di Cambridge.

Kemudian saya memperolehi satu lagi pengiktirafan yang setara dengan felo dari kumpulan ahli sains India dan Pakistan. Kumpulan ini telah menubuhkan satu persatuan yang dipanggil MAAS. Persatuan ini mempunyai jurnal yang agak terkenal juga yang dikenali sebagai Islamic Science Journal, dimana saya juga selalu memberi sumbangan terhadap jurnal tersebut. Di Malaysia, memang penghormatan tertinggi terhadap saya bilamana dilantik sebagai felo Akademi Sains yang ditubuhkan pada tahun 1993. Itu saya perolehi pada 1994 di mana saya adalah ahli matematik pertamalah yang mendapat anugerah felo tersebut.

Apakah tema ilmu dan karya-karya yang banyak mempengaruhi Prof samada dalam dunia akademia mahupun keIslaman?

Agenda pengIslaman ilmu ini sebenarnya sudah bermula lebih 30 tahun, kalau ia dikira semenjak penubuhan IIIT lagi. Terutamanya dalam bidang sains, boleh dikatakan belum ada bentuk pendekatan teks falsafah Islam lagi ketika tersebut. Ia masih belum ada, dan itulah yang menjadi kekosongan besar. Tetapi penulisan-penulisan dalam bidang falsafah dan sejarah memang ada di Malaysia. Itu sebab bidang ini tidak berkembang, kerana para sarjana sendiri tidak terlibat atau tidak berminat memandangkan mereka fikir bidang ini agak lambat untuk mendapat pengiktirafan. Bagi mereka, kerjayanya makin malap jika terlibat dan bidang ilmu yang berkaitan dengan Islam. Jadi karya sains Islam amat-amat kosong. Kalau dalam sains Islam, ia datangnya dari beberapa orang sahaja yang kemudiannya disiarkan dalam Jurnal ASASI iaitu Kesturi.

Buku tentang tema ini belum ada ketika itu. Jika buku yang saya tulis, saya masukkan perisa sains Islam ini, yang saya olah supaya nampak peranan Islam itu, meskipun subjeknya biasa diajar di universiti-universiti. Jadi pengolahan saya yang berbeza dengan melihat dari segi Islam dan sebagainya. Dalam kebanyakan karya berbentuk falsafah, karya Hossein Nasr dan Syed Naquid seringkali menjadi rujukan saya.

Dan sekarang dunia falsafah termasuk falsafah sains barat sekalipun, ia telah pergi kepada spiritual. Karya-karya itu saya baca; seperti kalau di Barat karya Thomas Kuhn manakala yang Islaminya daripada karya Hossein Nasr iaitu �cosmological doctrine� yang kini telah diterjemahkan oleh DBP. Ia berkesan kepada saya, kerana ia membantu bilamana saya terlibat dalam ASASI ini, maka saya mencari-cari apakah dia pendekatan yang disebut sebagai sains Islam itu. Dan, buku ini menjawab sebahagiannya daripada apa yang saya cari.

Manakala buku Kuhn tentang bagaimana sains itu berkembang. Saya berminat mengenai Kuhn ini bilamana selepas membaca karya Hossein Nasr. Sebelum saya baca buku Kuhn ini, sebenarnya karya Hossein Nasr saya telah baca dulu di mana Nasr banyak menyentuh mengenai Kuhn. Kuhn menceritakan bahawa sains ini bukannya berkembang tidak putus-putus. Ia sebenarnya berkembang, melompat dan kemudiannya putus. Inilah apa yang dikenali �paradigm�. Jadi, Kuhn perkenalkan istilah �paradigm� itu. Jadi, jika buku tidak ada, mungkin saya tidak dapat kekuatan untuk memperjuangkan sains Islam kerana sains ia bermakna saya nak membentuk paradigma baru, ada ke tak? Jadi rupa-rupanya sains barat sudah berkembang seperti itu. Maknanya daripada Yunani, ia berkembang. Kemudian Islam mengambil dan ubah paradigma dan seterunya berkembang. Kemudian Eropah ambil dan berkembang serta ubah paradigmanya.

Baiklah, apa pandangan Prof pula mengenai tahap kemajuan aliran sains tulen berbanding sains sosial di Malaysia ini?

Dari segi bidang sains tulen pula, saya rasa Malaysia agak ke depan berbanding bidang sosiologi, antropologi, ekonomi dan sebagainya. Ini mungkin kerana di Amerika Syarikat terdapat IIIT yang mana kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada aliran sains sosial ini. Jadi buku-buku pendekatan Islam tentang ilmu sains tulen ini tidak berapa saya tumpulah sebab ia bukan bidang utama saya. Tetapi buku-buku umum falsafah karangan tokoh-tokoh besar, hampir kesemuanya saya baca.

Berkait dengan perjuangan ASASI, kenapa rakyat tidak begitu terasa kesan kehadirannya? Apa puncanya?

Sebenarnya dalam ASASI sendiri, kita ada ahli lebih kurang 200 sahaja, walhal ahli akademik dalam bidang sains tulen lebih daripada 4000 orang di Malaysia, itu tidak termasuk lagi dalam kejuruteraan, perubatan dan lain-lain lagi. Kalau ahli cuma ada 200 orang sahaja, ia tidak dapat mencapai bilangan genting bagi orang lain turut merasa kesan persatuan ini.

Tetapi kalau kita tengok persatuan Sister in Islam (SIS) dan Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), ahlinya tidak sampai seratus orang kerana mereka ada �god father�. Misalnya, kalau nak menyiarkan apa-apa pendapatnya, suratkhabar senang sahaja untuk siarkannya. Di sinilah pengaruh media dan politik memainkan peranan yang sangat penting. Kalau JUST itu, bukan sahaja di Malaysia, tetapi dunia luar sana turut melihat JUST memperjuangkan agenda yang sama dengan mereka tentang apa yang dimaksudkan dengan keadilan yang mana tidak semestinya kita bersetuju semuanya itu.

Manakala SIS ahlinya mungkin sekitar 40 orang sahaja, tetapi masyarakat begitu terasa ramainya ahli persatuan ini sebab dia boleh masuk dalam SUHAKAM dan MTEN atas nama SIS. Bayangkanlah, ABIM tidak boleh masuk walaupun ABIM lebih besar, tetapi SIS boleh! Jadi sebenarnya persatuan tidak semestinya besar, asalkan dapat menembusi institusi berpengaruh ini. Dulu kegiatan Islam ini ada �god father� � Anwar Ibrahim � jadi ia senang nak buat aktiviti dan suratkhabar pun sedia menyiarkannya. Sekarang malap, sebab dunia kini mengutuk Islam jadi orang dalam pun dah menjadi takut.

Dalam soal kekangan kebebasan akademik, wujudkah akta yang menjadi hambatan kepada para ahli akademik di universiti-universiti tempatan?

Akta tatatertib Guru! Dalam akta ini ia meyatakan bahawa setiap pensyarah tidak dibenarkan untuk menerbitkan apa-apa, kecuali dengan kebenaran Naib Canselor. Itu memang hambatan yang besar sekali. Tetapi 99% sahaja pensyarah tidak ikut itu. Gila ke, bilalah Naib Canselor nak baca kesemua? Cuma peraturan tu boleh digunakan bila-bila msa ada masalah. Kalau sekiranya ada seorang menteri ke yang baca benda yang dia tidak senang, dia akan terus rujuk kepada Naib Canselor yang kau lulus ke tak ni? Jika tidak, maka kenalah. Sebab peraturan di sini jelas.

Jadi tentu sekali Akta Tatatertib Guru ini perlu dirombak kembali?

Memang, sudah banyak tahun ia tidak dinilai kembali. Memang patut untuk dihalusi dan di liberalkan. Cuma apa yang berlaku sekarang, kebanyakan orang tidak peduli atau ikut Tatatertib Guru ini. Lagipun kebanyakan penulisan akademik ini seperti penulisan laporan makmal, takkanlah nak beri pada Naib Canselor untuk baca. Dalam konteks ini, mereka berani. Apa, nak tunggu baca dulu baru nak diterbitkan?. Tetapi jika yang melibatkan tafsiran, hubungan dengan masyarakat, itu yang dirisaukan oleh pihak atasan. Jadi dalam konteks ini pula, akhirnya pensyarah tidak buatlah! Takut! Self sensation! Dia takut pasal tatatertib guru inilah!

Bagaimana pula dengan Akujanji?

Akujanji juga memberi kesan, cuma ia mengingatkan pensyarah kepada tatatertib itu sahaja sebab dulu orang tak kisah. Pada saya Akujanji �is nothing�. Kalau tak ada Akujanji pun, kerajaan boleh ambil tindakan kerana tatatertib Guru itu sudah jelas. Banyak benda pensyarah tidak boleh buat tanpa kebenaran Naib Canselor.

Berdasarkan kepada pengalaman Prof sendiri; dari manakah datangnya tekanan ke atas kebebasan akademik?

Tekanan dari dalam, tetapi saya tahulah itu dari luar juga. Cuma, kebiasaannya tindakan dari dalam lebih awal daripada apa yang diluar cakap!

Umum menyedari Prof agak lantang dalam mengutarakan isu-isu yang bersifat kemasyarakatan. Namun hingga kini Prof masih di izinkan kekal dalam institusi akademik kerajaan. Jadi, apa kekuatan yang Prof ada untuk mampu bertahan sehingga kini?

Saya rasa sebab bidang akademik saya pun kuat. Mereka susah untuk membuat tindakan yang drastiklah. Maknanya, kalau intelektual sahaja tapi tidak ada �substance� dari segi akademik ia lebih mudah untuk orang singkir, terutamanya dalam dunia akademik ini. Cukup senang! Tapi saya rasa susah, kalau seseorang itu dari segi hasil penyelidikannya, dan kerjanya jauh lebih baik dari mereka yang pro-kerajaan. Ia tidak ada sebab yang kuat. Cuma bila datang masanya, dia bolehlah disngkirlah tetapi taklah begitu drastik, macam saya tafsirkan tindakan universiti terhadap saya yang tidak memanjangkan tempoh kontrak saya sepanjang seperti rakan-rakan saya yang lain. Memang itu sebahagian daripadanya, tapi itu kita tak boleh �challenge� sebab bila kita dah pencen, itu ehsan institusi semata-mata samada mereka nak ambil ke tidak. Jadi, kalau kita ahli akademik ada perjuangan sesuatu benda, maka kita kena kuatkan rekod akademik serentak dengan perjuangan kita.

Cuma kekadang timbul persoalan bahawa soal perjuangan kebebasan akademik ini dilihat agak ketinggalan berbanding dengan isu-isu yang sekelasnya seperti kebebasan media, hak asasi, hak bersuara dll. Apa komen Prof?

Di sini, masyarakat tidak beberapa faham maksud kebebasan akademik. Kebebasan akademik itu bermaksud ialah kebebasan untuk melahirkan pendapatnya dalam sesuatu isu sahaja. Bukannya untuk kita tunjuk perasaan atau memberi pengucapan umum bagi menyatakan sesuatu pandangannya. Kebebasan akademik ini memberi ruang untuk kita nyatakan pendirian kita dalam seminar dan penulisan, itu yang penting. Bukan nak jadi macam ahli politik. Kalau dulu, saya difahamkan bahawa pensyarah UM boleh masuk calon pilihanraya tanpa perlu meletak jawatan. Saya rasa itu tidak sesuai, ahli akademik bukannya ahli politik. Bukankah intelektual itu lain? Kalau di Malaysia ini, peranan intelektual tidak ada sebab kita telah di bahagi dua samada pihak kerajaan atau anti kerajaan, yang di tengah di antara ini tidak ada, dan tidak dibenarkan tumbuh. Itu yang saya selalu cakap, kenapa tidak dibenarkan tumbuh! Kadang-kadang nampak dia bercakap pro kerajaan, kadang-kadang nampak dia bercakap pro-pembangkang. Itu baru peranan intelektual. Jadi yang ada sekarang ialah istilah yang dikatakan professional intelektual di kalangan dunia akademik. Professional intelektual ini di mana parti politk akan membayar mereka ini untuk bercakap atas nama parti. Ini banyak berlaku, terutama yang UMNO lah sebab dia ada duit dan tak ada rasa takut. Kalau pihak lain, mereka tak nak pun bercakap sekalipun ada duit sebab takut. Jadi perbezaan kita dengan kebebasan akademik di Eropah ialah intelektual diberi peluang dan peranan.

Mungkin ahli akademik fikir, sebarang perubahan mustahil boleh dilakukan selain dari kerajaan?

Memang, oleh kerana tolenrasi pihak berkuasa itu terlampau rendah, maka akhirnya orang tidak kisah. Ahli akademik pun macam manusia biasa juga, kata apa apa pun, dia orang dah tak kisah dah. Bila sampai tahap tu memang bahaya. Maknanya dia rasa membuang masa sahaja bercakap ini sebab pihak berkuasa tidak akan berubah. Mereka fikir, apa tujuan kita bising-bising, ia tidak akan berubah. Jadi ia satu anggapan yang salah, sebab orang yang berkuasa manusia juga. Inilah sebab banyak sangat dia dengar benda yang tak bagus, maka dia akan berubah sedikit-sebanyak. Yang saya sedih tengok bila saya pergi ke kampung-kampung, masyarakat kampung kata macam itu, manakala di kalangan pensyarah juga macam itu. Jadi apa tujuan kita kritik mengenai sesuatu isu, dia tidak akan dengar. Akhirnya, senanglah! Ini yang salahnya yang perlu diperbetulkan kembali.

Dalam kes di Malaysia, bagaimana tahap kebebasan akademiknya?

Di Malaysia mereka cakap sahaja bebas, tetapi mereka ini sentiasa tuduh saya pembangkang, walhal banyak juga masa saya bercakap pro-kerajaan, tetapi tidak timbul dan dibesarkan. Jadi, saya rasa itulah keadaan, bila kita bercakap mengenai kebebasan akademik di Malaysia. Ahli akademik adalah golongan yang paling ramai yang berpontensi untuk membentuk golongan yang ketiga. Tetapi itu masih belum berlaku di Malaysia.

Jika di Indonesia, ia cepat berlaku iaitu selepas sahaja tercetusnya gerakan reformasi itu. Saya rasa ia didorong oleh beberapa sebab, mungkin ia telah lama sangat yang bergelojak dalam jiwa masyarakat Indonesia yang sering dikekang. Bila ada kebebasan, banyak golongan ketiga ini yang dapat bercakap. Pada saya, itu budaya yang baiklah di Indonesia yang jauh lebih baik dari sini.

Cuma di Indonesia ini ada masalah baru kerana terlampau banyak kelompok. Sepatutnya cuma ada satu, iaitu intelektual yang boleh menjadi jurucakap ummah tentang sesuatu isu. Kalau tengok forum di televisen mereka pun jelas, di sana mereka memang panggil yang kontra, manakala di Malaysia di panggil yang mono sahaja.

Tetapi dalam soal kebebasan media kita perhatikan ia lebih berani dan berpengaruh jika dibanding dengan kebebasan akademik. Apa pendapat prof?

Bagi saya suratkhabar yang agak berani ialah Malaysiakini. Mereka berani! Mungkin pihak berkuasa tidak nampak ada impak besar dari mereka. Di Malaysia yang paling sensitifnya ialah Utusan Melayu, sebab di sinilah �hardcore� UMNO yang menjadi pekerja-pekerjanya. Jadi dia begitu sensitif. Lepas itu pergi kepada suratkhabar Inggeris. Berkenaan dengan suratkhabar Inggeris, pihak berkuasa tidak berapa tekan sangat sebab mereka fikir ia kurang pengaruh di mana mereka yang membaca suratkhabar Inggeris ini sudahpun tidak senang dengan kerajaan lagi. Jadi mereka takut ini suratkhabar yang boleh membentuk fikiran rakyat besar. Manakala kalau suratkhabar Cina bukannya ada apa signifikan yang besar terhadap perubahan politik negara. Sebab itu kalau kita boleh menguasai Mandarin, ia satu kelebihan.

Akhir sekali, mungkin Prof ada pesanan buat ahli-ahli akademik terutamanya di Malaysia, apa yang sewajarnya untuk kita lakukan bagi mengembalikan martabat golongan akademik di tanahair?

Pertama sekali, ahli akademik mesti menumpukan 80% daripada kehidupannya dalam bidang masing-masing. Dan, 20% lagi itu ialah mengartikulasikan ilmu yang ada dalam diri dia untuk menghubungkan kepada keadaan masyarakat. Dengan itu, akan terpupuk diri dia untuk menjadi intelektual. Bila dia jadi intelektual, secara tidak langsung dia akan terlibat dengan massa. Itu yang saya selalu sebut di pelbagai ceramah di kalangan pensyarah. Tetapi apa yang berlaku, kalau ahli sainsnya, lebih 99% dari mereka berada di dalam bilik makmal sahaja. Dia tidak mahu masuk atau tidak mahu kisah terhadap apa yang berlaku di luar oleh kerana pelbagai faktor seperti takut dan materialistik. Bagi mereka, ia tindakan yang menyeksa diri. Saya pun boleh jadi professor juga, tetapi tidak ada masalah. Jadi, dia kena lebih seimbang hidup dia antara ahli akademik yang masyarakat boleh tumpang lebih dari sekadar sebagai ahli sains. Sebenarnya, ahli sains pun masyarakat boleh tumpang, tetapi ia memerlukan masa yang lama. Biasanya, satu-satu penemuan ahli sains ini mengambil masa 20 hingga 30 tahun baru dapat dinikmati oleh masyarakat. Tetapi kalau intelektual, ia cepat untuk masyarakat menikmati sumbangan itu. Jadi itu hasrat saya. Upamanya bagi bidang sastera ini, memang bidang itu bidang masyarakat, tetapi kerana keadaan yang tercipta, maka dia jadi tidak terlibat dengan masyarakat.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: