jump to navigation

Fadzlullah Shuib: Merendahkan Tekanan Blok PAS-UMNO November 24, 2004

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Fadzlullah Shuib, 47 kini merupakan akademia di UiTM Kota Kinabalu, Sabah. Ketika berusia awal 20-an lagi beliau telah pun mencipta nama, sekurang-kurangnya dalam arena gerakan mahasiswa negara. Namun begitu memang benar, tidak banyak sejarah bertulis yang mencatatkan perjuangannya, tetapi pada Ummahonline.com, kehadiran beliau dalam temubual ini tetap ada signifikannya.

Sebagai seorang yang lebih mudah disapa dengan panggilan Ustaz, sesuai dengan pendidikan dan aktivitinya, beliau sedia berkongsi idea dan pengalamannya menerusi satu temubual maya. Dengan identiti inilah, beliau telah menitipkan pandangannya terhadap semua isu-isu lokal dan global yang telah kami kemukakan.

Menurut kami, terdapat tiga kombinasi kekuatan unik dalam diri beliau. Pertama; aliran pendidikan agama beliau, kedua; sejarah panjang perjuangannya dari gerakan mahasiswa-parti politik-kesatuan akademik, dan ketiga; beliau konsisten sebagai seorang intelektual-pejuang yang berteraskan massa. Sememangnya di kalangan warga kita, lebih-lebih lagi dari kalangan academia, himpunan ketiga-tiga ciri ini tidak banyak yang dapat ditemui dalam satu keperibadian.

Justeru, bersumber dari kelebihan inilah, ia secara tidak langsungnya telah mengukuhkan kapasiti beliau untuk mengungkapkan persoalan-persoalan seperti relevansi kepimpinan ulama’, prospek gerakan islamisme, krisis ummah serantau dan hagemoni Amerika. Justeru itu, fokus temubual dengan �student product� ini tidak lain adalah dalam rangka kami untuk meninjau sisi pandangan Islam menerusi tafsirannya terhadap pelbagai persoalan yang mendesak dan menarik ini.

Terlebih dahulu, boleh berkongsi mengenai sejarah penglibatan Ustaz dalam gerakan mahasiswa, parti-politik dan kesatuan akademik (jika ada)? Dan, apa perkembangan Ustaz muktakhir ini?

Saya pernah memimpin gerakan mahasiswa tanahair selaku Presiden Persatuan Mahasiswa UKM 1979/1980 serta Timbalan Presiden PKPIM 1981/1982 pada era kepimpinan Sdr Dato` Fuad Hassan, Khalid Jaafar, Ahmad Shabery Chik, Ruslan Kassim dan yang seangkatan dengan mereka. Pada period akhir 1970-an dan awal 1980-an, gerakan mahasiswa negara menjadi suatu mekanisme perubahan negara yang amat berkesan walaupun berdepan dengan Akta Kolej dan Universiti Kolej 1971 dan Pindaan 1975. Kepimpinan Sdr Yazid Othman di UM, Khalid Jaafar di ITM, Sdr Kamari Kasan di UPM, saya di UKM dan rakan-rakan pimpinan mahasiswa di IPTA berada di arus perdana negara. Tegasnya, mahasiswa di martabatkan menjadi satu komponen yang integral kepada perubahan politik, ekonomi dan sosial di peringkat nasional, serantau dan global.

Saya pernah juga menyertai PAS pada era 1980-an serta pernah menjadi Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bertanding sebagai calon PAS di peringkat DUN Seberang Takir Terengganu pada pilihanraya umum 1982. Dalam muktamar PAS 1982 di DBP Kuala Lumpur saya menjadi salah seorang petugas penting kepada sekretariat muktamar yang bergerak cergas memastikan perubahan pucuk pimpinan PAS di bawah slogan kepimpinan ulama. Dengan izin Allah, kepimpinan Allahyarham Dato` Asri yang mewakili order lama tersingkir dan turut menyaksikan perubahan pucuk pimpinan beralih ke tangan al-Marhum Ustaz Yusuf Rawa dan al-Marhum Ustaz Fadhil Noor yang membuka ruang yang luas kepada kepimpinan ulama dan mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam di dalam dan luar negara.

Pada tahun 1986 saya menyertai perkhidmatan awam sebagai tenaga akademik dan pernah berkecimpung dalam kesatuan sekerja akademik iaitu MITASA ITM selaku exco, naib presiden dan presidennya sehinggalah saya ditukar ke Sabah pada awal tahun 2001 ekoran kegagalan mempertahankan jawatan presiden kesatuan tersebut.

Selain bertugas selaku staf akademik di IPTA Sabah, saya juga bergerak aktif dalam kegiatan dakwah di Sabah khususnya di Pantai Barat Selatan Kota Kinabalu. Misi utama saya di sana ialah memperkukuhkan posisi kaum Muslim bumiputeranya dan menggerakkan pendakwahan Islam di kalangan penduduk non Muslimnya. Sekurang-kurangnya persepsi non Muslim terhadap Islam lebih objektif dan komprehensif yang berpandukan ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang jelas.

Sebagai seorang ilmuan Islam yang pernah menderitai hidup di bawah tahanan ISA, maka sudah tentu Ustaz adalah individu yang layak untuk berbicara mengenai akta ini. Kita sedia maklum, antara alasan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia untuk meneruskan penggunaan ISA adalah bagi menjamin ketenteraman awam, maka dengan itu ia lantas membenarkan tindakan pre-emptive. Apa pandangan Islam mengenai alasan dan akta ini?

ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri bukan sahaja memerlukan pindaan tetapi juga pemansuhan secara total. Ia digunakan secara tidak adil dan tidak telus terhadap individu atau warganegara Malaysia tanpa proses perundangan yang adil dan saksama. Tahanan ISA telah dihukum dan dianiaya tanpa dibicara serta tanpa diberi hak untuk membela diri. Kebanyakan tahanan ISA telah dimusnahkan kehidupan mereka dan masadepan mereka dan keluarga. Apa yang ironisnya, ada tahanan yang tidak layak sama sekali untuk bergelar tahanan ISA lantaran penglibatan mereka dalam kegiatan membawa masuk pendatang tanpa izin, mengusahakan pemalsuan dokumen kewarganegaraan dan mencetak wang palsu. Negara kita telah ada akta yang khusus mengenai Imigresen, Pendaftaran Negara serta peraturan sivil yang khusus untuk membendung dan menangani jenayah ekonomi. Negara kita juga memiliki jentera legislatif, eksekutif dan judikatif yang mencukupi. Semua ini tidak memerlukan lagi kewujudan ISA. Kita bukan berada dalam situasi darurat atau diancam oleh anasir komunis. Kita juga tidak wajar lagi mewarisi undang-undang dan polisi British yang lapuk. Kita perlu mewarnai negara kita sendiri. Warga kita, khususnya orang-orang Islam dan orang-orang Melayu telah memiliki keupayaan untuk menghapuskan saki baki warisan penjajah termasuk ISA. Selanjutnya ISA telah menjadikan pihak Cawangan Khas atau SB sebagai hakim untuk menjatuhkan hukuman dan menjadikan Menteri yang berkenaan sebagai pihak eksekutif yang membelakangi autoriti pihak judikatif negara. Perubahan total amat diperlukan bagi memulihkan integriti dan kedaulatan undang-undang negara, tidak cukup dengan reformasi yang hanya menuntut perubahan juz`iyyah atau serpihan.

Dalam membicarakan gerakan oposisi Islam di Malaysia, PAS adalah subjek utamanya! Semenjak penubuhan PAS pada 1951 hingga kini, bagaimanakah penilaian Ustaz terhadap keberkesanan PAS dalam memartabatkan Islam di Malaysia?

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 di Bukit Mertajam Pulau Pinang telah melakarkan sejarahnya yang tersendiri dalam lembaran politik Malaysia. Adalah berdosa di sisi agama jika kita menafikan sumbangan dan peranan pihak lain. Kendatipun demikian, keupayaan PAS sebagai alternatif kepada UMNO dan BN masih jauh dari tahap yang diharapkan dalam konteks perebutan kuasa dan persaingan yang seimbang. Dalam hemat saya, sejarah tanah air Malaysia telah menampilkan Hizbul Muslimin pimpinan al-Marhum Ustaz Abu Bakar al-Baqer di Gunung Semanggol Perak sebagai pergerakan yang menyerlah keunggulannya dalam konteks penentangan terhadap penjajah Inggeris dan perjuangan kemerdekaan tanah air. Justeru itu Hizbul Muslimin diharamkan oleh Inggeris dan para pemimpinnya ditangkap pada tahun 1948.

Sehubungan ini, PAS gagal mengidentitikan dirinya sebagai gerakan pembebasan tanah air daripada tangan penjajah Inggeris atau sekurang-kurangnya menjadi penerus peranan yang telah dimainkan oleh Hizbul Muslimin. Tokoh-tokoh seperti al-Marhum Burhanuddin Helmi dan al-Marhum Profesor Zulkifli Muhammad lebih berjaya menampilkan diri dan imej mereka sebagai alternatif kepimpinan nasional dan berwawasan internasional. Amat malang sekali pada peringkat awal penubuhannya, PAS lebih berimejkan serpihan UMNO. Kepimpinan PAS pada masa itu adalah tokoh-tokoh agama UMNO seperti Ahmad Fuad yang tersingkir dan terpinggir daripada merebut jawatan kepimpinan UMNO dari Dato` Onn Jaafar. Sejak zaman Dato` Asri hingga zaman Dato` Seri Abdul Hadi Awang, PAS telah terjebak dalam kancah perseteruan UMNO-PAS atau lebih bersifat hizbiyyah atau kepartian. Imej Mullah dan Taliban begitu melekat pada diri pimpinan PAS yang meminggirkan mereka daripada khalayak.

Namun demikian angkatan muda pimpinan PAS seperti Sdr Husam Musa, Nasaruddin Isa, Salahuddin Ayub, Mujahid Yusuf Rawa, Idris Ahmad, Nik Amar dan lain-lain mungkin menyedari hakikat ini. Pada bahu mereka diharapkan berupaya mengeluarkan PAS daripada imej pinggiran ini. Bagi saya, angkatan muda yang terdidik di dalam negara lebih mampu dan relevan untuk mencorakkan masa depan PAS dan negara keseluruhannya. Blok PAS-UMNO perlu dikurangkan tekanan dan tembok pemisahnya. Apa yang harus diutarakan ialah membentuk Blok Islam dan kesejagatan melawan Blok anti-Islam dan cauvinisme. PAS hanyalah sebuah platform dalam sistem demokrasi yang diwarisi daripada penjajah Inggeris. PAS sewajarnya bersama gerakan massa yang lebih fleksibel dan vokal menuju kepada perubahan negara. Dalam hal ini konsep jama’ah yang diutarakan oleh al-Quran dan al-Sunnah perlu diperjelaskan dan dipertegaskan terutama dari aspek kriteria jama’ah yang digariskan oleh kedua-dua sumber utama Islam itu.

PAS dilihat begitu komited dengan demokrasi dan pilihanraya meskipun menyedari segala manipulasi dan kepincangan dalam sistem ini. Menurut Ustaz, adakah melalui demokrasi merupakan kaedah terbaik untuk kita menegakkan Islam? Dan, bagaimanakah antara Islam dan demokrasi dapat diserasikan?

Demokrasi adalah gagasan sistem politik Plato daripada tamadun Yunani. Ia meletakkan kebenaran dan keputusan terhadap sesuatu perkara termasuk soal perlantikan pemimpin di tangan majoriti rakyat. Rakyat menjadi hakim dan rakyat menjadi pemerintah yang menentukan polisi dan dasar negara.

Islam tidak menolak demokrasi secara melulu. Kita sedia maklum Islam meletakkan dasar Rabbani iaitu kuasa tertinggi dan mutlak didalam menentukan peraturan pemerintahan dan berbagai aspek kehidupan insan di tangan Allah SWT. Pemerintahan Islam bermula dengan pemerintahan Nabi Muhammad SAW yang memerintah selama 10 tahun di Kota Madinah (622 M – 632 M) berdasarkan dan bersumberkan wahyu Allah SWT baik melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Kedua-duanya menjadi sumber asasi dan pertama peraturan dan perundangan Islam. Sungguhpun demikian, sejak era pemerintahan Nabi Muhammad SAW telah diwujudkan mekanisme pemerintahan yang berasaskan syura atau permesyuaratan. Gagasan ijtihad atau kegiatan berfikir telah dibuka dengan luas dan berskima dalam menentukan polisi dan strategi pentadbiran negara. Tetapi gagasan wahyu menjadi induk dan pengawas polisi pentadbiran dan pemerintahan.

Islam tidak menolak suara rakyat tetapi mereka memerlukan bimbingan Rasul SAW sebagai pemimpin politik dan kerohanian. Kepimpinan selepas Rasul yang disebut khilafah atau imamah dengan kriteria tertentu menjadi penerus perjuangan menegakkan pemerintahan dan pentadbiran Islam.

Sedia kita maklum, demokrasi Barat tidak menggariskan ciri-ciri kepimpinan sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Menurut Ibn Khaldun dan al-Mawardi, kepimpinan Islam wajib bercirikan kebijaksanaan atau keilmuan yang memenuhi prasyarat yang dikehendaki oleh epistemologi Islam. Mereka juga hendaklah mempunyai keupayaan dan kewibawaan mentadbir negara. Selain itu mereka juga perlu memiliki dan mendokong keadilan serta sihat dan memiliki keupayaan fizikal.

Demokrasi yang diwarisi daripada penjajah Inggeris perlu dikaji semula malah perlu dimansuhkan kerana ia menghakis pengaruh dan kuasa ummat Islam di tanah air mereka. Golongan pemerintah yang disebut Ulul Amri atau ahl al-Hall wal ‘aqd perlu memiliki sifat-sifat khusus yang dikehendaki oleh Islam. Para pemilih mereka juga perlu memiliki kelayakan yang digariskan oleh polisi perlantikan pemimpin menurut kepentingan siyasah syar’iyyah. Setelah proses tersebut berjalan, orang ramai atau an-Nas diperlukan memberi bai’at atau mandat kepada pemerintah kaum Muslimin yang dilantik itu.

Justeru itu penyertaan PAS dan pertubuhan Islam lain dalam kancah demokrasi adalah dalam konteks tidak mendapat semua tetapi jangan tinggalkan semua seperti yang digariskan dalam prinsip siyasah syar’iyyah. Gerakan Islam perlu memiliki agenda perjuangan untuk mempastikan dengan izin Allah mereka mendapat sokongan dan dokongan massa serta sentiasa berada dalam arus perdana kehidupan ummah. Kehadiran gerakan Islam dan para aktivisnya hendaklah sentiasa relevan dengan tuntutan kontemporari serta diperlukan dan menjadi tumpuan masyarakat. Gerakan Islam sekurang-kurangnya perlu menjadi alternatif kepada sistem konvensional yang sedia ada serta memberi penyelesaian yang konkrit dan konstruktif kepada ummah.

Satu sejarah yang tidak tercatat ialah; difahamkan Ustaz merupakan antara watak utama yang mempelopori konsep kepimpinan Ulama� di dalam PAS semasa muktamar tahunan PAS 1982. Menurut Ustaz, adakah konsep yang perjuangkan pada masa tersebut selari dengan pratik kepimpinan Ulama yang ada dalam PAS dewasa ini? Sejauh manakah konsep kepimpinan Ulama� ini akan sentiasa relevan?

Kepimpinan ulama adalah sesuatu yang integral dalam ajaran Islam. Al-Quran dan al-Sunnah memaparkan dengan jelas tentangnya. Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa Ulama adalah pewaris para Nabi a.s.

Sebenarnya Muktamar PAS 1982 menonjolkan tentang kepimpinan ulama sebagai respons terhadap kejayaan Revolusi Islam di Iran menumbangkan regim Shahanshah pada tahun 1979 sebelumnya. Kejayaan itu dilihat adalah hasil kepimpinan ulama yang hebat. Selain itu gerakan Islam di Malaysia turut dipengaruhi oleh pergerakan Islam di Timur Tengah, Indo Pakistan dan Indonesia yang kesemuanya dipimpin oleh para ulama serta ilmuan Islam yang tersohor seperti Syeikh Muhammad Abduh, Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Rasyid Ridha, Imam Hasan al-Banna, Maududi, Bapak Muhammad Natsir dan seumpama mereka lagi.

Kepimpinan ulama senantiasa relevan dengan keperluan semasa dan masa depan. Timbul persoalan pada masa kini adalah berkaitan dengan kualiti ulama itu sendiri. Adakah tahap dan capaian keilmuan mereka mencukupi syarat sebagai kepimpinan ulama? Adakah tahap kewibawaan mereka sebagai pemimpin pewaris Nabi berupaya membawa gerakan Islam ke arus perdana atau sebaliknya memencilkan harakah Islam dari mainstream?

Seandainya kita mengimbau kepimpinan ulama kita pada masa lalu, kita perlu meneladani tokoh-tokoh kita seperti al-Marhum Abu Bakar al-Baqir, al-Marhum Burhanuddin Helmi dan al-Marhum Profesor Zulkifli Muhammad. Al-Bakir dengan Hizbul Muslimin telah menimbulkan ancaman kepada pemerintah kolonial Inggeris sehingga beliau dipenjarakan dan Hizbul Muslimin diharamkan. Ini menunjukkan gerakan pimpinan beliau amat berkesan dan relevan dengan hasrat ummah. Demikian al-Marhum Burhanuddin Helmi yang di ISAkan lantaran pengaruh dan suaranya yang vokal memperjuangkan Islam, isu-isu rakyat tempatan dan isu-isu sejagat. Pergerakan mereka mampu menjadi alternatif kepada rakyat untuk mengambilalih tampuk pemerintahan negara.

Adakah kepimpinan kita pada hari ini berkesan dan berpengaruh sehingga kita memerlukan pihak lain untuk menyuntikkan kebangkitan dan momentum? Sebenarnya gerakan Islam telah mempunyai instrumen dan environment yang mencukupi untuk mencetuskan perubahan. Dengan syarat kepimpinan tertinggi perlu berubah daripada kepompong hizbiyyah atau kepartian yang melampau kepada gerakan ummah dan massa. Isu-isu dan agenda yang dibawa kepada rakyat perlu memenuhi keperluan mereka dan tidak menimbulkan prejudis. Penglibatan dalam perjuangan yang dilaungkan oleh NGO misalnya turut menjadi agenda gerakan Islam. Biar aktivis gerakan Islam ada di mana-mana. Dalam isu belia, sukan, sains & teknologi, muzik, kepenggunaan, alam sekitar, intelektual, wanita, kejatuhan moral, gejala sosial, kekeluargaan, kepimpinan dan sebagainya. Disinilah kepimpinan ulama perlu menonjolkan signifikannya sebagai rujukan dan tumpuan rakyat bukan sahaja di kalangan umat Islam, tetapi umat manusia seluruhnya.

Pada 1 Nov 2004 lalu genaplah 365 hari pemerintahan negara di bawah pentadbiran Pak Lah. Bagi Ustaz, adakah ia setahun pemerintahan yang memuaskan? Dan, adakah gaya pemerintahan beliau mengambarkan kepimpinan yang Islam yang kita dambakan?

Peralihan pimpinan negara dari Dr Mahathir Mohammad kepada DS Abdullah Ahmad Badawi amat penting demi mengurangkan ketegangan-ketegangan dalam negara dan luar negara akibat dasar dan polisi Dr Mahathir yang merugikan rakyat dan negara. Imej DS Abdullah Badawi begitu lunak dan tidak mencetuskan kontroversi sehingga memberi pukulan yang hebat ke atas pihak pembangkang khususnya PAS. Buktinya keputusan pilihanraya 2004 bukan sekadar memperlihatkan kegagalan PAS mempertahankan Trengganu, tetapi Kelantan hampir jatuh ke tangan BN dan kerusi VIP ketua pembangkang beralih ke tangan DAP. Pemergian al-Marhum Datuk Fadhil Noor ke RahmatuLlah juga meninggalkan vakuum yang besar kepada PAS dan pembangkang lantaran kesesuaian corak pimpinan al-Marhum dengan sistem demokrasi di Malaysia. Corak pimpinan dan imej DS Abdul Hadi Awang telah meminggirkan PAS dari mainstream dan menampilkan imej Islam sederhana dan moderat DS Abdullah Badawi.

DS Abdullah Ahmad Badawi mempunyai latarbelakang keluarga dan pendidikan agama yang berprestij serta memiliki kewibawaan yang tersendiri. Hampir semua aktivis Melayu dan agama mengenali Abdullah Fahim dan anaknya Ahmad Badawi di Pulau Pinang. Sungguhpun demikian pendidikan agama DS Abdullah Badawi bercorak konservatif dan tradisionalis. Ini disebabkan pada period persekolahannya hingga ke menara gading (1950-an dan 1960-an) beliau tidak terdedah dengan tiupan angin Pan-Islamisme yang ditiupkan oleh Al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha di Timur Tengah. Lebih-lebih Islam haraki yang diwarwarkan oleh Ikhwan al-Muslimin, Jama’at Islami dan Masyumi tidak mempengaruhi beliau. Justeru itu dalam ucapan penampilannya sebagai pemimpin pengganti DS Dr Mahathir (Mencari Damai), beliau hanya menyebut Imam Al-Shafei dan Imam Al-Ghazali yang merupakan dua tokoh ulama silam yang dianggap mewakili kaum konservatif dan tradisionalis Islam yang unggul. Bagaimanakah beliau ingin menerapkan pentadbiran Islam Hadharinya menurut pendekatan Al-Shafei dan Al-Ghazali tanpa membawa pendekatan tajdid hadhari Al-Afghani, Abduh & Ridha serta tanpa pendekatan Haraki Al-Banna, Maududi dan Muhammad Natsir. Perlu dingat DS Pak Lah tidak pernah berjinak-jinak dengan PAS, ABIM dan harakah-harakah Islamiyyah yang lain di Malaysia kecuali GPMS dan UMNO. Kesimpulannya beliau merupakan kesinambungan legasi UMNO yang lama.

Berbeza dengan Dr. Mahathir yang lantang dalam mengungkap isu-isu global, Pak Lah di lihat mengambilkan langkah yang lebih perlahan (mungkin pasif!), kompromis dan diplomasi. Ini tercermin bilamana Malaysia cuba menjalinkan hubungan lebih akrab dengan Amerika Syarikat, Singapura dan Thailand. Menurut pengamatan Ustaz, adakah ini satu dasar luar-negara yang baik dan berkesan?

Pendekatan dasar luar negara yang diambil oleh DS Pak Lah adalah bersifat accomodative dan penuh diplomasi. Pendekatan seperti ini perlu diambil demi memastikan Malaysia tidak diketepikan oleh arus global. Lebih-lebih lagi Malaysia berkedudukan sebagai Pengerusi NAM dan OIC yang mewakili suatu front negara-negara sedang membangun yang tidak mempunyai kekuatan tertentu untuk mengubah dasar global. Sungguhpun demikian Malaysia perlu lebih vokal sebagai mewakili suara Negara-negara Islam dan negera-negara berkecuali supaya kelantangan itu didengar dan diperhatikan oleh dunia. Isu-isu yang dibawa bukan sahaja perlu membentangkan permasalahan dan konflik tetapi juga turut mencadangkan penyelesaian. Model yang ditunjukkan oleh Dasar Luar Republik Islam Iran yang pernah mempengerusikan OIC perlu dikaji oleh Malaysia. Contohnya kejayaan Khatami dari RI yang pernah menjadi Pengerusi OIC yang menyarankan tahun 2001 sebagai tahun Dialog Peradaban di antara pelbagai peradaban khususnya Peradaban Islam dan Peradaban Barat. Cadangan tersebut telah diterima pakai oleh PBB (sila rujuk laman-laman web tertentu mengenai Civilizational Dialogue).

Reaksi Pak Lah sebagai Pengerusi OIC dan NAM dalam peristiwa di Tak Bai, Selatan Thailand amat mendukacitakan. Beliau hanya melahirkan perasaan bimbang, bukannya kecaman dan tindakan proaktif � seperti yang kita harapkan – untuk membantu komuniti Islam yang tertindas di sana! Apa perasaan Ustaz melihat insiden Tak Bai ini serta reaksi lemah Pak Lah?

Sebagai Pengerusi OIC dan NAM beliau sepatutnya mengecam pembunuhan yang dilakukan ke atas umat Islam dan khalayak salah sebuah negara anggota NAM. Ini disebabkan seluruh dunia serta organisasi hak asasi manusia antarabangsa mempersoalkan tindakan kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak profesioanal pasukan keselamatan Thailand ke atas umat Islam di Tak Bai, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang penuh berkat itu.

Jawatankuasa Tertinggi NAM dan OIC atau wakilnya perlu dihantar segera menemui pihak berkuasa Thailand atau paling kurang membuat bantahan dan meminta penjelasan. Apa yang berlaku di Tak Bai bukannya serangan golongan teroris atau pengganas ke atas premis awam dan kepentingan kerajaan. Sebaliknya peristiwa itu adalah berbentuk penghapusan etnik dan didalangi cauvinisme yang mencurigakan.

Benarkah Amerika Syarikat yang mendalangi sebarang pergolakan di Selatan Thai? Di mana kewajaran tanggapan ini? Dan, apa motif tindakan Amerika tersebut?

Secara common sense Amerika yang menerajui globalisasi dunia kontemporari bertanggungjawab terhadap setiap pergolakan yang tercetus di seantero alam. Demikian juga permasalahan yang berlaku di wilayah minoriti umat Islam seperti Thailand Selatan (Pattani), Mindanao, Kashmir, Kemboja dan berbagai tempat lagi. Lebih-lebih lagi di Pattani yang memiliki kronologi tersendiri dalam lembaran sejarah kolonial Barat yang bersekongkol dengan kolonial Siam ke atas bumi Islam dan bumi Melayu yang keramat itu.

Amerika Syarikat mempunyai kepentingan di Asia Tenggara. Tidakkah kita menyedari bahawa Amerika mempunyai pengkalan tenteranya di Filipina dan pelaburan asing yang tertinggi di Malaysia serta di negara-negara ASEAN melalui pelaburan Syarikat-syarikat Multinasional Amerika dengan jenama-jenama yang tidak asing lagi seperti Nestle, Mac Donald, Kentucky Fried Chicken, Levi’s, Motorola, Texas Instrument dan sebagainya.

Strategi pecah dan perintah memang sering digunakan oleh pihak kolonial. Lebih-lebih lagi dalam kempen anti teroris pentadbiran Republikan pimpinan Bush sejak period pertama pentadbirannya di Pentagon. Dialektik terrorisme yang dihipotesiskan oleh Amerika ingin dilestarikan dengan peristiwa-peristiwa berdarah, letupan dan kudeta ketenteraan. Senario ini diperkukuhkan lagi dengan kewujudan gerakan Neo-Hanbalisme dan Wahabisme yang merupakan Neo-Khawarij turut bercambah di dunia Islam. Munculnya rangkaian al-Qaeda, Taliban, JI dan seumpamanya turut menjadikan hipotesis Amerika itu menjadi tesis yang mapan. Rejim konservatif Arab yang pro-Amerika telah memperkukuhkan tesis tersebut menjadi sintesis. Tangan Amerika melalui CIAnya, FBInya telah melakarkan peristiwa di Masjid Kerisik April 2004 dan peristiwa Ramadhan 1425 yang lalu. Ianya sebuah peristiwa yang telah dirumuskan oleh Samuel Huntington dalam Clash of Civilizationnya dan John Espotito dalam Islamic Threatnya (Huntington adalah pakar dasar luar Amerika daripada Harvard dan Espotito adalah pakar perbandingan agama yang pernah menjadi penasihat hal ehwal agama Presiden Amerika). Untuk membuktikan dakwaan-dakwaan ini kita perlu bekerja keras sebagaimana FBI dan CIA yang berkeliaran di serata dunia.

Bagaimana dengan idea Dr. Mahathir, agar Selatan Thai diberikan kuasa autonomi? Atau Ustaz ada pandangan lain?

Tidak timbul kuasa autonomi perlu diberikan kepada umat Islam di Selatan Thai. Ini disebabkan wilayah tersebut adalah sebuah wilayah yang merdeka dan berdaulat sebelum dijajah oleh kolonial Siam dan kolonial Barat. Status 18 wilayah Patani Darussalam adalah sama dengan status wilayah Alam Melayu yang lain. Malah menurut hemat saya, seandainya Kerajaan Thai di Bangkok memberikan status autonomi sekalipun nasib pimpinan Muslim di Pattani akan sama dengan Nur Misuari dan MNLF di Mindanao yang sekarang ini tidak menentu nasibnya, di humban di dalam penjara penjajah Filipina di Manila.

Umat Islam Pattani perlu bangkit sebagaimana bangkitnya umat Islam di Kashmir, Palestin, Mindanao, Iraq untuk mengembalikan kedaulatan mereka dan kemerdekaan tanah air mereka sendiri. Kuasa autonomi hanya diinginkan oleh para pemimpin yang oportunis dan bersedia menjadi talibarut kolonial serta menjadi pengkhinat kepada bangsa dan tanah air sendiri.

Dalam membahas mengenai gerakan Osama ben Laden, Al-Qaeda dan Taleban, adakah Ustaz bersetuju dengan pendekatan mereka? Mengapakah, gerakan Islam global seolah-olah merestui (atau mengambil sikap tunggu dan lihat) terhadap sebarang tindakan mereka ini, walhal jelas sekali tindakan kumpulan ini bertentangan dengan prinsip Islam. Respons Ustaz?

Sepertimana yang sebutkan tadi, gerakan Osama ben Laden, Rangkaian Al-Qaedanya dan Taleban adalah manifestasi daripada fahaman Neo-Hanbalisme, Wahabisme dan Neo-Khawarij yang muncul dalam situasi konflik dan escapisme daripada kecelaruan yang melanda ummah.

Apakah ciri-ciri Neo-Hanbalisme, Wahabisme dan Neo-Khawarij:-

� Aliran ini bersifat rigid, rasionalisme yang melulu dan bersifat keras bukan sahaja terhadap musuh-musuh Islam tetapi juga terhadap umat Islam yang berbeza pendirian dengan mereka.
� Menolak semua mazhab Islam dengan membentuk dialektik kemazhaban yang tersendiri.
� Menolak tasawuf, falsafah dan sains dan teknologi yang dianggap sebagai ilmu yang asing daripada budaya ilmu Islam.
� Menghukum kafir ke atas umat Islam yang berkonflik rentetan daripada peristiwa Tahkim diantara pihak Saidina Ali bin Abu Talib (Khalifah keempat Islam) dengan pihak Muawiyah dalam Perang Siffin. Ekoran daripada itu Saidina Ali berjaya dibunuh oleh mereka. Manakala Muawiyah dan Amri bin al-‘As berjaya menyelamatkan diri.

Bertolak daripada kerangka pemikiran sedemikian munculnya Neo-Hanbalisme dan Wahabisme pada abad ke 19 yang lalu sebagai lanjutan daripada gerakan Ibn Taimiyyah pada abad ke 13 M selepas kejatuhan Baghdad 1258 M akibat serangan orang-orang Mongol. Bagi Usama, al-Qaeda dan Taleban, pendekatan terbaik ialah mencetuskan suasana tegang, pembunuhan dan pengeboman secara hendap adalah satu-satunya jalan untuk menghapuskan musuh-musuh Islam pada era globalisasi ini. Walhal masih banyak kaedah lain yang disyariatkan dan digariskan oleh Islam. Kita sedia maklum bahawa dakwah Islam hendaklah dilancarkan secara terang, telus dan berhikmah kepada umat manusia. Saluran multimedia yang luas serta konsep langit terbuka adalah medan dakwah Islamiyyah. Jihad dalam Islam adalah bersifat mempertahankan Islam dan umat Islam daripada ditindas, diserang dan dizalimi. Sebarang serangan pihak Islam ke atas seteru-seterunya perlu dilatari oleh alasan-alasan yang konkrit.

Islam adalah agama dakwah dan agama kemanusiaan yang ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW dengan izin Allah melalui sistem kemasyarakatan dan kenegaraan yang telus dan nyata. Negara Islam menjadi pengkalan penyebaran Islam dan menjadi platform pelaksanaan Islam. Justeru itu, gerakan Usama dan al-Qaedah adalah didalangi oleh Amerika Syarikat dalam bentuk konspirasi yang amat sulit untuk menjatuhkan imej Islam setelah musuh-musuh Islam gagal menyerang Islam secara ketenteraan dan secara gerakan pemikiran. Sebahagian besar pengikut rangkaian al-Qaedah mungkin tidak menyedari bahawa mereka diperangkap dan diperalatkan.

Dan soalan yang terakhir; merujuk kepada Pilihanraya Presiden Amerika yang telah selesai baru-baru ini, bagaimana Ustaz menilai kesan keputusan Pilihanraya ini terhadap dunia Islam?

Kesan pilihanraya Presiden Amerika Syarikat awal November 2004 yang lalu tidak banyak mengubah keadaan yang terdahulu. Apa yang nyata Kerry daripada Parti Demokrat lebih mendapat dokongan dan sokongan Yahudi. Sungguhpun demikian sokongan rakyat Amerika di saat-saat akhir pemilihan itu ialah bersetuju dengan agenda Bush daripada Republikan untuk melaksanakan kempen anti keganasan yang ditujukan terhadap umat Islam. Kemunculan rakaman video Usama di hari-hari terakhir pemilihan yang disiarkan oleh al-Jazeerah telah memberi kemenangan besar dan percuma kepada Bush.

Samada Kerry atau Bush, kedua-duanya memiliki brain anti-Islam dan mempunyai dialektika yang sama untuk menangani kebangkitan Islam khususnya di Barat. Kekuatan yang ada pada kedinamikan ajaran Islam ini amat digeruni oleh kuasa besar itu. Oleh sebab itu kempen terbaru Amerika untuk meneruskan serangan ketenteraannya ialah ke atas Republik Islam Iran yang didakwa telah membangunkan kuasa nuklear yang mengancam dunia. Amerika dan Bush tidak akan menghalakan serangan psikologi dan ketenteraannya ke atas umat Islam bersedia bersikap kompromi dan accommodative terhadap dasar-dasar Amerika atau ke atas umat Islam yang hanya menampilkan syiar dan lambang-lambang Islam tanpa penghayatan dan pelaksanaan.

Komen-komen»

1. MELAYU TULIN - Mac 18, 2008

Benarkah temubual ini temubual dengan sorang akademia, nampaknya gaya bahasa yang digunakan sahaja yang mantap, dari segi ilmu nampaknya tokoh ini bayak mengalami kekeliruan akibat daripada tidak dapat melihat sesuatru konsep secara gambaran penuh.

satu contoh adalah berkenaan degan gerakan kemerdekaan, untuk pengetahuan semua gerakan kemerdekaan harus dilihat bukan sahaja dari zaman british malah harus di lihat dari semenjak melaka ditawan oleh pihak portugis,. disinilah bermulanya perjuangan kemerdekaan. pada masa itu di mana UMNO? PAS? atau Hizbul Muslimin?. yang ada hanya orang melayu yang tiada berparti. orang melayu yang sebenarnya berjuang untuk kemerdekaan bukan UMNO,PAS atau lain lain. Jika demikian apa gunanya diperdebatkan berkenaan parti mana yang menuntut kemerdekaan? tiada parti yang wujud pada zaman portugis, belanda, dan inggeris, yang ada hanya ORANG MELAYU. Dan lagi UMNO yang ada sekarang adalah UMNO BARU dimana UMNO yang ditubuhkan dahulu oleh Dato” Onn telah diharamkan. UMNO BAru tiada kaitan dengan proses menuntut kemerdekaan. Dari segi undang2 UMNO baru bukan UMNO lama. Ynag ada hanya ORANG MELAYU. sekarang pun yang menukar 6 negeri ketangan pembangkang juga ORANG MELAYU. di negara ini yang ada hanya ORANG MELAYU. Kalau terjadi peperangan di Malaysia pun orang cina dan india akan bersembunyi, yang akan berperang hanya Orang Melayu, askar melayu, komando melayu dan semuanya melayu. Dan mereka ini selamanya tidak pernah menganggotai mana-mana parti politik. Hanya ORANG MELAYU.

sedarlah wahai umat bahwa yang menuntut kemerdekaan bagi tanah ini adalah ORANG MELAYU. Ini tanah ORANG MELAYU. UMNO bukan MELAYU . PAk lah baka Arab badui, menantunya baka mamak campur orang asli indonesia, zainuddin maidin baka mamak, begitu juga dengan anwar ibrahim dan mahathir baka mamak, nor yaakob juga baka mamak, yang membuat huru hara di pulau pinang marah kat DAP juga baka mamak, nazri aziz baka siam, semuanya bukan melayu. Tunku abd rahman juga mamak, dato’ Onn juga mamak campur arab. yang benar melayu adalah Tun Razak. dari keturunan kesultanan Melayu.

Habis dimana Melayu? MELAYU adalah pejuang yang jadi tentera laut, udara dan darat, itu semua MELAYU asli. kerana dari segi genetiknya orang melayu sejak zaman portugis adalah pejuang membawa hingga ke hari ini mereka pejuang, laksamana, hulubalang, temenggong dan lain-lain kategori pejuang kerna masa lalu hanya ada raja melayu. Sekarang sudah ada raja melayu dan parti politik melayu (absurd, they are not malays) . Parti politik melayu ini pula sebenarnya bukan melayu pun . UMNO telah beberapa lama mengata kepada orang melayu macam-macam, malas, mundur, minda kelas ketiga dan lain-lain.

Sekarang orang Melayu telah bangkit untuk memberitahu UMNO yang beza antara orang melayu asli dengan “melayu umno mamak” .
siapa malas dan siapa yang bodoh. melayu-mamak-umno atau orang melayu? yang jelas yang tengah huru hara sekarang orang-melayu-mamak. Minda kelas ketiga juga orang melayu-mamak-umno contoh di penang yang menentang DAP secara besaran pada hari jumaat.. semuanya mamak yang merasakan diri mereka Melayu tulin.

Melayu tulin telah bangkit secara senyap dan tanpa bising-bising telah memberikan 6 negeri kepada pembangkang. Kita tengok dan lihat apa lagi kuasa MELAYU TULIN. MELAYU TULIN yang tak pernah di sangka-sangka kewujudannya oleh PAS, PKR, dan UMNO. Bgai DAP mereka telah merasainya pada zaman 13 Mei dulu.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: