jump to navigation

Mohamad Sabu: Kita Mesti Tuntut Demokrasi Sampai Mati! (Siri 1) April 24, 2005

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Beliau sendiri telah diidentitikan dengan radikalisme (baca: bukan militan). Namun selama berada di Lebanon – dalam tempoh enam bulan – ada satu perkara tambahan yang telah dipelajarinya; iaitu tentang peri-pentingnya keterbukaan sesebuah perjuangan, atau ia lebih tepatnya merujuk kepada keterbukaan sesebuah gerakan Islamisme.

Hal ini lantas mengingatkan Ummahonline.com terhadap ide Dr. Farish A. Noor sebelum ini, bahawa selain dari semangat radikal, maka perlu ada juga wahana progresif yang terbuka.

Di Lebanon, Hezbollah merupakan antara gerakan yang berjaya mengadunkan sifat progresifisme dan sikap radikalisme ini. Di samping itu, Hezbollah turut memberikan contohan awal kepada seluruh gerakan Islamisme yang lain, tentang bagaimana untuk bergerak dalam kerangka mass movement di tengah-tengah kancah demokrasi.

Dari aspirasi inilah, Hezbollah mempertontonkan prioritinya terhadap aspek kebajikan rakyat serta pembawaan rentak politik yang cukup matang. Bagi Hezbollah lagi, demokrasi bukanlah penghalang kepada kejayaan perjuangan agama.

Justeru, dengan kejayaan Hezbollah merebut pengaruh di Lebanon, ia benar-benar meminta kita merenungi semula praktik demokrasi dalam lingkungan kita. Dari satu aspek, kita sangat-sangat yakin bahawa demokrasi memang berupaya untuk hadir sebagai alternatif kepada kemenangan politik harakah Islamiyyah, dan juga kita tentunya mengharapkan sisi-sisi positif demokrasi ini dapat dihayati dan diperjuangkan terlebih dahulu sebelum mengangankan sebuah negara hasrat; Baldatun thayyibatun wa rabbun ghafuur.

Bagi Tuan Haji Mohamad Sabu, AJK PAS Pusat, beliau tentunya ada hujah tersendiri bagi mengukuhkan lagi corak pandangannya di atas. Cuma ada satu perkara menarik untuk di kongsi di sini, semasa wawancara Ummahonline.com dengan beliau pada 14 April 2005 lalu, kami sebenarnya nyaris-nyaris menganggapnya seorang demokrat tulen andainya tidak terlebih dahulu mengenal latarbelakangnya. Beliau cukup bermotivasi bila berbicara soal demokrasi. Sangat-sangat bermotivasi! Namun persoalannya kini, sejauh mana utuhnya ‘keimanan’ beliau terhadap demokrasi, kerana nun di hadapan sana ada tembok konservatif yang perlu di susunnya semula (tidak semestinya dirombak habis!). Jika inipun masih sukar untuk dilakukan, mungkin lebih baik kita lupakan saja impian untuk melihat Murshidul Am PAS syahid di jalanan demi menuntut demokrasi.

Beberapa gerakan Islamisme seperti Hizbut-Tahrir, mereka langsung menolak idealogi demokrasi. Bagaimana saudara melihat hubungan antara Islam dan demokrasi?

Sebenarnya Islam boleh berjaya dengan syarat adanya demokrasi. Sekarang ini, kita gerakan Islam beroperasi dalam negara yang tiada demokrasi. PAS dewasa ini berada dalam keadaan samada untuk terus berada dalam sistem demokrasi (yang terus akan ditipu) atau mengambil pilihan lain. Tetapi selain demokrasi, pilihan lain bukanlah langkah yang popular. Pada saya, Islam boleh berjaya kalau negara itu ada demokrasi. Dan, Hizbut-Tahrir boleh bergerak hanya kerana adanya demokrasi. Mereka boleh berdemostrasi, menyuarakan pendapat dan menyebarkan fahaman mereka kerana ruang yang diberikan oleh demokrasi. Contohnya, mereka boleh hidup di England, tetapi mereka tidak boleh hidup di Arab Saudi, Asia Tengah dan sebagainya. Contoh satu lagi di Indonesia, dengan adanya demokrasi, PKS boleh mengemukakan idea Islam mereka dan rakyat boleh menerima. Soalnya kita di Malaysia, kita memilih demokrasi, tetapi sebenarnya tiada demokrasi. Yang ini yang kita kena tuntut. Saya dalam perjuangan PAS sekarang, di antaranya saya hendak menuntut agar demokrasi diperolehi Malaysia. Kita mesti sampai ke peringkat mati untuk dapat demokrasi! Kalau tidak, lebih baik jangan masuk pilihanraya.

Jadi adakah kita boleh katakan bahawa negara-negara Eropah lebih baik dari negara-negara dalam dunia Islam?

Negara Eropahlah negara Islam! Saya lagi extreme. Kalau kita nak cari negara Islam, pergilah ke Eropah. Sebab itu saya dalam ceramah saya sekarang menyebut tentang ayat, ��membina kekuatan untuk mengerunkan kamu dan musuh Allah�, tasawwur ayat ini dijalankan di negara barat. Mereka membina kekuatan tenteranya untuk mengerunkan musuh mereka (iaitu umat Islam). Manakala tugas tentera dan polis mereka adalah untuk protect rakyat mereka. Tetapi di negara muslim, mereka membina kekuatan tentera dan polis untuk melawan rakyatnya sendiri serta memihak kepada musuh Islam. Sebenarnya negara Islam ada di negara barat di mana mereka menjaga kebajikan rakyatnya, memberi hak asasi manusia dll. Bagi saya England itu, kalau buang saja kebebasan seks, itulah dia contoh negara Islam!

Mungkin dari rahmat demokrasi inilah, para pemimpin-pemimpin gerakan Islamisme mendapat suaka politik di negara barat, bukannya dari negara muslim? Contohnya Raschid Ghanouchi sendiri.

Saya kalau kaya, dah lama saya akan bawa keluarga tinggal di England. Sebab itu negara Islam! Di sana kita boleh maki Tony Blair dari pagi sampai maghrib, asalkan jangan angkat senjata. Kita boleh sebarkan idealogi kita sebanyak mana yang kita mahu.

Jadi, mengapakah gema perjuangan Negara Islam oleh PAS lebih kuat berbanding dengan hasrat untuk mendapatkan sebuah negara demokrasi?

Sebab kita tidak faham! Kita tidak faham bahawa negara Islam akan lahir dengan adanya demokrasi. Cuba fikir macamana kita mahu buat rapat umum kalau kita tidak dapat demokrasi. Setiap kali pilihanraya kita habis beratus juta. Kita kira begini sebab orang-orang PAS ini dia belanja sendiri. Tetapi akhirnya semua duit itu kita curahkan ke tempat yang tidak ada demokrasi. Kadang-kadang bila fikir macam buang masa pula.

Jadi benarlah PAS tidak serius dengan demokrasi?

Ya… tidak serius. Kita mesti serius. Kita mesti tuntut demokrasi sampai mati! Dan inilah yang telah Indonesia dapat, tetapi kita belum dapat lagi. Kadang-kadang kita fikir, naiflah bertanding dimana seluruh instrument kerajaan: media massa, polis, SPR dll dimanipulasikan untuk menjamin kemenangan parti pemerintah. Tetapi kalau kita benar-benar serius dengan demokrasi, biar bila demostrasi pemimpin tertinggi parti kita yang turun. Saya kalau berdemostrasi, biar Tok Guru Nik Aziz mati atas jalan raya itu, barulah boleh berlaku ledakan. Daripada mati di atas katil, lebih baik mati atas jalanraya kerana menuntut demokrasi. Tetapi corak pemikiran seperti ini masih tidak kuat lagi dalam parti.

Jadi, jika PAS mahu memilih perjuangan demokrasi tulen, bersediakah PAS jika Perdana Menteri Malaysia bukannya seorang muslim?

Memang tidak ada masalah. Tetapi perlu diingat, kalau diberi kebebasan tulen, gerakan Islam akan menang. Lagipun disini muslim adalah majoriti. Sebab itu bila adanya demokrasi tulen, saya yakin Islam yang memerintah.

Kalau beginilah keseriusan saudara tentang demokrasi, apakah langkah yang PAS boleh ambil untuk memarakkan perjuangan demokrasi ini?

Sebenarnya saya sendiri kena mempunyai banyak rakan yang berfikiran macam ini. Sekarang ini, saya macam ketandusan rakan-rakan yang sefikrah dan sealiran gaya pemikiran. Percayalah, negara akan terus mundur kalau tidak ada demokrasi dalam negara kita.

Apakah saudara masih lagi mempertahankan kenyataan bahawa Umno merupakan spesis terakhir?

Umno tetap spesis terakhir. Umno tidak kuat. Di Malaysia, Umno mewakili Amerika dan British. Saya dalam ceramah sebelum ini menyebut, kalau Ariel Sharon datang ke Malaysia, dia nak mengundi PAS atau Umno? Tentunya dia mengundi Umno. Umno ini langsung tidak mahu negara Islam. Jadi Israel sudah tentunya mengundi Umno di sini. Ertinya Umno sebagai proksi Israel. Sebenarnya Umno sebagai political party sudah dead. Dia hanya move sebagai sebuah kerajaan sahaja. Sebab itu, Amerika begitu takut kalau Umno jatuh, sebab apabila Umno jatuh dia tidak boleh bangun dah. Umno kini betul-betul diswastakan kepada kerajaan. Sebenarnya PAS lebih kuat kalau hendak dibandingkan sebagai political party dengan Umno. Umno dia kuat last electionn kerana Pak Lah memanipulasi seluruh jentera kerajaan untuk nakut-nakutkan rakyat.

Boleh saudara kemukakan contoh?

Kita ambil contoh sedikit sahaja semasa election 1999, hasil reformasi kita dapat rempuh sekatan di mana di Shah Alam kita boleh buat rapat umum di merata-rata seksyen. Ketika itu Ezam Mohd Nor cuma kalah 1,400 undi sahaja. Tetapi apabila disekat demokrasi pada tahun 2004, Ir. Khalid Samad kalah 17,000. Bermakna, rakyat kita kalau dapat maklumat dia boleh berubah. Jadi kemenangan Umno bukannya atas sebuah parti tetapi jentera kerajaan. Hal ini sama macam Saddam dan Baath Party buat dulu.

Bagi saya lagi, Pak Lah jauh lebih jahat dari Dr. Mahathir dalam penyalahgunaan kuasa. Sebab itu Dr. Mahathir, apabila dia tahan orang di bawah ISA, dia cuma tahan dua tahun sahaja, kalau mahu sambung, mereka hanya kena buang daerah sahaja. Tetapi Pak Lah empat tahun! Pak Lah jauh lebih zalim. Bila saya bercakap begitu selepas Pak Lah naik, ramai orang marah. Pak Lah langsung tiada rekod dia cintakan Islam. Semasa di GPMS dulu, dia berlawan dengan gerakan-gerakan Islam seperti ABIM, PKPIM dll. Cuma, kini media yang gilapkan dia dengan Islam. Tetapi cubalah tengok isterinya, Endon dan anaknya Nori yang rapat dengan Sister in Islam itu? Dr. Mahathir ini, kalau pasal pandangan agama meskipun tidak tahu apa-apa dia tetap bercakap dan cuba berhujah. Tetapi Pak Lah, sambil diam-diam dia gunakan pelbagai jentera kerajaan untuk menghapuskan musuh politiknya.

Satu lagi, Mahathir dalam dasar luar negara dia baik, tetapi Pak Lah samada dasar luar negara mahupun dasar dalam negeri, kedua-duanya teruk! Dia hanya bergantung survival kerana dia Perdana Menteri. Sebab itu, saya tetap mengatakan bahawa Umno spesis terakhir. Memang mereka tak kuat. Contoh bila kita hendak tahu Umno kuat atau tidak, kalaulah suatu hari nanti PAS dapat pegang Malaysia dan ketika itu Umno tidak boleh guna fasiliti kerajaan, hancur Umno!

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: