jump to navigation

Mohamad Sabu: Mereformasikan Pemikiran Ulama’ Kita (Siri 4/ terakhir) Mei 17, 2005

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Ini merupakan siri wawancara terakhir Ummahonline.com bersama Tuan Haji Mohamad Sabu. Siri kali ini beliau membicarakan mengenai konsep kepimpinan ulama anjuran PAS. Barangkali kita sedia maklum bahawa dasar kepimpinan ulama ini telah mula dipersoalkan oleh banyak pihak.

Dan, di antara hujah yang sering dikemukakan ialah paradoks antara dasar kepimpinan ulama dengan demokrasi internal parti serta capaian keilmuan agamawan PAS yang tohor. Untuk lebih mikro, ikutilah rangkuman penuh wawancara ini.

Saudara adalah antara pejuang kepada konsep kepimpinan ulama di dalam PAS. Sejauh ini (selama lebih dua dekad), adakah praktik kepimpinan ulama dalam PAS sejalan dengan hasrat awal gagasannya?

Konsep kepimpinan ulama perlu diteruskan, cuma persiapan ulama itu mesti dipertingkatkan supaya mereka layak untuk dilihat sebagai pemimpin yang berwibawa. Keupayaan ulama-ulama kita dalam bidang fiqh dan amal ibadat memanglah tidak dapat dinafikan, tetapi dalam bidang falsafah, politik, teknologi dan isu-isu semasa masih lagi kurang dan perlu diperlengkapkan. Ini penting bagi kita menghadapi cabaran musuh Islam khasnya mustakbirin Amerika.

Kalau dulu, �kilang� yang melahirkan ulama-ulama ini di Lucknow dan Aligarh (India), di sana pemikiran ulama lebih bersikap progresif serta mampu untuk menghadapi cabaran semasa; maksud saya dari penjajah. Tetapi kebelakangan ini, bila �kilang� itu berubah ke timur tengah, Arab Saudi, Syria dan Mesir – dimana negara-negara ini menjalankan sistem konkongan politik yang begitu nyata sekali (tiada demokrasi), maka para pelajar kita yang tamat pengajian di sana jika tidak berusaha untuk mengambil ilmu-ilmu luar akan meyebabkan mereka menjadi jumud dan kurang mampu untuk menghadapi cabaran semasa.

Oleh itu, ulama-ulama kini sepatutnya memikirkan untuk mengubah arah lokasi menuntut ilmu terutamanya di negara-negara yang lebih bebas dari sudut pemikiran dan bersuara. Mungkin para pelajar kita boleh ubah haluan, misalnya melihat ke arah Iran, Lebanon dan malahan saya setuju kalau di negara-negara barat itu sendiri. Sebab, kita mesti kena terima hakikat bahawa ulamalah yang paling layak untuk memimpin terutama sekali dalam menghadapi serangan ke atas Islam yang bertubi-tubi ini. Jadi soalan ini, saya tetaplah mempertahankan konsep kepimpinan ulama; dengan ulama itu sendiri kenalah buat perubahan drastik dari sudut pemikiran dahulu pada masa akan datang.

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan bahawa konsep kepimpinan ulama dalam PAS merupakan cerminan kepada aspirasi revolusi Islam Iran. Namun di sana, ulama-ulama Iran berada dalam suasana tradisi keilmuan yang sama sekali berbeza dengan kita! Jadi, timbul persoalan adakah ulama-ulama di dalam PAS layak (atau sesuai) untuk memakai konsep yang sama? Apa yang dibimbangkan, jangan sampai konsep ini di gunakan untuk mempertahankan kedudukan masing-masing pula!

Seperti yang saya sebut tadi, ulama perlulah membuat satu perubahan. Di peringkat awal ini kita menerima konsepnya terlebih dahulu, manakala soal pengisian konsep itu ia akan mengambil masa. Tempoh 20 tahun konsep kepimpinan ulama yang ada kini adalah terlalu singkat untuk merubah persepsi masyarakat yang sebegitu lama. Setelah ratusan tahun ulama diketepikan dalam sejarah negara-negara Islam, kini sebahagian umat Islam sudah boleh menerima konsep ini. Bagi saya ini sudah satu titik permulaan evolusi yang sudah baik.

Saya mengambil contoh bila saya pergi ke Iran, ada taklimat tentang perubahan politik di USSR yang ketika itu merupakan zaman Mikhail Gorbachev. Mereka berbicara mengenai Glasnost dan Prestroika yang disampaikan oleh seorang ulama bertaraf Hujattul Islam. Hujjatul Islam ini telah membuat kajian yang amat mendalam tentang perubahan politik di USSR serta negara-negara di Asia Tengah. Beliau meramalkan pada waktu itu, Gorbachev sedang dalam usaha untuk menghancurkan komunis, dan diikuti selepas itu oleh surat Imam Khomeini kepada Gorbachev. Jadi mereka melihat perkembangan dunia, falsafah serta idealogi dengan penuh minat dan mendalam. Ulama-ulama di sana bukan sahaja berjuang dalam medan politik yang terbuka, malahan berada di bilik kuliah, berdebat, berhujah dan sebagainya. Ini merupakan satu tradisi keilmuan yang sangat tinggi yang ada pada mereka, dan perkara inilah yang perlu diimport oleh ulama-ulama kita jika kita mahu penerusan kepimpinan ulama.

Kita sedia maklum bahawa kelemahan PAS itu dalam soal kepimpinan ulama itu banyak. Tetapi di sini saya ingin mempertahankan konsepnya dahulu, soal evolusi itu perlu dan mesti digerakkan. Baru-baru ini kami ada buat perbincangan supaya berlaku pemisahan dalam PAS di antara peranan Majlis Shura dan kuasa eksekutif (baca: AJK Pusat). Perbincangan ini berlangsung dalam keadaan yang baik dan ulama-ulama sendiri pun sedar supaya konsep kepimpinan ulama itu dapat difahami semula; iaitu orang yang berkelulusan Jurutera, Arkitek, Lawyer atau aktivis parti boleh berjawatan sampai ke peringkat Presiden Parti sekalipun jika Majlis Shura itu dapat berfungsi sebagai satu badan yang mengawal dasar-dasar Islam. Dan, perkara ini kita disedari. Tetapi untuk hendak mencapainya itu, ia kena menghadapi satu evolusi masa. Kalau hendak di bandingkan dengan Iran, mereka yang telah begitu lama dalam tradisi hal kepimpinan ulama ini. Kita belumlah sampai ke peringkat itu lagi. Tetapi apa yang penting sekarang ialah konsep ini perlu kita pertahankan dan saya sendiri akan mempertahankan konsep kepimpinan ulama ini diteruskan!

Jadi kalau begitu, adakah PAS mahu meniru konsep kepimpinan ulama ala shiah?

Tidak! Maksud saya begini; misalnya Majlis Syura Ulama di Iran mereka telah sampai ke peringkat boleh memecat Presiden Iran. Presiden sebuah negara itu boleh datang dari siapa sahaja asalkan dianggap bertaqwa. Sebab itu Presiden Iran boleh seorang diplomat, boleh seorang politikal sains seperti Bani Sadr, boleh seorang guru matematik seperti Ali Raja�i, boleh seorang Jurutera menjadi Perdana Menteri seperti Javad Bahonar, begitu juga kebetulan dari ulama seperti Hashemi Rafsanjani dan sekarang ini Presiden Mohamad Khatami. Mereka ulama, tetapi dalam pada masa yang sama mereka berkebolehan dalam ilmu politik serta meraih sokongan umum.

Dan suatu hari nanti kita mahu juga dalam PAS terdiri dari kepimpinan Majlis Shura Ulama yang betul-betul berkemampuan untuk mengawal parti. Waktu itu kuasa eksekutif parti boleh siapa saja yang dianggap mendapat sokongan umum, manakala latar belakang pendidikannya itu tidak penting asalkan seorang yang bertaqwa. Jadi inilah hasrat yang kita mahu capai dalam jangkamasa yang panjang.

Namun yang menariknya kini, kekeliruan kepimpinan ulama di dalam PAS telah banyak berubah. Diperingkat awalnya dahulu, bila kita perkenalkan kepimpinan ulama ada yang mahu pemeriksa kira-kira pun mesti dari kalangan ustaz. Begitu juga ketua kawasan mesti dari seorang Ustaz. Tetapi kini mentaliti ahli-ahli parti sudah berubah dan lebih bersifat terbuka. Misalnya saya sendiri dilantik sebagai pesuruhjaya Pulau Pinang manakala Dr. Rosli Yaakob pula menjadi Pesuruhjaya Negeri Sembilan. Ertinya, penilaian terhadap amilin (orang yang berkerja dan beramal) itu sudah menjadi agenda dan perhatian kami. Ini satu perkembangan yang memberangsangkan.

Sekali lagi, jelas bahawa saudara langsung tidak bermasalah kalau Presiden PAS datangnya dari bukan golongan berpendidikan agama formal?

Ya, saya tidak ada masalah!

Baiklah, kita tahu bahawa PAS adalah sebuah gerakan yang menghormati sistem demokrasi. Namun timbul persoalan di sini, adakah dengan mempertahankan konsep kepimpinan ulama ini satu tindakan demokratik dalam parti itu sendiri?

Konsep demokrasi dalam Islam adalah di mana kita tidak terlepas dari hukum dan doktrin Al-Quran. Upamanya demokrasi dalam memilih Imam (pemimpin), sudah tentulah rujukan yang pertama pada mereka yang dilantik itu ialah mereka tidak melakukan dosa besar, berakhlak tinggi dan mematuhi ajaran-ajaran agama. Ertinya, kalau Islam tidak membatasi demokrasi, maka kita sebenarnya sedang membuka jalan kepada unsur dictatorisme. Ini kerana kalau tiada Al-Quran, kaki judi pun boleh menjadi seorang Imam. Justeru, ciri-ciri demokrasi dalam Islam mestilah sesuai dengan ajaran Islam. Sebab itu di Iran mereka ada Council of Ulama yang kita katakan Majlis Shura itu.

Sebelum ini Presiden PAS ada menyebut mengenai usaha ke arah �mengulamakan profesional, dan memprofesionalkan ulama�. Adakah ini menunjukkan bahawa wujudnya dua arus yang bertentangan dalam PAS. Benarkah begitu?

Saya rasa itu proses menuju kematangan sahaja. Sebab ada di kalangan ulama-ulama kita yang terlalu na�f sampai kadang-kadang mereka tidak boleh bersyarah mengenai sejarah Israel ataupun sejarah perkembangan idealogi-idealogi ciptaan manusia di atas muka bumi ini. Sedangkan perkara ini boleh disyarahkan oleh golongan professional. Jadi perkara ini kita kena saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Pada saya pandangan-pandangan Presiden Parti ini adalah ke arah proses evolusi. Malahan ulama-ulama sendiri pun sedar tentang kekurangan mereka. Bahkan dalam ulama kini sudah ada evolusi untuk memperbaiki keadaan ini. Ini satu petanda yang amat baik. Sampai sekarang pun � dalam PAS � orang sudah bertanya-tanya siapa yang layak untuk berada dalam majlis Shura, lantaran kelulusan Al-Azhar, Syria, Arab Saudi terlalu banyak. Jadi kemampuan untuk berada dalam Majlis Shura sudah dipertikaikan, di mana ada kehendak agar skop pemilihan anggotanya diperluaskan. Ertinya sudah ada evolusi pemikiran di mana bukan semestinya lulusan Al-Azhar sahaja yang layak untuk berada dalam Majlis Shura.

Tadi saudara ada menyebut semacam ada overlapping antara Majlis Ulama dengan eksekutif parti. Justeru, PAS sekarang sedang mempertimbangkan untuk mengatasi keadaan ini?

Ya. Saya sendiri kata kita jangan ambil langkah yang drastik. Biarkan ini menjadi satu proses evolusi. Apa yang boleh kita lakukan sekarang ialah menghantar ulama-ulama muda kita untuk membuat latihan ilmu di negara Eropah, Iran, Lebanon dll. Mungkin kalau kita serius melakukan, kita akan dapat melihat Majlis Shura akan betul-betul independen dalam pertadbiran Parti. Kita sedang menuju ke arah ini. Namun kita tidak bolehlah meletakkan satu jangkamasa yang tetap. Biarkan proses ini berjalan.

Jadi harapan saudara, suatu hari nanti tidak lagi berlakunya keadaan seperti mana kedudukan Tok Guru Nik Abdul Aziz; beliau Murshidul Am PAS dan beliau jugalah Menteri Besar Kelantan?

Ya, tidak berlaku keadaan seperti itu lagi. Sekarang ini, kalau Tok Guru melakukan kesilapan yang tidak boleh dimaafkan di negeri Kelantan, siapa yang hendak bertindak? Dia juga Murshidul Am, dia juga Pesuruhjaya negeri. Kebetulan pula kita dapat Tok Guru seorang pemimpin yang baik, jadi tidak perlulah kita ambil tindakan apa-apa. Tetapi kalau Tok Guru melakukan sesuatu yang boleh mejatuhkan maruah kerajaan PAS Kelantan, siapa yang hendak bertindak pada dia? Perkara ini disedari dan di bincang di peringkat dalaman parti.

Dewasa ini, jelas sekali PAS ketiadaan teolog mahupun idealog yang sekurang-kurangnya dapat menjadi penyatu di kalangan kiblat politik dan sosial tanahair. Di peringkat awalnya, Almarhum Ustaz Fadzil ada ciri-ciri sebegini manakala Anwar Ibrahim pula bukannya datang dari PAS. Adakah saudara menyedari keperluan tampilnya tokoh sebegini dari PAS itu sendiri?

Sedar� penuh-penuh sedar. Inilah yang selalu menjadi bahan renungan saya. Sebab itu saya kerap sebut bahawa ulama-ulama muda kenalah pergi belajar di Lebanon samada setahun atau dua tahun untuk melihat dan menyelami sendiri pergolakan di sana. Kemudian bergaul dengan ulama-ulama disana sambil mengutip mutiara perjuangan mereka. Sebab, kadangkala kita lihat ulama-ulama kita di sini bila dia bercakap di khalayak umum dengan dia memberi kuliah dalam masjid macam serupa. Isu-isu seperti sains sosial, ketidakadilan, pertarungan kelas amat kurang mereka hayati. Jadi kekurangan ini amat terasa sekali.

Maka, benarlah tanggapan umum bahawa ulama-ulama PAS agak malas untuk menelaah soal-soal yang serius seperti hak asasi manusia, idealogi dan falsafah?

Saya tidak nampak dalam spektrum ulama PAS sahaja. Ia adalah wabak dalam negara muslim seluruh dunia! Sebab selama 500 tahun dahulu pemerintah-pemerintah thagut Muslim yang telah menindas (baca: pemerintah monarki) ulama-ulama demi menjaga kepentingan penjajah. Jadi sampai sekarang ilmu itu tidak dibebaskan lagi. Maksud saya, aliran untuk mendapat segulung sijil itu masih lagi dipandang dalam dunia Islam.

Hingga kini, sejauh mana berkembangnya budaya ilmu di dalam PAS?

Ada, tetapi perlu dipertingkatkan dan kita misalnya tidaklah sampai ke tahap dimana ulama-ulama kita mampu untuk berhujah secara ilmiah dengan penganut idealogi marxis yang tulen. Memang kita akui, kita masih tidak sampai ke peringkat itu lagi. Tetapi perkembangan ke arah itu telah ada. Namun kekurangan-kekurangannya terlalu banyak sebab dunia keseluruhannya dikongkong dengan sebegitu rupa. Keadaan ini dirumitkan pula dengan dunia Islam yang tidak memberi ruang kepada demokrasi. Jadi golongan ulama-ulama sendiri tidak dapat exercisekan ilmu-ilmu mereka.

Daripada apa yang saudara ungkapkan seolah-olah PAS memerlukan satu revolusi dalaman. Jika begitu, apakah langkah pertama yang PAS perlu lakukan untuk memulakan revolusi dalaman ini?

Bagi saya mudah sahaja; kita kena berani buka pintu perbincangan dan dialog terutamanya dalam semua aliran mazhab, falsafah dan idealogi. Juga, jangan wujudkan budaya takfir yang sebegitu mudah. Ringkasnya lagi, kita mesti menjadi sebuah gerakan massa yang terbuka.

Maksud saudara mengenai gerakan terbuka ini?

Gerakan terbuka! Saya nampak setelah enam bulan saya berada di Lebanon, Ikhwanul Muslimin tidak dapat untuk bergerak dalam masyarakat Lebanon yang terbuka. Sebaliknya di Lebanon itu negeri yang begitu bebas demokrasinya, kita nampak Hezbollah begitu cepat menguasai keadaan sehingga berjaya mengatasi pengaruh pertubuhan-pertubuhan sekular yang lain. Sebaliknya Ikhwanul Muslimin tidak dapat menguasai golongan Sunni yang kini masih lagi majoritinya dipimpin oleh kumpulan sekular parti Rafiq Hariri. Keadaan inilah yang menyebabkan Hezbollah macam �keseorangan�. Andainya di Lebanon ada gerakan Islam iaitu masyarakat arab yang terdiri dari pelbagai fahaman agama dan berbilang mazhab dari kalangan sunni yang kuat, maka mereka sudah boleh bergabung tenaga untuk mencorak politik Lebanon ke arah kebangkitan Islam yang menyeluruh.

Kaitan gerakan terbuka ini dengan PAS itu sendiri?

PAS sendiri telah diasuh dan berkiblat pada Ikhwanul Muslimin, sedangkan Ikhwanul Muslimin masih tetapi tidak reti untuk bergerak dalam open society meskipun mereka merupakan gerakan Islam yang baik. Tetapi itu tidak cukup. Lebanon adalah bukti paling nyata untuk menunjukkan kelemahan aliran Ikhwanul Muslimin ini. Sebab itu, PAS sendiri dan ulama-ulama kita kena mengkaji, kena berani keluar dari budaya tradisi dan kena tanya kenapa Ikhwanul Muslimin gagal untuk mendapat sokongan rakyat di Lebanon? Misalnya dalam Usrah, kita banyak berpandu kepada kitab-kitab Fathi Yakan, tetapi di Lebanon, di tanahair Fathi Yakan sendiri, beliau bukannya seorang reformis yang besar sehingga dapat menarik perhatian khalayak dalam pidatonya. Sebaliknya, politik Islam di sana tetaplah dipegang oleh Sayyed Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hezbollah, manakala di sebelah Sunni oleh kumpulan sekular. Inilah persoalan penting yang perlu kita rungkaikan untuk menjadikan PAS sebagai sebuah gerakan yang benar-benar terbuka dan diterima umum.

Akhir sekali, apakah kesimpulan yang saudara boleh rumuskan dari wawancara panjang ini?

Umat Islam di Malaysia, bukan sahaja PAS, kenalah buat reformasi. Reformasi terhadap pemikiran agama; bukannya terhadap Alquran, tetapi terhadap kefahaman Alquran itu sendiri. Kita tidak mahu melihat ulama-ulama kita bila merujuk, hanya dari satu sudut sahaja. Kita mesti memperluaskan spektrum ilmu kita. Maksud saya, ulama-ulama kita kenalah mengkaji semua mazhab, falsafah dan idealogi yang wujud di atas muka bumi ini. Di samping itu, wujudkan budaya dialog dan kajian ilmiah serta memahami realiti hari ini. Peralihan paradigma ini penting bagi menentukan kedudukan PAS di masa akan datang. Jika tidak, kita akan tetap gagal untuk menjadi sebuah gerakan massa yang terbuka serta mendepani soal kebajikan ummah.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: