jump to navigation

Mohamad Sabu: Hezbollah Model Pergerakan Reformis Moden (Siri 3) November 12, 2005

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Dalam wawancara ini, Tuan Haji Mohammad Sabu telah mengutarakan tentang kemampuan Hezbollah sebagai model sebuah gerakan reformis yang bernuansakan Islam.

Menurut hematnya, ada dua ciri utama yang PAS boleh belajar dari Hezbollah untuk menjadi sebuah gerakan Islam yang dihormati umum. Pertama; PAS sebagai gerakan massa, dan kedua; PAS sebagai gerakan kebajikan. Namun, bagi menilai agenda �memasyarakatkan PAS� sebelum ini, yang dikatakan mirip dengan pendekatan Hezbollah, maka wawancara ini ada menawarkan rumusan yang tersendiri.

Pada pandangan saudara, apakah faktor yang meyebabkan pendekatan Hezbollah agak terpisah dengan gerakan Islamisme yang lain?

Pertama, kita kena tahulah yang anggota Hezbollah ini merupakan orang-orang Islam shiah. Dalam mazhab shiah ini, penghormatan mereka pada ulama begitu tinggi. Bila Hezbollah yang diasaskan oleh ulama, serta ulama pula menunjukkan contoh kepimpinan yang cemerlang, maka penghormatan ahli-ahli mereka menjadi begitu tinggi lagi. Di samping itu, gerakan Hezbollah juga lebih berorientasikan kepada gerakan kebajikan penduduk tertindas (mustadh�afhin) di Lebanon.

Kedua, Hezbollah sebagai gerakan politik. Bila mereka bergerak dalam bentuk kebajikan, maka masyarakat cepat melihat Hezbollah sebagai satu organisasi yang memperjuangkan kepentingan rakyat. Misalnya, pemimpin-pemimpin Hezbollah tidaklah tinggal di dalam istana, tetapi dia lebih mementingkan semua rakyat yang tertindas mempunyai rumah. Ertinya, wang yang mereka perolehi – katakanlah dari Iran atau sumber-sumber yang lain – di salurkan kepada terlebih dahulu kepada golongan mustadh�afin ini. Ini yang menyebabkan Hezbollah dilihat sebagai satu model sebuah gerakan reformis moden dalam bentuk memberi kebajikan. Ini kejayaannya, di samping ketaatan mereka kepada ulama.

Sebenarnya dalam struktur politik di Lebanon, apa posisi Hezbollah sehingga begitu berpengaruh, sedangkan mereka bukannya satu gerakan politik yang berdaftar?

Hezbollah paling berpengaruh bila mereka berkorban untuk menghalau Israel dari Selatan Lebanon. Bagi rakyat Lebanon, mereka melihat Hezbollah ini wataniyyah (nasionalis), manakala kumpulan Islam pula nampak mereka ini sanggup mati untuk melawan Yahudi. Jadi dua-dua kumpulan ini saling hormat sebab dia melawan Israel bukan untuk mendapat upah, tetapi atas semangat yang ditiupkan ulama-ulama mereka iaitu untuk mati syahid demi membebaskan Baitul Maqdis. Jadi, golongan sekular fikir Hezbollah adalah gerakan nasionalis kerana telah berjaya membebaskan Lebanon. Akhirnya semua pihak menghormati mereka. Dan satu faktor yang tidak boleh dinafikan ialah mereka mempunyai kepimpinan yang cukup baik dan berdisplin. Ini kejayaan mereka yang sangat besar.

Sebentar tadi saudara ada menyebut bahawa kemungkinan Hezbollah dibiayai oleh Iran. Jadi bolehkah kita katakan bahawa Hezbollah ini merupakan agen (atau proksi) Iran di Lebanon?

Ya, Iran tidak pernah nafi dia beri bantuan. Pada Iran, Hezbollah merupakan pertubuhan yang dia yakini. Dan berkebetulan pula satu agama, satu mazhab dan satu marja�. Orang Hezbollah ini, marja�nya ialah Ayatolllah Ali Khamanei, sebelum itu Imam Khomeini. Perjuangan Hezbollah jelas ialah ke arah pembebasan Al-Quds dari Israel.

Sebelum ini, Hezbollah telah berjaya menghalau keluar Israel di selatan Lebanon. Apakah juga hanya Hezbollah sahaja yang berpotensi mengembalikan Baitul Maqdis ke pangkuan ummat Islam?

Ya, pada masa akan datang, Hezbollah yang akan lead arus perjuangan menentang Israel di sana. Dan ucapan-ucapan Sayyed Hassan Nasrallah sedang menuju ke arah itu. Sebab itu, ketika ini apabila berlaku demostrasi antara kumpulan pro-kerajaan dengan kumpulan muarodhah, Hezbollah mempelawa Amerika datang untuk melucutkan senjata mereka, �Please datang ke Lebanon, nanti kami akan kirimkan mayat-mayat kamu dengan kapal yang kamu datang�. Ertinya, Amerika sendiri pun sudah biasa mengalami kekalahan di situ. Sebab itu mereka berfikir banyak kali sebelum mahu mendarat di Lebanon. Kalau itu pencapaian Hezbollah, adakah mereka tidak boleh mencabar Israel? Jadi saya nampak, Hezbollah yang akan lead gerakan melawan Israel disamping dukungan mantap gerakan-gerakan Islam yang lain seperti HAMAS, Jihad Islam dll.

John L. Esposito dalam bukunya Unholy war: Terror in the name of Islam ada menyebut mengenai perlunya gerakan Islamisme yang lain belajar dengan Hezbollah. Dari kenyataan ini, apakah yang sebenarnya yang PAS boleh belajar dari Hezbollah?

PAS memilih jalan demokrasi. PAS boleh belajar dari Hezbollah dari sudut gerakan massa. Macamana Sayyed Hassan Nasrallah; seorang ulama, dengan pakaian ulamanya yang tidak pernah tanggal, apabila dia seru terhadap sesuatu seperti soal kenaikan harga barang ataupun Syria undur, maka beratus ribu orang keluar menyokongnya. Kenapa dia boleh dapat perhatian orang ramai? Sedangkan amilin (hardcore Hezbollah) cuma sekitar 10,000 sahaja? Di sini PAS kena belajar dengan Hezbollah, iaitu dalam soal gerakan massa.

Saya pun ada jawapan yang tersendiri juga. Gerakan massa dalam PAS masih lagi digerakkan oleh third rank, iaitu di peringkat pemuda. Peringkat atasan masih lagi tidak dapat menerima. Contohnya di kalangan ulama kita masih lagi tidak bersedia untuk turun berhimpun di jalanraya. Tetapi kalau sampai satu peringkat nanti yang gerakan massa ini datangnya dari first rank, Insha�Allah PAS pun boleh pergi ke arah itu. Jadi perlu ada perubahan minda. Yang kekurangan kita, apabila berdemostrasi, kita hanya akan nampak muka Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Idris Ahmad, tetapi mana muka ahli Majlis Shura? Jadi, kita kena belajar dari Hezbollah, kerana apabila mereka berdemostrasi, yang berucap ialah Syeikh Naim Qasim, Sayyed Hassan Nasrallah dll. Mereka semua ini dari first rank leader. Jadi inilah yang PAS kena belajar bagi menjadi sebuah gerakan massa.

Baru-baru ini, Lebanon telah pun digegarkan dengan pengeboman yang menyebabkan kematian ke atas Rafiq Hariri, saudara syak ini angkara siapa?

Saya masih anggap ini kerja-kerja Amerika dan Israel. Sebab kalau Syria yang buat, satu kerja yang bodohlah sebab tindakan itu boleh merugikan diri dia sendiri. Kalau orang Syria yang buat, tidaklah pelik, sebab orang Melayu, orang Iran, orang Mesir dan orang negara mana pun boleh menjadi agen kepada Amerika. Tetapi sampai sekarang pun mereka tidak boleh siapkan laporan tersebut, meskipun Amerika hari pertama telahpun menuduh Syria. Kini mereka sendiri tidak boleh membuktikan siapa yang punya angkara. Kita nampak, kalau Syria yang buat, satu tindakan politik yang sangat-sangat bodohlah.

Tetapi, perlukan Syria berundur dari Lebanon seperti desakan Amerika Syarikat?

Syria telah menghadapi tekanan antarabangsa. Dia boleh undurlah, tetapi kita anggap tidak perlu. Namun persoalan yang timbul dari undurnya itu (gap) siapa yang hendak isi? Ramai rakyat Lebanon yang menganggap Hezbollah yang kena isi. Kalau ini berlaku, �mereka merancang, dan Allah juga merancang, tetapi perancangan Allahlah yang sebaik-baiknya�. Dan memang permintaan untuk Hezbollah isi sangat kuat sebab Hezbollah dianggap sebagai gerakan nasionalis yang telah membaktikan perjuangannya demi pembebasan Lebanon.

Tetapi adakah tindakan Syria menduduki Lebanon sebelum ini satu tindakan yang betul?

Dia perlu berada di Lebanon. Sebab dulunya kalau Syria tidak masuk, kumpulan Kristian secara terang-terangan telah memihak kepada Israel. Sampai sekarang pun beberapa jeneral Lebanon masih tidak pulang selepas lari ke Perancis dan negara-negara lain. Mereka yang mengurus kem Qiyam Prison kebanyakannya merupakan orang Kristian Lebanon yang telah berkerjasama dengan Israel. Jadi, Syria kena masuk untuk membantu Lebanon serta mengimbagi pengaruh Israel pada waktu itu.

Omar Karami yang pro-Syria telah pun terpaksa meletak jawatan kerana gagal membentuk kabinet baru Lebanon. Adakah perkembangan ini meruncingkan lagi konflik dalaman Lebanon?

Lebanon akan tetap runcing sampai beberapa ketika, kerana di sana mereka yang memainkan peranan terlalu banyak. Di sana ada peranan Iran, Syria, Amerika, Israel, Perancis yang masing-masing mahu menjadikan Lebanon di bawah pengaruh mereka. Soalnya, rakyat Lebanon yang kena menentukan nasibnya sendiri. Tetapi sayang sekali, gerakan Islam di pihak kita (baca: sunni) sangat-sangat lemah. Ini yang mengecewakan saya. Saya bertemu dengan Faisal Maulawi, Ketua Ikhwanul Muslimin di Lebanon, saya tengok mereka ini tidak dapat meraih sokongan massa. Massa tidak bersama mereka! Kenapa? Inilah persoalannya. Sedangkan mereka menulis buku macam-macam untuk orang lain baca, tetapi mereka sendiri tidak mendapat massa.

Jadi, kalaulah gerakan Islam sunni dapat menguasai separuh sahaja penganutnya, bolehlah mereka bersama-sama dengan Hezbollah menentukan corak politik Lebanon yang akhirnya menguntungkan Islam. Memang, selepas perang saudara yang panjang, kedudukan Islam lebih baik berbanding sebelum itu. Saya kira kalau kita mendapat kekuatan politik ini, tidak mustahil orang Islam dapat pegang semula politik Lebanon termasuklah jawatan presidennya sekali. Apatah lagi orang Islam di sana sudah mencapai 60%, manakala orang Kristian ramai yang lari ke luar negara terutamanya sewaktu perang saudara dulu.

Mungkinkah berulang kembali perang saudara di sana?

Saya nampak semuanya akan mengelak, termasuklah puak Kristian dan sebagainya. Ini kerana mereka semua tidak berani untuk cabar Hezbollah dalam bidang ketenteraan. Saya sendiri ketika berada di Lebanon nampak jelas, apabila tentera-tentera Lebanon melihat anggota Hezbollah mereka memberi tabik hormat. Walaubagaimanapun di sana, mereka bolehlah hentam dan kritik Hezbollah, tetapi mereka tidak berani untuk cabar keupayaan Hezbollah. Hezbollah macam jadi tenaga pengimbanglah antara kerajaan dengan rakyat.

Menurut perkiraan saudara, bagaimana agaknya kesudahan politik Lebanon?

Saya rasa golongan Islam akan muncul dan menjadi lebih kuat pada masa akan datang. Dan, kita harap jugalah gerakan Islam sunni dapat membuat perubahan supaya akhirnya mereka dapat bergabung kekuatan dengan Hezbollah. Sebab, Lebanon satu ketika Islamnya hanya 40% sahaja, sekarang sudah dah jadi 60%. Di samping itu, kekuatan politik dan ekonomi muslim di sana semakin hari semakin kuat.

Saudara tentunya pernah bersua dengan Hassan Nasrallah. Apakah ciri-cirinya yang menyebabkan saudara mungkin tertarik dengan beliau?

Dia memang seorang yang berilmu, berakhlak serta mengetahui perkembangan-perkembangan di dunia termasuk hal Malaysia, PAS dll. Lebih terkesan lagi dengan keikhlasan beliau dalam perjuangannya. Dalam bab keikhlasan ini terserlah sekali bila beliau bercakap soal tanggungjawab dalam membebaskan Baitul Maqdis. Bagi beliau, �lebih baik kita (baca: Hezbollah, orang-orang shiah) membebaskan Baitul Maqdis dari orang-orang Yahudi, dan kemudian orang sunni membunuh semua orang-orang shiah. Ini lebih baik daripada membiarkan Baitul Maqdis terus berada di tangan orang-orang Yahudi�. Jadi, hingga begitu sekali jiwa dan kecintaan beliau terhadap Baitul Maqdis. Sebab, tentunya beliau sendiri pun tahu tentang sejarah tragis pembunuhan orang-orang shiah yang berlaku di Palestine dan Lebanon sebelum ini. Saya rasa tiadalah dalam jiwa ulama-ulama kita yang bercakap sampai ke tahap macam itu sekali. Itulah yang menyebabkan saya semakin tertarik dengan beliau.

Lagipun beliau sanggup mengorbankan anak sendirinya. Contohnya, apabila beliau bercakap soal berkorban melawan Israel, beliau telahpun mengorbankan anaknya � Hadi Nasrallah, 17 � yang syahid di medan semasa bertempur dengan tentera-tentera Israel di selatan Lebanon. Itulah antara bukti pengorbanan beliau dalam perjuangan Islam ini. Bayangkanlah anaknya yang semuda itu telah diserahkan demi perjuangan Islam. Di samping itu, apabila saya berjumpa dengan orang-orang awam Lebanon sendiri, dan saya tanyakan kepada mereka mengenai Sayyed Hassan Nasrallah, tampak nyata sekali mereka cukup hormat dengannya dengan menyatakan, �dia betul-betul leader kami, sebab apabila dia bercakap soal pergorbanan, maka dia sendiri sanggup mengorbankan anaknya terlebih dahulu�.

Oh�ya, kami tanyakan soalan ini kerana Sheikh Yusof Al-Qardawi dan Bashir Al-Assad sendiri turut mengagumi anak muda yang bernama Hassan Nasrallah ini?

Ya. Lagi satu yang perlu saya sebutkan di sini. Bila berlaku revolusi Islam Iran, bangsa Arab ini mempunyai Assabiyyah yang sangat tinggi. Manakala orang Parsi pula menganggap semua bangsa lain lebih rendah dari mereka. Mereka yang berketurunan Aryan begitu berbangga dengan tamadun mereka yang telah lama wujud sebelum datangnya Islam lagi.

Bila berlaku revolusi Islam Iran, ulama-ulama termasuk dari gerakan Islam tidak boleh terima orang-orang Iran; sebab Assabiyyah orang-orang Arab ini tinggi. Dia tidak macam kita. Kita, mamak pun boleh menjadi Perdana Menteri! Sebenarnya universalisme Islam kita jauh lebih tinggi dari mereka ini. Kita tidaklah Assabiyyah seperti mereka. Sebab itu, Lebanon hanya dikuasai oleh dua keluarga sahaja; satu keluarga Salim Hos dan satu lagi keluarga Karami. Dua golongan keluarga inilah yang menguasai Lebanon. Lagi satu tribe ialah Hariri, tetapi dia dianggap sebagai pendatang sebab ayahnya berketurunan Arab Saudi.

Maksud saya di sini. Apabila Imam Khomeini muncul, Arab dan termasuk juga gerakan Islam yang lain tidak begitu menyanjung revolusi ini kerana Imam Khomeini berbangsa Parsi. Tetapi bila Hezbollah dan Sayyed Hassan Nasrallah ini muncul, mereka dapat terima sebab beliau berbangsa Arab. Kita kena faham budaya dalam masyarakat Arab ini, mazhab perkara kedua manakala qaumiyyah itu perkara pertama. Macam di Iraq juga, ada Baath sunni, ada juga Baath shiah. Tetapi kalau apa-apa berlaku pada Baath shiah, Baath sunni akan membantu. Ini congak pemikiran mereka. Jadi sekarang apabila Sayyed Hassan Nasrallah itu Arab, maka Al-Qardawi dan Ikhwanul Muslimin ada sisi pandang lain jika hendak dibandingkan dengan Khomeini itu dulu.

Dulu Ikhwan memandang sinis dengan revolusi Islam Iran, termasuk juga Almarhum Saeed Hawwa yang mengkritik keras Imam Khomeini ini. Tetapi sekarang ini, ulama-ulama Ikhwan sudah pandang tinggi pada Sayyed Hassan Nasrallah. Sebab itu, bila Sheikh Al-Qardawi pergi ke Lebanon, dia mengaku Sayyed Hassan Nasrallah itu anaknya, �saya berbangga melahirkan seorang anak yang seperti ini, yang berada di medan perdana menghadapi Israel�. Dan saya jumpa seorang ulama daripada Hizbut-Tahrir, dia mengaku sangat-sangat benci pada Imam Khomeini, tetapi dia boleh terima kepimpinan Hassan Nasarallah. Walhal marja� Hassan Nasrallah ini adalah orang Iran (baca: Ayatollah Ali Khamenei).

Sebab itu Amerika cukup bimbang kalau negara Islam naik di Iraq. Sebab sekarang ini, Ibrahim Jaafari (berbangsa Arab) mampu untuk mempengaruhi negara-negara Arab yang lain seperti Kuwait, Arab Saudi, Syria dll atas faktor qaumiyyahnya itu. Berpunca dari inilah, timbulnya teori bulan sabit seperti yang disebut oleh Raja Jordan sebelum ini. Jadi, bila orang Arab sendiri yang naik, maka susahlah sikit negara-negara Arab yang lain untuk bercakap soal qaumiyyah itu lagi. Maka, sebab itu apabila Sayyed Hassan Nasrallah dipuji oleh Syeikh Al-Qardawi, ia bukanlah suatu perkara yang menghairankan, kerana beliau sendiri telah dianggap sebagai kaumnya juga.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: