jump to navigation

Lalu diciptakan… Januari 10, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Le Khair”Ruh itu seumpama tentera yang sentiasa awas-mengawasi. Yang saling bersesuaian di antaranya menjadi jinak (mesra), manakala yang saling bertentangan pula akan berselisih” – Hadis sahih riwayat Ahmad

Sejak kali pertama menemui hadis ini, saya begitu teruja dengan maknanya yang begitu mendalam. Ia memperjelaskan suatu hakikat yang melatari personaliti manusia dan kecenderungan dalam perhubungan.

Kita tidak mampu untuk mengasihi semua orang. Kita juga tidak mampu memberikan kasih yang sama rata kepada setiap insan yang kita kasihi. Seorang ayah barangkali lebih mengasihi anak terbongsu, seorang ibu barangkali lebih mengasihi kakak yang sulong.

Walau ayah tidak sekali-kali akan menyebutnya, walau ibu sekali-kali tidak akan mengakuinya, namun adik beradik yang tumbuh membesar bersama-sama dalam rumah itu tetap akan dapat merasainya. Kenapa? Kerana apa yang dialun dan digemakan di dalam hati tetap dirasai oleh hati.

Yusuf bin Yaaqub as telah dicemburui kerana lebih dikasihi oleh bapanya as sehingga dicampakkan ke dalam perigi buta. Aisyah binti Abi Bakar ra dicemburui oleh isteri-isteri baginda Rasulullah saw.

Bahkan Khadijah ra pernah dicemburui oleh Aisyah ra sendiri hingga mengeluarkan kata-kata yang menyinggung Rasulullah saw, walaupun telah lebih awal mengadap Rabbul áalamin, hanya kerana Rasulullah saw menjaga silaturrahim dengan keluarga dan sahabat-sahabat khadijah ra, acap pula mengingati dan menyebut namanya.

Keadilan Yaaqub as terhadap anak-anaknya tidak pernah kita ragui, apatah pula keadilan Rasulullah saw terhadap isteri-isteri baginda. Itu adalah keadilan para nabi yang tidak terjangkau. Dan ini menjadi bukti nyata tentang hakikat hati manusia.

Kita boleh bertingkah dan berlaku adil – dan itu adalah tuntutan besar dan utama dalam kehidupan beragama – tetapi kita tidak mungkin mampu memaksa hati untuk memberi “perasaan” yang boleh dipotong sama, kerana hati itu tetap milik Allah swt, Al-Badii’ yang maha mencipta.

Sungguh, hati manusia berada di antara dua jemari Ar-Rahman, dibolak balikkan sebagaimana yang Dia kehendaki (hadis muslim). Bukankah Dia Rabbul Falaq yang “membelahi” setiap benih dan setiap zarah atom? Bukankah Dia Al-Muhyii yang menumbuhkan setiap daging dan lulur darah? Bukankah Dia yang memegang setiap inci kewujudan, lahuu malakuutu kulli syaik.

Kita tidak mampu pun untuk memaksakan hati manusia untuk mengasihi kita, tidak pula hati kita sendiri untuk mengasihi sesiapa. Namun, Dialah yang mencampakkan kasih-sayang di dalam hati sesiapa yang Dia kehendaki.

“…sekiranya engkau membelanjakan seluruh yang ada di bumi, engkau tidak akan dapat menjinakkan di antara hati-hati mereka, namun Allah lah yang menjinakkan sesama (hati-hati) mereka (untuk dikumpul bersama), sungguh Dia maha mulia perkasa lagi maha bijaksana.”

Rasulullah saw pernah mengangkat tangan dan mengadukan kelemahan diri pada Tuhannya, “Allahumma hadzaa qismi fiima amlik, falaa talumni rabbi fiima tamliku walaa amlik”, yang bermaksud, “Wahai Allah! Inilah kadar pembahagianku terhadap apa yang aku miliki (kuasai), maka janganlah Engkau mencelaku wahai Tuhanku terhadap apa yang Engkau miliki sedang aku tidak memilikinya (yakni hati)”. Doa ini begitu masyhur, dan kisah di sebaliknya juga begitu masyhur.

Dia insan terbaik (juga suami terbaik) menggembirakan isteri-isteri dengan hadiah sebentuk cincin setiap seorang, untuk mereka mengetahui bahawa diri dikasihi. Semua isteri baginda mendapat makanan yang sama dengan kadar yang sama, juga pakaian dengan kadar yang sama.

Namun, menginsafi hakikat kemanusiaannya yang faqir kepada keagungan Allah, lemah pada kebesaran Allah. Hanya seorang manusia, yang tidak pun menguasai perjalanan darahnya sendiri, tidak pula degupan nafasnya sendiri, apatah lagi seketul hati yang tidak pernah dapat disentuhnya.

Dia mengadapkan wajah pada Penciptanya lalu menyatakan, “inilah yang mampu kubahagikan daripada apa yang aku miliki, janganlah Kau cela hamba ini terhadap hati ini yang Kau miliki dan aku tidak memilikinya.”

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: