jump to navigation

Imperialisme dan Tamadun Islam Februari 8, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohd Zaidi AbdullahKita sering didedahkan dengan Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Rida, Muhammad Abdul Wahhab (1703-1792) dan seumpamanya. Sebagai orang Islam, tidak wajar hanya dirujuk ilmu keislaman hanya pada orang atau tokoh tertentu. Ketidakwajaran adalah waras jika mereka tidak berada dalam kelompok yang berpegang pada ijma’. Tanpa ijma’, sesiapa boleh menafsir Islam sesuka hati seperti isu Amina Wadud. Tulisan ini mendukung prinsip yang berteraskan al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qiyas seperti yang dikemukakan oleh al-Imam al-Shafiei (w.204H) dalam al-Risalahnya. Kebenaran mesti ditinjau dari sudut keilmuan bukan pentas politik atau apa yang bersifat sementara.

Umat Islam masih berada di persimpangan jalan, ini boleh dikatakan bermula pada tahun 1213/1798 apabila Perancis menduduki bumi Mesir. Pendudukan ini sebenarnya telah memberi kesan yang mendalam terhadap umat Islam dan dengannya, bermula secara berperingkat penjajahan ke atas wilayah utama dunia Islam.

Lebih mendukacitakan dengan kelemahan yang telah dimiliki umat, satu perkara yang dilarang Nabi Muhammad s.a.w. yakni peperangan sesama sendiri telah berlaku atas nama agama di Semenanjung Tanah Arab pada 1217/1803 oleh golongan Wahhabi. Pendekatan golongan Wahhabi perlu dikaji semula kerana Imam Ahmad, seorang tokoh zaman salaf sebenar, tidak menggunakan kekerasan sekalipun beliau terpaksa berdepan dengan pemerintah yang menganut ajaran sesat dan kuku besi sehingga dipenjarakan. Pendudukan serta peperangan saudara ini boleh dikatakan sebagai punca keruntuhan kekuatan umat Islam. Paling mendukacitakan, pertahanan Uthmaniyyah yang dicuba-pecahkan oleh negara-negara Eropah tidak dibantu oleh umat Islam sendiri. Tetapi, yang nyata, umat mengambil jalan berperang sesama sendiri atas pelbagai alasan. Tiga realiti sejarah ini perlu disedari dengan keinsafan. Jika tidak, umat Islam tidak akan ke mana-mana. Yakni hanya berlegar-legar dalam kesilapan demi kesilapan yang dilakukan.

Dengan mengambil kira realiti sebenar umat Islam, Hasan al-Attar (kemudiannya dilantik sebagai Syeikhul Azhar) berusaha mengukuhkan tamadun Islam. Ilmu yang bersepadu merupakan matlamatnya. Ini kerana wahyu diturunkan sesuai dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w., aku diutuskan dengan bentuk kata yang ringkas tetapi padat makna (jawami‘ kalim). (Hasyiah al-‘Attar ‘ala Syarh al-Khabisi, hlm. 9, Mesir: Dar Ihya al-Kutub al-‘Arabiyyah) Inilah junjungan ilmiahnya bukan kajian bidang-bidang ilmu yang tertentu sahaja kerana kecenderungan yang tidak bersepadu dan terjalin masih tidak menepati pengajian Islam tulen.

Sesuai dengan citra kesepaduan dan keterjalinan, Hasan al-Attar mengkaji pelbagai bidang ilmu daripada para guru yang dijumpai di Mesir, Syria dan Turki. Inilah latar belakang ilmunya. Jika Imam Syafiei berjaya memandu umat terutama tokoh hadith bagaimana berinteraksi dengan al-Quran dan al-Sunnah melalui karya agungnya, al-Risalah, yang merupakan kitab usul fiqh pertama di dunia maka beliau turut mengkaji usul fiqh dengan analisis kritis dan disiplin yang halus dan mendalam melalui karyanya, Hasyiah al-Attar ‘ala Jam‘ al-Jawami‘. Sekalipun berupa hasyiah (komentar tambahan) namun isi kandungannya mencabar fikiran pengkajinya.

Dalam karya-karya beliau, jelas tidak dilakukan pemisahan antara ilmu dunia dan ilmu akhirat tetapi memberikan kedudukan yang sesuai menurut keutamaan masing-masing. Ilmu tasawwuf dianggap ‘buah’ atau hasil dari pengamalan syariat. Pendekatan ini tidak akan merugikan umat kerana sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh hasil berbeza dengan mereka yang hanya ‘berpada’ atau ‘malas’.

Dengan kesedaran skop pengetahuan itu luas, beliau sanggup berdialog dengan sarjana-sarjana Perancis yang berada di Mesir. Di sini, bertukar-tukar ilmu telah dilakukan. Namun, beliau tidak sekali-kali terpesona dengan pendekatan orang Perancis, yang baik diterima manakala yang buruk diketepikannya. Pembaharuan yang dilakukannya sesuai dengan keupayaan umat pada ketika itu tidak seperti al-Afghani, Abduh, Muhammad Abdul Wahhab dan seumpamanya yang terang-terang mengkritik umat.

Hasan al-‘Attar sedar kejayaan kebendaan Perancis telah mengatasi apa yang dimiliki oleh tamadun Islam seperti teknologi tertentu yang disaksi dan diuji sendiri oleh beliau. Tetapi, beliau masih tetap berpegang dengan paradigma pemikiran tauhid dan segala cabangannya yang telah memandu umat sepanjang zaman. Ilmu perlu dituntut. Inilah yang mendorongnya belajar dan mengajar. Muridnya yang terpilih iaitu Rifaah Rafi‘ al-Tahtawi telah mengetuai rombongan ke Perancis untuk mendalami ilmu di sana. Setelah kembali, al-Tahtawi telah menulis Talkhis al-Ibriz dan kitab ini telah diberi kata aluan oleh gurunya, Syeikhul Azhar Hasan al-Attar. Namun, al-Tahtawi masih tidak terpesona dengan membabi buta. Ilmu-ilmu dipelajarinya di Perancis perlu disaring berdasarkan ajaran Islam. Jelas, dalam tulisan al-Tahtawi sendiri, bermazhab atau pemikiran ulama silam tidak dikritik jika bertaraf ijma’. Ini jelas berbeza dengan Muhammad Abduh yang lahir kemudian dengan melaungkan reformasi yang tegas.

Dalam buku Tawhid And Science, Prof. Osman Bakar (seorang sarjana sains teori dan tokoh sains Islam) telah mengkaji menurut kacamata sains, kajian dan penampilan yang dilakukan oleh al-Afghani dan kawan-kawannya amat lemah kerana kurang memahami sains sebenar sekalipun menguasai pemikiran Islam. Ini berbeza dengan al-Attar yang memahami tradisi pemikiran Islam dan, bijak dalam sains dan teknologi Eropah pada masa itu.

Al-Attar yang memahami tradisi pemikiran Islam berjaya menentukan keutamaan bidang ilmu. Beliau turut mengkaji ilmu geometri (mungkin non-Euclidian), astronomi pasca-Tusi, dan lain-lain. Inilah cabaran yang disahut bagi menandingi Eropah yang memanfaatkan sumber yang sama pada zaman itu. Tetapi, mungkin faktor politik serta perancangan pihak tertentu maka pendekatan al-Attar hampir terbiar langsung di dunia Islam. Para penyelidik lebih berminat dengan cara al-Afghani dan Muhammad Abdul Wahhab yang agresif dan tergesa-gesa, cara Muhammad Abduh yang mengenepikan warisan silam dan cara-cara lain. Universiti Azhar hampir dipengaruhi semua pendekatan Muhammad Abduh. Menurut Dr. Sulaiman Nordin dalam Sejarah Pemikiran, Muhammad Abduh (1845-1905) dilantik ke jawatan tinggi dalam bidang agama oleh Lord Cromer. Dalam pada masa yang sama, golongan Muhammad Abduh menganggap ulama selain mereka sebagai jumud. Tanpa membuktikan apakah yang jumud dalam tradisi pemikiran Islam sama ada sainsnya atau agamanya secara bukti yang terang dan jelas. Apakah piawai untuk didakwa apa yang jumud atau apa yang tidak. Adakah Muhammad Abduh mengkaji dengan mendalam sains dan teknologi dengan menulis karya dalam bidangnya dengan kritis ??!! Maka, dalam hal ini, jelas beliau tidak berjaya. Seruan untuk berjaya yang dilakukannya lebih bersifat retorik atau cakap-cakap sahaja.

Sebenarnya Hasan al-‘Attar jelas mampu menulis dalam bidang ilmu yang sedang dimajukan oleh Perancis yang merupakan negara utama dalam kemajuan sains dan teknologi pada ketika itu. Pemikiran al-‘Attar amat diminati oleh ulama Makkah. Demikian tertulis dalam Imdad al-Fattah bi Asanid wa Marwiyyat al-Syeikh Abd al-Fattah, hlm. 287, susunan Muhammad Abdullah Alu Rasyid.

Ulama Makkah memang mempengaruhi ulama Nusantara. Hampir semua tokoh ulama Nusantara belajar ilmu di Makkah. Jadi, sedikit sebanyak cara pemikiran Hasan al-‘Attar pasti mempengaruhi alam Nusantara. Ini bertambah jelas apabila Syeikh Ali al-Maliki al-Makki (w.1367/1948M) sendiri yang merupakan ulama Makkah tersohor pernah mentahqiq kitab Hasyiah a-Attar ‘ala Jam‘ al-Jawami‘.

Kesimpulannya, fakta dan interpretasi yang dikemukakan jelas memperlihatkan imperialisme sedikit sebanyak mempengaruhi kedudukan tamadun Islam serta potensinya. Dengan kehadiran imperialis, umat yang berpegang pada empat sumber utama Islam masih mampu bertahan. Ketika umat teruji tidak sepatutnya jati diri diketepikan semata-mata untuk jadi ‘maju’. Umat perlu diajak mengutamakan ilmu sepertimana zaman penjajahan di Nusantara, para ulama kita telah menyelamatkan maruah kita dengan khazanah keilmuan yang mengagumkan sekalipun aspek politik agak lemah dan bertahan.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: