jump to navigation

Kembara Sufi Sub Sahara VII: Shaykh Amadu Bamba dan Jemaah Muridiyya Februari 11, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Kaki Bangku

Pada tahun lepas, saya memulakan siri ini dengan sejarah Qadiriyya dan Tijaniyya di Afrika Barat sekitar kurun ke-18, iaitu era pra-imperialisme Eropah. Namun, dalam dua siri terakhir saya beralih fokus kepada sejarah para sufi di sebelah timur Afrika. Kali ini saya akan kembali kepada senario barat Afrika di kala penjajahan Perancis pula apabila munculnya Shaykh Amadu Bamba dan jemaahnya, Muridiyya.

Seperti biasa, saya akan cuba mendapatkan pandangan mereka yang menyaksikan secara langsung warisan para sufi di sub Sahara. Ini bertujuan untuk memastikan kesahihan maklumat dari buku-buku di arkib Africana universiti dan artikel-artikel di Google Scholar. Untuk siri VII ini, saya berdiskusi bersama Prof Seesemann dan Prof Ware, dua orang muallaf yang bertugas sebagai pensyarah dan penyelidik di Institute for the Study of Islamic Thought in Africa (ISITA). Mereka memberi gambaran positif mengenai impak Muridiyyya terhadap masyarakat Senegal dan warisan tradisi Islam secara umumnya.

Terlebih dahulu, bagi pembaca-pembaca setia siri Kembara Sufi, saya mohon ampun kerana mengambil masa yang lama untuk menyambung siri ini. Saya terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan bahan bacaan mengenai tariqat Muridyya ini, apatah lagi ianya adalah fenomena Afrika Barat yang paling banyak dikaji. Saya juga sangsi terhadap ketulenan amalan sebuah cabang Muridiyya bernama Baye Faal yang mirip kepada gaya hidup Rasta di Jamaica. Saya terus buntu untuk menjawab persoalan ini hingga akhirnya mendapat penjelasan dari Prof Ware.

Tariqat Muridiyya mempunyai kira-kira setengah juta pengikut di sekitar Touba, iaitu markas utama mereka. Shaykh Amadu Bamba (1850 – 1927), pengasas tariqat ini, dilahirkan di Mbacke, Senegal dan mendapat pendidikan awal dalam ilmu agama daripada bapanya, seorang shaykh tariqat Qadiriyya. Kewibawaannya terserlah setelah pulang menuntut ilmu dari Mauritania dan mendapat baiah daripada ulama Qadiriyya tersohor, Shaykh Sidya Baba.

Beliau mengasaskan madrasah Daara Tarbiyya pada 1884 dan kewibawaannya menarik puluhan ribu pengikut. Madrasah ini kemudiannya berkembang menjadi markas utama kegiatan pengikut Shaykh Amadu Bamba. Prof Ware, dalam pertemuan saya denganya, menyatakan beliau dalam proses untuk menyiapkan kajian mengenai falsafah pedagogi yang diatur oleh Shaykh Amadu Bamba. Beliau mengagumi kaedah tersebut dan menyatakan ianya wajar diteruskan dalam masyarakat moden Senegal sekarang.

Saya mendapati tema utama yang sering diperkatakan oleh sarjana-sarjana Barat ialah aspek penentangannya terhadap penjajahan imperialis Perancis yang dilakukan secara non-violent. Pendekatan ini agak radikal dalam masyarakat yang hanya mengenali keganasan untuk menyelesaikan masalah. Lihat sahaja para pengikut tariqat Tijaniyya di mana pemimpin mereka, El-Hajj Umar Tall menjalankan pemberontakan ganas terhadap Perancis. Sebaliknya, Shaykh Amadu Bamba cuba membangunkan masyarakat secara bottom-up iaitu melalui pendidikan dan kekuatan ekonomi.

Apa yang saya maksudkan di sini ialah fenomena ekonomi tanaman kacang yang dijalankan oleh jemaah Muridiyya. Hinggakan, kekayaan mereka memecahkan dominasi ekonomi Perancis di Afrika Barat. Pihak Perancis rasa tercabar dengan Shaykh Amadu Bamba lalu membuang beliau ke negara Mauritania selama 5 tahun. Dalam tempoh tersebut murid-muridnya terus konsisten membangunkan pendidikan dan ekonomi masyarakat Wolof di Senegal sementara Shaykh Amadu Bamba menjelaskan kepada kolonialis Perancis bahawa beliau hanya berminat untuk mendekatkan diri pada Allah.

Sebenarnya, idea-idea pembangunan ekonomi ini bukanlah tumpuan utama beliau. Konsep-konsep pembangunan ekonomi ini lahir secara tidak langsung dari kesetiaan anak-anak muridnya untuk berbakti kepada Shaykh Amadu Bamba dan kesungguhan mereka dalam bercucuk tanam. Saya mendapati Shaykh Amadu Bamba lebih menumpukan kepada pendidikan tasawwuf dan fiqh mazhab Maliki. Beliau membangunkan silibus pendidikan Islam sebagai alternatif kepada sekolah-sekolah missionari Kristian yang ditubuhkan oleh Perancis pada waktu itu. Kenyataan ini disokong lagi apabila saya menghadiri sesi pelancaran Volume 4 “Islam and Arabic in the Western Sahara”, sebuah projek yang mengumpulkan bibliografi penulisan-penulisan bahasa Arab di mana tersenarai kitab-kitab Shaykh Amadu Bamba yang dikarang dalam bahasa Arab.

Kekayaan jemaah ini terus berkembang hingga ke hari ini seperti yang dapat dilihat melalui kemewahan markas utama mereka di Touba [lihat gambar]. Para pemimpin Muridiyya hingga kini mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat dan politik Senegal. Di luar Senegal pula, para pengikut Muridiyya terkenal dengan semangat keusahawanan. Mereka membentuk pelbagai jaringan perniagaan di Eropah dan USA, khususnya di Marseille(Perancis), Turin (Itali) dan Harlem (New York). Agak mengkagumkan bagaimana seorang sufi boleh merubah nasib bangsa Wolofnya menjadi antara masyarakat paling kaya di Senegal.

Malangnya, selain Shaykh Amadu Bamba, tidak ramai cendekiawan tulen Muridiyya. Arena intelektual Senegal terus didominasi ulama-ulama Tijaniyya seperti Shaykh Ibrahim Niasse (digelar Reviver of the Sunnah dan aktif dalam pelbagai organisasi antarabangsa), anak muridnya Shaykh Hassan Cisse, as-syahid al-Hajj umar Tall (pengarang al-Rimah), Cerno Bokar dan lain-lain.

Sumber rujukan:

1. Babou, Cheikh Anta Mbacke, 2002. Amadu Bamba and the Founding of the Muridiya.
2. Creevey, Lucy, 1979. Ahmad Bamba 1850-1927.
3. Mbacke, Khadim, 2005. Sufism and Religious Brotherhoods in Senegal.
4. Cruise O’Brien, Donal B., 1971. The Mourides of Senegal. The Political and Economic Organization of an Islamic Brotherhood.
5. Savishinsky, Neil J., 1994. The Baye Faal in Senegambia: Muslim Rastas in the Promised Land.
6. Diskusi bersama Ruediger Seesemann dan Rudolph Ware.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: