jump to navigation

Mati Itu Pasti Februari 14, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Mozahiri Shamsudin

Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan berakhir dengan kematian. Walau betapa hebatnya seseorang itu di dunia yang fana ini, kesudahannya liang lahad yang gelap dan sempit jua sebagai tempat tinggalnya. Kain serba putih sebagai pakaian. Menjadi mamahan semut dan ulat. Keseorangan di lubang kubur tanpa berteman, berakan-taulan dan saudara. Jika kebaikan dan kecintaan Allah SWT yang dibawanya sebagai bekalan, berbahagialah dia di Alam Barzakh itu. Namun sebaliknya, jika keburukan dan kemurkaan Allah SWT dikendongnya sebagai pimpinan semasa di dunia dan seterusnya ke kubur, amat malanglah dia di Alam Kubur.

Manusia yang lahir (Muslim) ke dunia daripada perut ibu yang amat menyanyanginya, akan disambut dengan laungan azan oleh si bapa yang amat mengasihinya. Setiap manusia yang kembali kepada Penciptanya yakni Allah SWT, akan didahului dengan solat (solat jenazah) baginya. Wahai sahabat-sahabat, antara azan dan solat amatlah singkat kehidupan di dunia imaginasi ini. Tarikh, Tahun, Hari dan Masa kita di lahirkan sudah kita ketahui. Walaubagaimanapun, saat untuk menamatkan tempoh ujian Allah SWT di Alam Dunia-Nya pada manusia, tidak pula diketahui. Itu semua Rahsia Illahi. Adalah tidak layak bagi kita untuk mengetahui rahsia-Nya Yang Maha Mulia. Semua manusia sudah ditetapkan saat kembalinya kepada Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud “Tidaklah diri seseorang itu akan mati, melainkan dengan seizin Tuhan. Suratan yang dijanjikan” (Ali Imran:145).

Walaupun manusia itu sedar bahawa, dia akan kembali menemui Tuhannya pada satu tarikh yang tidak diketahui dan tidak pasti namun, amat sedikitlah daripada kita yang mengingatinya. Apatahlagi, untuk beramal bagi bersedia diri sebelum Izrail datang mewakili Allah SWT menjemput Ruh kita ke Alam Realiti (Alam Barzakh-Alam Akhirat) bagi mempertanggungjawab segala perilaku di dunia. Sesungguhnya, mengingati mati itu adalah lebih afdhal daripada menghitung dan mengira kenikmatan dunia. Telah berkata Atho’ Al-Khurasani RA, Rasulullah SAW lalu dalam suatu majlis yang penuh dengan gelak ketawa. Maka baginda bersabda: “Campurilah majlismu dengan mengingati sesuatu yang mengeruhkan kelazatan “. Mereka bertanya, “Apakah pengeruh kelazatan itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Pengeruh kelazatan itu ialah Maut” (Imam Al-Ghazali, Ramuan Ubat. terjemahan Kitab Mukasyafah Al-Qulub. penterjemah, M.Qodirun Nur).

Justeru bagi memastikan diri kita mudah menghadapi Sakaratul Maut, maka amat penting bagi kita untuk mentazkirah dan memuhasabah diri, agar tidak bisa terpedaya dengan perangkap dan tipu daya Syaitan yang dilaknati. Ini jelas diingatkan oleh Allah SWT supaya kita berteguh hati memusuhi Syaitan dalam firman-Nya yang bermaksud “ Sesungguhnya Syaitan itu bagi kamu adalah musuh, maka jadikanlah dia sebagai musuh” (Surah Al-Fathir: 6). Tambahan daripada itu, selalulah mengingati Allah yang satu dalam apa jua keadaan dalam usaha menghindarkan diri daripadanya(Syaitan). Ini kerana tanpa hubungan yang rapat dengan Allah SWT, amat mudahlah dia menguasai kita, terutamanya ketika saat kita hendak kembali ke Rahmahtullah. Syeikh Abdullah Al-Fatani mengatakan menerusi tinta penanya dengan menjelaskan:

“Ketika itu datang syaitan merupakan ibunya yang telah meninggal duduk di sebelah kirinya, berkata sambil menangis, katanya Hai, anakku. Aku adalah ibumu, yang mengandungmu dengan susah payah,dan telah memeliharamu semenjak kecil. Bukan main kasih sayangku kepadamu, Nak! Sekarang kau akan meninggal, maka ikutilah olehmu agama Yahudi, kerana itulah sebaik-baik agama. Dan yang seorang lagi merupakan seorang bapa yang telah meninggal, duduk disebelah kanannya seraya berkata : Hai anakku! Sayang Bapa kepadamu, tidak kalah dari sayang ibumu. Tidak kenal siang, malam aku mencarikan nafkah untukmu. Nak! Sekarang engkau akan meninggal, maka ikutilah agama Nasrani , kerana itu adalah sebaik-baik agama” – ( Kitab Kasyaful Gummah, hal. 17).

Semoga kita dihindarkan dan dijauhkan daripada godaan sakaratul maut sebegitu rupa. Nau’zubillah.

Oleh yang demikian, dalam meniti jalanan duniawi yang beronak-duri dan kesudahan yang pasti iaitu ‘mati’; maka beringat-ingatlah akan bekalan yang bakal dibawa ke sana nanti. Sifatul Mazmumah dan semua sifat yang dicela Allah SWT hendaklah dikorbankan. Gantilah dengan Sifatul Mahmudah dan semua sifat yang dipuji Allah SWT. Mudah-mudahan kita dilindungi dan dikasihi-Nya.

Sesungguhnya, tiadalah sakit yang amat pedih melainkan maut. Semua manusia pasti merasakannya, seorang sekali. Ingatlah wahai sahabat, setiap keburukan yang kita gugurkan dan kebaikan sebagai penggantinya dapatlah sedikit sebanyak menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan memudahkan Ruh keluar daripada jasad kerana pada waktu itulah, kepedihan yang amat perit bagi seseorang Insan. Ini dimaklumkan oleh Rasulullah SAW daripada Hasan, baginda bersabda “ Ingatlah maut, kepedihan dan sakitnya. Maut itu sama dengan tiga ratus pukulan pedang. Maut yang teringan bagaikan kawat jeruji menjerat kambing. Bila kambing lepas pasti ada bulu yang menyangkut padanya.”(Al-Ghazali, Mukasyafah al-Qulub).”Ya Allah! Betapa pedih dan peritnya saat kembali kepada-Mu, semoga permudahkanlah kami kembali pada-Mu” AMIN.

Sebelum mata pena ini diangkat, ingin diingatkan sekali lagi sesungguhnya, kematian itu adalah benar. Hidup di dunia ini hanya akan menjadi mimpi-mimpi ngeri bagi sesiapa yang mengambil syaitan dan iblis sebagai pimpinan serta menghabiskan tempoh had umur yang diberikan Allah SWT dengan kerja-kerja yang sia-sia. Walaubagaimanapun, ia akan menjadi mimpi-mimpi yang sangat indah bagi mereka yang mengambil Allah SWT sebagai pimpinan yang satu dengan tiada menyekutui-Nya dengan sesuatu yang lain.

Mati itu hanyalah berpindah tempat, dari terkurung di dalam sangkar sempit untuk terbang ke alam luas. Terbang dengan bebas dari pohon ke pohon menghisap dan menyeri bunga dalam taman indah. Taman yang indah dengan bunganya yang berwarna-warni dan menghamburkan bau yang wangi, harum semerbak. Bagi orang yang beriman, mati itu bukan bermakna lenyap tetapi berpindah ke alam lain, alam yang penuh kesenangan dan bahagia. Mereka akan berenang-renang di dalam Telaga Al-Kausar sebagaimana terapung-apungnya bunga seroja. Bersabda Rasulullah SAW (riwayat Muslim), daripada Said Al-Khudri RA:

“Para arwah itu mereka makan-makan dan bersenang-senang sesudah itu mereka bernaung pada kendil-kendil yang tergantung di Araysh. Maka Tuhan berkata kepada mereka itu,adakah kamu tahu apakah kemuliaan yang kamu yang kamu kecap sekarang ini? Jawab mereka itu, Tidak yang lain, hanya kami ingin sekali ke dalam tubuh kami supaya berperang sekali lagi. Berperang sambil mempertahankan agama Engkau” – (Muhammad Zuhair, Menyingkap Alam Sesudah Mati, 1995).

Sebagai penutup bicara, walaupun mati itu misteri tapi ia bererti. Ia pasti. Kita sebagai manusia ternanti-nanti pada suatu hari yang tidak pasti. Justeru, wahai sahabat-sahabat yang dikasihi Illahi, jadilah kita orang-orang yang beruntung dengan tidak mensia-siakan umur pinjaman Allah SWT kepada kita. Betul kita tidak dapat memastikan tempat kita di Syurga dengan amalan-amalan kebajikan kita di dunia, tetapi setidak-tidaknya janganlah kita leka membiarkan umur dan masa yang berlalu tanpa pengisian yang bermanfaat. Sesungguhnya kita akan berkesal hati dan berkeluh kesah di sana nanti. Beramallah bukan kerana syurga atau takut akan neraka, tetapi ikhlas beribadat kepada Allah SWT dan takut hanyalah pada-Nya. Ingatlah orang paling cerdik bukanlah yang mampu menghafal sejuta ilmu tetapi ialah yang paling banyak mengingati Mati, kerana dengan mengingati mati dia akan selalu meningkatkan amalannya. Rasulullah SAW bersabda: “Secerdik-cerdik manusia itu ialah mereka yang paling banyak mengingati mati.”

Semoga tulisan ini dapat memberi suntikan keinsafan dan kesedaran buat diri ini dan lebih-lebih lagi buat semua pembaca. Semoga diampunkan segala dosa dan kesalahan hamba Allah SWT yang kerdil ini, dan mudah-mudahan kita disediakan tempat yang mulia di sisi-Nya di Alam Akhirat kelak. Sama-samalah kita berdo’a semoga diperkenankan-Nya. Insya-Allah.

Mati Itu Pasti, Harinya Ternanti-nanti Bagaikan Satu Misteri. Wallahu’alam. Wassalam.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: