jump to navigation

Semoga aku seorang Muslim sejati Februari 16, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Khalif MuammarTulisan ini adalah merupakan jawapan saya atas artikel Haidar Bagir, Andai aku seorang Muslim liberal yang telah disiarkan oleh Ummahonline.com.

Pertama: Sebagai seorang Muslim sejati, aku akan meyakini bahawa aku berada dalam kebenaran. Bagiku Islam dan Iman adalah hidayah dan nikmat yang Allah telah kurniakan kepadaku, kerananya keyakinanku tidak mungkin bersifat tentatif. Hanya dengan keyakinan seperti ini aku mampu menyampaikan pesanan Tuhan dengan pasti (‘ala basiratin). Kerana diperkuat dengan ilmu, keimananku terhadap Allah, al-Qur’an dan Nabi Muhammad serta risalah yang dibawanya tidak akan goyah meskipun terdapat tuduhan dan distorsi ke atas ajaran Islam.

Setelah mendalami ilmu-ilmu Islam, dan bukan secara a priori mahupun taqlid, aku mengerti bahawa Iman bukan hanya suatu kepercayaan, tetapi merupakan keyakinan di dalam lubuk hati, pernyataan melalui lisan dan dibuktikan dengan perbuatan sebagai tanda berserah diri kepada kehendak Yang Maha Esa. Aku memahami Ibadah bukan hanya sebatas ritual dan spiritual, tetapi sebagai penghambaan diri terhadap Allah swt dalam segenap bidang kehidupan. Keyakinanku akan kebenaran ajaran Islam bertitik tolak daripada keyakinanku bahawa knowledge is possible dan seperti diungkapkan oleh al-Nasafi bahawa hakikat sesuatu itu tetap dan ilmu mengenainya sesuatu yang pasti (haqa’iq al-ashya’ thabitah wa al-ilmu biha mutahaqqiqun).

Kedua: Aku bersetuju dengan pandangan para sarjana Muslim, seperti Muhammad Iqbal, al-Attas dan al-Faruqi, bahawa masalah utama umat Islam adalah krisis ilmu. Bahawa jalan untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam adalah melalui pemerkasaan budaya ilmu, pencerahan dan pemberdayaan Ummat. Maka tanggungjawab para cendekia Muslim adalah membebaskan umat Islam dari belenggu kejahilan termasuk kejahilan tentang Islam itu sendiri. Pada hari ini yang menjadi kendala adalah kekeliruan epistemologi: ketidakmampuan ummat Islam mengatasi polemik akal dengan wahyu menambah lagi kekeliruan dan kejahilan ini. Aku melihat bahawa justeru sebahagian intelektual Muslim dipengaruhi pemikiran sekular Barat dan terperangkap dalam dikotomi: liberal versus literal, sakral versus mundane, objektif versus subjektif, progresif versus konservatif, teokrasi versus demokrasi. Dualisme dan dikotomi berlaku di Barat kerana kegagalan Gereja mengakomodasi moderniti dan kemajuan manusia.

Bagiku, Islam telah memberikan kedudukan yang sewajarnya kepada akal. Cukup tinggi kerana dengannya misi kekhalifahan hanya mungkin tercapai, tetapi tidak terlalu tinggi untuk didewakan atau disejajarkan dengan wahyu. Akal dan kebenaran yang diperolehinya tidak berdiri sendiri. Setelah mendalami epistemologi Islam, aku mengerti bahawa kebenaran sains harus tunduk kepada kebenaran wahyu dan bukan sebaliknya. Akal dan sains harus akur dengan keterbatasannya dan bahawa dalam perkara-perkara tertentu tidak mampu menjelaskan secara saintifik. Bagiku kebenaran sains adalah kebenaran yang datang dari Tuhan, kerana sains mengkaji fenomena kejadian makhluk Tuhan yang mengikuti sunnatullah. Demikian juga, kebenaran wahyu tidak akan bertentangan dengan kebenaran akal, jika akal memperolehinya dengan metode yang benar.

Sebagai seorang Muslim sejati, aku mengerti bahawa al-Qur’an sebagai pembimbing akal telah menjelaskan hakikat-hakikat kehidupan ini dengan begitu gamblang. Tugas akal fikiran hanya perlu memahaminya dan mengembangkannya. Bagiku, tiada dikotomi antara al-Qur’an dan akal, keduanya berjalan seiring, kerana, seperti dinyatakan oleh mantan Shekh al-Azhar Abdul Halim Mahmud bahawa Al-Qur’an adalah kitab akal kerana seluruh kandungan al-Qur’an mengarah kepada pembebasan akal dari lingkarannya yang sempit. Bagi kaum sekular kebenaran sains dan kebenaran agama dilihat secara terpisah.

Rabunnya umat Islam dalam membaca dan lumpuhnya mereka dalam berfikir tiada kaitan dengan al-Qur’an. Kerana sehebat manapun pembimbing tidak akan bermakna apa-apa kalau yang dibimbing tidak ada kemahuan untuk memperbaiki dirinya. Oleh kerananya aku sedar, dalam hal ini bukan salah Islam sehingga ia perlu dirubah dan bukan juga salah Barat sehingga ia perlu dimusuhi, tetapi salah umat Islam kerana memiliki apa yang dikatakan oleh Muhammad Iqbal “ego (khudi) yang lemah” atau meminjam istilah Malik Bennabi, mempunyai sikap qabiliyyat li al-Isti’mar (kecenderungan untuk dijajah).

Ketiga: Dalam menghadapi kemajuan (modernity), yang pada hari ini disinonimkan dengan Barat, aku tidak akan bersikap terlalu terbuka dan tidak juga tertutup. Islam mengajarku untuk selalu berusaha menggapai kecemerlangan dan membangunkan diri, bangsa dan masyarakat. Melalui pembacaanku, aku sedar bahawa Islam telah disalahfahami oleh sebahagian umat Islam yang anti kemajuan dan anti perubahan. Tetapi juga di sudut yang lain, Islam telah disalahfahami oleh golongan Muslim sekular yang menganggap agama sebagai penyebab kemunduran, oleh kerananya, menurut mereka agama perlu dibatasi hanya pada ruanglingkup kehidupan peribadi.

Untuk mengatasi dualisme pemikiran ini, aku menyedari perlunya rekonsepsi (membetulkan kefahaman) terhadap Islam dan bukan liberalisasi mahupun modenisasi Islam. Melalui penulisan para sarjana Muslim yang autoritatif aku mengerti bahawa Islam sebenarnya bersifat transformatif-liberatif: membawa misi perubahan dan pembebasan manusia sebagaimana terbukti pada generasi awal Islam. Apabila realitinya pada hari ini Islam tidak menjadikan ummat Islam maju dan bebas dari segala bentuk belenggu dan penindasan, ini bermakna wujudnya korupsi dalam memahami Islam. Aku yakin, seandainya Islam difahami dengan betul dan dilaksanakan dengan baik maka Islam mampu menjadi civilizing force, sebagaimana telah terbukti dalam sejarah Islam.

Keempat: Aku akan menjadikan tradisi sebagai landasan untuk aku berpijak. Bagiku tiada sebab mengapa aku harus membenci tradisi kerana ia tidak membelengguku atau menghalangku untuk maju dan menjawab permasalahan zaman mengikut keyakinanku. Bagiku, masa lalu amat penting kerana tiada seorang pun manusia yang mampu tahu akan jati dirinya tanpa mengambil kira masa lalunya. Aku berbangga dengan pencapaian para ulama silam, meskipun aku sedar kebesaran mereka tidak seharusnya menjadikan generasi hari ini kerdil. Justeru, dengan khazanah yang mereka tinggalkan aku harus mampu lebih maju kehadapan.

Ketinggian mereka bagiku adalah kerana tawfiq dan inayah Allah swt dan dekatnya mereka akan nuansa dan legasi yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw. Kerananya, baik ulama klasik mahupun kontemporer adalah golongan yang diberi amanah oleh Allah. Namun demikian, aku sedar, mereka tidak suci atau ma’sum dan mereka bukan wakil Tuhan. Segala pandangan mereka harus kuterima selama mereka punya hujjah yang kuat dan terbukti kebenarannya, namun andainya terbukti bahwa pandangan mereka ternyata tidak benar atau bertentangan dengan kebenaran al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tidak perlu kuterima. Sepanjang pengetahuanku, Golongan ulama ini tidak boleh disamakan dengan golongan agama yang punya hak mutlak dalam memahami agama dan berbicara atas nama Tuhan. Kerana bagiku, semua orang Islam adalah golongan agama yang seharusnya menjadi wakil Tuhan di muka bumi.

Kelima: Aku mempelajari falsafah Barat untuk tujuan perbandingan. Aku tidak akan terikut-ikut kerana sebagai seorang Muslim aku memiliki worldview dan framework tersendiri dalam berfikir. Aku tidak terpegun dengan konsep cogito ergo sumnya Descartes, atau existence preceeds essencenya Sartre, atau knowledge is powernya Foucault dan Bacon. Hatta dalam perkara tertentu aku langsung tidak tertarik untuk mengagungkan contohnya Locke kerana konsep natural rights: life, liberty and property. Aku tidak merasa hairan dengan falsafah Barat kerana aku sudah terlebih dahulu mengetahui bahawa, seperti diungkapkan oleh Muhammad Iqbal, the birth of Islam is the birth of inductive knowledge, juga seperti diungkapkan oleh Ibn Qayyim dan al-Shatibi bahawa hukum Islam sebenarnya dibuat untuk melindungi kemaslahatan/kebaikan ummat manusia: agama, jiwa, minda, kehormatan dan harta. Aku mempelajari pemikiran Barat untuk memahami Barat. Dengan demikian aku dapat memperkukuh keyakinanku dan kalau aku mampu, seperti yang telah dilakukan oleh imam al-Ghazali, membatalkan tesis-tesis mereka yang mengelirukan dan dengan itu aku telah berjuang untuk Islam.

Sebagai seorang Muslim aku percaya bahawa akal tidak boleh dijadikan setanding dengan wahyu. Sebagai penyelidik Muslim aku percaya bahawa pencarian akal dalam Islam dibimbing oleh wahyu. Oleh kerananya terdapat ruang objektiviti dan ruang subjektiviti yang perlu dihormati: ruang yang pasti di mana tidak perlu akal untuk bereksperimen disamping juga ruang untuk perbezaan pentafsiran selama dalam framework Islam. Teori mengenai realiti kehidupan yang selalu berubah dan terlalu dominannya elemen subjektiviti dalam falsafah Barat, bagiku membuktikan bahawa Barat dengan rasionalismenya tidak akan menemukan jalan kebenaran. Maka aku mendapati bahawa semakin jauh pengetahuanku terhadap falsafah Barat semakin dekat diriku terhadap kebenaran Islam.

Islam mengajarku agar mengambil hikmah/kebijaksanaan dari mana sahaja datangnya. Oleh kerananya tidak salah, malah digalakkan, mempelajari Sains dan Teknologi yang hari ini dikuasai oleh Barat agar dengannya ummat ini dapat mengecapi kemajuan dan merealisasikan misinya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Aku akan mempelajari falsafah Barat agar aku mampu untuk membuat perbandingan dan penilaian sebelum aku mampu menyumbang dalam wacana keintelektualan Islam. Namun, aku sedar sebagaimana ditekankan oleh al-Attas bahawa ilmu pengetahuan Barat tidak value-free (bebas nilai), aku tetap akan meyakini hal ini walaupun andainya Thomas Kuhn tidak menulis The Structure of Scientific Revolutionsnya, oleh kerananya aku harus mampu membezakan antara ilmu dengan nilai-nilai sekular yang mengiringinya sebelum proses Islamisasi dapat kulakukan. Penghormatanku terhadap keintelektualan Barat tidak seharusnya menjadikanku hanyut sehingga merubah jati diriku.

Keenam: Sebagai seorang Muslim sejati, aku akan melaksanakan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap, oleh kerananya aku akan menentang sekularisme dan sekularisasi di dunia Islam. Bagiku, orang yang memisahkan Islam dari segenap aspek kehidupan manusia adalah orang yang sombong dan angkuh. Kerana menganggap panduan dan bimbingan akal, yang dicipta oleh manusia-manusia sekular, lebih baik daripada petunjuk al-Qur’an.

Aku sedar, keadilan, keharmonian dan keamanan hanya akan tercapai sepenuhnya dengan mengikut ajaran al-Qur’an. Sedangkan demokrasi liberal, kapitalisme, utilitarianisme dan isme-isme lainnya hanya menjanjikan angan-angan. Alasannya jelas, ketika Islam berbicara mengenai keadilan, kesejahteraan, dan keharmonian ia dikemas dengan keindahan iman, taqwa dan akhlak, sedangkan falsafah Barat membicarakannya secara dikotomis.

Aku mengerti bahawa tipologi memberikan kelebihan kepada Barat, kerananya aku harus berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan labelisasi mereka. Label fundamentalis diberikan oleh Media Barat, dengan pelbagai konotasi negatifnya: terorisme, militan dll., keatas orang Islam yang menjadikan Islam sebagai cara hidup. Kalau ternyata istilah fundamentalis tidak digunakan oleh Media terhadap penganut agama lain yang melakukan hal yang sama maka jelas pelabelan ini memiliki niat yang tersembunyi.

Dengan andaian ancaman gerakan fundamentalisme inilah maka dimasukkan wacana liberal dalam pemikiran Islam. Tidak sedikit yang terperangkap dalam dualisme dan dikotomi ini, oleh kerananya, dengan ilmu dan kebijaksanaan yang bersumber dari Islam, aku tidak seharusnya ikut terperangkap. Andai dapat dibuktikan bahawa kemunculan golongan yang dikatakan fundamentalis ini tidak mengancam maka jelas bahawa eksistensi mereka sebenarnya tidak berasas.

Ketujuh: Bagiku, hermeneutika hanya pantas dilaksanakan kepada Bible. Ini kerana, baik dari segi sejarah mahupun kandungan, al-Qur’an dan Bible jauh berbeza. Tiada sebab untuk aku mengikuti kaedah pentafsiran Bible kerana aku tidak mengalami masalah yang dialami oleh pentafsir-pentafsir Bible. Mempelajari al-Qur’an dengan ilmu, iman dan kejujuran membawaku kepada keyakinan akan kesempurnaan al-Qur’an. Tiada satupun ayat di dalamnya yang boleh dikatakan bermasalah atau kontradiktif. Selain itu, sebagaimana terbukti dengan kajian al-‘Azami: The History of The Qur’anic Text, keistimewaan al-Qur’an adalah terjaganya kemurnian dan kesucian al-Qur’an sepanjang sejarah. Hal inilah yang sehingga kini dicemburui oleh kaum Orientalis yang berusaha untuk menggoyahkan keyakinanku ini.

Penafsiran literal terhadap al-Qur’an memang sering dilakukan oleh para ulama. Namun sering juga para ulama tidak terpaku pada makna literal, sebaliknya melihat maksud ayat yang tersirat dan menyesuaikan nass-nass juziyy dengan maqasid kulliyyyah Shari’at Islam. Setelah aku memperdalam ilmuku tentang Shari’ah aku akan mengerti bahawa kedua-dua pendekatan literal dan liberal terhadap maqasid shari’ah tidak tepat. Pendekatan yang benar dan selalu ditekankan oleh ulama-ulama mutabar dari dulu hingga sekarang adalah pendekatan yang oleh al-Qaradawi disebut dengan al-wasatiyyah.

Kedelapan: Sebagai seorang Muslim sejati, aku tunduk sepenuhnya dengan perintah dan aturan yang diberikan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Shari’ah datang daripada Allah swt dan bukan, sebagaimana sering diselewengkan oleh Orientalis, produk para ulama. Bagiku, Shari’ah bukan hanya terbatas kepada teks-teks suci, ia juga bukan apa yang terkandung di dalam kitab-kitab Fiqh. Ketika Sayyidina Umar menangguhkan hukum potong tangan pada ‘am al-maja’ah (tahun kelaparan), ketetapan itu bukan pandangan subjektif beliau tetapi adalah hukum Shari’ah. Kerana beliau tidak terpaku pada teks secara literal tetapi mengembalikan teks-teks juz’i kepada maqasid kulliyyah yang sebenarnya sebahagian daripada Shari’ah.

Oleh kerana aku menyedari kelemahanku dalam menafsirkan al-Qur’an maka aku merujuk pandangan para ulama yang beraotoriti. Mereka sangat berautoriti kerana mereka menguasai ilmu-ilmu yang diperlukan dalam memahami al-Qur’an. Lebih daripada itu dengan bimbingan iman mereka juga faham akan kehendak Tuhan. Bagiku ilmu adalah amanah dan pemberian Tuhan, oleh kerananya kepintaran semata-mata tidak meletakkan seseorang itu menjadi orang yang autoritatif dalam keilmuan Islam.

Kesembilan: Kerana aku memiliki worldview Islam, Aku tidak akan hanyut dengan trend pemikiran Barat yang kabur dan selalu berubah. Pascamodenisme yang menjadikan kegagalan dan kesempitan modenisme sebagai raison d’êtrenya hanya mempunyai legitimasi di tengah obsesi Barat terhadap kuasa dan ketunggalan. Dari awal kemunculan Islam, jelas bahawa Islam menerima pluralisme/kepelbagaian sebagai lumrah kehidupan. Kerana keadilan menjadi nilai utama dalam ajaran Islam, Islam selalu berada bersama kaum yang tertindas, terlupakan dan teraniaya. Konflik antara Islam dengan agama lain timbul disebabkan faktor politik dan bukan faktor agama. Hal ini tidak sesekali memberikan justifikasi ke atas konsep pluralisme agama. Sebagai seorang Muslim aku percaya bahawa agama Tuhan yang benar hanyalah satu, yang berbeza dan berbagai adalah shari’atNya. Oleh kerana Shari’at Muhammad adalah penutup maka hanya Shari’ah Muhammad yang benar.

Keyakinanku bahawa hanya ada satu kebenaran tidak bercanggah dengan kemungkinan wujudnya kebenaran pada orang lain. Dalam permasalahan ijtihadiyyah, aku tidak akan mengatakan hanya pendapatku sahaja yang benar dan pendapat orang lain adalah salah. Pendekatan para ulama ini tidak membawaku kepada subjektivisme, seperti yang dilakukan oleh Khaled Abou el-Fadl, kerana ia hanya berlaku hanya pada realm ijtihadiyyah. Bagiku, tidak mungkin Tuhan menurunkan wahyu sebagai pembimbing manusia jika, pada masa yang sama, Tuhan mengatakan bahawa tiada yang mengetahui maksud firmanNya melainkan diriNya. Kuatnya elemen subjektivisme dan penghapusan objektiviti dalam pemikiran pascamodenisme akan membawa kepada nihilisme dan ketiadaan kebenaran. Tentunya hal ini akan memberikan dampak yang besar kepada agama dan kemanusiaan.

Terakhir, Aku akan sentiasa berdoa agar aku sentiasa berada dalam hidayah dan ‘inayahNya. Agar aku terhindar dari tergolong dalam orang-orang yang telah menerima bayyinat lalu tersesatkan. Agar aku sentiasa berada dalam keimanan dan ketaqwaan sampai akhir hayatku.

Nota: Khalif Muammar kini merupakan seorang penyelidik di Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar-Hikmah. Dan, tulisan ini bertujuan untuk mengukuhkan satu wacana yang sihat, yang bukan mengelirukan, disamping menjawab tulisan Haidar Bagir, Andai Aku Seorang Muslim Liberal

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: