jump to navigation

Lulusan Mesir Dalam Mencorak Peradaban Februari 19, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohamad Redzuan OthmanMesir mula menjadi tumpuan pelajar-pelajar Melayu sejak tahun 1920-an apabila semakin ramai belia-belia Melayu pergi ke sana bagi melanjutkan pengajian agama. Faktor pendorong ialah kerana kemasyhuran Universiti al-Azhar sebagai pusat pengajian tinggi yang ulung.

Kemajuan yang dicapai oleh Mesir dan perkembangan politiknya pada waktu itu juga menarik perhatian belia-belia Melayu. Di samping itu, perkembangan dalam ekonomi Tanah Melayu dan kemudahan pengangkutan turut menjadi pendorong belia-belia Melayu pergi ke Mesir bagi melanjutkan pengajian.

Peranan Gerakan Islah

Antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan idea islah di Tanah Melayu ialah Shaykh Tahir Jalaluddin. Beliau pernah belajar di Universiti al-Azhar pada akhir tahun 1890-an. Beliau turut dibantu oleh tokoh-tokoh lain yang pengaruh dengan idea islah yang berkembang di Mesir seperti Sayyid Shaykh al-Hadi, Abbas Mohd. Taha dan lain-lain. Melalui pengaruh al-Manar yang diterbitkan oleh Rashid Rida, pendukung gerakan islah ini telah menerbitkan majalah al-Imam di Singapura. Al-Imam adalah majalah islah pertama yang diterbitkan di rantau ini.

Penerbitan al-Imam meninggalkan kesan yang besar ke atas orang Melayu. Gagasan islah yang diperjuangkan oleh majalah ini disambut oleh orang Melayu yang menyedari bahawa kelemahan yang sedan mereka hadapi adalah disebabkan kegagalan memahami dan mengamalkan ajaran Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Melalui kesedaran yang ditanam dan dalam usaha menyebarkan kesedaran ini pendukung islah telah mengambil inisiatif menerbitkan akhbar yang berunsur islah dan menubuhkan madrasah.

Kegiatan Pelajar Melayu di Mesir

Pelajar Melayu di Mesir yang menyedari keperluan berpesatuan bagi membolehkan mereka menggerakkan kegiatan belia yang sedang menuntut di sana telah membawa kepada penubuhkan Jamiyyah al-Khairiyyah pada tahun 1923. Di samping memainkan peranan menjaga kebajikan pelajar Melayu di Mesir sumbangan terpenting persatuan ini kepada umat Islam di Alam Melayu ialah penyebaran idea kesedaran yang dilakukan melalui penerbitan Seruan Azhar bermula dari bulan Oktober tahun 1925 hingga Mei 1928.

Pada 10 April 1932 Persekutuan Putera-Putera Semenjung (PPS) telah ditubuhkan dengan presidennya yang pertama ialah Haji Ismail Ali Shamsuddin. Pada tahun 1952 PPS telah ditukarkan namanya kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM) dan pada tahun 1965 namanya ditukra kepada Persekutuan Republik Arab Bersatu (PMRAB). Pada tahun 1971 persatuan ini sekali ditukar namanya kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Untuk tujuan menyatukan pelajar dari Alam Melayu pada pada pertengahan tahun 1930-an telah ditubuhkan Persatuan Indonesia-Malaya (PERPINDOM) dan pada tahun 1967 telah ditubuhkan Gabungan mahasiswa Asia Tenggara di Lembah Nil (SOLIDARITA).

Di samping Mesir, pelajar-pelajar Melayu di negara lain di Timur Tengah juga menubuhkan persatuan bagi mencetuskan kesedaran di kalangan mereka. Ini termasuklah Pertindom (Persatuan Talabah Indonesia-Malaya) di Arab Saudi dan Markindom (Majlis Kebangsaan Indonesia-Malaya) di Iraq. Persatuan-persatuan ini memainkan peranan menyediakan pelajar-pelajar persiapan untuk memimpin masyarakat apabila kembali ke tanah air.

Pada 15 hingga 22 September 1970 PMRAB telah menganjurkan Kongres Pertama Mahasiswa Melayu SeTimur Tengah. Dalam kongres ini beberapa kertas kerja telah dibentangkan. In termasuklah “Mencipa Perpaduan dan Keharmonian Rakyat Malaysia”, “Pembentukan Moral Rakyat Malaysia”, “Pentingnya Bank Islam Di Malaysia”. Kongres yang diadakan ini membuktikan kemampuan pelajar Melayu yang sedang menuntut di Timur Tengah, khususnya di Mesir mempunyai wawasan yang jauh bagi membangunkan negara dan umat Islam Malaysia.

Kesimpulan

Belia-belia Melayu yang pergi ke Mesir menuntut ilmu dan peranan yang mereka mainkan setelah kembali ke tanah air telah mencorakkan peradaban masyarakat Melayu. Melalui peranan yang mereka mainkan idea-idea baru telah dibawa masuk seperti idea islah, idea kemajuan dan sebagainya yang memberikan acuan baru kepada masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu yang terdedah kepada idea ini telah menjadikan mereka masyarakat yang lebih mampu membina jati diri yang boleh dijadikan model.

Nota: Mohamad Redzuan Othman (Dr.) merupakan Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Manakala kertas ini pertama kali dibentang di Seminar Pemerkasaan Belia Serantau di Malaysian Hall, Abasiah, Kaherah, Mesir pada 2 Disember 2004 yang dianjurkan oleh YADIM,YPEIM, INMIND, MBM, ABIM-Mesir dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: