jump to navigation

Omar Mokhtar: Singa Padang Pasir Februari 19, 2006

Posted by ummahonline in Tokoh.
trackback

Oleh: Sri Bunian

Lelaki bertubuh sasa, tegap dan gagah perkasa yang telah ditelan usia itu melangkah longlai tenang menuju ke tiang gantung. Kedua belah tangannya terbelenggu di belakang. Namun matanya masih tetap bersinar menaruh keyakinan terhadap masa depan Negara dan rakyatnya. Raut mukanya tidak menampakkan rasa gentar atau takut menghadapi suasana kematian. Ia begitu gagah walaupun maut sedang menantinya tidak beberapa saat lagi. Ia tersenyum mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang ia lalui sehingga ia ditangkap dan hukum di tali gantung. Pengorbanannya terhadap negaranya yang tercinta.

Ia berpuas hati apa yang beliau telah lakukan selama ini. Ia redho jalan yang dipilihnya sendiri. Sebentar tadi ketika beliau dibenarkan bersolat subuh, beliau sujud begitu lama sehingga darah yang menyelinap ke seluruh anggotanya terasa kebas-kebas mengadu dan berdoa ke hadarat Allah s.w.t. supaya Allah mengampuni segala dosa-dosanya selama ini dan memohon kepadaNya supaya Negara dan rakyat bebas dari belenggu penjajahan. Beliau telah bersedia menemui penciptanya sekarang.

Suasana hening di pagi yang sejuk menikam kalbu, kedengaran tangis-sedu menyelubungi orang-orang yang berada di sekelilingnya. Mereka menatap lelaki berusia 80 tahun itu dengan wajah muram. Air mata masing-masing tidak dapat ditahan, luruh bagaikan mutiara berguguran. Bagi mereka yang berada di sekitar kawasan penjara dan di tempat-tempat lain, turut merasainya, semua mereka sedar bahawa sudah sampai ketika dan waktunya beliau akan menjalani hukuman gantung sampai mati pada pagi itu. Beritanya tersebar ke seluruh pelusuk Negara. Masing-masing mengangkat tangan menadah ke langit memohon keampunan dari Allah Maha Besar dan memberi darjat yang tinggi kepada beliau dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang solehin dan para-anbiya Tidak beberapa saat berlalu, suasana pagi yang hening kesejukan pagi itu dipecahkan dengan jerit pekik tangis bersahut-sahutan.

Ketika mereka melihat lingkaran tali tiang gantung menjerut leher pahlawan mereka, Omar Al-Mokhtar. Singa Padang Pasir itu telah kembali kepada penciptanya pada 16 September 1931 di Kota Solouq. Selesai sudah perjuangannya melawan penjajahan Itali, tetapi perjuangannya itu akan tetap diteruskan oleh anak watan.

Omar Al-Mokhtar memang dipandang sebagai simbol kepahlawanan menentang penjajahan Itali bagi rakyat Libya. Sejak Itali mulai mencengkam di negara tersebut pada Oktober 1911. Ia telah menjadi perintis mencetuskan semangat rakyat Libya menyalakan bara perjuangan rakyat menentang penjajahan Itali.

Gelora perjuangannya juga merambat hati rakyat Libya lainnya dan berjaya melahirkan ramai para mujahid seperti Ramadan As-Swaihli, Mohammad Farhat Az-Zawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Al-Barouni dan Silima An-Nailiah.

Usaha Itali menguasai Libya dilakukan dengan menyerang dan menguasai kota-kota di sebelah pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna secara berturut-turut, satu demi satu jatuh ke tangan penjajah Itali. Meski pun demikian, Omar kerap kali menjadi batu halangan kepada mereka. Ia mampu membangkitkan semangat perjuangan rakyat Libya menentang Itali dengan semangat perjuangan yang kental.

Perjuangan mereka telah menciptakan beberapa pertempuran yang hebat. Misalnya pertempuran yang terjadi di Al-Hani dekat Tripoli pada 23 Oktober 1911, Ar-Rmaila dekat Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi pada Mac 1912 dan Wadi Ash-Shwaer dekat Derna.

Perjuangan rakyat Libya menghasilkan kejayaan yang cemerlang-gemilang. Pejuang-pejuang pimpinan Omar pernah terlibat dalam pertempuran besar di Al-Gherthabiya, dekat Sirt pada bulan April 1915. Itali kehilangan ribuan tentera. Pertempuran-pertempuran seperti ini sering berlaku membuatkan penjajah Itali terpaksa membelas serangan yang memakan masa yang panjang, tahun demi tahun untuk menguasai negera ini.

Meski pun begitu pada akhirnya, wilayah-wilayah yang dipertahankan oleh para mujahidin jatuh ke tangan penjajah. Jatuhnya wilayah demi wilayah membuat para pejuang meninggalkan rumahnya dan menuju ke pegunungan. Mereka tidak pernah berdiam diri terus merancang pelbagai strategi menyerang balas.

Pada tahun 1922 Omar telah membentuk satu kumpulan para mujahidin dan menggegarkan kembali operasi perjuangan menentang penjajahan Itali ke atas negaranya. Ia mengumpulkan kembali mujahidin di The Green Mountain (Aj-Jabal Al-Akdar), bahagian Tenggara Libya. Perkara ini terjadi setelah tamatnya Perang Dunia pertama dan pada masa itu penjajah Itali terfikir bahawa mereka mampu untuk membenamkan sepenuhnya perjuangan rakyat Libya. Jangkaan Itali ternyata silap.

Perjuangan yang tercetus kembali itu membuat pihak berkuasa Itali merasakan mereka berada dalam suasana yang amat tertekan, bahaya tiba-tiba datang sering mengancam keselamatan. Mereka tidak mahu membiarkan perjuangan menuntut kebebasan ini semakin merebak. Lalu pemerintah Pusat Itali, Badolio yang terkenal dengan kekejamannya yang sering kehausan darah rakyat Libya untuk diratahnya telah mengambil tindakan ketenteraan untuk merendam bara perjuangan tersebut.

Badolio bukan sahaja ditugas untuk menumpaskan Omar Al-Mokhtar dan pasukannya. Bahkan ia juga diberikan keizinan untuk membunuh rakyat Libya yang memberi sokongan dan membantu para mujahidin di mana jua mereka berada.

Tidak beberapa lama kemudian diktator Musolini mengirimkan komandan yang berperilaku lebih zalim daripada Badolio. Ia mengambil alih tugas Badolio dan membentuk pasukan tugas khas untuk menumpaskan gerakan yang diketuai oleh Omar dan bertindak membunuh lebih ramai rakyat Libya yang tidak berdosa. Komandan yang dihantar oleh Musolini ini pada fikirannya boleh menyelesaikan masalah Libya secara langsung adalah Rodolfo Grasiani. Malah kabinet Musolini telah dimaklumkan bahawa kedatangan khas Grasiani akan membuat suasana di Libya dapat dikawal sepenuhnya.

Grasiani bersetuju pergi ke Libya dengan syarat tidak ada peraturan yang dapat menghalangnya dari melakukan berbagai tindakan ke atas Libya termasuk peraturan –peraturan antarabangsa. Ia boleh melakukannya tanpa halangan dan sekatan mengikut kehendak hatinya bagi kepentingan Itali. Sebelum ditugaskan ke Libya, ia pergi ke Morj, Switzerland untuk merancang serangan terhadap Libya.

Rancangan Grasiani dipersetujui sepenuhnya oleh Musolini sebab ia berpegang kepada prinsip ”jika tidak bersamaku, maka mereka adalah lawanku”. Dengan demikian untuk menguasai Libya pelbagai kaedah dan cara dihalalkan, tidak lagi mempedulikan sebanyak mana kos yang terlibat dan berapa banyak mangsa yang tidak berdosa terpaksa dikorbankan.

Tindakan pertama Grasiani di Libya ialah memutus, menyekat dan mencegah segala bentuk hubungan dengan mujahidin dan dengan Negara-negara jiran yang memberi bantuan membekalkan senjata dan juga maklumat kepada para pejuang Libya. Ia membina kawat berduri sepanjang 300 km, tinggi 2 meter dan lebar 3 meter dari pelabuhan Bardiyat Slaiman Libya Utara sampai Al-Jagboub Libya Tenggara.

Beliau juga membina kem berpusat yang dikawal rapi di mana ribuan rakyat Libya mesti hidup dalam pengawasan tentera Itali. Ia membina banyak kem-kem seumpama ini di Al-Aghaila, Al-Maghroun, Solouq, dan Al-Abiyar. Keseluruhan rakyat Libya merasa tertekan dan tertindas akibat perbuatan Grasiani ini. Mereka hidup seperti haiwan di kandang tidak ada kebebasan.

Pada akhir bulan November 1929 sebahagian besar rakyat Libya dipaksa hidup di kem-kem di Al-Jabal Al-Akdar, Mortaf-Aat Al-Thahir dari Beneena Utara sampai Ash-Shlaithemiya Selatan, dari Tawkera ke bahagian selatan padang pasir Balt Abdel-Hafeeth.

Kehidupan rakyat Libya di kem-kem ini sangat mengerikan. Ribuan rakyat Libya mati kelaparan, banyak juga yang mati kerana ditembak atau digantung sebab disyaki membantu perjuangan para mujahidin pimpinan Omar Al-Mokhtar.

Pada tahun 1933, Ketua Jabatan Kesihatan Angkatan Tentera Darat Itali, Dr Todesky menulis dalam bukunya bertajuk ‘Cerinaica Today’. Dalam bukunya itu ia menyebutkan bahawa dari bulan Mei hingga bulan September 1930, lebih daripada 80 ribu rakyat Libya dipaksa meninggalkan tanah kelahirannya dan hidup di kem-kem ini.

Setiap kumpulan rakyat Libya yang berjumlah 300 orang sekali jalan mendapat kawalan ketat dari tentera Itali. Todesky berkata bahawa pada akhir tahun 1930 semua rakyat Libya dipaksa untuk hidup di kem-kem ini. Sebanyak 55 peratus dari 80 ribu rakyat Libya meninggal di kem-kem tersebut.

Seorang sejarawan Libya, Mahmoud Ali At-Taeb menyatakan bahawa pada bulan November 1930 paling tidak terdapat 17 acara pengebumian dalam sehari terjadi di kem-kem tersebut akibat kelaparan, penyakit dan tekanan mental yang maha hebat yang tidak tertanggung oleh manusia normal.

Di luar kem-kem ini, mujahidin yang bertahan di daerah pergunungan terus berjuang menentang penjajahan Itali. Namun, pada tahun 1931 mujahidin kehabisan stok makanan dan bekalan perubatan. Pemimpin mujahidin, Omar Al-Mokhtar, jatuh sakit dan banyak para mujahidin memintanya untuk berhenti berjuang dan meninggalkan Libya dan berselindung di Negara jiran yang bersimpati dengan perjuangan mereka buat sementara waktu sehingga kesihatannya pulih seperti sedia kala dan kembali menyusun perjuangan seterusnya. Namun, beliau menolak tawaran tersebut dan tetap meneruskan perjuangan menentang tentera Itali.

Atas kegigihan dan keberanian melawan penjajahan Itali, maka beliau digelar sebagai ‘Singa Padang Pasir’. Meski pun pada akhirnya, usia senja tidak mampu membuatnya bertahan untuk memikul senjata meneruskan perjuangan. Ia ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung. Pendakwaan dan hukuman tetap dilakukan tanpa mempedulikan Undang-undang antarabangsa seperti mana yang ditetapkan dalam ‘Perjanjian Geneva’ dalam soal mempertimbangkan tahap kesihatan Omar Al-Mokhtar dan usianya yang sudah lanjut membolehkan beliau dikecualikan dari hukum tali gantung.

Semakin redupnya bara kepahlawanan memberi peluang kepada Itali meneruskan cita-citanya dan akhirnya Itali dapat menguasai Libya setelah melakukan pertempuran selama 20 tahun. Itali hanya mampu berkuasa di Libya sehingga tahun 1943 sahaja akibat kekalahannya di Perang Dunia Kedua. Libya kemudian berada di bawah kekuasaan pasukan sekutu hingga 24 Disember 1951. Itali memerdekakan Libya pada 21 Disember 1951. Sekarang Libya di bawah pentadbiran Kolonel Muammar Abu Minyar al-QADHAFI yang merampas kuasa pada 1 September 1969 dan membentuk sebuah Negara kombinasi di antara sosialis dan Islam. Libya terasing daripada dunia luar akibat sekatan oleh PBB yang mana Amerika Syarikat menjadi dalangnya ekoran peristiwa Lockerbie dan pada bulan September 2003 sekatan ekonomi terhadap Libya dilonggarkan kerana Qadhafi memberi kerjasama dalam kes Lockerbie.

Begitulah serba ringkas kisah Omar Al-Mokhtar yang berjuang ke titisan darah terakhir. Kisah beliau ini telah difilemkan. Sejarah menuntut kemerdekaan ini sering bertukar tidak pernah padam selagi ada bumi dan matahari, hanya yang bertukar ialah penjajahan dalam bentuk baru iaitu penjajahan dalam bentuk politik, ekonomi, pendidikan, social, kebudayaan dan sebagainya dan menjadikan pemimpin tempatan sebagai boneka kepada tuannya. Ini berlaku di Iraq, di Afghanistan, di Khasmir, di Chechnya dan lain-lain Negara umat Islam yang terpaksa tunduk dengan Negara kufar iaitu Amerika Syarikat yang menjadi Negara kuasa besar tunggal atau polis dunia tanpa saingan selepas kehancuran Soviet Union pada tahun 80an. Maka tamatlah perang dingin yang menjadi pengimbang di antara dua kuasa besar yang berjaya mempengaruhi politik dan ekonomi dunia ketika itu. Ada lagikah kepahlawanan seperti yang ditunjukkan oleh Omar Al-Mokhtar ini di Negara umat Islam sekarang ini?

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: