jump to navigation

Era Kebangkitan Februari 21, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Ali KuraniAl-Quran merupakan mukjizat Nabi kita Muhammad SAW yang kekal lagi sentiasa bersifat tajdid (membawa pembaharuan) pada setiap waktu dan generasi manusia. Antara mukjizatnya yang sentiasa membawa pembaharuan ialah perkhabaran yang dibawa oleh Junjungan Rasulullah SAW tentang masa depan kehidupan manusia,masa depan Islam dan era yang dinanti-nantikan mengenai kebangkitan Islam. Pada masa itu Allah akan mengurniakan kemenangan Islam dengan tertegaknya seluruh aspek kehidupan Islam, sungguhpun menerima tentangan hebat dari golongan musyrikin dan kafir.

Era kebangkitan Islam merupakan topik perbahasan kita. Ia merupakan era kebangkitan atau zuhur Imam al-Mahdi yang ditunggu-tunggu itu. Pada hakikatnya tidak wujud perbezaan sama sekali tentang ratusan hadis Rasulullah SAW yang membawa perkhabaran gembira ini, sepertimana yang diriwayatkan oleh para sahabatnya, para tabi’in dan para pengumpul koleksi hadis-hadis sahih dari berbagai mazhab dan aliran fahaman mereka. Malahan hadis-hadis di bawah topik ini bertambah menjangkau seribu hadis apabila disandarkan kepada para Imam dari kalangan ahl al-Bayt Rasulullah SAW. Hujahan para Imam itu sebenarnya merupakan bahasan dan kupasan dari bapa-bapa mereka yang suci dan akhirnya kembali kepada datuk mereka Nabi Muhammad SAW juga. 

Hadis-hadis yang suci itu merakamkan gambaran yang menyeluruh tentang senario dunia global pada era kebangkitan khususnya mengenai lokasi atau persekitaran utama era kebangkitan yang merangkumi wilayah Yaman, Hijaz (Semenanjung Arabia), Iran, Iraq, Syria, Palestin, Mesir dan Maghribi (Algeria). Dalam penggambaran tersebut penekanan ditumpukan kepada peristiwa-peristiwa besar, nama-nama tempat, peribadi-peribadi penting dan huraian-huraiannya. Sehubungan ini saya berusaha memaparkan nas-nas yang terang untuk memperkukuhkan huraian. Bab ini merupakan gambaran umum tentang era kebangkitan sebelum memasuki bab-bab yang lebih terperinci.

Menurut keterangan hadis-hadis Rasulullah SAW dan para Imam bahawa pergerakan zuhur Imam al-Mahdi bermula di kota suci Makkah selepas berlakunya gerakan pendahuluan secara global. Senario dunia yang terpenting ialah tercetusnya pertarungan yang hebat di antara pihak Rome atau Barat (Blok Kapitalis) dengan pihak Turki dan para penyokongnya (Pihak Rusia atau Blok Komunis). Pertarungan itu berlarutan sehingga tercetus pula Perang Dunia Ketiga.

Dalam masa yang sama di dunia Islam muncul pula dua buah pemerintahan yang mendokong kebangkitan al-Mahdi di Iran dan Yaman. Kerajaan yang mendokong al-Mahdi di Iran telah wujud beberapa waktu lamanya. Pemerintahan ini bertahan lama dalam menghadapi pergolakan yang panjang serta berupaya memenanginya. Sejurus sebelum zuhurnya Imam Zaman tampil dua tokoh utama pendokongnya iaitu Sayyid al-Khurasani sebagai pemimpin politik dan Syu’aib bin Sholeh selaku pemimpin tentera. Tegasnya bangsa Iran di bawah kedua-dua tokoh ini memainkan peranan yang amat penting dalam pergerakan zuhur al-Mahdi.

Selanjutnya para pendokong al-Mahdi di kalangan bangsa Yaman hanya muncul beberapa bulan sebelum kebangkitan al-Mahdi. Mereka berperanan mengisi kejatuhan politik golongan pemerintah di Hijaz atau Semenanjung Arabia. Dalam masa yang sama mereka mendokong pergerakan kebangkitan al-Mahdi di Hijaz.

Alasan utama berlakunya kelemahan aspek pemerintahan di Hijaz adalah akibat terbunuhnya raja yang dungu dari regim mereka yang bernama Abdullah. Malah beliau merupakan raja atau pemerintah yang terakhir regim tersebut. Berikutnya berlaku konflik politik yang sengit di kalangan anggota regim tersebut sehingga munculnya Imam al-Mahdi.

Maksudnya: “Adapun apabila matinya Abdullah, orang ramai tidak pernah dapat bersatu selepasnya. Keadaan ini tidak dapat diredakan sehingga kemunculan Imam kamu dengan izin Allah. Berlalu masa yang singkat yang hanya memunculkan pemimpin untuk beberapa bulan dan hari”. Abu Bashir berkata: “Adakah masa itu lebih panjang lagi”. Lalu dikatakan: “Sekali-kali tidak. Selepas kematian Raja Abdullah berlaku pertarungan sengit antara kabilah di Hijaz”.

Maksudnya: “Di antara tanda-tanda berlakunya kiamat ialah berlakunya peristiwa besar di antara al-Haramain (Kota suci Makkah dan Madinah)”. Aku bertanya, “apakah peristiwa besar itu”? Katanya: “Wujudnya rusuhan Asobiyyah (perkauman) di antara al-Haramain, Fulan anak Fulan telah membunuh lima belas orang pemimpin”.

Bermulanya alamat terpenting zuhur al-Mahdi ialah kedengaran seruan daripada langit pada 23 Ramadhan. Sayf bin ‘Umairah berkata: Saya duduk di sisi Abu Ja’afar al-Mansur. Beliau berkata: “Wahai Sayf bin ‘Umairah semestinya akan kedengaran seruan daripada langit yang menyeru nama seorang laki-laki dari keturunan Abu Talib”. Kataku: “Benarlah kata-kata mu itu wahai Amir al-Mu`minin”. Berkata al-Mansur: “Riwayatkanlah kepadaku tentang hal itu”. Saya menegaskan: “Bahawa peristiwa tersebut akan berlaku selepas zaman kita ini”. Al-Mansur berkata: “Wahai Sayf! Sesungguhnya ia adalah peristiwa yang benar. Apabila ia benar-benar berlaku maka golongan kamilah yang terawal menyahut seruan itu, kerana seruan itu datangnya daripada seorang laki-laki dari keturunan bapa saudara kami”. Aku menyatakan: “Beliau adalah seorang laki-laki dari keturunan Fatimah?” Al-Mansur berkata: “Benar wahai Sayf , beliau adalah Muhammad bin Ali”.

Selepas kedengaran seruan daripada langit itu al-Mahdi mula menghubungi para pengikut dan penyokongnya secara sulit. Namun demikian musuh-musuh al-Mahdi merasa amat bimbang dengan berita kemunculannya lantas mereka sibuk memperkatakannya. Orang ramai percaya bahawa Imam al-Mahdi berada di kota Madinah al-Munawwarah. Pihak pemerintah Hijaz dengan dibantu oleh tentera Sufyani daripada Hijaz menjalankan gerakan pembenterasan ke atas pengikut dan penyokong al-Mahdi. Di samping mereka berusaha menghentikan perbalahan kabilah di Hijaz mereka juga menumpukan perhatian di Madinah. Setiap keturunan Hasyimi ditindas, membunuh para pengikutnya serta memenjarakan yang lainnya.

Sufyani menuju ke Madinah membunuh para pengikut al-Mahdi. Setiap keluarga keturunan Nabi Muhammad dibunuh dan dipenjarakan tanpa meninggalkan seorang pun daripada mereka. Di ketika al-Mahdi keluar daripada buruan mereka mengikut sunnah Nabi Musa a.s. iaitu secara bersembunyi dan mengintai-intai, sehinggalah beliau berjaya tiba ke Makkah.

Di Makkah, al-Mahdi menghubungi para pengikutnya sehingga bermulanya pergerakan pentingnya di BaytuLlah al-Haram pada malam kesepuluh bulan Muharram selepas solat ‘Isya`. Sejurus selepas itu beliau menyampaikan ucapan pertamanya kepada penduduk Makkah. Musuh-musuhnya berusaha membunuhnya. Akan tetapi para pengikutnya mengelilinginya dan mempertahankannya. Selanjutnya mereka berjaya menguasai Masjid al-Haram dan kemudiannya menguasai seluruh kota Makkah.

Pada waktu awal pagi hari kesepuluh Muharram Imam al-Mahdi menyampaikan ucapannya kepada seluruh penduduk dunia melalui berbagai bahasa supaya mereka memberikan sokongan kepadanya. Beliau mengisytiharkan akan tinggal di Makkah sehingga tibanya datangnya pertolongan Allah yang dijanjikan oleh datuknya Rasulullah SAW. Pertolongan Allah itu dalam bentuk bencana yang menimpa tentera-tentera musuhnya yang sedang menuju ke Makkah untuk memusnahkan pergerakannya.

Berikutnya berlakulah bencana yang menimpa tentera Sufyani yang sedang menuju ke Makkah. Sehubungan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (alangkah hebatnya) jikalau kamu melihat ketika mereka (orang-orang kafir) terperanjat ketakutan , maka mereka tidak dapat melepaskan diri dan mereka ditangkap dari tempat yang dekat” – (Surah Saba`, 34 ayat 51).

Selepas pertolongan Allah yang telah membenamkan musuhnya Imam al-Mahdi menuju ke Madinah dari Makkah bersama sepuluh ribu tenteranya dan berjaya membebaskan Madinah. Dengan pembebasan al-Haramain bermakna sempurnalah pembebasan Hijaz.

Berikutnya al-Mahdi dan tenteranya menuju ke Selatan Iran serta bergabung dengan tentera Iran di bawah pimpinan al-Khurasani dan Syu’aib bin Soleh. Semua tentera itu memberikan bay’ah kepada Imam. Mereka menuju ke Basrah. Setelah berlaku pertempuran hebat Basrah dibebaskan.

Imam masuk ke Iraq dan menewaskan kekuatan Sufyani serta kekuatan Khawarij. Imam mengisytiharkan Iraq sebagai pusat pemerintahannya dan Kufah menjadi ibu negaranya. Ketika itu Yaman, Hijaz, Iran, Iraq dan negara-negara Teluk menjadi wilayah pemerintahannya. Selepas pembukaan Iraq, kerajaan Imam berjaya menguasai Turki atau Rusia dengan mudah kerana pihak Russia telah menjadi lemah selepas Perang Dunia Ketiga.

Pergerakan tentera besar al-Mahdi selanjutnya ialah menuju ke Baitul Maqdis untuk membebaskannya. Dalam perjalanan itu mereka bertempur dengan tentera Sufyani di Marja ‘Azra berhampiran dengan Damsyik, Syria. Tentera Sufyani amat lemah berhadapan dengan tentera al-Mahdi akan tetapi di belakang mereka terdapat pihak Yahudi dan kuasa-kuasa Barat melindungi mereka. Berlakulah pertempuran yang hebat di antara tentera al-Mahdi dengan tentera Sufyani yang dibantu oleh tentera Yahudi dan tentera-tentera bersekutu Barat. Medan pertempuran itu meliputi Aka di Palestin, Baytul Maqdis, Damsyik hingga ke Antioch, Turki.

Turunlah pertolongan Ilahi sehingga tentera-tentera al-Mahdi berjaya mengalahkan tentera-tentera bersekutu. Akhirnya mereka berjaya membebaskan Baytul Maqdis. Pihak Barat Kristian amat terkejut dengan kemenangan dan kemaraan tentera-tentera al-Mahdi yang berjaya mengalahkan tentera-tentera Yahudi lalu mereka mengisytiharkan perang ke atas al-Mahdi. Ketika itu mereka dikejutkan pula dengan turunnya Isa al-Masih dari langit ke Baytul Maqdis. Sehubungan ini al-Masih mengisytiharkan kepada seluruh dunia khususnya pengikut Kristian bahawa turunnya beliau adalah suatu berita gembira kepada umat Islam dan pengikut agama Masihi.

Al-Masih juga mengisytiharkan bahawa beliau adalah penghubung di antara al-Mahdi dengan pihak Barat. Dalam tempoh dua tahun selepas peristiwa itu ramai di kalangan orang-orang Kristian Barat memeluk Islam dan menjadi penyokong Imam al-Mahdi. Pada ketika itu tentera al-Mahdi telah menjangkau sejuta orang jumlahnya. Al-Masih mengisytiharkan dirinya sebagai penyokong dan pengikut al-Mahdi malah beliau solat di belakang Imam al-Mahdi di Baytul Maqdis.

Selepas pembebasan al-Quds pergerakan tentera al-Mahdi menuju ke Barat untuk membebaskan Eropah dan dunia Barat. Dengan kejatuhan Barat ke tangan tentera al-Mahdi dan al-Masih maka tertegaklah daulah sejagat di bawah pimpinan al-Mahdi.

Setelah tertegaknya pemerintahan Islam di seluruh alam dan umat manusia memeluk Islam beramai-ramai, al-Masih wafat lalu Imam al-Mahdi menyembahyangkan jenazahnya dan dikebumikan disisi makam bondanya Maryam di Baytul Maqdis.

Berikutan tertegaknya pemerintahan Islam sejagat Imam al-Mahdi melaksanakan agenda-agenda ketuhanan ke atas seluruh penduduk bumi dalam berbagai lapangan kehidupan. Dunia global menikmati kemajuan dan kemakmuran. Kebudayaan dan peradaban manusia menyerlah dalam lapangan kerohanian dan kebendaan, lebih-lebih lagi berbagai bidang ilmu baru diterokai dan dikembangkan.Penduduk bumi mula berhubung dan meneroka planet-planet yang lain. Malahan terbuka pintu alam ghaib dengan alam syahadah ini. Sebilangan para Anbiya` dan para Imam dikembalikan ke bumi pada era ini. Berlakulah tanda-tanda terakhir kiamat dan permulaannya.

Pada ketika itu bermula pula gerakan Dajjal yang terlaknat dengan segala fitnahnya. Justeru itu berlaku pula gerakan untuk menyelewengkan perkembangan ilmu dan sains di ketika dunia menikmati kecemerlangan peradabannya. Dajjal mengeksploitasi kemajuan sains dan teknologi dan memperalatkan kaum cendekiawan dan kaum wanita dalam gerakan penentangannya itu. Dengan izin Allah, Imam al-Mahdi dan kerajaannya berjaya menghapuskan Dajjal dan para pengikutnya.

Inilah gambaran umum tentang pergerakan al-Mahdi yang dijanjikan itu serta revolusi globalnya. Justeru itu fitnah besar yang terpaksa diharungi oleh umat Islam dewasa ini adalah fasa permulaan era kebangkitan al-Mahdi yang dijanjikan.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: