jump to navigation

Islam dan Pluralisme Agama Februari 22, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Muhammad LegenhausenSejarah Kristian telah melalui beberapa episod gelap, seperti kezaliman zaman penjajahan terhadap penganut agama lain dan perang di zaman Reformation. Akibatnya, pada abad ke–18, fahaman liberalisme politik mula muncul, sebahagian besarnya didorong penolakan terhadap kurangnya toleransi beragama.

Walaupun liberalisme merupakan respons politik terhadap kepelbagaian kepercayaan masyarakat Kristian, kepercayaannya mula dipanjangkan kepada kepercayaan bukan Kristian pada abad ke–20. Pluralisme agama ialah hasil daripada satu percubaan untuk menyediakan asas dalam teologi Kristian untuk mewujudkan toleransi terhadap agama–agama selain Kristian, dan oleh itu merupakan satu bentuk modenisme agama atau liberalisme.

Tetapi, walaupun wujud niat baik di pihak yang menganjurkan pluralisme agama, dan mungkin boleh menimbulkan rasa simpati di kalangan Muslim dalam usahanya menggalakkan toleransi, projek teologi ini penuh dengan kecacatan, dan kecacatannya berhubung kait dengan kecacatan yang didapati dalam falsafah politik liberal, yang jelas bertentangan dengan pemikiran politik Islam.

Liberalisme sebagai fahaman politik tidak memiliki definisi yang jelas, selain menegaskan toleransi, hak individu dan kebebasan untuk memelihara kepelbagaian cara hidup. Di kalangan pemikir politik, tokoh penting yang dikaitkan dengan liberalisme ialah Adam Smith, Thomas Paine, Benjamine Constant dan James Madison.

Di bidang falsafah pula, tokoh liberalisme paling penting ialah John Stuart Mill. Thomas Hobbes, John Locke dan Immanuel Kant memiliki pengaruh terhadap teori liberal, walaupun Locke dan Kant bukan tokoh liberal, apatah lagi Hobbes. Masa kini, filusuf John Rawls menerajui liberalisme, walaupun perhatian juga diberikan kepada tokoh seperti Aron, Berlin, Dewey, Dworkin, Habermas, Hayek, Popper dan Rorty.

Sebahagian besar penganut fahaman liberal setuju bahawa liberalisme mula muncul selepas Reformation. Pada mulanya, kebebasan naluri beragama diutamakan, kemudian liberalisme diaplikasi pula pada bahagain pendapat yang lain. Ini bermakna, toleransi terhadap kepelbagaian pendapat tentang agama terletak di dasar liberalisme politik, manakala pluralisme agama boleh dilihat sebagai datang kemudian untuk memberikan asas teologi bagi toleransi ini.

Liberalisme politik memisahkan awam dengan peribadi, dan menekankan kebebasan peribadi yang tidak boleh disentuh oleh negara. Sekularisme ialah produk pertama pemisahan liberal di antara ruang peribadi dan awam.

Di Amerika Syarikat, liberalisme telah membawa kepada penghakisan autonomi tempatan untuk menggubal undang–undang berdasarkan agama majoriti sesuatu tempat. Hak kebebasan individu semakin kuat, disertai dengan pengurangan kuasa legislatif masyarakat tempatan.

Protestanisme liberal, yang membawa kepada kemunculan pluralisme agama, boleh didefinisikan dengan penerimaan tafsiran lebih luas kitab dan dogma Kristian, skeptisisme terhadap spekulasi resional dalam teologi, penekanan terhadap sokongan agama untuk prinsip moral moden dan reformasi sosial dan doktrin yang menekankan intipati agama ada pada pengalaman keagamaan peribadi dan bukan pada dogma, hukum, masyarakat atau upacara.

Pluralisme agama pula dapat dikaitkan dengan keperluan tafsiran baru ajaran Kristian bagi membolehkan penganut agama selain Kristian mendapat pengampunan Tuhan, keraguan terhadap hujah rasional yang menekankan keunggulan ajaran Kristian, keutamaan prinsip toleransi moral moden dan penolakan prejudis dan penekanan terhadap keutamaan pengalaman keagamaan peribadi sambil menganggap undang–undang agama, upacara keagamaan dan doktrin teologi sebagai kurang penting.

Pluralisme agama ialah gerakan teologi yang berlandaskan nilai moral liberalisme politikdan muncul secara terus daripada Protestanisme liberal. Gerakan ini dikritik hebat Kristian konservatif dan pemikir pascamoden yang mendapati kritikan mereka terhadap pemikiran modenis juga boleh diaplikasi kepada pluralisme agama.

Bagaimanapun, kelemahan dalaman yang banyak didapati pada liberalisme politik dan pluralisme agama sangat jelas apabila dibandingkan dengan pemikiran Islam, kerana pemisahan agama dengan orde sosial oleh kumpulan liberal ialah berdasarkan anggapan bahawa pemisahan ini konsisten dengan kepercayaan semua pihak, sedangkan ia bertentangan sekali dengan ideal Islam.

John Hick, pendokong kuat pluralisme agama menyifatkan fahaman ini sebagai doktrin pengampunan, dan bertentangan dengan dua pandangan Kristian terdahulu tentang pengampunan, yang disebut Hick sebagai exclusivism dan inclusivism. Menurut istilah simplistik, persoalannya ialah “Siapa yang akan dibenarkan masuk ke syurga?”

Exclusivist menjawab hanya penganut agama mereka akan masuk ke syurga, manakala inclusivist berpendapat mereka yang tidak menganut agama Kristian tetapi menjalani kehidupan yang bermoral juga boleh masuk ke syurga.

Lebih radikal daripada inclusivism ialah fahaman pluralisme agama Hick sendiri yang membenarkan sesiapa sahaja memasuki syurga, tanpa mengira bangsa, warna kulit atau agama, dengan syarat seseorang itu mengalami transformasi ke arah mengutamakan realiti, dalam tradisi agama tertentu.

Hick bagaimanapun bukan yang pertama mendakwa semua agama agung iaah kepelbagaian ekspresi kebenaran yang sama, walaupun berbeza di permukaan. Idea ini ialah tesis Frithjoh Schuon dalam buku pertamanya The Transcendental Unity of Religion, cuma Hick bertindak lebih radikal lagi dengan menerima hampir semua agama. Pluralisme agama juga berpandangan bahawa Tuhan dikenali dengan pelbagai identiti oleh penganut pelbagai agama.

Sebagai contoh, Brahma dan Allah dikatakan sebagai Tuhan yang sama, dilihat melalui identiti berbeza oleh penganut–penganut Hindu dan Islam. Untuk menegaskan hal ini, Hick gemar memetik Jalaluddin al–Rumi yang menyebut: “Hanya lampu yang berbeza, tetapi cahayanya tetap sama.”

Bagaimanapun, penerimaan kebenaran yang pelbagai bertentangan dengan agama samawi. Menurut agama Judaism, Kristian dan Islam, Tuhan menurunkan wahyu tentangnya kepada manusia, dan tidak mengemukakan dirinya dengan pelbagai identiti.

Pluralisme Hick akhirnya muncul sebagai sintesis doktrin yang dipaksa. Ia tidak membenarkan perbezaan utama dalam kepercayaan agama, dan gagal membawa keadilan kepada perbezaan dan konflik yang dialami setiap hari di antara penganut pelbagai agama di seluruh dunia.

Menurut liberalisme politik pula, yang melahirkan sekulaisme, perbezan agama dilihat sebagai perbezaan selera masing–masing, dan dimensi sosial agama diabaikan. Hal berkaitan agama pula cenderung untuk tidak dilibatkan dalam wacana awam, kerana dilihat sebagai hal peribadi.

Liberalisme dan pluralisme agama reduktif kedua–duanya menekankan kepercayaan daripada amalan. Hakikat bahawa tidak ada paksaan dalam beragama diterima sebagai kenyataan definitif kebebasan beragama. Kedua–duanya juga mendakwa neutral sedangkan pada masa sama tidak menerima sistem agama kepercayaan dan amalan.

Kedua–duanya sebenarnya tidak neutral, dan mendriskriminasi pandangan agama yang menekankan dimensi agama yang sosial dan praktikal. Ini bertentangan dengan Islam kerana Islam mengandungi bentuk kepatuhan yang legalistik dan memiliki aspirasi berbentuk sosial.

Apa yang diperlukan kini ialah pluralisme agama yang menerima perbezaan antara agama, tanpa mengurangkan kekuatan fahaman agama dengan sebarang bentuk relativisme.

Pluralisme agama mengandungi banyak nilai moral dan poltik yang bertentangan dengan ajaran Islam, paling utama kerana standard yang diletakkan. Menurut ajaran Islam, petunjuk untuk politik dan moral perlu diambil dari al–Quran, dan bukan pemikiran aliran moden yang sering bertentangan dengan Islam.

Nota: Dr Muhammad Legenhausen ialah profesor madya falsafah di Institut Pendidikan dan Penyelidikan Imam Khomeini di Qom, Iran. Beliau juga merupakan penulis buku Islam and Religious Pluralism (1999). Artikel terjemahan ini di petik dari blog (http://www.politikpop.blogspot.com), manakala bahan asal ini boleh dibaca di jurnal al-Tawhid dalam al-Islam.org

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: