jump to navigation

Membuka Minda Menerusi Penyelidikan Februari 28, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohd Zaidi Abdullah

Steven Weinberg, penerima Hadiah Nobel Fizik 1979 dalam The Best American Science Writing 2000 (Penulisan sains terbaik Amerika) menggalakkan dialog antara agama dan sains. Manakala, Freeman Dyson dalam The Best American Science Writing 2001 pula cuba menyeiringkan perkembangan sains dengan agama.

Perkembangan inilah yang semakin menjadi arus perdana dalam dunia ilmiah di Barat. Kecenderungan ini semakin bersemarak apabila perbicaraan tentang kepintaran rekaan (AI) merangkumi linguistik, sains dan teknologi dan falsafah.

Mereka terpaksa mengkaji pelbagai falsafah untuk merealitikan impian mereka. Ini dapat dilihat pada sesetengah buku yang membuka minda ke arah itu seperti Mind At Speed Light oleh Daniel D. Nolte, mereka berbicara tentang kuantum komputer yang berasaskan cahaya. Pelbagai kecenderungan tersebut di samping tragedi 11 September turut mengubah pelbagai tanggapan dan rancangan oleh setiap negara bangsa.

Untuk menghadapi realiti ini, umat Islam seharusnya memperteguhkan kefahaman pelbagai ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam. Umat Islam perlu menjauhkan diri daripada membuat kesimpulan umum. Sebenarnya, dalam seratus tahun terakhir ini, ramai cendekiawan Islam hanya suka dan mampu membuat kesimpulan secara umum dan kurang berminat secara teliti satu persatu, yang mana tepat dan yang mana salah termasuklah tokoh terkini iaitu Dr. Fazlur Rahman, Dr. Yusof al-Qaradawi.

Berkenaan ini, Syaikh Muhammad Naquib al-Attas semasa seminar antarabangsa tentang Imam Ghazali mengkritik sikap sedemikian rupa. Di Malaysia, kita kurang berbicara tentang kuantum komputer. Berapa keratkah artikel dan buku di Malaysia yang membicarakannya? Inilah menunjukkan kelemahan kecekapan dalam dunia ilmiah Malaysia.

Dalam majalah Astronomy (Januari 2002) dibicarakan sedutan buku The Story of Light oleh Ben Bova. Demi kemajuan pemikiran, para pembaca perlu cuba mengkaji buku tersebut dengan apa yang ditulis oleh Imam Ghazali dalam Misykat al-Anwar (Relung Cahaya-Cahaya). Imam Ghazali sudah tentu dipengaruhi paradigma firman Allah:

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah Allah umpama sebagai sebuah misykat yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca, geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya (iaitu) pokoh zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda); cahaya berlapis cahaya.

Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut sunnatullah) kepada nur hidayah-Nya itu; dan Allah mengemukakan pelbagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Dengan ini, Imam Ghazali menjadikan alam metafizik mempengaruhi alam fizikal. Nur haqiqi ialah Allah kerana salah satu namanya ialah al-Nur manakala kesemua cahaya lain adalah pinjaman belaka.

Dalam seni bina pun yang berasaskan cahaya turut dibicarakannya sekalipun dalam nada yang berbeza. Kita tidak wajar menyatakan semua yang lama itu kuno atau sebagainya kerana di Barat kini mereka cuba mengkaji semula kerana keinginan untuk mencari penemuan terbaru.

Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh kakitangan Khazanah Fathaniyah tentang minat Kedutaan Amerika untuk membeli karya-karya Tuan Guru Wan Mohd Shaghir. Inilah buktinya.

Dalam penelitian saya, pihak Center For Middle Eastern Studies di Universiti Havard sendiri telah menerbitkan sebuah monograf berjudul The Science of Mystic Lights: Qutb al-din al-Shirazi and the Illuminationist Tradition in Islamic Philosophy oleh John Walbridge. Setakat ini, kajian tentang falsafah Isyraqi atau illumination telah ditulis oleh Prof. Dr. Osman Bakar menerusi kajian Ph.Dnya. Dalam penyelidikan saya, mazhab falsafah ini amat tidak disukai oleh salafiah Wahabiah.

Kalau diteliti apa yang telah dikemukakan memperlihatkan kecenderungan ilmu sains Amerika. Oleh itu, kita beralih pula untuk mengesan kecenderungan sains Eropah. Eropah merupakan tamadun yang lebih tua berbanding Amerika. Eropah terlibat dengan `zaman gelap’ yang kemudiannya disedarkan oleh tamadun Islam terutama setelah Sultan Muhammad al-Fatih menakluk Kostantinopel (Istanbul).

Mereka bangun dan tidak terlepas daripada mengkaji bahan ilmiah Islam. Bukti ini boleh dijumpai dalam al-A’lam oleh al-Zirikli (8 jilid – biografi tokoh Muslim dan orientalis). Sebenarnya ramai juga ahli sains yang memperoleh anugerah Nobel berasal dari Eropah.

Hadiah Nobel 2001 dikongsi bersama saintis dari Amerika dan Jerman. Dunia sains Barat kini masih dilanda `demam kuantum’ yang semakin menjalar ke dunia perkomputeran. Di Malaysia, terdapat tokoh yang berminat dengan pengislaman sains kuantum ialah Prof. Madya Dr. Shahidan Radiman (Sains Nuklear, Universiti Kebangsaan Malaysia).

Pengalaman ilmiah dunia Eropah daripada tamadun Islam silam perlu diambil perhatian juga. Ini kerana peningkatan mereka sudah tentu daripada proses belajar. Dalam sebuah buku berjudul Towards The Edge of the Universe: A Review of Modern Cosmology oleh Stuart Clark, terbitan Springer dengan Praxis, 1999, memaklumkan bahawa The European Space Agency bercadang melancarkan Planck Surveyor yang dikombinasikan dengan Far Infrared and Submillimetre Telescope (FIRST) pada tahun 2007.

FIRST berada di sebelah atas manakala Planck Surveyor berada di sebelah bawah. Planck Surveyor sudah tentu diilhamkan oleh falsafah kuantum. Ini bermakna era Kuantum Kosmologi ialah `perkahwinan’ antara teori kuantum dan kerelatifan am Einstein. Ini semua hasil daripada anjakan paradigma dalam ilmu sains.

Risikonya apabila kita tidak menghiraukannya maka akan ketinggalan dan setiap ketika kita menjadi pengguna bukan pencipta. Demi untuk kemajuan ekonomi yang stabil dan mantap perlunya kita menjadi pembuat kerana tragedi 11 September telah membuktikannya.

Secara tidak langsung, penjajahan ekonomi tetap berlaku. Ini sepatutnya kita elakkan. Jangan asyik mempelajari aspek penggunaan sepertimana yang dirakuskan oleh arus ICT kini tanpa memperdulikan ilmu sains lain termasuk ilmu falsafah. Ini kerana Nolte meramalkan dekad kuantum lebih kurang 2050-an ke atas. Namun begitu, masih ada tokoh sains komputer yang mengambil berat tentang keperluan falsafah seperti Prof. Dr. Hairuddin Harun (UM).

Sebenarnya apabila kita mula mengorak langkah membicarakan tentang cahaya sudah tentu tidak akan lari daripada bicaraan berunsurkan falsafah. Tetapi, menerusi perbincangan saya dengan beberapa orang profesor, mereka menyatakan bahawa majoriti para pelajar di Malaysia malas untuk mengkaji falsafah dan belajar hanya untuk lulus peperiksaan. Inilah sikap yang membahayakan dunia ilmu akan datang. Para pelajar cepat mengalah dengan tuntutan hidup sahaja.

Inilah sebenarnya kelemahan sikap para pelajar tidak berani menempuh dugaan. Sedangkan para saintis yang tersohor dunia sanggup menghadapi cemuhan dan tekanan. Ada juga pelajar yang baik semasa belajar tetapi tidak mengkaji hingga pencapaian tahap tertinggi apatah lagi untuk menyumbangkan ilmu kepada masyarakat dan sebenarnya mereka ini mengalah dengan tuntutan bekerja.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: