jump to navigation

Kesatuan Ummah Janjikan Kebangkitan Islam Mac 4, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Abu Amer MujahedUmmah atau umat Islam adalah entiti yang melampaui negara, bangsa, kedudukan geografi, warna kulit, budaya dan bahasa. Elemen yang menyatukan ummah adalah kesatuan agama yang berlandaskan kesatuan tauhid atau kepercayaan kepada Allah yang esa. Lidah bagi segenap lapisan umat Islam menyebut perkataan Allah yang sama, sementara fizikal dan mental mereka mengadap kiblat yang satu. Inilah yang dinamakan umat Islam yang menjangkau lebih daripada satu billion nyawa manusia di seluruh dunia.

Perkara yang telah menjadi fakta yang berasas di mana ummah berada dalam keadaan yang terkebelakang sejak berkurun lamanya. Mereka terkebelakang dari sudut kajian saintifiknya mahupun praktikaliti dan mengalami penyakit “inferiority complex” dalam apa sahaja bidang termasuk bidang politik, industri dan ekonomi. Realiti hari ini, hanya tiga peratus sahaja dari jumlah perdagangan antarabangsa yang didagangkan sesama negara umat Islam. Negara-negara Ummah adalah pengimport utama dari negara-negara bukan Islam. Dengan kata lain, kita adalah golongan pengguna bukannya pencipta.

Sedangkan ummah jika disatukan, mempunyai lebih daripada separuh bekalan petroleum yang merupakan sumber tenaga utama dunia pada masa kini. Kuasa ini mampu meningkatkan taraf ekonomi ummah dan menjadikan ummah sebagai kuasa penentu yang utama di dunia yang dapat diaplikasikan untuk menjamin keamanan dunia.

Sekarang tiba masanya bagi ummah untuk kembali bangkit dan melupakan kisah silam yang penuh dengan kelemahan dan pasif sejak 70 tahun yang lalu bahkan jika dikaji sebenarnya berkurun-kurun lamanya. Mereka perlu bangkit menjadi satu kuasa besar yang baru dalam apa sahaja bidang yang mampu mengamankan dunia.

Tidak hairan apabila kuasa barat dapat merasai atau menyedari kebangkitan semula ummah dari sudut kesatuan ummah dengan kemajuan negara ummah dalam bidang sains, teknologi, inovasi, ekonomi politik dan ketenteraan di mana mereka akan cuba sedaya upaya supaya percubaan untuk bangkit ini segera disekat walau dengan apa cara sekalipun.

Negara-negara umat Islam telah berpengalaman dijajah dan kemudiannya “merdeka separuh masak” (dipinjam daripada istilah Al Marhum Dr Burhanuddin Al Helmy) dan seterusnya terus dijajah semula dalam bentuk “neocolonialism” sampai ke hari ini. Masanya telah tiba untuk kita yang berada di masa “pasca penjajahan moden” ini untuk mengambil iktibar daripada pengalaman lampau dan wajib tidak lagi membenarkan kuasa barat untuk terus menguasai kita dalam jangka masa yang panjang. Kita wajar merenungi bahawa pada masa sejarah hitam kita, kuasa barat telah meracuni kita dengan segala bentuk kaedah termasuk serangan budaya, ekonomi, politik dan ketenteraan demi melemahkan negara-negara umat Islam sehingga berpecah belah, dilanda dengan beban kemiskinan dan taraf hidup yang mundur.

Sikap bebal di kalangan elit politik kita dan sikap tidak bertanggungjawab di kalangan elit budaya kita telah merangsang kelemahan ummah dengan terus diratah segala kekayaan hasil buminya, kehilangan jati diri sebagai insan kamil yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT sebagai entiti khalifah di dunia ini. Kita, majoriti negara-negara umat Islam menjadi lemah hari ke hari sedangkan kuasa besar pula bertambah kukuh mencengkam kita saban hari.

Kita wajar bersyukur kerana masih terdapat pemimpin yang berani dan ikhlas di sebahagian kecil daripada dunia Islam termasuk di negara kita di mana kita mengharapkan agar gelombang kebangkitan ummah terus tersebar dengan subur di kalangan elit politik, generasi muda, gerakan mahasiswa dan pekerja serta masyarakat awam umumnya di semua negara umat Islam.

Dalam masa yang sama, ummah wajib mengambil langkah yang berjaga-jaga kerana musuh akan cuba mendominasi massa dunia. Mereka akan terus mengalunkan slogan Hak-Hak Asasi Manusia dan demokrasi mengikut acuan mereka sebagai salah satu perancangan untuk terus melemahkan ummah. Demokrasi bagi mereka boleh berjalan selagi mana ianya tidak mencabar kuasa mutlak mereka. Sekiranya mereka tercabar walaupun hanya dengan kenyataan-kenyataan politik sahaja dari elit politik ummah, mereka akan segera mereka bukti untuk mensabitkannya dengan “terorisma”, “ancaman nuklear” dan sebagainya.

Menekan gelombang kebangkitan ummah dan menjauhkan jati diri Islam di kalangan ummah adalah antara agenda yang masih dijalankan oleh kuasa barat. Semua modes operandi yang menggunakan taktik propaganda melalui saluran media kongkongan mereka dan kaedah politik sedang berjalan bagi melambatkan kebangkitan ummah dan kalau boleh, ianya bertujuan untuk mematikan terus instrumen yang menyumbang kepada kebangkitan ummah.

Kalangan elit politik, ulama, pemimpin agama, intelektual, penulis, sasterawan, artis dan pemuda-pemudi di seluruh negara umat Islam wajib mengambil langkah berjaga-jaga pada setiap detik agar kuasa barat tidak mampu meneruskan dominasi mereka ke atas dunia Islam.

Sesungguhnya pada hari ini, dunia terutamanya dunia Islam berada di persimpangan jalan yang penting. Dari satu sudut, gelombang kebangkitan ummah sedang berlangsung di kebanyakan cabang daripada dunia Islam, dan dari satu sudut yang lain pula, mereka sedang dihantui siang dan malam dengan “wajah pembuli” kuasa barat. Mereka mesti membuat keputusan strategik samada bersama-sama dengan kebangkitan ummah ataupun terus berada di bawah penjajahan kuasa barat.

Penulis merasakan hari ini adalah hari yang terbaik bagi elit politik ummah untuk merangka initiatif dan langkah-langkah konkrit bagi membantu menyelesaikan masalah negara Palestin yang masih dijajah, menyokong negara Iraq yang sedang berada dalam keadaan yang sangat lemah akibat diduduki oleh kuasa barat, menjamin kestabilan dan kemerdekaan Lubnan, Syria dan Iran yang sah dari segi legitimasi politik. Permasalahan yang melanda Pattani juga wajib diselesaikan oleh elit politik kita khususnya dan ummah secara amnya.

Kesatuan ummah amat diimpikan penulis dengan kewujudan satu mata wang dinar bagi transaksi seluruh negara umat Islam, blok kuasa penentu agihan minyak dunia, blok perdagangan global di kalangan negara ummah dan blok kuasa tentera yang akan mempertahankan mana-mana negara umat Islam yang diserang oleh kuasa besar barat.

Dengan kejituan hakikat keimanan kita terhadap Allah dan kepercayaan terhadap janji yang tepat dalam Al Quran bahawa dengan kesatuan ummah sahajalah mampu menjana kesemua objektif ummah untuk mentadbir dunia dengan penuh keadilan dan keamanan. Lupakanlah segala sengketa dan perpecahan ummah dari segi perbezaan mazhab kerana ianya cuma sekadar persengketaan politik jika dikaji daripada sejarah sebenar ummah.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: