jump to navigation

PAS Ketandusan Idealog Mac 4, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Marwaan Hadid

Ali Shari’ati dikenang bukan kerana dia seorang politikus hebat, bukan juga kerana seorang ahli pidato yang memukau, malah tentu sekali bukan juga kerana dia seorang ahli akademik di Universiti Mashhad.

Lebih dari itu semua, Shari’ati dikenang kerana ia merupakan simbol serta wajah idealog yang sukses merangsang kebangkitan rakyat Iran, merentasi mana-mana ruang pengaruh yang ada, hinggakan potretnya gagah berdiri sejajar dengan potret Ayatollah Ruhollah Khomeini ketika memuncaknya revolusi tersebut.

Itu Shari’ati, dan ia telah pun tiada. Di satu ufuk timur lagi, PAS ketika memuncaknya revolusi tersebut, cuba membawa semangat Shari’ati dan ruh revolusi ini ke dalam sistem partinya. Idea wilayatul-faqeh dari tradisi Shi’ah kemudiannya telah diterjemahkan oleh PAS kepada format kepimpinan ulama’, yang sampai dewasa ini terus tercerna dalam sistem gerakan parti politik ini. Namun begitu, hingga kini, PAS terus keempunan untuk menuruti jejak sempurna revolusi ini, kerana PAS tidak pernah memugar budaya partinya kepada kemunculan wajah idealog.

Mengapa PAS gagal melahirkan idealog? Apakah idealog ini tidak penting dari kacamata PAS? Dan, mengapa juga PAS hanya kelihatan berminat mengkader ulama’-ulama’ yang terhad kepada perspektif fiqhi semata-mata, tidak merentasi simbol dan perspektif wajah seorang idealog? Dan, kalaulah status ulama’-ulama’ dalam PAS itu lebih mulia kedudukannya, mengapa sukar untuk kita melihat ulama’-ulama’ dalam PAS ini dapat menunjuk jalan keluar kepada cita-cita sebuah revolusi ummah, di kala ruang-ruang demokrasi kini sudah mula memudar?

Apapun, persoalan-persoalan yang diutarakan ini tidak akan terjawab dengan jujur, selagi mana sistem pentarbiyyahan PAS sendiri sudah menjadi sangat eksklusif, hingga ia telah membataskan kreativiti aktivisnya untuk bereksperimen — dalam menterjemahkan aspirasi perjuangan ummah ini. Pertamanya, kita dapat buktikan kewujudan kekangan-kekangan yang dicipta oleh PAS ini semenjak dari dalam dunia kampus lagi, sesuatu suasana yang tidak pernah berlaku dalam tiga dasarwarsa sebelum ini, di negara kita.

Baiklah, eloklah kita ketepikan duhulu alasan bahawa praktik yang sama turut dilakukan oleh lawan politik PAS, iaitu UMNO. Bukan satu dalil yang bijaksana jika sesuatu kebenaran itu diukur dari kacamata perilaku lawannya. Tetapi, PAS sebagai wadah politik yang diwar-warkan berjuang atas nama Islam yang sejati, secara sedar atau sebaliknya, telah pun membentuk suatu kerangka pemikiran di kalangan mahasiswa yang sangat-sangat linear tentang apa itu sebuah “perjuangan”.

Mengapa definisi “perjuangan” yang ditakrifkan (secara tidak langsung) oleh PAS ini boleh menjadi selinear sebegitu? Apabila kita amati balik, gerakan mahasiswa yang pada peringkat awalnya condong pada cita-cita Islam, khususnya PMI, mereka ini rupa-rupanya tidak diajar bagaimana untuk mereka melahir serta merealisasikan gagasannya sendiri. Sebaliknya, kita amati, gerakan mahasiswa yang seperti ini telah ditatih dengan doktrin-doktrin agama dalam kerangka fikiran sebuah gerakan politik.

Jadi, dampaknya di sini, pencak gerakan mahasiswa itu tidak lagi tulen dan mulus. Gerakan mahasiswa bagaikan hanya menunggu dirangsang oleh PAS bagi merealisasikan sesuatu agenda mereka. Kerana itu, kita harus cermati semula, bahawa mahasiswa bukannya aktivis kepada mana-mana gerakan politik. Mahasiswa, lebih jauh dari itu, adalah sebuah gerakan yang miring kepada perjuangan sebuah idealogi ummah, yang di kalangan mereka akhirnya dapat diperhatikan kelahiran wajah idealog.

Jadi, apabila orientasi gerakan mahasiswa sudah terpimpin dengan doktrin parti politik, maka ruang lingkup gerakan mahasiswa itu untuk berekspreasi sudah menjadi kian terbatas, kerana setiap kreativiti mahasiswa untuk melakukan eksperimen idea dalam praktik sosial harus perlu menunggu restu pemimpin dari mana-mana struktur parti politik tersebut. Hal ini, yang awal-awalnya dilihat oleh PAS sebagai satu kelebihan, rupa-rupanya untuk rentang waktu yang lebih lama, ia adalah barah yang sangat serius sekali.

Ekoran rentetan format yang terikat sebeginilah yang telah menjadi benteng kepada kelahiran wajah idealog di kalangan aktivis PAS itu sendiri, bila mahasiswa itu memilih untuk bergelumang dalam politik kepartian. Dalam diam-diam, minda mahasiswa yang awalnya bernuasa Islam yang dinamik, telah diubah kepada pembentukan minda gerakan oposisi, yang belum tentu minda tersebut selaras dengan denyut nadi generasi muda. Dalam hal ini, PAS (juga parti politik lain) sememangnya berdosa kepada seluruh aspirasi gerakan mahasiswa, yang dulunya murni sekali hasratnya.

Untuk membeza dan membuktikan pengamatan ini tidaklah sesukar mana. Tanpa berniat untuk mengajak kita rigid kepada factor sejarah, kita boleh perhatikan idealisme mahasiswa tiga dekad sebelumnya sebagai kajian perbandingan secara ringkas. Di sana, wajar kita sekali mengakui, bahawa satu daripada faktor berkembangnya gerakan mahasiswa pada waktu itu ialah kerana faham kebebasan mereka untuk bereksperimen, ke arah untuk menyatakan gagasannya yang tersendiri, tanpa perlu mereka dipandu oleh arahan-arahan daripada parti politik.

Ketika itu, idea-idea yang diwar-warkan oleh sebilangan pemimpin gerakan mahasiswa benar-benar dapat merangka satu bentuk tekanan kepada suara pemerintah, apabila wujudkan bantahan ummah. Dan, ketika itu juga, suara oposisi tidaklah sekeramat suara mahasiswa. Pemerintah hakikatnya lebih terkesan dengan “suara ketiga” ini berbanding dengan suara-suara di parlimen. Jadi, idea dari kalangan gerakan mahasiswa pada waktu itu menjadi sangat-sangat kreatif, kerana mereka sendiri tidak terikat dengan doktrin parti politik!

Dan, bila kita berbalik kepada budaya dalam PAS itu sendiri, terbukti bahawa PAS semenjak demikian tidak pernah membangunkan pemikiran aktivisnya dari perspektif yang rasional dan kritis. Dan, apabila kita bercakap soal kritis ini juga, seharusnya ia tidak definitif kepada pertentangan terhadap seteru-seteru politiknya. Lebih bermakna daripada itu, PAS mesti berani membuka ruang kepada mana-mana aktivis untuk melakukan kritikan dalaman, tanpa perlu menunggu medan muktamar mereka.

Dari sini, jiwa-jiwa pemimpin PAS mesti diasuh dan dibudayakan untuk tahan menerima kritikan-kritikan, meskipun kritikan-kritikan yang dilontarkan tersebut masih samar-samar lagi kebenarannya. Tapi malangnya, sebarang kritikan dari peringkat dalaman parti, yang niatnya hanya bertujuan untuk mendapat kepastian sekalipun, dizahirkan dengan “muka yang masam”! Jadi, jika budaya yang tidak kritis ini tidak dipugar dari awal-awal lagi, jadi mana mungkin PAS mampu melahirkan wajah idealog?

Demikian juga, amalan PAS itu sendiri tidak berminat untuk membentur budaya wacana sebagai ganti budayanya yang berteraskan isu-isu semasa. Kita lihat, contohnya wacana-wacana dalam PAS sering disambut dingin, yang sekaligus berbeda dengan ceramah-ceramah politik. Kecenderungan pemimpin tua PAS memutar isu akhirnya telah menengelamkan bakat aktivis muda PAS yang awalnya sangat intelektualis. Sebab itu, kita tidak pernah menemui adanya karya-karya komprehensif dari pemimpin PAS tentang pengamatan sesuatu aspek, lantaran singkatnya budaya wacana ini.

Sebaliknya, apa yang kita perhatikan ialah buku-buku yang dihasilkan oleh pemimpin PAS ini hanya terbatas pada penjelasan isu-isu semasa, tetapi tidak berjaya menghuraikan sebarang fenomena semasa dalam ragam perspektif, dan ragam teori! Hingga kini, tidak pernah kedengaran di kalangan pemimpin PAS yang mampu melontar sebuah gagasan yang cemerlang, hingga dapat dijadikan rujukan dalam tempoh yang lama. Tidak pernah! Barangkali, inilah antara implikasi besar dari ketandusan intelektual dalam sistem parti tersebut.

Memang, lama dulu, ketika PAS di bawah Dr. Burhanuddin al-Helmy situasi ini amat berbeza sekali. Ketika itu, al-Helmy bukan sahaja berjaya mencermati wahana nasionalisme dengan perspektif yang dinamik, malah beliau juga berjaya menjalinkan gerakan PAS dengan pelbagai gerakan lain, yang juga terdiri daripada gerakan yang bukan bersifat politik, sama ada lokal atau global. Ini antara kehebatan al-Helmy yang mana teladan ini gagal disambung oleh para pemimpin PAS dewasa ini. Nyatanya, PAS tidak pernah serius untuk merombak budaya rapuh yang tertanam dalam sistem mereka ini.

Sungguh pun begitu, memang banyak lagi yang harus kita lakukan, bukan sahaja oleh PAS sebagai gerakan politik oposisi, malah oleh semua gerakan yang mahu mengembalikan jati diri sebuah bangsa ini. Perjuangan bangsa (atau juga perjuangan rakyat), seperti kata al-Helmy, sebenarnya boleh kita cantumkan dalam wadah yang organik sifatnya. Jadi, bila anjuran ini dapat difahami dengan harmonik, lebih-lebih lagi dari kalangan oposisi, maka tugas berat akan menjadi lebih mudah, lantaran keutuhan idea yang digagaskan oleh seorang wajah-wajah idealog, yang benar-benar menjiwai zeitgeist!

Namun, jika kalangan oposisi (merujuk kepada PAS) tampaknya hanya lebih berminat dengan pembinaan faham fekahisme, bukannya idealisme, maka kepada siapa lagi yang boleh kita sandarkan harapan besar ini? Harapan untuk melihat wajah-wajah seumpama sang rausyanfikr tadi; yang kemas fikirannya, yang dinamik wataknya, dan yang benar-benar meneladeni bahawa sesuatu praktik harus bermula dengan wacana idea terlebih dahulu, bukannya mainan selera isu semata-mata!

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: