jump to navigation

Azwiralbukhairi Ab Aziz: Kesedaran Melahirkan Gerakan Mahasiswa Mac 6, 2006

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Azwiralbukhairi Ab Aziz ketika dikemukakan soalan-soalan ini (via emel) merupakan Setiausaha Agung PKPIM. Asalnya, bahan ini merupakan himpunan kepada sejumlah soalan yang dikirimkan oleh para pembaca kepada Ummahonline.com dalam ruangan ForumNet (II) yang ketika itu cuba memberi fokus kepada tema Gerakan Mahasiswa: Cabaran & Harapan.

Kini, dengan kemudahan baru, Ummahonline.com telah memuatkan kembali keseluruhan jawapan panelis dalam ruangan wawancara supaya ia menjadi bahan yang lebih mudah dinikmati oleh khalayak pembaca. Untuk pengetahuan juga, bahan ini turut meyelitkan baki daripada persoalan yang belum lagi disiarkan. Jadi, sudah tentu, bukanlah sesuatu yang merugikan jika anda dapat meluangkan sedikit masa untuk menelusuri bentuk fikiran anak muda ini tentang dunia kemahasiswaan.

Boleh anda berkongsi pengalaman/penglibatan anda dalam gerakan mahasiswa? Dari pengalaman anda, apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh gerakan mahasiswa untuk bergelar sebagai jurubicara rakyat?

Pertama sekali, jawapan yang pandangan yang saya berikan mungkin tidak begitu tepat dan tidak mengambarkan realiti sebenar. Dan sudah pasti pandangan saya agak berkait rapat dengan pengalaman peribadi dan PKPIM sebagai sebuah persatuan pelajar.

Pengalaman bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh (STAR, Ipoh) dan terlibat dengan pasukan bahas banyak mendedahkan saya kepada tulisan dan sejarah mahasiswa tahun 70an. Bulan Julai dan Ogos 1998 mungkin keterlibatan pertama saya sebagai ahli PKPIM dan sebagaimana maklum PKPIM terlibat langsung dalam isu pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Namun begitu detik awal penyertaan dengan gerakan pelajar banyak dipengaruhi dengan pembacaan dan rujukan sejarah pelajar dan saya amat berminat dengan program PKPIM ketika yang banyak program diskusi buku, diperkenalkan dengan buku Asia Renaissance, buku-buku Muhammad Iqbal, Ismail Faruqi, Syed Muhammad Naguib al-attas, Syed Hossien Nasr, tidak kurang juga dikenalkan dengan Emanuel Kant, Taha Husain atau dikenalkan dengan multi aliran baik dari pasca mordenisme hinggalah aliran tradisional agama. Walaupun peringkat awal, secara peribadi tidak begitu memahami wacana pemikiran dan beberapa idea yang berlaku ketika itu, saya dan bersama-sama beberapa rakan dari bekas pelajar SBP seperti Sekolah Alam Shah dan Kolej Melayu yang telah kami kenal sejak belajar di sekolah menengah lagi banyak membantu memudahkan perbincangan yang agak baru ini. Peluang mendekati pelbagai tokoh agama dan inteltual ketika itu banyak membantu kami menelusuri pelbagai tema perbincangan ketika itu.

Budaya membaca dan penekanan kepada membentuk kerangka perbincangan dan pandangan yang objektif tentang sesuatu perkara ini antara pengalaman yang sangat saya hargai di dalam gerakan pelajar ini. Tulisan Syed Abul Hassan Al Nadwi ataupun idea-idea perubahan Malek Bennabi banyak menjadi mauduk perbincangan disamping beberapa pengalaman barat antara yang didedahkan ketika kisah surat Thomas Paine dan beberapa tokoh hinggalah ke isu globalisasi oleh Thomas Friedman dan Joseph Stigliz.

Pengalaman bersama persatuan pelajar banyak memberi peluang kepada saya menyertai bentuk program kefasilitatoran, khidmat sosial, antarabangsa, advokasi dan agama yang banyak membantu diri membina tassawur dan pandangan hidup sebagai seorang pelajar biasa yang berasal dari kampung. Tidak kurang juga dengan pengalaman berdozen rakan-rakan yang ditahan dilokap ada yang diambil tindakan dan dibuang dari universiti. Namun begitu dalam soal ini, kami telah sematkan bahawa apabila sudah memilih meluah rasa dijalan raya atau sebagainya dengan penuh sedar kita perlu sedar tentang implikasi dan kesannya pada undang-undang. Sememangnya ramai antara rakan di dalam persatuan telah diambil tindakan tetapi akhirnya berjaya menyambung pelajaran ditempat yang sama atau di tempat yang lain.

Peluang berpartisipasi dalam pelbagai lapisan entiti dalam masyarakat yang pelbagai peringkat juga pengalaman yang berharga. Di samping terlibat didalam entiti gerakan mahasiswa, kami juga perlu mengerakkan program peringkat belia yang pastinya melibatkan peringkat umur yang sedikit lebih tua dari mahasiswa. Tidak ketinggalan juga dalam mengambil bahagian yang menyokong gerakan advokasi penentangan tindakan hegemoni barat baik yang dimulakan oleh parti pembangkang seperti PAS dan DAP ataupun NGO seperti JUST. Kesediaan membantu beberapa agensi kerajaan dalam beberapa program peringkat belia dan pelajar sekolah sebahagian daripada tanggungjawab persatuan kepada beberapa komitmen sosial yang lain. Dan ruang bersama dengan organisasi seperti WAMY, IFFSO, PEPIAT, MBM dan RISEAP juga antara pengalaman yang baik untuk saya hargai. Namun, kepelbagaian komitmen dan tanggungjawab hubungan organisasi agak berbeza mengikut peringkat umur dan fokus boleh menjadi kesan baik atau kurang baik kepada PKPIM. Kepelbagaian komitmen dan tanggungjawab kepada rakan-rakan organisasi baik parti politik, rakan gerakan mahasiswa, rakan belia seperti Majlis Belia Hindu, Pengakap dan Puteri Islam, Jabatan Kerajaan dengan program pembangunan Insan. Walaubagaimanapun. Partisipasi yang agak luas sebegini memiliki kecenderungan untuk menjauhkan PKPIM daripada asal awal penubuhannya sebagai persatuan pelajar peringkat universiti dan sekolah dengan tujuan yang khusus. Tetapi ia juga boleh menjadi kelebihan kepada PKPIM salah satu usaha penetratif dalam pelbagai peringkat dan komponen masyarakat dan tidak semestinya meletakkan seluruh masa dan tenaga terlibat langsung dalam isu mahasiswa semata-mata. Membuka luas dimensi penglibatan seperti ini juga sedikit sebanyak memperkayakan pengalaman dan pengetahuan dalam usia yang muda ini.

Cabaran terbesar gerakan pelajar pada pandangan saya, berkait rapat dengan budaya ilmu, komitmen dan sikap kita kepada ilmu. Apabila sikap dan budaya ilmu seperti ciri-ciri cintakan buku dan diskusi serta rapat dan dekat dengan tokoh ilmuwan, intelektual dan ulama mampu membina kerangka pemikiran yang objektif dan sikap yang betul kepada persekitaran sekeliling. Tanpa menafikan kengkangan peraturan dan kesempitan ruang dalam kampus untuk menyatakan pandangan tetapi saya lihat cabaran budaya ilmu lebih besar kerana ianya akan memberi nilai tambah dan kekuatan tersendiri dalam gerakan pelajar. Melalui pandangan yang telah terbina dengan budaya ilmu yang subur, akhirnya ia akan mempengaruhi tindakan, keputusan serta kecenderungan kita di dalam banyak perkara. Oleh itu, setiap tindak tanduk pelajar akan banyak dipengaruhi oleh sandaran ilmu yang merujuk kepada tema kebenaran dan keadilan dan bukannya mengikut telunjuk sesiapa terutama sekali yang sangat terkait dengan elemen pentas perebutan kuasa. Apatah lagi apabila ianya berkait rapat dengan gerakan pelajar yang sudah pasti merujuk kepada organisasi dan institusi yang miliki liabiliti yang pastinya menuntut kepada hikmah dan bertanggungjawab kepada kepada ahli.

Secara jujur, apa komentar anda terhadap gerakan mahasiswa Malaysia hari ini? Membanggakan atau memalukan?

Gerakan mahasiswa seharusnya berkait rapat dengan sesebuah kumpulan dan organisasi. Atau kita juga boleh meletakkan inisiatif peringkat individu yang mengambil bahagian aktif menulis dan menyatakan pandangan dalam pelbagai isu sebagai sebahagian daripada gerakan mahasiswa. Tetapi peranan individu dalam kerangka dan inisiatif yang berbeza dan tidak ada sebarang tanggungjawab kepada mana-mana organisasi, namun ianya turut menyumbang dengan baik. Mungkin ada benar persoalan ini. Tetapi bagi saya, komen saya tentang isu ini, gerakan mahasiswa hari ini ada tidak membanggakan atau memalukan. Bagi saya tidak memberansangkan dan kurang daya tarik bagi mengajak mahasiswa bersama gerakan pelajar (mungkin termasuk PKPIM sendiri). Gerakan mahasiswa boleh menyumbangkan dan melakukan lebih baik daripada apa yang ada sekarang. Namun begitu saya mengakui, setelah berada di tahun akhir bersama persatuan pelajar seperti PKPIM, walaupun pada pengamatan saya PKPIM miliki pakej atau modal membentuk dan menggerakkan gerakan mahasiswa, tetapi saya rasa sumbangan saya masih kurang dan boleh ditingkatkan lagi. Untuk bersikap lebih adil, melihat kepada perkembangan atau iklim universiti yang tidak subur untuk perkembangan gerakan mahasiswa menambahkan lagi parah kepada perkembangan idealisme mahasiswa.

Namun begitu, ada juga sumbangan yang signifikan oleh rakan-rakan yang berjuang menentang ISA. Perjuangan bahasa kebangsaan dan pelbagai lagi yang boleh kita berikan kredit, tetapi sebagai mana yang kita maklum tidak diketahui oleh ramai pihak. Persepsi dan sikap kita dalam banyak isu dan hal pun banyak ditentukan dan diwarnai dengan maklumat dan sandaran informasi yang keluar dari kaca TV, akhbar ataupun media seperti laman sawang didalam dunia siber. Persepsi orang ramai terhadap mahasiswa atau gerakan mahasiswa banyak dibentuk oleh gambaran yang ada di dalam media kita. Apakah jaminan maklumat yang disampaikan hari ini yang banyak mewarnai persepsi kita tentang orang lain adalah benar atau betul. Jikalau kita sendiri tidak terlibat langsung atau mendekati sendiri keadaan yang berlaku.

Namun begitu, ini bukanlah alasan. Kelemahan perlu diakui, langkah proaktif perlu diambil. Bersedia belajar dari rakan-rakan HMI, KAMMI dan PII dari Indonesia, Bangladeshi Chattra Shibir, atau Jamaat Talaba Pakistan atau rakan yang pernah saya kunjungi baik di Leiden, Belanda atau FOSIS sendiri di UK atau rakan MSA di Amerika atau gerakan Fadlulah Golen di Turki dengan mengambil kebaikan dan contoh yang boleh di sesuaikan dengan faktor sosial, budaya dan politik Malaysia. Semuanya perlukan pengamatan halus dan kajian dan bukannya boleh dibuat-buat.

Di manakah perbezaan gerakan mahasiswa negara kita berbanding dengan gerakan mahasiswa antarabangsa yang lain? Sebab dari pengalaman banyak gerakan mahasiswa global seperti di Korea Selatan, Indonesia, UK, Iran dll, mereka semua tampaknya betul-betul mengugat dan mengagumkan kita! Dan, kita pula seolah-olah jauh ketinggalan?

Mungkin berbeza dari segi pendedahan dan budaya mahasiswa dan sikap kita di sini tentang ilmu dan perkembangan idea dan pemikiran mungkin kurang. Oleh itu mungkin berbeza perspektif mereka tentang melakukan perubahan bagaimana dan macam mana pendekatannya.

Apakah tujuan gerakan mahasiswa, adakah untuk menggugat atau menjatuhkan sesiapa semata-mata. Bagi saya, tujuan kita di sini ialah melakukan pembaikan dan menyumbangkan kepada peningkatan kualiti umat. Bergantung kepada keadaan, jika keadaan memerlukan, maka pilihlah jalan mana yang terbaik. Umpamanya di Mesir yang dicengkam oleh regim di sana, rakyat Mesir memang memerlukan pembaharuan. Tetapi ia masih lagi bergantung kepada individu atau organisasi di sana yang sanggup kehadapan dan tahu apa usaha mereka di sana. Persoalan di sini, kalau sesiapa rasa perlu untuk mencadangkan sesuatu serupa dengan contoh yang disebutkan di atas, saya secara peribadi mengalu-alukan jika itulah perkara yang terbaik, tetapi adakah sdr. perlu bersedia mengetuainya dan menerima implikasinya. Dan apa yang lebih baik meletakkan diri atau intima�, menggabungkan diri ke dalam mana-mana gerakan mahasiswa di sini dan kita akan melihat apa yang terbaik untuk gerakan mahasiswa. Apabila kita berada didalam organisasi yang ada ahli dan struktur, perkiraan dan pertimbangan kita akan berlainan jika kita sebagai seorang mahasiswa biasa yang hanya menjadi pemerhati. Saya yakin bahawa ramai antara rakan-rakan gerakan mahasiswa yang lain telah berusaha dan barangkali tidak sama dengan negara lain. Dan itu antara yang terbaik mereka boleh lakukan.

Antara ungkapan Hishamuddin Rais yang signifikan ialah, �hanya anak muda saja yang bisa mendobrak zaman�. Maksud yang sama turut di ulang oleh Amien Rais yang turut menyifatkan hanya golongan mahasiswa sahaja yang mampu mengerakkan reformasi sesebuah negara. Kita sebenarnya agak curiga dengan idea kedua-dua tokoh ini. Adakah orang tua tidak memang tidak boleh diharapkan untuk memimpin perubahan negara atau zaman? Dan, mestikah segala-galanya tentang perjuangan rakyat haruslah diterajui oleh anak muda seperti gerakan mahasiswa?

Tidak semestinya, kalau orang tua pada waktu itu layak dan berada pada keadaan yang terbaik dan mampu melakukan perubahan mengapa kita perlu berebut untuk �mendobrak zaman�.. Apa kita mahu adalah yang terbaik untuk zaman. Siapa yang melakukannya bukan persoalan. Kita bukan parti politik yang pentingkan nama. Yang penting membekas atau tidak. Namun saya tidak menafikan, generasi muda memiliki ramuan terbaik dalam menggerakkan apa-apa pembaharuan.

Parasit sosial ialah istilah yang diutarakan oleh Amien Rais bagi mengambarkan kelesuan gerakan mahasiswa. Mungkinkah iklim mahasiswa Malaysia dewasa ini sudah boleh disifatkan mencapai tahap parasit sosial?

Mungkin ada kebenarannya, pelajar disuap, iklim subur ilmu yang sepatutnya berlaku tidak berlaku. Oleh itu ramai menumpang tuah dan kesenangan yang telah dibina oleh masyarakat.

Mengapa mahasiswa Malaysia gagal untuk berperanan sebagai suara pengimbang antara parti pemerintah dengan parti oposisi? Saya kira gerakan mahasiswa hari ini seperti �hidup segan, mati tidak mahu�, umpama sebuah gerakan yang langsung tidak membawa apa-apa erti dalam konteks sosio-politik nasional.

Biasanya gerakan pelajar yang yang mengambil sikap tidak terikat kepada mana-mana parti politik adalah tidak popular. Seperti PKPIM, mungkin, kritikan dan sikap kami kepada parti pemerintah dan pembangkang tetap ada. Oleh itu kami tidak popular di antara parti politik pemerintah atau pembangkang dan seringkali dianggap �pengacau� dalam keadaan tertentu. Jikalau tindakan sesuatu persatuan seperti PKPIM itu kebetulan memberi keuntungan dan kelebihan kepada pihak pembangkang atau kerajaan ianya adalah kebetulan. Sandarannya tetap kepada asas kebenaran dan keadilan. Namun begitu, pandangan atau sikap PKPIM sebagai sebuah persatuan barangkali tidak tepat atau tidak betul. Sebagai pelajar sudah pasti kesilapan atau terlepas pandang dalam banyak hal pasti berlaku.

Kritikan kepada pembangkang sudah pasti akan mendapat tempat didalam media perdana kerajaan tetapi tidak media pembangkang, dan sebaliknya jika pandangan PKPIM dilihat mengkritik kerajaan maka ianya akan mendapat tempat didalam media milik pembangkang. Ada juga saluran pandangan yang tidak perlu dinyatakan atau diutarakan melalui media tetapi melalui surat atau pertemuan yang dilakukan.

Begitu juga dengan kekuatan jentera parti yang melakukan sumbangan dari kampung ke kampung meredah jauh ke hutan dan sebagainya. Mendapat tempat dalam media masing-masing. Pandangan saya, mungkin terdapat gerakan pelajar atau persatuan yang turut melakukannya tetapi tidak mendapat tempat dalam pengetahuan masyarakat kecuali program seperti OPKIM dengan kerjasama universiti. Pengalaman singkat bersama PKPIM walaupun dengan kengkangan dan sumber yang kurang peluang meneroka kesusahan ibu tua di kawasan rumah usang di kampung sekitar Gombak, Sabah ataupun menelusuri dan membantu sedikit sebanyak nasib keluarga miskin dan orang asli di Kuala Krau, Pahang. Kegigihan rakan-rakan di Pulau Pinang dan Kedah membantu masyarakat nelayan di sana juga mungkin tidak mendapat tempat pengetahuan umum. Ini sangat berkait rapat dengan sumber berita dan liputan yang dikeluarkan oleh media hari ini. Siapakah hari ini yang bertanggungjawab dan memiliki media utama. Adakah dijaga dan dikuasai oleh kuasa politik atau pihak yang bagaimana?

Walaubagaimanapun, selaku persatuan pelajar, kami tetap memahami dan menghormati peranan dan fungsi parti politik. Namun begitu tanpa menafikan sumbangan dan peranan entiti politik baik dari Barisan Nasional atau Barisan Alternatif punyai kelebihan tersendiri didalam sudut tertentu didalam Negara. Namun sikap selaku Persatuan pelajar perlu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik, perlu diteruskan dan inilah keunikan dan asas kepada kekalkan gerakan ini walaupun ada pasang surutnya. Apapun kita perlu tetap optimis dan yakin dengan apa yang kita lakukan dan tidak terheret jauh dengan percaturan parti politik.

Dalam pengetahuan saya, memang banyak kumpulan pelajar samada PKPIM atau banyak lagi rakan-rakan yang membina kumpulan sendiri pergi atas inisiatif sendiri dengan pelbagai nama tetapi dengan tujuan menyelami kesusahan dan membantu penduduk. Pastinya program seperti ini bukan mengadakan program untuk membuat culaan dan membina pandangan penduduk untuk tujuan pilihanraya oleh sesetengah pihak. Bagi saya hak rakyat untuk memilih parti politik itu terletak pada diri masing-masing. Namun mendidik dan membangunkan akal budi mereka menjadi tugas mahasiswa sebagai salah satu gerakan kempen kesedaran dalam banyak hal. Tidak banyak yang mahasiswa mampu sumbangkan, sebagaimana PKPIM yang tidak miliki wang untuk membina rumah baru atau bekalan beras yang konsisten kepada mereka.

Apa yang termampu ialah membangunkan taraf pendidikan masyarakat ini agar tidak mudah ditipu baik dari penguasa atau mana-mana pihak yang mahu menggunakan mereka. Membina minat, peribadi dan contoh tauladan anak-anak mereka melalui kelas percuma pengajian dan melalui program komuniti seperti sukan dan ibadat. Pastinya ia tidak ketahui umum kerana, Persatuan pelajar bukan parti politik yang perlukan nama untuk membuat semua perkara ini. Yang penting ialah kesan dan membekas kepada sasaran. Namun begitu mungkin benar kata sdr. Muhaimin, apa yang dilakukan oleh mahasiswa sekarang tidak begitu membantu masyarakat, dan kita bersedia menerima mana-mana cadangan baru dan sedia bersama-sama dengan pihak seperti sdr. Muhaimin membantu meningkatkan lagi peranan mahasiswa didalam masyarakat.

Adakah anda bersetuju parti-parti politik meluaskan pengaruhnya ke dalam kampus seperti usaha tersirat yang telah dan akan dilakukan oleh Puteri dan Putera Umno? Apa impak terhadap gerakan mahasiswa?

Pada pandangan saya, secara peribadi sememangnya tidak bersetuju. Kesan kepada objektiviti pelajar dalam melihat sesuatu isu atau perkara akan berlaku. Pelajar sudah diwarnakan (politik) terlebih dahulu menyebabkan saya bimbang (tidak semua oran) sikap objektif itu hilang. Namun begitu, jika parti politik itu benar-benar serius dan sedar tentang kesan sikap partisan politik ini, tetapi pada masa yang sama masih berminat untuk mengkader atau merekrut pelajar, mereka tidak seharusnya membentuk kerangka politik partisan yang akan mencengkam dan menutup pintu pemikiran baru dan sikap kepada tindak tanduk entiti yang terlibat didalam pertembungan perebutan kuasa.

Jika parti-parti politik ini masih serius dalam meluaskan pengaruhnya di dalam kampus, parti politik perlu memastikan kerangka pemikiran dan sifat ideal pelajar ini tidak dibunuh dengan idea politik yang mungkin menghakis daya intelektual dan kreativiti pelajar dan membina tassawur atau pandangan hidup tentang banyak perkara. Biarkan pemikiran dan keupayaan artikulatif pelajar terbina dengan kekuatan ilmu tetapi hubungan sebagai organisasi mungkin boleh berlaku. Urusan akademik atau kebebasan academia tidak boleh diganngu dan perlu dibiarkan subur baik dari parti politik pemerintah dan pembangkang.

Beberapa tindakan kepada ahli akademik di universiti juga antara contoh terbaik dimana berlakunya campur tangan politik yang ketara. Universiti tidak akan menjadi tempat yang subur untuk membina ilmu tetapi tidak lebih kepada tempat menempah sijil atau mencari makan sahaja kelak.

Mengapakah gerakan mahasiswa seperti BBMN dan MPMI (dulu GAMIS) tidak pernah mengkritik kepimpinan gerakan pembangkang? Apakah benar mereka di dalangi oleh pembangkang? Hal yang sama turut berlaku kepada Kelab Aspirasi yang kelihatan menjadi �Tukang Angguk� kerajaan/Umno?

Boleh dijawab oleh rakan-rakan dari BBMN atau MPMI atau mana-mana kelab aspirasi.

Apa reaksi anda mengenai budaya label-melebel di kalangan gerakan mahasiswa? Umpamanya, BBMN (PAS), Dema (DAP), Karisma (JIM), PKPIM (ABIM), Aspirasi (Umno) dll. Sejauh manakah kesan budaya ini terhadap masa depan gerakan mahasiswa itu sendiri?

Budaya label melabel ini sangat tidak sihat. Begitu juga budaya meruntuhkan antara satu sama lain perlu di jauh. Dalam gerakan dakwah pelajar sebagai contoh, kita tidak boleh melihat organisasi lain sebagai pesaing dan musuh. Sewajarnya dari kacamata pemimpin pelajar terutamanya perlu melihat kumpulan lain sebagai peluang untuk belajar antara satu sama lain. Komunikasi antara organisasi perlu berlaku untuk mengelakkan prejudis dan sikap sangsi. Walaupun setiap orang atau kumpulan memiliki pendirian yang berbeza dalam banyak hal, tetapi hubungan kemanusiaan akan melangkaui batas agama, bangsa dan apatah lagi sikap kepada sesuatu isu. Apatah lagi hubungan sesama organisasi perlu mengatasi faham politik atau ideology kerana kita berkongsi sumber dan Negara yang sama. Sifat hormat menghormati amat penting. Jika tidak bersetuju, perlulah mengambil tindakan berdiam diri dan tidak perlu melabel dan menghentam sesama sendiri dan ianya sangat merugikan kita. Sebagai orang muda banyak ruang dan masa hadapan dan akan menemukan protagonis ini dalam �acara� yang akan tiba kelak.

Alangkah rugi kita membesar dan terbina dengan perasaan benci dan dendam kerana tidak isu yang kukuh untuk memberi justifikasi melahirkan rasa benci dan label terhadap orang lain. Melainkan jika isu kezaliman dan diluar batas kemanusiaan. Dan ada ketikanya isu melabel dan membunuh kredibiliti organisasi pelajar bukanlah dilakukan anatara organisasi tetapi dimainkan oleh pihak tertentu yang tidak mahu melihat adan inisiatif bersama dan kesepakatan dan isu yang perlu disepakati. Saya fikir mungkin Sdr. Mikhail setuju dengan saya tentang hal ini.

Walaubagaimanapun, didalam isu pelabelan sesuatu kumpulan memiliki hubungan dengan organisasi lain, sebagai persatuan seperti PKPIM yang saya sertai, kami tidak perlu apolegetik dan tidak menjadi masalah serta tidak ada yang perlu disorokkan mengenai hubungan PKPIM dengan ABIM. Kami tidak perlu menipu atau menyembunyikan hubungan PKPIM dan ABIM dan sememangnya semuanya telah maklum. Adalah tidak adil jika saya menidakkan hubungan PKPIM dan ABIM yang memang telah berlangsung sejak sekian lama. PKPIM telah menubuhkan ABIM pada mesyuarat agungnya yang ke 10 pada tahun 1971 berserta dengan resolusi Konvensyen Universiti Islam.

Didalam urusan pentadbiran ataupun mesyuarat sekalipun PKPIM bukan entiti atau unit yang diletakkan sebagai salah satu biro didalam ABIM. PKPIM adalah satu pertubuhan lain yang memiliki perlembagaan sendiri dan diurus tadbir atas inisiatif wang sendiri. Berlainan dengan Parti PAS dengan Pemuda PAS atau UMNO dengan Pemuda UMNO. Tetapi hubungan adik beradik dan bersedia untuk boleh tidak bersetuju dengan ABIM dalam banyak hal boleh berlaku. Namun untuk menafikan hubungan langsung antara PKPIM dan ABIM adalah tidak perlu.

Namun begitu adalah menjadi hak kepada mana-mana ahli PKPIM untuk menyertai mana-mana organisasi untuk menyumbang dan tidak semestinya ABIM. Sebagaimana contoh antara senior awal PKPIM tahun 60-an seperti Dr. Sulaiman Nordin (UKM), Datuk Ismail Ibrahim, Dato Seri (Dr) Harussani Zakaria, Dato Hamid Othman, Wan Ismail Wan Ibrahim (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan zaman Dato� Asri Muda)dan zaman pertengahan seperti Tuan Ramli Ibrahim, Dato� Dr. Siddiq Fadhil, Datuk Fuad Hassan, Datuk Paduka Ibrahim Ali, Datuk Kamaruddin Md. Nor, Prof. Dr. Aziz Bari, Sdr. Khalid Jaafar, Nizal Mohammad, Prof. Madya Dr. Redzuan Othman, Mustafa Kamil Ayub dan ramai lagi nama yang mengambarkan kepelbagaian dan pembawaan yang dibawa selepas bersama dengan PKPIM. Bagi saya persatuan seperti PKPIM tidak lebih sebagai tempat pendedahan dan latihan sebelum terjun di dalam arena yang pelbagai.

Pelabelan seringkali berlaku apabila berlaku pertembungan seperti pilihanraya kampus. Bagi saya, kumpulan pelajar perlu mengurangkan elemen pelabelan ini. Pada pengamatan saya yang yang sebegini sudah berkurang. Namun begitu, kita perlu melihat semua kumpulan baik yang mendukungi parti pembangkang atau pemerintah adalah rakan dan tidak perlu berlaku pelabelan yang tidak menguntungkan. Ianya akan menimbulkan perpecahan yang tidak perlu (unnecessary conflict) yang merugikan kita. Peluang mewakili dan memimpin mana-mana kumpulan sewajarnya digunakan untuk menimba pengalaman memimpin, mengurus dan membuat keputusan yang pada hemat saya sangat asas dalam kamus gerakan mahasiswa.

Jika anda mengikuti perkembangan politik kampus, menurut penelitian anda, adakah pilihanraya kampus bagi pemilihan MPP di IPTA boleh kita sifatkan sebagai telus, berjaya dan saksama? Di samping itu, adakah pengamalan pilihanraya kampus ini boleh menjadi landasan terbaik untuk mahasiswa belajar akan erti demokrasi? Dan, apa komen anda terhadap prestasi MPP IPTA sekarang ini?

Pada pengamatan saya, banyak elemen dan pengendalian pilihanraya kampus perlu diberi nafas baru. Pelajar bukan ancaman kepada pihak universiti. Kita perlu menganggap semua yang terlibat baik yang mendukung parti pemerintah, parti pembangkang atau yang tidak ada keterikatan pada mana-mana kumpulan politik miliki potensi untuk dikembangkan. Ia adalah normal kepada mahasiswa yang miliki kecenderungan politik yang pada saya mungkin tidak baik terutama sekali apabila pertembungannya terlalu tajam. Namun pilihanraya kampus perlu dilakukan dengan secara telus, walaupun pilihanraya bagi saya bukanlah segala-gala atau tempat paling baik untuk menyumbang tetapi baik untuk medan latihan dan pengalaman memimpin.

Dalam keadaan yang ada di universiti kini, untuk menilai prestasi MPP IPTA adalah tidak adil untuk menyatakan berjaya atau tidak tidak. Baik dipegang oleh rakan-rakan yang mengistiharkan pendukung parti politik pemerintah, pembangkang ataupun yang ada antaranya yang tidak ada kena mengenapun dengan mana-mana parti politik. Bagi saya sememangnya sukar dengan pelbagai kerenah biokrasi pihak universiti dan kecenderungan universiti menentukan bentuk program yang perlu dibuat dan dihadiri oleh MPP. Baik untuk mana-mana MPP sekalipun. Namun begitu, pihak MPP ataupun mana-mana Persatuan pelajar perlu mencari dan meneroka inisiatif baru dan pelbagai bentuk sumbangan yang saya rasakan praktikal dilakukan oleh MPP yang ada dalam kerangka tersebut. Dalam suasana yang ada kini, ada ruang sebenarnya, tetapi perlu ada kerja keras, dibantu dengan kekuatan intelektual dan strategik yang baik dan akhirnya pengalaman serta pendedahan yang meluas tentang gerakan pelajar semasa.

Di kalangan gerakan mahasiswa Islam di kampus-kampus, mereka menunjukkan bahawa gerakan mereka seolah-olah anti-konsert. Konsert-konsert seperti Siti Nurhaliza, M.Nasir dll yang di adakan dalam kampus disambutnya dengan demostrasi. Inikah tanda kematangan gerakan mahasiswa Islam negara kita? Wajarkah hanya nasyid sahaja dibenarkan mengadakan persembahan di dalam kampus? Juga, benarkah persembahan kumpulan-kumpulan rock, pop, rap di dalam kampus boleh mengugat intelektualisme mahasiswa?

Bagi saya, tidak ada masalah hiburan yang berlaku. Malah dalam beberapa siri eksperimen program seni yang dilakukan, PKPIM turut mengumpulkan rakan-rakan daripada Akademi TV3 untuk terlibat sama mengungkap apreasasi seni melalui teater ataupun persembahan lagu (yang keluar daripada kebiasaan kerangka nasyid) yang menyampaikan mesej kemanusiaan dan keharmonian. Namun begitu, di dalam apa hal sekalipun kesederhanaan amat penting. Sudah terlalu banyak hiburan yang terbit dari media massa, di kota dan kini ingin disogokkan ke dalam kampus. Masyarakat telah disogokkan dengan hiburan yang agak banyak sebenarnya, dan pada pandangan saya yang mungkin tidak seberapa ini sudah sampai peringkat program hiburan terlalu berlebihan. Banyak yang telah dilaburkan baik masa, wang dan tenaga kepada program hiburan. Bagaimana pula dengan program membangunkan jiwa dan minda umat atau program membongkar rahsia dan mutiara ilmu. Pada pandangan saya tidak begitu seimbang.

Perlu ada had dan batasan sebagaimana dalam amalan pemakanan dan diet ubat yang pastinya ada aturannya.. Begitu juga dalam hal hiburan, baik untuk keadaan tertentu tetapi boleh menimbulkan kemudaratan dan keadaan yang kurang sihat apabila berlebihan dan keluar dari aturan agama dan ketatasusilaan tanpa membezakan mana-mana bentuk hiburan. Pilihan dan tawaran hiburan kini, saya rasakan cukup banyak diluar dan di media. Bagilah ruang kepada kampus menumpukan fokus dan tujuan utama akademia membugar dan meneroka persolan baru dan memberi makna ilmu kepada pelajarnya. Dan tidak ada masalahnya untuk berhibur, tetapi berhibur dengan seadanya dan penuh didalam suasana yang tidak menimbulkan fitnah dan memenuhi citarasa dan budi pekerti masyarakat timur. Dan begitu juga dengan garis panduan dan saranan hiburan yang telah ditentukan didalam Islam.

Barangkali anda pernah terbaca tulisan Ahmad Lutfi Othman, beliau menyifatkan mahasiswa negara memerlukan �korban� dalam perjuangannya; maksudnya korban dari kalangan aktivis seperti insiden Trisakti di Indonesia. Menurut hemat anda, adakah teori beliau ini ada kebenarannya ke arah mencetuskan perubahan politik negara yang lebih bermakna?

Mungkin betul tetapi tidak semestinya. Ada tempat dan ketikanya kita memerlukan Ali Shariati atau Badiuzzaman Said Nursi sebagai pemimpin pemikir yang salurkan idea perubahan cukup penting. Atau tokoh seperti Muhammad Iqbal dan Malek Ben Nabi untuk memupuk rasa kesedaran serta keinginan menyingkap realiti kelemahan masyarakat dan melahirkan rasa perjuangan. Atau kita perlu tokoh muda berani dan berkarisma seperti Che Guevera untuk mencetuskan api perubahan. Sudah pasti ada waktunya, �korban� dijadikan asas yang cukup kuat untuk membangkitkan keinginan perubahan. Namun, jika masih ada ruang dan peluang berubah tanpa berlaku sebarang korban, mengapa perlu dicari korban. Gerakkan sahaja apa bentuk perubahanyang ingin dilakukan.

Dalam pengalaman singkat PKPIM selama 44 tahun, dalam soal korban kecil seperti ditahan dibawah ISA sebagai contoh seramai 4 orang iaitu 2 bekas presiden dan 2 setiausaha agung tahun 1974, Sdr. Abdul Rahman Rukaini dan Setiausaha Agungnya ketika itu dan 1998 Sdr Amidi Abdul Manan dan Shabrimi Sidek. Serba maklum dalam organisasi ini bahawa bukanlah tujuan utama terlibat didalam gerakan pembaharuan dalam beberapa isu untuk mencari peluang ditangkap didalam ISA. Namun setelah segala ruang perbincangan ditutup dan tidak ada peluang langsung untuk menyatakan pandangan maka, barulah jalan raya yang dipilih. Dan PKPIM dengan penuh sedar, tindakan ini akan memberi implikasi penangkapan dan sebagainya. Ketika ini bagi pihak Persatuan tidak akan menyalahkan sesiapa, kerana ini adalah harga kepada keputusan �tekad� yang telah diambil. Tidak menjadi amalan PKPIM untuk menjadikan rakan-rakan yang telah ditahan ini untuk menarik perhatian ramai mendukung Persatuan kerana ini adalah �proses biasa� yang perlu dilalui apabila keputusan besar dilakukan.

Namun begitu, dalam melakukan perubahan banyak lagi bentuk pengorbanan yang masih lagi masyarakat malah aktivis yang lemas dalam hal-hal tertentu. Baik pengorbanan masa, tenaga dan harta. Apatah lagi hanya mengorbankan sedikit sisa-sisa masa kita kepada pembangunan budaya ilmu dan insan manusia.

Seharusnya, bagaimanakah pendekatan gerakan mahasiswa yang paling praktikal pada hari ini bagi memartabatkan semula gerakan �istimewa� ini di kacamata rakyat? Harapan kita dengan pendekatan baru tersebut, ia dapat kebuntuan politik nasional serta memartabatkan kembali karismatik gerakan mahasiswa negara kita.

Pendekatan sebegini mungkin tidak yang terbaik namun saya fikir mungkin dapat membantu gerakan mahasiswa. Pertama sekali, saya ulang beberapa kali, iaitu menjadikan budaya ilmu sebagai pemangkin (catalyst) kepada perkembangan idea dan sekali melahirkan rasa kesedaran dan keinginan perubahan yang timbul dan hadir melalui budaya ilmu yang sihat.

Kemudian sebagai sebuah gerakan, pastinya ianya melibatkan sekumpulan pelajar dan bukannya berseorangan dalam melakukan. Kumpulan pelajar memerlukan susuk tubuh pemimpin yang memiliki pakej unik dan tersendiri. Pemimpin yang mampu memberi arah dan idea perubahan pastinya memiliki upaya ilmu yang baik dan melangkaui kebiasaan pelajar lain. Hikmah atau kebijaksanaan seseorang pemimpin mahasiswa juga perlu datang dengan pengalaman dan pendedahan yang pasti menonjolkan beliau. Pemimpin mahasiswa yang juga mampu mengurus dan merancang untuk kumpulan pelajar dan tidak terikat dengan mana-mana kepentingan politik. Oleh itu kita perlu membina suasana subur untuk melahirkan pemimpin yang sebegini rupa. Potensi yang ada pada sesetengah mahasiswa perlu dikembangkan dan jangan disekat pada batas kepentingan kumpulan atau politik yang saya lihat potensi yang ada banyak mengambil sikap menjauhkan diri.

Walaubagaimanapun, banyak isu-isu semasa, secara lebih efisien telah digerakkan oleh pelbagai NGO atau parti politik dengan lebih baik kerana sememangnya ada NGO yang terlibat mahir dan memberi tumpuan khas kepada isu-isu tertentu. Dalam hal ini, banyak peranan yang dilakukan oleh mahasiswa sebelum ini seperti tahun 70an telah diambil alih oleh NGO atau parti politik dengan lebih baik. Peranan advokasi NGO dan parti politik ternyata lebih kehadapan dengan bantuan liputan media. Oleh itu, gerakan mahasiswa perlu mengambil sikap berkerjasama isu-isu yang sedia dipersetujui bersama.

Mungkin bukan sekarang, tetapi proses atau persediaan melahirkan pemimpin mahasiswa dan generasinya juga perlu berlaku sekarang. Pemimpin begini bukan boleh tiba-tiba lahir, tetapi ianya akan melalui pelbagai perakara dan proses yang pastinya mengambil masa.

Pada fikiran anda, apa puncanya pemimpin gerakan mahasiswa yang hebat di kampus suatu ketika dulu, tetapi tidak meneruskan idealismenya sementelah keluar dari dunia pengajian? Di mana silapnya?

Ukuran hebat pada kita mengenai pemimpin gerakan mahasiswa perlu kita bincangkan. Apa indikator yang hendak kita pakai. Adakah dia perlu menyertai parti politik maka dia meneruskan idealismenya. Ataupun mungkin maksud lain yang boleh diutarakan seperti keupayaan artikulatif dan kematangan idea dan pendirian boleh dijadikan ukuran. Ataupun kehebatan seseorang pemimpin pelajar itu terletak kepada berdemonstrasi atau berpidato. Mungkin kepada keberkesanan hasil usaha beliau walaupun tidak popular tetapi membekas dan berlaku perubahan.

Realiti di kampus dan rencam politik diluar sangat berbeza. Dalam pengalaman bersama (mungkin agak peribadi tetapi penting bagi saya) arwah bapa saya seorang polis berpangkat koperal di kawasan luar Bandar. Apabila saya memohon dan meminta nasihat kepada beliau mengenai cara membantu para penoreh getah dan orang asli di di kawasan kampung kami dan memahami baik dari segi isu harga getah, kos membeli beras, isu cukai kenderaan, rumah setinggan, bapa saya dengan mudah menyebut bahawa cara saya mengemukakan pandangan menunjukkan betapa saya masih lagi kurang dalam memahami denyut nadi masyarakat kampung yang menghadapi pelbagai realiti yang sebenarnya tidak akan kita temui di Lembah Pantai, Louborough, Skudai, Leiden atau di Serdang. Dengan hanya pulang sebulan sekali ke kampung sekali banyak hal yang pada pengamatan saya jauh memahami isu masyarakat yang pelbagai ini. Sekadar membantu makanan dan kelas percuma masih tidak cukup untuk menyelami denyut nadi umat. Dan saya rasa kita selaku pelajar perlu memahami hakikat realiti di dalam kampus jauh daripada yang berlaku diluar. Ini mengakibatkan ramai antara bekas pemimpin gerakan mahasiswa tidak meneruskan apa yang dikata dan di laung selama ini.

Namun begitu, saya pasti ada anatara mereka yang menyumbang dan meneruskan iltizam dan membawa pengalaman itu hingga ke hari ini. Namun bentuk dan bagaimana ianya berlaku pasti kita tidak tahu. Sekurang-kurang masih ada yang ingat.

Bagaimana anda melihat perkembangan intelektual di kalangan aktivis gerakan mahasiswa? Apakah rangsangan yang perlu kita lakukan agar tahap intelektual mahasiswa dapat dipertingkatkan supaya mereka benar-benar menepati harapan generasi pewaris negara?

Pandangan saya mungkin nampak remeh untuk sesetengah pihak. Namun, bagi saya budaya ilmu sangat penting. Budaya ilmu dalam erti kata budaya membaca, diskusi ataupun perbincangan yang sihat. Keterbukaan dan kesediaan mendengar forum yang dianjurkan oleh pelbagai pihak yang melepasi batas kumpulan dan parti politik sangat penting. Meneroka ruang akses kepada maklumat baru yang pada pengamatan kami, sememangnya terdapat tulisan ataupun pemikiran dan idea yang baik dan boleh diambil kira. Namun jika ianya bertentangan dengan nilai dan pendirian sendiri, ia turut baik untuk pengetahuan dan makluman kita kelak.

Maaf, jika ada yang menyifatkan ramai aktivis gerakan mahasiswa hari ini psikologi ilmunya tinggi (kononnya), tetapi mereka tidak pandai untuk merumuskan pendirian secara bebas. Sebaliknya, setiap pendapat yang dikeluarkan merupakan lanjutan dari perbincangan politik luar atau idea-idea yang di kitar semula, bukannya hasil daripada gagasan mahasiswa itu sendiri? Mungkinkah ini bersumber dari kelemahan aktivis mahasiswa untuk menyampaikan hujah atau barangkali aktivis mahasiswa sudah diresapi oleh dependency syndrome (sindrom kebergantungan) atau juga mereka mungkin malas untuk berwacana?

Ada benarnya pandangan ini. Ianya sangat berkait rapat dengan pendidikan kita. Sejak sekolah rendah dan menengah konsep ilmu difahami yang tidak begitu subur didalam masyarakat. Buku-buku bacaan hanya terhad mungkin kerana pendedahan dan iklim perbincangan buku dan pelbagai mauduk baru kurang berlaku dan masih lagi berlingkar pada perbincangan seperti �usrah� atau �kumpulan perbincangan�. Perlu ada keberanian meneroka dunia baru serta maklumat baru dengan pelbagai idea yang mungkin pelik dan asing bagi kita. Memahami pemikiran dan wacana warisan idea didikan dari Sobborne (Perancis) ataupun memahami aliran pemikiran dari Qom (Iran) hinggalah mengenali kumpulan pada pandangan asas neo-konservatif Amerika Syarikat. Tetapi persediaan dan disiplin ilmu perlu tinggi dengan kekuatan bahasa dan asas ilmu turath al-Islami baik dari ribuan ulama yang telah banyak meneroka pengalaman ilmu yang sangat baik. Tidak mengambil sikap prejudis agar, tetapi mengambil sikap terbuka dan bersedia mendengar. Namun begitu, tradisi berguru dan merujuk kepada authoriti ilmu baik dari sudut ilmu moden dan malah agama sangat penting memberi the guiding ideas yang akan membantu kita terjun dan menelusuri perkembangan idea dan maklumat yang semakin berkembang.

Sebagai aktivitis pelajar sekurang-kurangnya kita mampu memiliki kesimpulan dan idea untuk masyarakat yang sudah terdedah dengan pelbagai masalah didalam masyarakat. Untuk pengamatan yang baik tentang persoalan ini, saudara Imaddudin boleh melihat beberapa tulisan seperti tulisan Prof. Emeritus Dr. Khoo Khay Kim mengenai mahasiswa sekarang ataupun lebih awal daripada itu, tulisan Prof. Allan Bloom iaitu The Closing Of The American Mind, ada mencatatkan kebimbangan dan keprihatinan beliau mengenai generasi muda Amerika Syarikat didalam masalah seperti ini.

Ada yang berpendapat, idea, bakat dan imaginasi gerakan mahasiswa hanya dapat dilahirkan jika negara kita demokratik. Selagi ini belum diraih, selagi itulah minda aktivis mahasiswa tidak akan cerah ekoran kebebasan yang terhad. Anda setuju dengan pendapat ini? Mengapa?

Suasana demokratik atau ruang bebas mengemukakan pandangan yang mungkin kritikal baik untuk mengembangkan bakat dan potensi mahasiswa. Namun begitu saya tidak fikir mahasiswa kulit hitam dipimpin oleh Stephen Biko menuntut ruang demokrasi yang baik untuk menyatakan pendiriannya tentang apartheid menunggu untuk ada ruang bersuara. Bagaimana pula di Ethiopia tahun 1974, kelompok pelajar di Ethiopia pada 1974 (sama dengan tahun peristiwa Baling) bangkit menentang pemerintah Heile Selassie yang gagal untuk mengatasi masalah penggannguran, kemunduran, pengagihan hasil ekonomi yang tidak adil.

Jadi kita tidak perlu menunggu. Saya rasa ruang banyak dan agak terbuka berbanding negara lain. Cuma perlu ada usaha yang lebih kerap dan melalui pakej �pencerahan� yang betul dan bukan sembrono.

Bagaimanakah gambaran gerakan mahasiswa ideal yang anda impi-impikan?

Kita boleh meletakkan cita-cita yang tinggi. Tetapi ianya akan mengambil masa dalam melahirkan sesuatu yang ideal untuk gerakan mahasiswa. Ada beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam mengambarkan cita-cita. Antara faktor yang dikenalpasti adalah pelajar merupakan kelompok yang terdedah kepada gagasan-gagasan dan idea �idea pembaharuan yang lazimnya mencabar pihak establishment. Selain itu, faktor usia mereka yang muda, sering dikaitkan dengan sifat pemberani, tidak takut berhadapan dengan risiko, suka mencabar, berdarah panas, tidak terikat dengan komitmen terhadap kerjaya dan keluarga serta ciri fizikal mereka sendiri iaitu muda dan bertenaga menjadi sebab mengapa gerakan-gerakan pelajar dilihat sebagai memiliki dinamismenya yang tersendiri. Gerakan-gerakan seperti ini berjaya mendapat simpati, pengaruh dan sokongan anak-anak muda kerana dilihat sebagai kuasa yang bebas-independent force dan tidak mempunyai kepentingan politik dalam berjuang.

Oleh itu, saya rasa ada sedikit sebanyak gambaran mengenai bagaimana bentuk gerakan mahasiswa telah tertulis didalam soalan di atas. Walaubagaimanapun, gerakan mahasiswa ini ada pasang surutnya. Ada waktu ia garang dan mampu mengubah lanskap politik negara. Ada waktunya gerakan mahasiswa perlu meneruskan usaha murni membina dan membangunkan umat dengan akal budi yang tinggi. Pada masa yang sama memurnikan iklim universiti dengan wacana dan iklim intelektual yang akan mengangkat hikmah dan kebijaksanaan insan. Gerakan mahasiswa lahir bukan untuk menjatuh atau meruntuhkan mana-mana kerajaan. Tetapi lahir dengan kesedaran untuk melakukan pembaharuan dan pembaikan dengan kemampuan dan keringat yang mampu. Selaginya ianya mampu memberi kebaikan kepada masyarakat, maka ia wajar terus melakukan dengan apa bentuk sekalipun. Tetapi jika hilang ruang dan pintu untuk membuat pembaikan dan suasana yang aman, maka jalan rayalah yang akan menjadi pilihan. Gerakan pelajar yang sangat objektif dan adil pada pendirian. Bukan dibuat-buat kerana dibelakangnya untuk memenuhi mana-mana keperluan politik semasa. Ini sedikit sebanyak pandangan ringkas yang mungkin membantu atau mungkin tidak membantu dalam soalan yang ditanya.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: