jump to navigation

Bahasa damai HAMAS Mac 7, 2006

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee Malik

Melihat kepada artikel-artikel yang dihasilkan oleh para penulis Malaysia mengenai HAMAS di dalam media berbahasa Inggeris amat membosankan. Ianya adalah umpama ulangan terhadap apa yang telah dimuntahkan oleh pihak barat, dan kemudian diserikan dengan citarasa Malaysia. Seperti kata Khaled Hroub di dalam bukunya, HAMAS: Political Thought and Practice, kebanyakan mereka yang menuluis tentang HAMAS tidak bersifat adil. Teorinya, kebanyakan penulis-penulis tersebut tidak dapat mengakses kepada rujukan Bahasa Arab yang menjadi sumber utama segala maklumat mengenai HAMAS. Kebanyakan mereka hanya bergantung kepada apa yang diperkatakan oleh pihak barat yang rata-ratanya bersifat pro-Zionis, ataupun anti-Islamis. Hasilnya, kebanyakan analisis mereka menzalimi HAMAS dan perjuangan mereka.

Kebanyakan tuduhan yang dilemparkan kepada HAMAS adalah semata-mata berdasarkan apa yang diperkatakan oleh orang lain mengenai HAMAS tanpa melihat dan mengikuti sendiri perkembangan HAMAS. Apabila barat curiga terhadap HAMAS, maka para penulis “wannabe” kita juga menterjemahkannya di dalam media tempatan. Apabila barat mengatakan HAMAS sebagai militan, mereka turut mengulanginya, begitulah sehingga isu yang sebenar mereka lupakan. Jika pasca Intifadah 2000, dunia mula tersedar tentang kejahatan Israel, kini semuanya telah dikaburi oleh kemenangan HAMAS. Tiada lagi suara yang mengungkit kekejaman rejim Zionis dalam Nakbah 48, Deir Yassin, Sabra dan Shatilla, Jenin, Refah dan lain-lain kekejaman mereka. Dunia juga terus melupakan “tembok Apartheid” yang telah dibina oleh Israel yang telah dibantah oleh ICJ pada 9 Julai 2004. Kini semuanya tertumpu pada HAMAS, dan semuanya mengulangi laungan AS, HAMAS mesti mengiktiraf Israel dan melucutkan senjata mereka!

HAMAS diletakkan di kandang pesalah kini. Ke manakah perginya dosa-dosa Israel? Ke manakah seruan untuk merobohkan tembok pemisah ?, kemakah juga kutukan-kutukan yang dilemparkan kepada jenayah-jenayah rejim Zionis itu?, begitulah berjayanya pihak media yang dipengaruhi oleh lobi Zionis untuk mengaburi mata dunia. Sejarah asal pertelingkahan Israel-Arab itu segera dilupakan, yang tinggal hanyalah jari-jari yang memandang sinis terhadap kemenangan HAMAS. Ada yang menyamakan HAMAS dengan Hitler yang telah dipilih secara demokrasi dan kemudiannya mengganas. Mengapa sewaktu Sharon memenangi pilihanraya presiden pada Februari 2001, ungkapan sedemikian tidak dikatakan?, pastinya kerana pihak Zionis telah dipagari dengan kekebalan undang-undang “Anti-Semitik” di negara-negara Eropah dan juga AS.

Lebih pelik lagi ialah apabila mereka yang tolol dan bahlol ini tidak membaca dan tidak mengikuti perkembangan sebeanr isu Palestin dan HAMAS cuba untuk memberikan komen. Bermula dari Eropah, ke AS, ke Singapura sehinggalah ke Malaysia, seakan ijmak mereka menuduh HAMAS menolak perdamaian. Kebanyakan meramalkan kemenangan HAMAS bererti berakhirnya perdamaian di rantau tersebut. Ini adalah pendapat yang paling naif dan dungu untuk dibicarakan. Mengapa tidak katakan bahawa rejim Zionislah yang paling membenci kedamaian?, kerana segala usaha damai yang diusahakan, sering dihancurkan oleh Israel, samada dengan siri pembunuhan di Refah, Jenin, Jabaliya dan mana-mana kawasan lagi. Ianya juga dihancurkan dengan terbinanya tembok Apartheid yang semakin hari semakin menjalar. Kedamaian juga telah dimusnahkan melalui pembinaan perumahan haram mereka di Tebing Barat. Kedamaian juga telah lama hancur di atas kertas perjanjian damai itu sendiri, apabila syarat-syarat perjanjian tersebut menafikan hak-hak rakyat Palestin dan menindas mereka. Tidak kiralah samada kedamaian itu Madrid 1991, Oslo 1993, Road Map, mahupun apa sahaja nama kedamaian yang dicadangkan. Ini seperti yang telah dikatakan oleh mendiang Edward Said di dalam bukunya The End Of The Peace Process (1994), tentang gagalnya Oslo 1993 yang berat sebelah. Seperti kata Allahyarham Dr Abdul Aziz al-Rantisi, “Mereka (Zionis) hanya mengenali bahasa perang!”.

Lihatlah pembunuhan “extra judicial” ke atas para pemimpin perjuangan Palestin. Ibrahim Maqadmah, Yahaya Shaqaqi, Dr Solah Shahadah, Ismail Abu Syanab, Syeikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz al-Rantisi dan ratusan lagi. Lihat juga kepada lebih 7,000 para tahanan perang di penjara-penjara Israel, yang mana lebih 800 orang daripada mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Lihat juga nasib lebih empat juta pelarian Palestin yang menderita di kem-kem pelarian di Gaza, Tebing Barat, Lubnan, syria dan Jordan. Sehingga kini, ramai di antara mereka yang masih memegang kunci rumah masing-masing yang telah dirampas dan dirobohkan oleh pihak Zionis di tanah Palestin 1948 (Israel). Apakah dengan golongan Zionis yang kejam seperti itu kita berhak untuk berdamai?

HAMAS, walau bagaimanapun telah sanggup untuk mengutamakan jalan kedamaian. Seawal 1988 lagi, Syeikh Ahmad Yassin pernah menawarkan perdamaian yang sebenar dengan menawarkan “Hudna” atau gencatan senjata jangka masa panjang dengan rejim Zionis (al-Mujtama’ magazine, 17 February 1990). Mahmoud Zahar sendiri pun, pada tahun 1988 telah membawa usul “hudna” tersebut ke Shimon Perez yang pada ketika itu menjadi menteri pertahanan Israel (Hroub, HAMAS (2000)) . Pada tahun 1993 pula, Muhammas Nazzal, pemimpin HAMAS di Jordan juga mengulangi kesediaan HAMAS untuk melakukan “hudna” ketika ditemuramah oleh akbhar “al-Ra’iy”, Jordan. Pada tahun 1994, usai perjanjian damai PA-Israel, HAMAS sekali lagi membawa usul “hudna” mereka. Tawaran-tawaran HAMAS itu bukanlah yang sebarangan. Ianya menjamin hak rakyat Palestin agar tidak diperhinakan oleh Zionis sepertimana pihak PA di zaman Arafat dihinakan melalui Oslo 1993. Pada tahun 2003 sekali lagi HAMAS melalui Syeikh Ahmad Yassin menawarkan gencatan senjata, sayangnya tidak sampai sebulan, pihak tentera Zionis telah membunuh pimpinan HAMAS, Ismail Abu Syannab. Setahun selepas itu, Syeikh Ahmad Yassin pula dibunuh. Sekarang, sekali lagi HAMAS menawarkan kepada Zionis untuk melakukan gencatan senjata yang dinamakan sebagai “Long-term truce”. Apakah tawaran perdamaian HAMAS tersebut?

“Long-term truce” menawarkan agar kedua-dua belah pihak (Zionis dan Palestin) melakukan gencatan senjata untuk tempoh yang panjang. Tidak kiralah, 20, 30, 40 tahun, hatta sehingga hari kiamat. “Truce” tersebut juga menggesa agar kedua-dua belah pihak mengetepikan orang awam di dalam setiap pertempuran mereka. “Truce” itu juga meminta agar pihak Zionis berundur dari sempadan 1967 (termasuk dari Baitul Maqdis) dan meninggalkan perumahan haram mereka seperti yang telah mereka lakukan di Gaza. “Truce” itu juga menyerahkan isu pelarian Palestin sebanyak lebih 4 juta orang kepada masyarakat antarabangsa untuk menyelesaikannya, kerana mereka mempunyai hak untuk pulang ke Palestin 1948 berdasarkan resolusi PBB 194. Bukankah ini sudah cukup adil bagi kedua-dua belah pihak?

Sayangnya pihak Israel enggan menerimanya. Pemangku PM Israel, Ehud Olmert dengan sombong menolaknya. Mengapa? Kerana ianya memberikan sedikit hak kepada orang Palestin dan tidak langsung menguntungkan Israel. Apakah yang mereka mahukan?, mereka mahukan perdamaian mengikut acuan mereka. Mereka mahukan perdamaian yang akan merugikan Palestin dan hanya menguntungkan mereka sahaja. Mereka juga mahukan perdamaian di atas syarat-syarat Zionis dan pihak Palestin tidak berhak menentukan apa-apa!

Kini tawaran HAMAS masih diletakkan di atas meja untuk Israel menerimanya. Sayang seribu kali sayang, pihak AS dan EU tidak pula bersikap meminta Israel untuk menerima gencatan senjata tersebut. Mereka lebih sibuk menuruti perintah Israel agar memaksa HAMAS melucutkan senjata dan mengiktiraf Israel. Ini adalah melampau dan tidak logik. Jika HAMAS bersetuju untuk melucutkan senjata tanpa komitmen yang sama dikenakan ke atas Israel, ianya adalah seperti menyuruh seorang perempuan menyelakkan kainnya di hadapan perogol bersiri, dan kemudian meminta wanita tersebut mencium perogol berkenaan. Memaksa HAMAS mengiktiraf Israel seperti kata ketua biro politik HAMAS, Khaled Meshaal, adalah umpama menyuruh seseorang mengiktiraf hak penyamun untuk masuk ke rumah dan menyamun rumah mereka. Ini tidak logik!

Mengapakah perkara ini sukar difahami oleh ramai pihak? Atau mereka sengaja ingin tidak memahaminya?

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: