jump to navigation

Tamadun Islam dan Pencerahannya Mac 7, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohd Zaidi Abdullah

Pada tahun 1798 (1213H), umat Islam dikejutkan dengan penguasaan Perancis (yang disertai tentera dan pakar falsafah sains dan teknologi) di Mesir. Penguasaan ini menyebabkan para ulama di al-Azhar pada ketika itu memperkukuhkan semula ilmu-ilmu Islam yang diajar serta merespons isu-isu semasa dalam ilmu pengetahuan setelah muzakarah dengan ilmuwan Perancis.

Syeikhul Azhar Abdullah al-Syarqawi (w.1227/1812) dan Syeikh Abdul Rahman al-Jabarti (w.1241/1825) antara ulama’ yang segera melibatkan diri dalam menangani isu-isu ini. Manakala Hasan al-‘Attar (w. 1250H) menggunakan pendekatan alternatif yang menjunjung kesatuan dan kesepaduan ilmu. Pendekatan beliau, berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. “Aku diutuskan dengan bentuk ‘kata yang ringkas tetapi padat makna’ (jawami‘ kalim).”

Hadith ini menyifatkan makna wahyu itu padat dan luas bukan hanya memadai bidang ilmu tertentu sahaja. Ia sudah tentu melibatkan semua bidang ilmu Islam. Dengan kata yang tegas, kecenderungan kajian ilmu yang tidak bersepadu masih tidak menepati pengajian Islam tulen.

Bagi merealisasikan kesatuan dan kesepaduan ilmu, Syeikhul Azhar Hasan al-‘Attar turut menangani isu-isu semasa seperti terakam dalam kitabnya pada tahun beliau dilantik menjadi Syeikhul Azhar, Hasyiah ‘ala Jam‘ al-Jawami‘ (selesai tulis 1246H), menyebut bahawa buku-buku sarjana Eropah telah diterjemah ke bahasa Arab dan Turki dengan giat dan teliti. Pengetahuan baru ini telah disaring supaya sesuai dengan ruh ajaran Islam.

Seiring dengan perkembangan ini, Hasan al-‘Attar dan Hasan al-Quwaisni (kemudiannya juga menjadi Syeikhul Azhar pada 1250) berjaya membimbing seorang imam, Rifa‘ah Rafi‘ al-Tahtawi. Kemudian imam itu diminta mengetui rombongan keilmuan ke Perancis. Sepanjang pengajian mereka di Perancis, imam ini telah mengabadikan pengalamannya melalui bukunya yang terkenal iaitu Takhlis al-Ibriz. Kitab ini telah diberi kata aluan oleh gurunya, Hasan al-‘Attar. Walau bagaimanapun, al-Tahtawi masih tidak terpesona dengan ilmu-ilmu diperolehnya di Perancis secara taqlid buta. Dalam karya-karyanya, jelas sekali beliau telah menyaring ilmu-ilmu tersebut supaya sesuai dengan ajaran Islam. Buktinya, bagi al-Tahtawi sendiri, bermazhab atau pemikiran ulama’ silam tidak dikritik jika bertaraf ijmak tetapi soal furu’ yang diperselisih di kalangan ulama masih boleh dibahas semula.

Keadaan ini agak berbeza dengan Sheikh Muhammad Abduh yang muncul kemudiannya dengan melaungkan reformasi yang menyeluruh kononnya atas kebebasan berfikir lalu mengakibatkan perpecahan umat. Kami meneliti buku-buku yang pro dan kontra, didapati perpecahan tersebut tidak mampu diubati. Sikap Muhammad Abduh itu sebenarnya memudahkan penjajahan Barat berlaku dengan cepat.

Selain berlaku di Mesir, di Semenanjung Tanah Arab juga berlaku satu konflik agama. Lebih mendukacitakan, di saat kelemahan umat, berlaku sesuatu yang dilarang Nabi Muhammad s.a.w. yakni peperangan sesama sendiri. Peperangan ini berlaku atas nama agama di Semenanjung Tanah Arab pada 1217/1803. Peperangan ini berpunca dari ketidaksetujuan Syeikh Muhammad Abdul Wahhab terhadap umat Islam di Makkah dalam mengamalkan agama.

Sebenarnya, Syeikh Muhammad Abdul Wahhab bersama rakan-rakannya turun gelanggang mendebatkan isu ini dengan para ulama’ Makkah kira-kira pada tahun 1146/1733. Tetapi, apabila berdebat jelas beliau bersama delegasi dikalahkan oleh ulama’ Makkah. Hal ini menunjukkan apa yang dikemukakan oleh beliau itu tidak mempunyai bukti, lalu para ulama Makkah menolak seruan beliau.

Inilah cerita sebenar yang jarang disentuh oleh mana-mana penulis apabila berbicara tentang Wahhabiyyah. Fakta ini bagaikan disembunyikan dari pengetahuan umum. Harus diingat, ulama’ yang ada di Makkah pada masa itu yang turut sama menolak seruan Syeikh Muhammad Abdul Wahhab ialah juga gurunya.

Sifat buruk sangka dan ammarah ini masih tidak terpadam sekalipun beliau telah kalah dalam berhujah. Oleh sebab itu, pada 1157/1744, Syeikh Muhammad Abdul Wahhab berusaha menggabungkan dirinya dengan tentera Muhammad b. Saud. Pada tahun 1159/1746, dengan dakwaan bahawa ramai umat Islam yang sesat, maka beliau mengisytiharkan jihad menyerang Makkah. Inilah doktrin dogma-politik yang diasaskan oleh beliau.

Namun, beliau tidak sempat menikmati kemenangan kerana beliau telah wafat pada 1180/1766. Hanya abad berikutnya, golongan Wahhabi berjaya menguasai Makkah pada 1217/1802. Pada 1220/1805, golongan ini berjaya menguasai Madinah pula. Lepas itu, Kerajaan Uthmaniyyah telah mengirim tentera di bawah pimpinan Muhammad Ali Basya ke Makkah. Dalam misi ini beliau berjaya membebaskan Makkah dan Madinah daripada genggaman doktrin dan politik Saudiyyah-Wahhabiyyah.

Dalam al-Rihlah al-Hijaziyyah, Muhammad Labib al-Batanuni menyatakan bahawa golongan Wahhabi merupakan puak pelampau yang melebihi had mazhab Hanbali sendiri. Kenyataan dalam buku ini disokong oleh Syeikhul Azhar Salim al-Bisyri (1867-1917).

Dalam Sejarah Sosial Keagamaan Tanah Suci, Dr. Badri Yatim ada memetik dari kitab ini tetapi jelas berbeza dengan teks asal. Petikan itu ternyata boleh mengelirukan pembaca. Dalam Jaringan Ulama, Prof. Azyumardi Azra mengkaji teks-teks berdasarkan kedua-dua belah pihak. Jelas, hasil kajian beliau mendapati cara dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab keras dan tidak seperti yang diajarkan oleh para gurunya yang memang merupakan nadi ilmu-ilmu Islam pada zamannya.

Gurunya, Muhammad Sulaiman al-Kurdi memang telah mengagak semasa Muhammad Abdul Wahhab menjadi muridnya lagi bahawa muridnya ini akan memecahbelahkan umat Islam. Sehubungan dengan ini juga, gerakan ini memang tidak menghormati pendapat dari kalangan ulama lain. Semasa gerakan Wahhabi ini muncul, ramai ulama mengkritik mereka, antaranya ialah ulama yang terkenal dalam mazhab Hanafi iaitu Ibnu Abidin (1198-1252). Dalam Radd al-Mukhtar, Ibnu Abidin mengatakan bahawa golongan Wahhabi ini sebagai penderhaka (bughah) kerana melakukan pemberontakan terhadap pemerintahan Uthmaniyyah. Kritik terhadap mereka dapat juga diketahui dalam tulisan Sheikh Abdul Wahhab b. Ahmad Barakat al-Shafii al-Azhari al-Tandatawi berjudul Kitab Rad’ al-Dalalah wa Qam’ Jahalah beserta dengan sokongan mufti dan ulama Makkah.

Ternyata tindakan golongan Wahhabi ini tidak menepati sunnah Rasulullah s.a.w. kerana Nabi Muhammad s.a.w. melarang berperang sesama sendiri. Para cendekiawan Islam kini memartabatkan Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai mujaddid sedangkan tokoh hadith terkenal, al-Allamah Abu al-Tayyib Muhammad Syamsul Haqq al-Azhimabadi dalam ‘Aun Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, yang agak pro-salafi sendiri tidak memartabatkan beliau sebagai mujaddid. Golongan Muhammad bin Abdul Wahhab sering abaikan fakta ini.

Peperangan yang berterusan ini melemahkan lagi pemerintahan Uthmaniyyah yang sudah sedia tenat akibat serangan negara-negara Barat yang cuba memecahbelahkan kesatuan umat Islam serta kebangkitan non-muslim dalam wilayah. Sepatutnya dalam hal ini, lebih baik orang-orang Wahhabi pada ketika itu menolong Uthmaniyyah dalam berdepan dengan negara kuffar yang jelas kuffar.

Bayangkan tatkala Uthmaniyyah sibuk berperang untuk mempertahankan wilayah Islam, golongan Wahhabi ambil kesempatan untuk menang mudah. Mereka mengatakan bahawa Uthmaniyyah tidak islamik pada masa itu kerana terpengaruh dengan pandangan Barat. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. berpesan, “taatilah pemimpin kamu sekalipun dia fajir (buruk perangai-fasiq)”. Barat memang hendak merosakkan nama baik umat Islam pada zaman itu sekaligus menjajah semua umat Islam. Memang jelas akhirnya, umat Islam dijajah secara keseluruhan.

Dua krisis ini sebenarnya berubah menjadi isu keagamaan di Mesir dan Hijaz. Kami menilainya dengan menggunakan konsep jawami’ kalim wahyu yakni memahami kekayaan makna dari ungkapan yang ringkas. Timbunan makna daripada wahyu yang ditulis oleh ulama yang mendahului mereka tidak wajar diketepikan oleh generasi kemudian. Kekayaan makna dalam sejarah pemikiran Islam akan membuatkan kita tawadu’ potensi kita sendiri serta tidak tergesa-gesa dalam pengkritikan.

Merujuk kepada isu yang berlaku di Mesir, adalah tidak salah bagi umat Islam mempelajari ilmu-ilmu orang non-muslim kerana yang elok dan baik tentu ada manfaatnya kepada kita. Al-Imam al-Syafii sendiri turut memahami ilmu-ilmu yang ditulis oleh Aristotle, Galen, dan ahli-ahli fikir Barat, ahli fikir India, dan Parsi. Dalam hal ini Imam Syafii turut berpesan kepada muridnya, “Belajarlah kamu walaupun di negeri China” (lihat al-Hafiz al-Baihaqi, Manaqib al-Syafiei). Teladan yang ditunjukkan oleh Imam Syafii, bahawa warisan Yunani dan apa jua ilmu orang lain boleh dipelajari, yang baik perlu diterima diterima manakala yang salah perlu diketepikan. Inilah selalu diungkapkan oleh guru penulis, Tuan Guru Hj. Abdullah Lubok Tapah.

Maklumat mengenai Imam Syafii tidak dipaparkan oleh golongan yang kononnya mengakui “salafi” kini. Boleh dikatakan mereka ini menyembunyikan fakta sebenar. Sebaliknya, mereka memfatwakan bahawa haram atau bid’ah mempelajari falsafah atau mantiq. Padahal para ulama’ empat mazhab hanya menghukumkan sebagai salah apabila pengajian tersebut jika mereka mengabaikan ilmu-ilmu Islam yang lain.

Kita percaya mungkin Ibnu Salah menghukumkan bahawa ilmu Mantiq haram dipelajari kerana berlaku pada zamannya pengabaian terhadap ilmu-ilmu Islam lain. Atau, boleh jadi mereka mempelajari falsafah dan mantiq tanpa upaya penyaringan antara yang benar dan salah. Tentu tidak diterima akal bahawa Ibnu Salah tidak mengetahui apa yang disebut oleh Imam Syafii sedangkan beliau merupakan perawi mazhab Syafii.

Maklumat begini amat jarang diambil berat oleh penyelidik yang kononnya berpegang kepada salafi. Hakikatnya golongan itu tidak menjadikan isnad-isnad sebagai asas penyelidikan mereka. Padahal para ulama’ tiga kurun pertama 300 Hijrah, mementingkan isnad sebagai sebahagian daripada ilmu Islam.

Sebagai bukti, seorang tokoh terkenal dalam mazhab Hanbali iaitu Syeikh Ibnu Qudamah al-Maqdisi dalam Raudah al-Nazhir memasukkan mantiq dalam bahagian awal kitab tersebut. Pendekatannya menyerupai kitab al-Mustasfa karya Hujjatul Islam al-Ghazali. Tetapi, orang yang mengaku salafi seperti Ibnu Taymiyyah hanya mengkritik Hujjatul Islam al-Ghazali tanpa menyebutkan Ibnu Qudamah yang juga bermazhab seperti mereka. Jelas di sini, mereka tidak adil lalu menimbulkan kekeliruan.

Manakala di Hijaz, pihak Wahhabi-Saudi memaksa penduduk Makkah dan Madinah menerima pendapat mereka supaya dilaksanakan di kedua-dua tempat tersebut, sedangkan pendapat mereka telah dikalahkan secara perdebatan. Kedua-dua isu ini wajar dinilai menurut al-Qur’an, al-Hadith, Ijmak, dan Qiyas seperti yang dikemukakan oleh al-Imam al-Shafii dalam al-Risalahnya.

Orang ramai sering menyebut bahawa al-Qur’an dan al-Hadith mesti dirujuk, tetapi kita harus sedar bahawa kedua-duanya tidak akan wujud tanpa wujudnya manusia yang berakal. Manusia berakal inilah yang menentukan ijmak itu perlu bagi menetapkan kriteria yang dapat diterima umum.

Tanpa ijma’, sesiapapun boleh mentafsir Islam sesuka hati seperti isu Amina Wadud. Begitu juga ‘Qiyas’ boleh dijadikan hujah sebagai sumber hukum Islam seperti lafaz niat solat diqiyaskan dari lafaz niat ibadah haji.

Kebenaran mesti ditinjau dari sudut keilmuan bukan dari sudut pentas politik atau apa yang bersifat sementara. Hal ini bermakna sesiapa yang mengatakan bahawa berlafaz niat sebagai bid’ah maka dia sendiri tidak memahami apa itu mazhab Syafii yang telah menjadikan qiyas sebagai sumber hukumnya. Maka jelas pengkritik tersebut bukanlah golongan salafi seperti yang didakwakan.

Oleh hal yang demikian kajian ilmu-ilmu Islam wajarlah dilakukan secara bersepadu. Ilmu yang dibina secara berkotak-kotak tidak wajar diteruskan kerana Islam itu menyeluruh sifatnya. Apabila didengari seruan supaya kembali kepada al-Qur’an dan al-Hadith haruslah diambil sikap berhati-hati. Adakah mereka betul-betul ikut kedua-duanya? Dan adakah pegangan kedua-duanya turut melibatkan ijmak dan qiyas?

Selain itu, untuk meyakini sesuatu itu wahyu atau tidak kita perlu melihat manusia yang menjadi perawi kepada wahyu tersebut. Jadi, wahyu itu mesti dipandu oleh mereka yang diakui autoriti ijma’ supaya tidak diselewengkan makna secara bebas dan tidak bersepadu. Inilah asas pencerahan tamadun Islam yang wajar dipegangi oleh umatnya.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: