jump to navigation

Falsafah Ibn ‘Arabi Mac 8, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Haidar Bagir

Ibn ‘Arabi lahir di Murcia, Sepanyol pada 1165 dan meninggal di Damsyik pada 1240. Dia dipandang mampu menghimpun pelbagai aliran pemikiran esoteric yang berkembang di dalam dunia Islam pada waktu itu, seperti Phytagoreanisme, alkimia (alchemy), astrologi, dan ragam tasawuf, ke dalam suatu sintesis yang luas dengan ajaran-ajaran Al-Qur’an dan hadith.

Diketahui, bahawa Ibn ‘Arabi memulai pendidikannya di kota kelahirannya, di bawah pendidikan para ulama’ di situ, hingga dia akhirnya bertemu serta belajar di bawah seorang sufi perempuan, iaitu Fathimah, dari Cordova. Fathimah inilah yang amat dipujanya, malah diriwayatnya sebagai telah memperkenalkannya kepada jalur tasawuf.

Ibn ‘Arabi adalah seorang sufi dengan kaya dengan kefahaman terhadap khazanah ilmu-ilmu Islam. Dia membahas secara terperinci sebahagian besar masalah keilmuan yang sebelum itu telah menbebankan para sarjana muslim dalam pelbagai bidang seperti tafsir, hadith, fiqih, kalam, tasawuf dan falsafah. Kerana itu, dia juga dikenali juga dengan julukan kehormatan, syaikh al-akhbar (guru agung) dan muhyi al-din (pembangkit agama). Bahkan, Ibn ‘Arabi mungkin merupakan salah seorang sufi, tetapi sebahagian menyebutnya sebagai gnostik (arif), yang paling berpengaruh dalam sejarah Islam. Malah, James W. Morris pernah sampai menyatakan bahawa sejarah pemikiran Islam setelah Ibn ‘Arabi, iaitu setidak-tidaknya sehingga abad ke-18, hanyalah catatan kaki atas pemikiran-pemikirannya.

Karya-karya utamanya termasuklah Al-Futuhat Al-Makkiyah, iaitu sebuah ensiklopedia yang merangkumi kekayaan pengetahuan religius dan gnostik dalam Islam. Malah, edisi paling terkini karya ini pun meliputi tidak kurang dari 17,000 halaman. Di samping itu, dia turut menulis Fushush Al-Hikam, yang dianggap sebagai magnum opusnya. Dalam kitab ini, Ibn ‘Arabi telah membahas penyingkapan hikmah ketuhanan kepada para nabi. Karyanya yang seterusnya ialah Tarjuman Al-Asywaq, iaitu sebuah kitab kumpulan syair cinta spiritual. Manakala, kitabnya yang satu lagi ialah Syajarah Al-Kaun, karya kosmologi yang mengurai khazanah simbolisme dalam Al-Quran.

Sumbangan Ibn ‘Arabi dalam epistemologi terletak pada tawaran wawasannya mengenai cara membezakan kaedah kesedaran (irfan) dan pengetahuan intelektual kita. Menurut Ibn ‘Arabi lagi, ada tiga klasifikasi pengetahuan. Pertama adalah pengetahuan intelektual yang boleh diperolehi dengan pantas, atau melalui suatu penyelidikan mengenai sebuah bukti, yakni secara demonstrational (burhani).

Manakala, jenis pengetahuan yang kedua adalah kesedaran akan keadaan-keadaan batin fikiran. Tidak ada jalan untuk menghubungkan keadaan-keadaan ini selain daripada merasakan sendiri. Sebagaimana juga seorang rasionalis yang tidak boleh mendefinisikan keadaan-keadaan ini, akal juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk membuktikan kebenaran keadaan-keadaan ini. Sebagai contoh, manisnya rasa madu, pahitnya sari cendana, nikmatnya pergaulan dan cinta, perasaan gembira dan bahagia, dan lain-lain lagi. Ini tentunya keadaan-keadaan yang tidak mungkin dihayati oleh sesiapa pun, kecuali dengan cara menjalani sifat-sifat dalam keadaan-keadaan tersebut dan dengan merasakannya.

Sementara, jenis pengetahuan yang ketiga adalah pengetahuan tentang perkara yang ghaib (ilm al-asrar). Ini adalah bentuk pengetahuan intelektual yang transanden; bentuk yang mengetahui melalui emanasi dari ruh suci ke dalam fikiran. Para nabi dan orang suci dianugerahkan hak istimewa mengenai pengetahuan ini. Pengetahuan yang terakhir ini sebenarnya terdiri dari dua jenis.

Jenis yang pertama adalah pengetahuan yang boleh diterima oleh akal. Ini sama dengan pengetahuan dari klasifikasi pertama, kerana ia bersifat intelektual, kecualilah orang yang mengetahui dalam hal ini tidak memperoleh pengetahuannya melalui akal, sebaliknya merupakan tingkat pengetahuan transanden, yang tersingkap baginya.

Manakala jenis yang kedua pula terbahagi kepada dua bahagian, yang salah satunya dikaitkan dengan klasifikasi yang kedua, iaitu pengetahuan dengan merasakan sendiri, tetapi dengan martabat yang lebih tinggi serta kualiti yang lebih mulia. Sedangkan, yang satunya lagi adalah deskriptif. Pengetahuan deskriptif ini merentangi terhadap kemungkinan benar atau salah. Adalah kebenaran dan keterjagaan (ishmah) penuturlah, yakni penutur pengetahuan deskriptif itu, yang boleh menentukan kesahihannya.

Pengetahuann tentang yang ghaib (ilm al-asrar) berlawanan degnan pegetahuan representational fenomenal kita tentang objek-objek yang boleh diamat. Inilah pengetahuan tentang dunia yang ghaib, dan juga yang tak terhingga. Jika akal telah menyusun kembali, serta menterjemahkan pengetahuan yang tidak boleh diterangkan ke dalam kerangka bentuk pengetahuan, yang secara fenomenal bersifat representational, ia juga akan menjadi pengetahuan intelektual biasa yang seperti halnya sama dengan pengetahuan kita yang lain, iaitu bersifat konseptual dan boleh difahami. Dan kerananya, ia boleh dibicarakan dalam bahasa kita sehari-hari dengan mudah.

Di dalam bidang ontologi, salah satu sumbangan terbesar Ibn ‘Arabi adalah doktrinnya yang amat terkenal dengan sebutan ketunggalan wujud (wahdah al-wujud, atau kalau kita gunakan istilah aslinya, tauhid wujud). Pemikiran ini sebenarnya banyak juga diungkapkan oleh filosof-filosof dan penyair-penyair lain sepanjang sejarah Islam. Filosof-filosof yang segera harus disebut adalah Sayyid Haidar Amuli (1319-1384), seorang filosof Iran abad ke-14, dan Abdul Karim al-Jili (1365-1428). Sementara, para penyair, yang lagi-lagi berasal dari lingkungan Persia, antara lain ialah Jami’ (1414-1492), Sa’di (1184-1292) dan Rumi (1207-1273).

Doktrin ini di dasarkan pada proposisi bahawa keseluruhan ada (wujud atau eksistensi) dan apa saja yang mengada (maujud) merupakan ketunggalan. Bahawa segenap keragaman dalam dunia realiti, baik yang bersifat inderawi mahu pun intelektual, hanyalah bayangan semata-mata. Yakni, ini bermaksud, apa yang bermain dalam fikiran kita citra-kedua sebuah objek di mata seorang juling. Dengan kata lain, beragam realiti itu tak wujud sendiri, melainkan sekadar sebagai pengungkapan dari realiti tunggal. Dengan demikian, doktrin ketunggalan wujud Ibn ‘Arabi ini tidaklah bersifat panteistik, yakni menganggap segala sesuatu sebagai Tuhan, melainkan ia adalah bersifat monorealistik, yakni menegaskan ketunggalan segala yang ada dan mengadakan.

Dalam menggunakan istilah wujud Ibn ‘Arabi, biasanya bertujuan untuk memelihara makna epistemologinya. Baginya, wujud tak hanya bererti berada, melainkan juga menemukan atau ditemukan. Dengan kata lain, wujud menampilkan bukan hanya eksistensi, melainkan juga kesedaran. Memang, seraya menegaskan bahawa wujud adalah suatu realiti tunggal, Ibn ‘Arabi juga menegaskan bahawa realiti tunggal ini bersifat sedar diri — ia menemukan (menyedari, mengetahui akan) dirinya sendiri. Dan, dalam menyedari dirinya sendiri, ia memahami kemungkinan-kemungkinan yang tak terbatas mengenai pengungkapannya sendiri dalam modus ke”ditemukan”annya. Ini bererti, ia menampilkan diri dalam pelbagai pengungkapan, sesuai dengan tuntutan realiti spesifik dari pengungkapan itu. Dalam (keterbatasan segala daya) persepsi manusia, wujud tunggal itu tampil dalam pelbagai manifestasi (tajalliyat). Alam semesta, menurut Ibn ‘Arabi, terwujud atas dasar dua kutub makna ini: wujud dan pengetahuan. Keberagaman alam semesta menampilkan sebuah keragaman realiti, meski tetap dalam matriks suatu wujud tunggal

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: