jump to navigation

Menanti sepakat politik Mac 10, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohamad Ridhwan AliasLebih 5 dekad kita berpolitik dengan menggunakan sistem demokrasi melalui pilihanraya. Kini, tibalah masanya kita menilai semula keberkesanan sistem demokrasi dalam pembentukan agenda umat Melayu-Islam di negara ini. Persoalan ini timbul kerana sistem demokrasi yang kita amalkan semakin mewujudkan golongan bertentangan sehingga berlakunya pertarungan yang merobek perpaduan umat Melayu-Islam. Kehancuran perpaduan umat Melayu-Islam bermakna kehancuran proses pembentukan bangsa Malaysia.

Tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat di antara satu sama lain kerana kita mempunyai pengalaman, tahap pendidikan dan kepentingan semasa yang berbeza tetapi biarlah pertarungan ini dalam ruang lingkup yang sihat iaitu bersifat mulia-bestari, beradab dan kondusif.

Pertarungan politik yang mengancam perpaduan diantara umat Melayu-Islam telah mewujudkan politik dendam akan memusnahkan kekuatan umat Melayu-Islam. Natijah daripada sikap pelampau dalam politik ini, umat Melayu-Islam sekarang bertindak dan berfikir dalam kerangka politik parti mereka. Fenomena ini sememangnya menjadi barah dikalangan pengikut bawahan.

Sebagai contoh, sembahyang di masjid berlainan tempat dalam kampung yang sama dan pembahagian bantuan berdasarkan parti tertentu. Politik dendam yang menjadi pilihan umat Melayu-Islam disebabkan ketidakfahaman mereka dalam menangani isu politik dan konflik politik kepartaian sehingga memusnahkan nilai kemanusiaan dan Islami yang perlu dipelihara.

Perkataan politik berasal daripada perkatan Greek iaitu polis bermaksud bandar, negara dan bijaksana. Abdul Hamid al Ghazali mendefinisikan politik sebagai keahlian memerintah dan menjalankan negara; kekuatan dan kemampuan untuk meraih tujuan politik. Dalam konteks moden, politik boleh dimaknakan sebagai suatu ilmu memerintah yang diatur dan ditadbir oleh sesebuah pertubuhan politik.

Sebenarnya, umat Melayu-Islam baru sahaja mengenali politik bercorak institusional yang berkiblatkan Barat dengan penubuhan pertubuhan bercorak politik seperti Kesatuan Melayu Muda, Partai Kebangsaan Melayu Malaya dan UMNO. Selama ini umat Melayu-Islam telah terbiasa dengan sistem politik naungan yang bergantung harap kepada kepimpinan personal.

Keseluruhan pimpinan umat Melayu-Islam tertakluk kepada idea bertuankan kepada para sultan atau pembesar. Ini bermakna pengikut atau rakyat dalam struktur masyarakat Melayu-Islam dihubungkan dengan konsep hamba tuan kepada kepimpinan personal yang mempunyai daulat, karisma dan wibawa yang diabsahkan melalui tradisi atau melalui undang-undang yang diinstitusikan.

Pemimpin politik juga bertindak sebagai protector (pelindung) dan patron (penaung) kepada rakyat atau pengikut. Kedatangan British telah mengubahkan budaya politik pimpinan personal Melayu kepada kepimpinan Melayu bercorak institusi melalui parti politik. Walau bagaimanapun, budaya feudal tersebut tidak diberesi secara lumat oleh British. Impaknya, muncullah ‘orang-orang’ tertentu dalam parti pemerintah yang bercakaran sesama sendiri.

Hadirnya sistem demokrasi berpilihanraya di Tanah Melayu menyebabkan munculnya parti politik seperti PAS dan UMNO yang cukup berpengaruh dalam masyarakat Melayu-Islam. Pertembungan kedua-dua parti Melayu-Islam ini seringkali tidak terkendali sehingga mewujudkan suasana permusuhan di kalangan pendukung kedua-dua parti. Api permusuhan ini semakin marak sehingga isu yang memerlukan kebersamaan sukar dijalinkan kesepakatan. Akibatnya umat Melayu-Islam sendiri akan menanggung kerugian dan ia akan menguntungkan pihak lain yang berkepentingan.

Permusuhan ini disebabkan oleh perebutan kuasa pemerintahan sehingga kedua-dua pihak gagal melihat perbezaan diantara kepentingan politik dan kepentingan politik kepartaian. Berparti bermakna kita berpolitik tetapi berpolitik tidak bermakna kita berparti. Kita boleh melihat insan berjalur bebas seperti aktivis mahasiswa sosialis, Hishamuddin Rais yang memperjuangkan hak kemanusiaan dan keadilan berdasarkan fahaman sosialis beliau tanpa parti.

Imam as-syahid Hasan al Banna menyifatkan politik tanpa parti adalah politik mutlak dimana ia melihat hal ehwal dalaman umat dan luarannya tanpa mengaitkan dengan kepartaian. Oleh sebab itu, isu-isu seperti isu Anwar, isu hudud dan tahanan ISA perlu dilihat dalam konteks pemaknaan politik yang lebih luas melepasi sempadan parti politik. Isu-isu tersebut melibatkan persoalan hak asasi manusia dan Islami.

Manusia atau organisasi yang bersikap non-partisan boleh berpolitik dengan makna boleh menyatakan pandangan dan isu-isu. Perjuangan politik tanpa parti berdasarkan prinsip dan isu politik bukannya politik kepartaian yang berorientasikan mengejar kekuasaan. Oleh sebab itu, pendukung politik tanpa parti boleh membuat pertimbangan rasional dan adil dalam menilai sesuatu perkara. Segala pertimbangan akan dilakukan berdasarkan nilai keadilan dan kebenaran bukannya meraih undi atau kepentingan parti politik.

Ketidakfahaman tentang politik dan politik kepartaian cukup membarah dipelbagai lapisan umat Melayu-Islam. Paling memilukan apabila para pemimpin parti politik dan cerdik pandai Melayu bagaikan berpesta dengan ketidakfahaman ini bagi mengaut keuntungan perut mereka. Mereka bangga memperbodohkan rakyat dengan mengapi-apikan permusuhan dan meneruskan diskriminasi-diskriminasi agar pihak bertentangan terus memusuhi mereka.

Terasa teramat malang jika kita meneropong suasana politik mahasiswa Melayu di kampus-kampus nasional yang turut terkena tempias politik dendam dan diskriminatif. Suasana permusuhan yang dilebarkan oleh budaya politik kepartaian turut menggugat suasana keintelektualan di universiti yang selama ini dianggap neutral dan berautoriti sifatnya. Kader-kader parti mula bertarung dalam pilihanraya kampus dalam suasana yang tegang. Universiti yang dilihat sebagai taman keilmuan dan diharapkan melahirkan intelek-intelek ‘insan al kamil’ telah menjadi sarang menetaskan benih-benih perpecahan ummah.

Menurut Yusof al-Qaradhawi dalam Fiqh Daulah, berbilang parti politik ini perlu berada dalam kerangka kesatuan akidah Islam dimana matlamat utama adalah menegakkan kekuasaan Ilahi tetapi perbezaan yang berlaku hanya pada persoalan pendekatan sahaja. Kekeliruan yang timbul apabila umat Melayu-Islam gagal memprofesionalkan perbezaan pendapat mereka dengan mengimport sistem berparti Barat tetapi bermentaliti dunia ketiga. Di Barat, mereka yang kalah dalam pilihanraya akur kehendak rakyat. Contohnya, Kerry calon presiden USA yang tewas mengucap taniah kepada Bush tetapi di Malaysia, pihak yang menang dicela dan pihak yang kalah didiskriminatif. Akibatnya berlaku perpecahan umat Melayu-Islam yang merugikan.

Perpecahan umat yang merugikan ini perlulah dibanteras melalui pendidikan politik yang sihat. Pertama, tranformasi pemikiran politik perlu diregenerasi, dimana rakyat haruslah dididik bahawa parti hanyalah regalia untuk menyalurkan aspirasi politik berasaskan pertentangan polisi dan pendekatan dalam pentadbiran bukannya sebagai satu cara hidup yang berpaksikan politik dalam segala aspek kehidupan.

Suasana kondusif perlu dipupuk dengan memansuhkan amalan yang bersifat diskriminatif. Keadilan dituntut dalam pembahagian bantuan subsidi, kenaikan pangkat dan pembahagian projek dibuat tanpa melihat label parti politik. Suasana kondusif dapat mengurangkan ketegangan politik dan memarginalisasikan politik dendam di kalangan ahli masyarakat.

Kedua, parti politik boleh menangani isu-isu yang memerlukan kesepakatan politik. Menurut Siddiq Fadzil, antara isu yang boleh disepakati adalah isu pelajaran, budaya dan Bahasa Melayu. Syarahan perdana tentang Palestin anjuran ABIM yang menemukan Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan Tun Dr. Mahathir Mohammad haruslah diteruskan secara kerap agar perpaduan umat Melayu-Islam dapat dijalinkan. Kesepakatan yang termeterai boleh membawa parti-parti yang bertentangan ke arah politik persefahaman iaitu bersepakat dalam isu yang memerlukan kebersamaan.

Parti politik Melayu-Islam perlu mengamalkan prinsip politik bermoral yang berasaskan sifat mulia-bestari agar politik dakwah dapat direalisasikan. Menurut Dr. M. Hidayat Nurwahid, mantan Presiden Parti Keadilan Sejahtera Indonesia (PKS), politik dakwah dirumuskan sebagai kebijakan yang disusun dalam upaya mengendalikan dakwah Islam. Politik boleh menjadikan alat dakwah jika pemain-pemain politik mencontohi akhlak dalam urusan politik Rasulullah SAW.

Kehidupan politik Rasulullah SAW dilatari dengan kesederhanaan, keadilan, kebenaran, toleransi dan penuh dengan nilai kemanusiaan yang berakar-tunjangkan Islami haruslah ditauladani oleh pendukung parti politik. Di Indonesia, PKS melalui pemimpin utamanya seperti Abdi Sumaithi, Ketua Fraksi PKS di Majlis Permesyuaratan Rakyat dan Anton Apriyantono, Menteri Pertanian menonjolkan kesederhanaan dengan menolak peruntukan yang mewah kepada mereka oleh kerajaan.

Kegagalan Parti Refah Turki dan FIS di Algeria mengambarkan persaingan politik yang sengit boleh menghancurkan niat baik sesebuah parti politik. Perebutan kuasa akan merugikan kedua-dua parti politik yang bermusuhan. Sebagai alternatif, dianjurkan perkongsian kuasa (power sharing) diantara kerajaan dengan parti oposisi. Menurut Rached al Ghannoushi, pemimpin Parti Nahdah Tunisia menyatakan pembangkang boleh bergerak dan bekerja dalam bidang masyarakat awam seperti dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.

Penyertaan pembangkang dengan kadar kecil akan mengurangkan ketegangan politik membolehkan proses pengislahan masyarakat dilakukan secara lebih berkesan. Di Malaysia, suasana ini boleh direalisasikan kerana semua parti politik umat Melayu-Islam telah menonjolkan elemen Islami seperti Islam Hadhari, Negara Islam dan Masyarakat Madani dalam perjuangan politik mereka. Sungguh indah jika semua parti politik ini mengorak langkah dengan berpakat melaksanakan agenda umat Melayu-Islam yang dicita-citakan bersama.

Umat Melayu Islam perlu berusaha menangani isu politik dan konflik politik kepartaian mereka sebaik mungkin agar agenda umat Melayu-Islam dapat dilaksanakan dalam suasana harmonis. Parti politik Melayu-Islam wajar mengislah diri dan masyarakat dengan proses pembudayaan politik (political socialization) yang sihat, bermoral dan Islami.

Teringat pesan Pak Rendra, seniman Indonesia, “kita tidak boleh disatukan oleh masa lalu. Kita hanya boleh disatukan oleh masa depan”. Ini pengharapan tinggi kepada parti umat Melayu-Islam agar bersatu pada masa depan. Berpakatlah.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: