jump to navigation

Nik Nazmi Nik Ahmad: Gerakan Mahasiswa Harus Peka Lumrah Anak Muda Mac 12, 2006

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Tanpa menanggapi semua soalan yang dikemukakan dalam ForumNet (II), Nik Nazmi Nik Ahmad menghadirkan beberapa pandangan yang tidak kurang menariknya, sesekali diselangi dengan sindiran.

Umpamanya, beliau menyindir bahawa antara sebab kalangan mahasiswa tergila-gilakan Akademi Fantasia kerana ketelusan dan keterbukaan dalam sistem pengundian berbanding dengan pilihanraya kampus. Justeru, eloklah sekiranya kita singgah sebentar untuk menelusuri bacaan minda anak muda yang dewasa dengan cepat ini.

Boleh anda berkongsi pengalaman/penglibatan anda dalam gerakan mahasiswa? Dari pengalaman anda, apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh gerakan mahasiswa untuk bergelar sebagai jurubicara rakyat?

Pengalaman saya dalam gerakan mahasiswa di Malaysia agak terhad. Saya pernah menjadi Exco Unit Pendidikan Politik IKD (UPP-IKD) antara 2001 � 2002.

Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, dalam bidang undang-undang di King�s College London. Saya menjadi Setiausaha Agung Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia di UK (KPUM) dan Exco Majlis Tertinggi Pelajar Malaysia UK (UKEC).

Saya turut menyertai Labour Students di King�s College dan dipilih mewakili universiti saya di Persidangan National Union of Students (NUS) pada tahun ini. Di peringkat NUS saya turut serta dengan perwakilan pelajar-pelajar Muslim di UK menerusi FOSIS (Federation of Students Islamic Societies UK & Eire).

Cabaran terbesar saya fikir ada dua:

Pertama, yang merupakan cabaran yang terbesar ialah sikap �tak kisah�. Sikap ini menular bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di kalangan mahasiswa UK. Tuntutan akademik tak wajar menjadi alasan untuk kita �tak kisah�. Bila timbul isu hiburan, misalnya, kita selalu �kisah�. Lihat bagaimana mahasiswa tergila-gila dengan Akademi Fantasia. Dalam isu ini juga pimpinan mahasiswa seharusnya lebih proaktif untuk memastikan mereka terus relevan. Idealisme semata-mata tak mencukupi; ia harus disertai dengan memahami jiwa anak muda.

Kedua, sebagai rakyat Malaysia cabaran pertama ialah menghadapi tekanan apabila dilihat sebagai �anti-establishment� lantas menerima pelbagai ugutan, amaran dan lain-lain lagi. Cabaran ini banyak menghalang mahasiswa Malaysia untuk aktif sama ada di Malaysia atau di luar negara; tetapi sedikit-sebanyak dapat dihadapi dengan menanganinya secara matang dan berhemah. Kita juga berharap pihak pentadbiran dan kerajaan juga akan bersikap lebih telus dan terbuka. Mungkin antara sebab antara sebab anak muda tergila-gilakan AF ialah kerana mengundi calon-calon AF lebih telus dan terbuka daripada mengundi di pilihanraya kampus.

Di manakah perbezaan gerakan mahasiswa negara kita berbanding dengan gerakan mahasiswa antarabangsa yang lain? Sebab dari pengalaman banyak gerakan mahasiswa global seperti di Korea Selatan, Indonesia, UK, Iran dll, mereka semua tampaknya betul-betul mengugat dan mengagumkan kita! Dan, kita pula seolah-olah jauh ketinggalan?

Seperti yang saya katakan tadi, masalah �tak kisah� atau �tak peduli� ini juga ada di UK. Tetapi mahasiswa di sini mungkin lebih peka dengan isu-isu semasa, walaupun mereka kurang peduli mengenai politik kampus. Gerakan mahasiswa di UK aktif untuk menentang yuran pembelajaran (tuition fees) di sini dan juga di dalam isu perang Iraq.

Perbezaan terpenting walaubagaimanapun terletak pada kekangan. Di UK tiada AUKU, jadi mahasiswa tidak takut bersuara. Namun, paradoks mungkin kerana sudah tiada kekangan maka gerakan mahasiswa kadangkala mungkin �kurang modal� untuk berjuang.

Antara ungkapan Hishamuddin Rais yang signifikan ialah, �hanya anak muda saja yang bisa mendobrak zaman�. Maksud yang sama turut di ulang oleh Amien Rais yang turut menyifatkan hanya golongan mahasiswa sahaja yang mampu mengerakkan reformasi sesebuah negara. Kita sebenarnya agak curiga dengan idea kedua-dua tokoh ini. Adakah orang tua tidak memang tidak boleh diharapkan untuk memimpin perubahan negara atau zaman? Dan, mestikah segala-galanya tentang perjuangan rakyat haruslah di diterajui oleh anak muda seperti gerakan mahasiswa?

Bukannya orang tua tidak boleh memimpin perubahan. Orang tua, orang muda, mahasiswa, pekerja � masing-masing ada peranan tersendiri.

Cuma mahasiswa memiliki peranan yang istimewa yang sememangnya tidak dapat dinafikan. Sebab itu Isham dan Amien Rais menyebut tentang keistimewaan anak muda. Mahasiswa punyai kelebihan pendidikan serta idealisme anak muda. Jadi tanggungjawab sosial mereka cukup penting. Ilmu pengetahuan bukan bermakna lulus peperiksaan semata-mata; tetapi jauh lebih signifikan daripada itu.

Sejak zaman dahulu lagi pendedahan dan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh mahasiswa menjadikan mereka agen perubahan yang penting. Saya akui, kadangkala mahasiswa dalam keghairahan mereka tersilap. Tetapi saya rasa mesti ada ruang untuk mahasiswa membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab atas keputusan mereka. Kalau ada ruang, dan mahasiswa tersilap, saya yakin mereka cukup matang untuk belajar dari kesilapan mereka. Dengan adanya ruang yang cukup, mahasiswa dapat memainkan peranan mereka dengan lebih efektif.

Adakah anda bersetuju parti-parti politik meluaskan pengaruhnya ke dalam kampus seperti usaha tersirat yang telah dan akan dilakukan oleh Puteri dan Putera Umno? Apa impaknya terhadap gerakan mahasiswa?

Saya menyokong penubuhan Putera UMNO. Tetapi �keanehan� situasi di Malaysia terserlah. Khairy Jamaluddin, bekas mahasiswa Oxford itu cuba menjustifikasikan kewujudannya di sebalik AUKU dengan mengatakan penyertaan mahasiswa ke dalam Putera UMNO harus dengan kebenaran Naib Canselor.

Saya sarankan kita bakul-sampahkan sahaja AUKU. Kita lihat hari ini bagaimana Naib Canselor sentiasa tidak telus dalam kepetusan mereka � seperti kes Terence Gomez. Lebih bijak untuk kita akhiri kawalan ketat ke atas mahasiswa menerusi AUKU yang merimaskan. Dengan itu tak kisahlah Putera UMNO ke, Puteri UMNO ke, Srikandi PAS ke, Angkatan Muda Keadilan ke � apa salahnya mereka bertapak di kampus? Jika difikirkan elok, mahasiswa kita akan sertai mana-mana yang sesuai dengan fikrah mereka. Jika tidak, mereka boleh tak sertai atau tubuh persatuan mereka sendiri.

Hari ini pun, dengan AUKU parti-parti politik menyelinap ke dalam kampus menerusi pelbagai �fron�. Positif atau negatif � ini sesuatu yang sememangnya lumrah kerana di universitilah ramai bakal-bakal pemimpin dilahirkan. Tetapi tentunya lebih baik persaingan ini berlaku secara lebih jelas dan terbuka. Lagipun Perlembagaan kita mengatakan warganegara berumur 21 ke atas boleh mengundi. Ramai mahasiswa kita berumur 21 ke atas. Tak masuk akal hanya kerana mereka �mahasiswa� mereka tak boleh aktif dalam politik. Tiada kontradiksi kerana mereka bukannya pegawai kerajaan Kelas A yang mentadbir dasar negara.

Di NUS di UK yang mana saya aktif juga ada pelbagai kumpulan. Akhir-akhir ini kumpulan parti politik (khususnya Labour) kurang popular kerana kerajaan juga Labour dan dasar kerajaan Britain yang memperkenalkan yuran pengajian yang tidak popular di kalangan mahasiswa. Jadi mahasiswa yang bebas atau kurang terserlah kesetiaan politik mereka lebih mendapat tempat.

Tetapi tidak salah ruang ini diberikan kepada mahasiswa. Jika mahasiswa sokong PAS misalnya, biarlah PAS menang di kampus. Jika tidak mereka kalah. Kalau benar-benar kita fikirkan kepentingan bangsa, agama dan negara; dan merasakan mahasiswa kita sudah mumayyiz mengapa perlu kita cemas sangat? Berilah sedikit kepercayaan kepada mahasiswa.

Di kalangan gerakan mahasiswa Islam di kampus-kampus, mereka menunjukkan bahawa gerakan mereka seolah-olah anti-konsert. Konsert-konsert seperti Siti Nurhaliza, M. Nasir, dll yang di adakan dalam kampus disambutnya dengan demostrasi. Inikah tanda kematangan gerakan mahasiswa Islam negara kita? Wajarkah hanya nasyid sahaja dibenarkan mengadakan persembahan di dalam kampus? Juga, benarkah persembahan kumpulan-kumpulan rock, pop, rap di dalam kampus boleh mengugat intelektualisme mahasiswa?

Isu ini isu yang kompleks. Sememangnya gerakan mahasiswa sepatutnya bebas melahirkan pandangan mereka: sama ada mereka anti konsert, anti AUKU atau anti Akademi Fantasia.

Tetapi gerakan mahasiswa juga seharusnya peka dengan lumrah anak muda dan situasi dunia hari ini. Pendekatan membantah dan keinginan mengharamkan segala-galanya kadangkala mungkin bukan pendekatan terbaik untuk mendidik mahasiswa. Biarlah pendekatan mengharamkan sesuatu menerusi undang-undang atau peraturan itu pendekatan terakhir, �last resort�. Cuba kita yakinkan mahasiswa lain secara hikmah. Kita kena pandai bina konsensus yang positif. Dalam dunia hari ini, kerapkali pendekatan begitu lebih efektif. Sahsiah yang terpuji ialah sahsiah yang turut dibentuk menerusi kekuatan dalaman, bukan pengharaman semata-mata.

Kita kena jujur dengan diri sendiri: kita mungkin cepat ingin membantah konsert, tetapi bagaimana pula dengan isu-isu harian mahasiswa seperti isu PTPTN, masalah di kuliah dan lain-lain lagi. Kalau kita hanya ingin membantah konsert dan AUKU misalnya; tetapi tak menghiraukan isu-isu seharian mahasiswa, kita akan terus kelihatan tidak relevan di kalangan majoriti mahasiswa lain dan dilihat �syok sendiri�.

Ada yang berpendapat, idea, bakat dan imaginasi gerakan mahasiswa hanya dapat dilahirkan jika negara kita demokratik. Selagi ini belum diraih, selagi itulah minda aktivis mahasiswa tidak akan cerah ekoran kebebasan yang terhad. Anda setuju dengan pendapat saya ini? Mengapa?

Dengan adanya ruang demokrasi mungkin terbukanya peluang untuk gerakan mahasiswa kita menyerlahkan idea, bakat dan imaginasi mereka. Saya sendiri tertarik dengan hipotesis ini.

Tetapi selalu juga situasinya terbalik. Keadaan yang menekan dan merimaskan kadangkala lebih sesuai untuk mahasiswa menggembeling segala potensi yang ada. Lihat bagaimana mahasiswa memainkan peranan besar di Indonesia ketika zaman Orde Baru Suharto sehingga berjayanya gerakan perubahan di Indonesia.

Mungkin akan jadi seperti teka-teki ayam dan telur. Yang mana datang dulu? Ayam atau telur? Demokrasi atau kekuatan gerakan mahasiswa? Kadangkala demokrasi dulu, kadangkala gerakan mahasiswa dahulu.

Sebenarnya ada pelbagai faktor dalam menentukan terserlah atau tidaknya idea, bakat dan imaginasi mahasiswa selain dari ruang demokrasi. Tetapi ruang demokrasi itu sendirinya penting kerana itulah pendekatan yang paling realistik, jujur dan adil sesuai dengan situasi dunia hari ini.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: