jump to navigation

Bangsa lembu Mac 16, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

 Oleh: Buddhi HekayatMereka yang membaca karya-karya ilmu falsafah; belum tentu berfikir ~ sedangkan berfikir adalah satu-satunya jalan untuk mencapai ilmu falsafah, untuk, kemudiannya mengenal baik-buruk, mulia-hina, suci-cerca dan kebenaran. Dan membaca itu, hanya satu cabang atau saluran untuk bisa berfikir: tidak ada penafian di sana. Cuma, merenung itu menjadi jauh lebih penting daripada segala macam method ‘teknikal’ yang lain.

Saya tidak nampak bahawa anak-anak muda dan orang-orang tua yang mulai [atau telah] membaca karya-karya falsafah ini juga mulai menggerakkan akal dengan sekeras-keras mungkin untuk berfikir. Kita melihatnya juga di Singapura, dan dengan sebuah tafsir demokrasi, dengan sebuah soalan asas, iaitu, “kalau di Singapura itu ada fakulti falsafah yang bercambah di universiti-universiti, mengapa republik itu tidak punya demokrasi?”

Tentu sahaja “demokrasi” adalah asas kepada kebebasan. Tetapi, yang juga menjadi premis persoalan saya ialah, mengapa di sebuah negara yang punya pengajian falsafah, tetap tadinya dengan contoh Singapura, perlawanan tidak timbul tatkala tekanan dan kongkongan sangat jelas?

Sekalipun kita akan mendengar lagi hujah klise, yang dengan iseng-iseng menyatakan bahawa kestabilan ekonomi membuatkan kebangkitan atau perlawanan tidak wujud, tetapi, kestabilan material tidak akan bisa menandingi rasah jiwa. Manusia, lagi dia berfikir untuk menambah banyak hal-hal meterial kepada dirinya, ada paradoknya sendiri, iaitu, ia akan lebih keras untuk bebas. Hujah dan kenyataan ini sering kita terlupa apabila kita menghubungkan persoalan kebebasan dengan hal-hal material ~ kecualilah ada satu lagi kenyataan di bawah tidak wujudnya perlawanan ialah tentang jiwa-jiwa yang mati.

“Mati jiwa” di sini bukan bermakna warga Singapura tidak mempunyai hati nurani, tetapi, meredakan gelisah perlawanan ke bawah-bawah perasaannya. Mereka, saya fikir, begitu masih merasa sebagai sebuah bangsa yang terancam. Dan dengan perasaaan ‘terancam’ inilah, atau apa yang disebut oleh Dr Tariq Ramadan sebagai “Ideology of Fear,” maka gelojak untuk mendapat kebebasan dilupakan. Dan, memang—juga seperti Malaysia—negara yang dibangunkan atas faham perkauman akan sentiasa menjadikan rasa bersama sebagai “satu bangsa” (rasisme) adalah jauh lebih penting ketimbang mencapai kebebasan sosial dan kemerdekaan atau karamah diri.

Faham perkauman, adalah bagiannya daripada penyakit Zaman Gelap. Maksud saya, zaman sebelum pencerahan di mana manusia akan meniru-niru cara alam bekerja. Alam, antara bukit dan gunung, laut dan teluk, makhluk binatang adalah subjek terbaik untuk ditiru-tiru. Rasionaliti belum wujud, dan memang elemen itulah yang akhirnya membebaskan Eropah daripada segala macam karut marut alam. Dari mana manusia [mungkin] telah meniru untuk hidup bersama daripada kelompok-kelompok atau jenis (bangsa) yang sama?

Saya kira, misalnya daripada lembu. “Mooo…”

Lembu, berbanding harimau, adalah ‘bangsa’ yang lemah di hutanraya. Lembu, oleh kerana tidak punya rasionaliti ke atas otaknya, maka, dia perlu memilih untuk terus berkelompok, dengan, hidup dan maka sesama “satu bangsanya.” Juga berkahwin, antara “bangsanya sahaja.” Di zaman yang telah menjauh itu, memang belum wujud kemungkinan untuk “bangsa lembu” dapat berkahwin — hari ini disebut sebagai kacukan — dengan seladang.

Kisah peniruan “ala-rasisme” dan perkauman daripada lembu itu; seperti kawin satu bangsa, atau sentiasa takut kepada “yang Lain” masih jelas selepas 5 kurun manusia bebas daripada wilayah langit memar…

Lalu, di seberang tambak sana, semuanya tampak begitu ‘sempurna’ dan, barangakali juga bersahaja ~ seperti tidak ada secalit pun kegelisahan. Berbeza dengan Indonesia, lebih-lebih lagi sejak 1998, atau, memang negara itu sudah terbiasa dengan perlawanan kerana identiti bangsa daripada beribu-ribu suku-puak sudah lebur menjadi satu: bangsa Indonesia.

Justeru, selepas “one nation-race” dapat dilahirkan, dengan kebebasan yang dimiliki hari ini, saya menyangkakan di hari-hari esok, ‘dibantu’ dengan luasnya kefahaman terhadap bidang filasuf, Indonesia tidak mudah untuk berputar balik ke belakang, ke dalam ruangan yang tanpa demokrasi, dan tanpa kebebasan.

Malaysia? Negara ini berada di tengah-tengah antara Singapura-dengan-Indonesia.

Sehingga hari ini, tidak ada pengajian atau fakulti falsafah di mana-mana universiti di negara ini. Dan, kata “falsafah” itu sendiri masih sangat asing, termasuk di kalangan mahasiswa yang belajar di dalam bidang pengajian sastera, sains politik, filem, sains sosial, seni dan ugama. Bidang-bidang yang begitu rapat dengan keperluan berfikir seakan-akan sudah menjadi satu cabang ‘teknikal’ baru, iaitu, teknikal sastera, misalnya, yang, tidak lebih hanya untuk belajar dan mengenal bentuk-bentuk “tulisan sastera,” tanpa, ada keperluan, untuk mengenal pemikiran dan kebenaran di dalam karya-karya sastera.

Semua ini tidak wujud ketika negara ini sudah mempunyai lima orang Sasterawan Negara! Itulah yang tidak kalah menarik…

Saya tidak bersetuju kalau ada yang menyatakan bahawa bangsa ini baru berumur 47 tahun, yang, diukur daripada tarikh merdeka, sedangkan, begitu banyak pula bangsa bangsa di muka dunia ini yang tidak mempunyai apa-apa tarikh kemerdekaan untuk dirujuk. Kalau begitu, apakah mereka belum lahir? Atas sebab itulah, angka “47” atau tahun ini akan menjadi “48” hanya dalih untuk terus tidak berfikir; untuk terus tidak bertanggungjawab.

Kita, bangsa manusia, sesungguhnya mempunyai pengalaman yang boleh dipetik daripada sekian ribuan tahun… kalau boleh, tentu sahaja sejak Adam dan Hawa. Tetapi, demi ‘lembunya’ sifat nan selesa untuk tertutup, maka, untuk keluar daripada faham berbangsa-bangsa, untuk saling kenal mengenal memang cukup menakutkan. Lalu, diciptakanlah perbezaan-perbezaan lainnya; mungkin bahasa, mungkin dalam bentuk derajat sepertimana orang Singapura memandang rendah warga Johor Bahru, atau orang Kuala Lumpur memandang rendah orang Jakarta, dan orang Hong Kong memandang rendah orang Singapura, dan orang London memandang rendah orang Hong Kong, dan seterusnya-dan seterusnya…

Semua ugama dalam konteks ini sukar berfungsi, walau semua yang membangunkan perbezaan itu turut selalu menggunakan ugama untuk mengizinkan laku ‘kebinatangan’ mereka.

“Mooo…” kata lembu. Belum tamat…

Nota: Buddhi Hekayat merupakan seorang penulis kreatif dan pengkritik seni-budaya. Tulisan beliau ini pertama kali tersiar di http://www.sariberita.blogspot.com.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: