jump to navigation

Islam dan Modeniti Mac 16, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohamad Ridhwan Alias

Kemaraan aliran modenisme ke dalam pemikiran dan gaya hidup masyarakat Islam kini mula mengancam Islam sebagai ad din yang syumul dan sahih. Menurut Wan Mohd Wan Ali, aliran modenisme mementingkan pandangan hidup keduniaan yang mempertahankan kemodenan. Ia boleh dianggap satu gerakan, aliran dan fahaman yang berusaha untuk merubah elemen tradisi supaya bersesuaian dengan suasana baru yang ditimbulkan oleh kemajuan dalam bidang ilmu dan teknologi.

Menurut Roger Garaudy, modenisme tidak lain daripada proses pemBaratan iaitu penerimaan kebudayaan dan pemikiran yang berasalkan daripada pengalaman sejarah Barat terutamanya yang berasal daripada Renaissance. Modenisme berjaya mengukuhkan kedudukan di Barat dan menolak peranan agama dalam kehidupan dunia. Maryam Jameelah berpendapat modenisme terhasil daripada pemberontakan secara militan terhadap agama dan nilai-nilai rohani bawaan agama.

Golongan modenis cuba menunduk tradisi kepada kemodenan sehingga mereka menganjur pentafsiran semula ajaran Islam berdasarkan pemikiran moden. Menurut Shaikh Mohd Asraf, mereka cuba mengkaji dan mentafsir al Quran berdasarkan kebudayaan Barat yang mereka anuti. Kekaguman kaum modenis terhadap Barat menyebabkan mereka memandang rendah akan kelebihan al Quran. Kaum modenis tidak mempunyai asas ajaran agama Islam yang kukuh telah belajar tanpa pengawasan ulama menyebabkan mereka hanyut dengan pemikiran logik. Kebanyakan daripada mereka mempelajari ilmu agama di universiti Barat dan diajar oleh pengajar non-muslim yang tidak berpegang kepada akidah Islam. Natijahnya, pemikiran mereka telah terjajah dan diseleweng oleh orientalis Barat yang ingin menghancurkan akidah Islam.

Sebelum penjajah berundur daripada tanah jajahan, mereka telah memberi kuasa politik kepada golongan nasionalis-sekular yang terdidik dengan pendidikan Barat. Golongan ini dilatih dan diterapkan tentang keunggulan bangsa Barat. ‘Waris Barat’ ini cuba meluaskan aliran modenisme ke dalam masyarakat Islam dengan memaksa sistem politik, ekonomi, pendidikan dan segalanya berorientasikan pemodenan Barat. Generasi yang terdidik dalam kerangka pemodenan ini telah menerima pemikiran dan kebudayaan Barat sehingga semua perkara yang bukan Barat adalah tidak bertamadun dan mundur. Masyarakat Islam telah terpedaya dengan kebudayaan Barat yang dianggap moden sedangkan kebanyakan elemen kebudayaan Barat diambil daripada tengah Afrika melalui hamba abdi, orang kulit hitam seperti muzik rap dan hip hop.

Penjajah tidak secara mudah memberi kemerdekaan kepada golongan Islam yang memperjuangkan kemerdekaan. Mereka telah melantik elitis politik yang pro Barat untuk negara yang baru merdeka. Menurut Lord Cromer, mereka hanya sudi memberi kemerdekaan sebaik-baik tersedianya intelek dan ahli politik yang dibentuk melalui pendidikan Barat bagi mendukung nilai-nilai Barat. Maka lahir tokoh seperti Mustapha Kamal Ataturk, Muhamad Ali Jinnah dan Zia Gokalp bagi melaksanakan agenda Barat dalam pemerintahan. Golongan yang ingin melihat Islam memerintah seperti Hizbul Muslimin dan Jamaati Islami telah dicantas terlebih dahulu.

Aliran modenisme telah melahirkan intelectual havoc di kalangan masyarakat Islam yang telah mendapat pendidikan di sekolah beraliran Barat dan pernah menuntut di universiti Barat. Paling malang terdapat ulama dan pemikir Islam yang berhati duniawi yang sanggup menyebelahi Barat dengan menyokong penerapan modenisme ke dalam masyarakat Islam. Antaranya ialah Sir Ahmad Khan, Muhammad Arkoun, Fazlur Rahman dan Sheikh Muhammad Abduh. Mereka cuba mengharamkan poligami, persamaratakan pembahagian harta pusaka dan penghapusan hukuman syariat secara evolusi. Itjihad yang dilakukan oleh golongan modenis kononnya bagi menyesuaikan agama Islam dalam kontek tamadun moden dengan bersifat toleransi dan ke arah kepluralan beragama.

Modenisme menyebabkan manusia memuja sains dan teknologi secara terlampau. Sains dan teknologi dianggap tuhan kerana ia dianggap sebagai panacae [penyelesaian] bagi setiap masalah. Oleh kerana sains dan teknologi terhasil daripada kecerdasan akal manusia, secara automatiknya manusia sendiri menganggap mereka mampu menyelesaikan masalah tanpa mengharapkan bantuan daripada Allah SWT. Pemikir Barat seperti Francis Bacon cuba menerapkan semangat sains dapat mengatasi agama menyebabkan ramai intelek Islam terpengaruh dengan elemen modenisme ini. Syeikh Muhammad Abduh sendiri menyarankan agar ajaran Islam tentang jin ditafsir semula kerana menganggap jin sebagai microbes.

Golongan modenis mengaku Islam tetapi fahaman dan pegangan mereka melanggari nilai-nilai kesempurnaan ajaran Islam. Mereka mentafsir ajaran Islam dengan berpandu nilai-nilai Barat. Mereka teramat marah jika ada orang menyoal status keIslaman mereka dan menuduh penghalang pembaharuan sebagai jumud, taklid dan antikemajuan. Golongan modenis menganggap mereka adalah pengislah agama yang ingin memaju dan membangunkan Islam. Hakikatnya, pembaharuan yang dicitakan oleh mereka telah menggugat dasar-dasar Islam dengan hujah teori berkiblat logik akal semata-mata. Pembaharuan yang diingini hanyalah manifestasi daripada kehendak dan kecintaan golongan modenis terhadap tamadun material sahaja.

Gerakan modenis ini menggunakan pelbagai istilah dan slogan bagi menarik rakyat mengikuti saranan mereka. Maka muncul istilah Sosialisme Islam, Islam Plural, Islam Inklusif, Islam Liberal, Islam Bertamadun bahkan terdapat faham Marxisme Islam yang pernah dikemukakan oleh Khalid Muhiyiddin. Kepelbagaian istilah ini untuk menyedapkan mata yang memandang dan telinga yang mendengar sahaja. Walaupun istilah ini berbeda dan nampak bertentangan di antara satu sama lain tetapi semua lahir daripada pohon yang sama bersifat anti-tauhid dan digerakkan oleh modenis. Pada hakikatnya, ia cuba mempermainkan ajaran Islam dengan budaya munafik dan memyamakan Islam sebaris dengan ideologi-ideologi ciptaan manusia seolah-olah Islam itu hanya cita-cita, idea dan buah pemikiran yang boleh didiskusikan dan diubahsuai untuk kepentingan kehendak manusia yang logik.

Golongan modenis telah mengecam tasawuf sebagai penghalang bagi kemajuan. Ketiadaan tasawuf dalam Islam seumpama buah yang mempunyai kulit tanpa isi. Islam adalah agama yang dijalani secara holistik bukannya dipecahkan mengikut tema yang diperlukan oleh manusia. Tasawuf merupakan benteng meransang akhlak manusia agar lebih keinsanan sifatnya. Menurut John R. Mott, seorang orientalis mengakui mukmin yang kuat ialah mereka yang memiliki sifat-sifat tasawuf, kebal dan tidak dapat ditembusi oleh sebarang kekufuran. Golongan modenis menyalahkan tasawuf kerana melihat tasawuf menerusi kekarutan akal-pengertian dan amalan si jahil yang cuba menghidupkan tasawuf. Maka, mereka cuba memurnikan tasawuf daripada noda-noda kekotoran padahal pemurnian mereka sendiri merupakan penodaan bagi amalan tasawuf.

Aliran modenisme juga telah memisahkan agama daripada urusan dunia dan memisahkan urusan negara daripada Islam. Mereka menuduhkan negara yang mengamal Islam secara sahih akan mundur kerana dikuasai oleh agamawan yang jumud dan anti-pembangunan. Golongan modenis memahami negara yang diasaskan dengan ikatan agama Islam mempunyai persamaan konsep dengan negara teokrasi yang pernah didominasi oleh paderi-paderi Kristian di Eropah. Mereka memperlekeh keupayaan Islam dan syariat untuk bernegara dalam zaman moden. Maka lahirlah ‘nusia-nusia’ (pelupa) seperti Ali Abdul Raziq dan Asaf Ali Fyzee yang tidak mempercayai kesyumulan Islam.

Golongan modenis cuba menafsir semula al Quran telah menyerang hadis-hadis yang dianggap bukan sumber sahih bagi Islam. Mereka hanya berpegang kepada al Quran. Hadis merupakan tafsiran al Quran melalui perlakuan dan percakapan Rasulullah SAW yang diajari secara bersanad oleh ulama-ulama muktabar. Penghinaan terhadap hadis bertujuan memudahkan mereka menafsir al Quran berdasarkan kehendak akal-logik mereka sendiri. Golongan modenis yang terpengaruh dengan idea Ignace Goldzieher ini telah mempelopori gerakan antihadis seperti yang dilakukan oleh Rasyid Khalifa dan Kassim Ahmad. Mereka juga mengutuk ulama-ulama rabani silam yang disifat jumud dan pendokong amalan bida’ah padahal ulama rabani silam mempunyai kepelbagaian disiplin ilmu Islam dan beramal dengan Islam. Orang yang mengutuk ulama rabani silam dianggap perosak-perosak agama oleh Wan Mohd. Shaghir, seorang penterjemah kitab agama.

Pembebasan kaum wanita daripada cengkaman Islam selalu dimomokan. Islam dianggap penindas wanita melalui pelbagai diskriminasi. Mereka mahu bebas berpakaian, keluar bekerja dan antipoligami. Pembebasan yang disangka baik ini merupakan satu kecelakaan yang menimpa kaum wanita kerana mereka sendiri berjauhan dengan institusi kekeluargaan Islam. Islam menyarankan wanita Islam keluar dengan lelaki muhrim tetapi kaum wanita tidak menghiraukannya, akibatnya berlaku perogolan dan kes ragut. Islam menganjurkan kaum wanita menutup aurat bagi menjaga maruah tetapi atas nama pemodenan, kaum wanita membenarkan tubuh mereka dieksplotasi oleh pemodal yang menjatuhkan maruah kewanitaan. Semua ini bukanlah proses pembebasan tetapi penghambaan moden bagi kaum wanita.

Jelas golongan modenis cuba mendewakan peranan akal sehingga dapat menunduk kehendak wahyu. Akal bersifat nisbi yang terbatas oleh ruang dan waktu manakala wahyu membawa kebenaran yang mutlak tidak dapat dijangkau oleh pemikiran dan pancaindera manusia. Oleh sebab itu, ketundukan wahyu kepada kehendak akal merupakan satu pengkhianatan terbesar manusia munafik terhadap keEsaan Allah SWT. Akhirnya Islam dibentuk oleh masyarakat manusia munafik yang mengetepikan syariat Islam sedangkan hanya syariat Islam yang boleh membentuk masyarakat manusia.

Keunggulan aliran modenisme di dalam masyarakat Islam kerana pemerintahan negara umat Islam didukungi oleh golongan berfikiran modenisme. Mereka cuba memodenkan negara mengikut kehendak semasa dan zaman telah ditenggelami dengan faham material. Sebenarnya, kuasa politik berupaya memainkan peranan penting bagi mengekang aliran modenisme daripada merebak ke dalam pemikiran dan gaya hidup masyarakat secara tuntas. Oleh sebab itu, penulis yakin bahawa pendidikan dan kuasa politik adalah tunjang kepada proses pematahan merebaknya virus-virus modenisme ke dalam masyarakat.

Aliran modenisme hanya terikat dengan pengukuran berdasarkan material sahaja yang bersifat relatif bukan seperti prinsip agama Islam yang mutlak tentang kebenaran dan nilai akhlak. Kesahihan modenisme terbatas berdasarkan peranan masa, tempat dan keadaan. Pembebasan yang diingini daripada golongan modenis adalah bersifat khayali bahkan menjurus penyembahan kepada peranan akal. Penyembahan terhadap peranan akal bermakna golongan modenis menyembah berhala diikonkan kepada manusia sendiri. Perkara ini merupakan amalan syirik di bawah sedar manusia yang menganuti modenisme. Pembebasan dalam Islam adalah membebaskan diri daripada makhluk dan tunduk kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, kemerdekaan sebenar adalah membebas akal-pemikiran daripada terjajah daripada aliran modenisme yang menyesatkan.

Komen-komen»

1. khalfan - April 29, 2008

apa beza tradisionalis dan modenis??????????///


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: