jump to navigation

Islam Liberal: Waktu untuk muhasabah diri Mac 19, 2006

Posted by ummahonline in Intifadha, Kolum.
trackback

Oleh: Maszlee MalikLewat seminar “Wacana Islam Liberal” yang pada asalnya diuar-uarkan tajuknya “Bahaya Islam Liberal” (Hanya pihak penganjur sahaja yang tahu sebab tajuknya berubah di saat-saat akhir) anjuran DBP, Karangkraf, Majalah i dan majalah Nur, salah seorang pembentang kertas kerja pada hari tersebut (Adian dari ISTAC) telah membuat satu kejutan. Bukanlah kejutan tersebut kerana beliau membawakan penyelesaian muktamad terhadap polemik Islam Liberal ini ataupun beliau mengeluarkan fatwa-fatwa tertentu berkaitan isu tersebut.

Kejutan tersebut ialah ketika beliau membongkarkan bahawa istilah “Islam Liberal”itu adalah bersifat relatif. Hatta mereka-mereka yang menjadi penganut aqidah baru (Islam Liberal) ini pun tidak bersepakat di dalam memberikan definisi yang konkrit terhadap istilah yang semakin popular di Malaysia selepas alaf kedua Masihi kini. Perkataan “Liberal” yang disandarkan kepada Islam itu membawa konotasi yang pelbagai. Ianya terbuka untuk setiap pihak mentafsirkannya, sama seperti tanggapan sesetengah pihak dari aliran Liberal ketika mendefinisikan “al-Haq” (kebenaran). Bagi mereka kebenaran itu sifatnya relatif, maka belum pasti Islam itu sahaja yang benar dan yang lain itu salah.

Kenyataan beliau amat benar dan amat objektif. Berdasarkan premis tersebut, maka barangsiapa yang cuba mendefinisikan “Islam Liberal”(Islib) sebagai satu “Jamaah”, kumpulan, atau parti, atau fikrah tertentu, mahupun satu aliran pemikiran yang khusus, maka mereka telah melakukan satu kesilapan yang besar di dalam mengklafikasikan sesuatu definisi. Islib di Malaysia bukanlah satu kumpulan yang khusus yang berpegang kepada ide-ide atau doktrin-doktrin tertentu sepertimana gerakan-gerakan Islam yang wujud.

Jika di Indonesia mungkin mereka mempunyai jamaah mereka yang khusus yang dinamakan sebagai Jaringan Islam Liberal (JIL), di Malaysia ianya tidak berlaku sedemikian rupa, atau mungkin belum berlaku lagi dalam corak yang sedemikian. Di Malaysia istilah “Islam Liberal” lebih merupakan satu “trend” pemikiran yang dianuti oleh pelbagai individu dan kumpulan dengan objektif masing-masing. Ada yang berakidahkan “feminisme”, ada yang berakidahkan “Anti-Sunnah”, ada yang berakidahkan “Gruchoisme”, ada yang berakidahkan “kebebasan berfikir”, ada yang berakidahkan “Human Rights”, ada yang berakidahkan “Orwellianisme”, ada yang berakidahkan “Illuminati @ Tanwiri” ala protestanisme Eropah, ada yang semata-mata ditugaskan untuk menjilat penguasa dan bermacam-macam lagi aliran pemikiran.

Yang menyatukan mereka adalah keimanan mereka kepada kebebasan untuk berfikir menjangkaui sempadan “aqidah” yang dianuti golongan Islam arus perdana, kerelatifan kebenaran yang membuahkan kepada kebenaran agama-agama lain, menentang segala yang tradisional dan juga seruan mereka untuk menghapuskan “ekslusifme” bagi usaha ijtihad dan pentafsiran al-Quran. Mereka juga disatukan dengan corak pemikiran dan gaya penulisan mereka yang anti-Islam arus perdana dan sering kali bersifat “melawan arus”, hatta yang dilawan itu adalah perkara-perkara yang telah “qat’i” (tetap dan tidak berubah) di dalam agama, seumpama isu kebenaran Islam, pengharaman zina, kewajipan menutup aurat, kehalalan poligami dan bermacam-macam lagi.

Aliran pemikiran seumpama ini bukanlah baru. Mungkin di persada tanah air, ianya masih dara, tetapi di peringkat antarabangsa, terutamanya di Timur Tengah ianya telah lama berlaku. Qassim Amin, Lutfi Said, Ali Abdul Raziq, Taha Hussain dan pelbagai nama lagi yang menjadi pelopor aliran sekularisme di Timur Tengah telah mendahului para pendokong Islib moden di dalam melontarkan ide-ide untuk mentafsirkan semula al-Quran, menolak hadis, merubah syariat Islam yang disifatkan sebagai anti wanita, menafikan sistem politik di dalam Islam dan lain-lain lagi. Setelah pendapat-pendapat mereka yang tidak laku tersebut hampir pupus, kini muncul kembali di serata dunia arus pemikiran seumpama ini sekaligus menghidupkan kembali usaha-usaha liberalisasi Islam dalam bentuk yang baru.

Di Amerika Syarikat, di Mesir, di Pakistan, di Indonesia dan di Malaysia sendiri aliran pemikiran yang hampir pupus ini telah disenyawakan dengan ruh globalisasi untuk kembali mengembangkan pegaruhnya. Yang menarik, di sebalik berkembangnya aliran Islib ini di serata dunia, pasti adanya unsur bukan Islam yang menaja penerusan dakwah mereka. Jika di zaman dahulu, Universiti Osborn, Lipzieg, Lieden, American University di Lubnan dan lain-lain pusat pengajian orientalisme menjadi penaja utama, kini yayasan-yayasan dari luar negara samada dari AS mahupun dari Jerman pula menjadi pembekal dana untuk kelangsungan “crusade” penjuang-pejuang aliran ini.

Lebih menarik lagi perjuangan Islib ini diberikan layanan yang teramat istimewa oleh banyak pihak. Tidak kiralah, samada media milik penguasa mahupun media alternatif, masing-masing berlumba untuk memberikan ruang kepada pejuang-pejuang Islib untuk memasarkan fikrah mereka, terutamanya media-media berbahasa Inggeris. Jika di lapangan ilmiah mereka punya suara, di lapangan hiburan juga tidak kurangnya. Kelahiran program-program hiburan yang mempromosikan fikrah liberalisme juga tidak kurang rancaknya.

Penulis tidak maksudkan Sure Heboh, Akademi Fantasia dan Malaysia Idol sebagai media Islib, tetapi yang penulis maksudkan adalah rancangan-rancangan yang lebih bercorak indoktrinisasi. Filem “Spin Gasing”, “Mimpi Moon” dan yang terakhir sekali filem “Sepet”, samada secara lagsung atau tidak langsung, samada dengan sengaja ataupun tidak sengaja, merupakan ruang yang amat berkesan untuk memberikan ruang yang subur kepada pendoktrinan generasi muda agar bersikap liberal dan bersedia menerima suntikan fikrah Islib. Rancangan “infotainment” (sekadar meminjam bahasa rosak RTM) seperti 3R, Puteri, Pillow Talk dan macam-macam lagi juga secara tidak langsung berupaya memberikan kesan awal kepada usaha membuka hati para generasi muda Melayu Islam di Malaysia untuk mengalu-alukan kedatangan pemikiran Islib. Yang pasti, isu “perpaduan”,“nasionalisasi”, modernisme dan feminisme menjadi satu ruang yang paling berkesan untuk menyebarkan doktrin Islib.

Suasana politik yang tidak begitu stabil dari erti kata detmokrasinya juga banyak menyumbangkan ruang kepada arus Islib unuk berkembang. Jika ada sesiapa yang menyangkakan bahawa Islib adalah produk sesuatu pihak sahaja, mereka tersilap. Aliran Islib wujud di dalam kedua-dua arus politik kerajaan dan juga pembangkang. Dengan mengambil platform kerajaan serta ruang-ruang di dalam kerajaan sebagai kenderaan, sesetengah golongan Islib berjaya melaksanakan tugas mereka. Di sudut pembangkang pula, kebobrokan kerajaan di dalam isu hak asasi manusia, kebebasan berpolitik, penguat kuasaan moral dan juga isu wanita telah memberikan mereka peluang untuk menyebarkan faham Islib mereka dari sudut golongan yang ati-establishment. Yang pastinya di kedua-dua ruang mereka dapat mengasak rakyat dengan doktrin Liberalisasi yang dianggap “kudus”.

Jangan tersilap anggap, bukanlah tujuan penulis melontarkan hipotesis ini untuk memaksa pihak berwajib untuk men“GAM”kan pihak-pihak tertentu mahupun memberikan tindakan undang-undang seperti yang dilaungkan oleh sesetengah pihak. Itu tidak akan memberikan kesan yang positif. Penulis lebih beriman dengan konsep “hujah” dan juga “Hiwar” (perbincangan) bertamadun. Isu Islib adalah isu pemikiran, dan pemikiran hanya akan dapat berlawan dengan pemikiran juga. Yakinlah Islam (tulen atau arus perdana) mempunyai kekuatan hujah dan logik untuk berhadapan dengan doktrin Islib, cuma yang diperlukan ialah ruang yang adil dari pihak media dan juga ruang-ruang forum umum dari pihak berkuasa.

Usai seminar “Wacana Islam Liberal” anjuran DBP itu otak penulis ligat befikir, mengapa pihak yang memperjuangkan Islam sebenar tidak bersungguh-sungguh memerangi Islib jika mereka benar-benar meyakini bahawa Islib adalah satu aliran yang bercanggah dengan kebenaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.?. Jika hanya diharapkan pada wacana ini sahaja, ianya tidak akan mencukupi. Adakah dengan memberikan tanggung jawab untuk memberikan penerangan tentang kesesatan Islib ini pada bahu dua tiga orang ustaz sahaja sudah cukup, dan orang lain yang menyangkakan diri mereka pendokong Islam yang sebenar boleh berpeluk tubuh sahaja?, ini tidak benar dan merupakan pemikiran yang jauh lebih sesat daripada Islib.

Ruang berforum dan berbincang sepeti yang pernah dilakukan di antara wakil-wakil fikrah Islib dengan Dr Siti Mariah, Ustaz Nasharudin dan juga Ust Mujahid merupakan di antara usaha yang elok diteruskan. Perbincangan intelektual inilah yang sepatutnya menjadi medan pertempuran arus-arus pemikiran. Sayangnya ianya tidak dapat dikongsi oleh majoriti rakyat. Ruang media yang lebih umum tidak langsung memberikan peluang kepada wacana seumpama ini dikeudarakan. Entah apa sebabnya, hanya Menteri Penerangan sahaja yang ada jawapannya.

Sayang juga, mereka yang muncul mempertahankan Islam sebenar adalah wakil-wakil PAS, ini mungkin dilihat sebagai usaha mereka mempertahankan PAS sahaja. Kemanakah wakil-wakil JAKIM yang menjadi “guardian” kepada Islam di bumi Malaysia ini? Ke manakah juga para cerdik pandai dari fakulti-fakulti pengajian agama Islam untuk berhadapan dengan golongan-golongan Islib? Adakah dengan mencapai makam Prof ataupun Prof Madya sudah cukup buat mereka untuk berehat dan hanya menjadi jaguh di dewan-dewan kuliah dan seminar-seminar untuk membentangkan kertas kerja sahaja? Mungkin alasan yang diberikan, wakil-wakil Islib ini adalah golongan yang jahil dan tidak perlu dibawa berbincang. Memang agak betul juga, lihatlah pejuang-pejuang Islib, siapakah yang memegang Phd di bidang Islam ?(kecuali Dr Patricia Martinez, namun sayangnya beliau bukanlah seorang Muslim , walaupun sering menjadi rakan golongan Islib). Walaupun yang demikian, itu bukanlah alasannya. Maka peranan para doktor-doktor agamalah untuk “mengajar” mereka dan membetulkan corak pemikiran mereka yang dianggao tersasar ini.

Dalam bidang seni dan sastera pula, tidak nampak usaha golongan Islam tulen untuk memperjelaskan perkara-perkara yang kabur ini. Jika kumpulan-kumpulan yang bernaung di bawah payung ideologi Islib boleh menggunakan ruang-ruang seni, samada yang di atas tanah mahupun yang di bawah tanah, selayaknya golongan Islam tulen aka Islam sebenar juga pro aktif di dalam hal ini. Sayang seribu kali sayang, kumpulan-kumpulan nasyid yang menjunjung Islam Perdana hanya seronok berkhayal dengan isu cinta yang tidak sudah-sudah. Lebih parah lagi mereka hanya seronok untuk berebut memenangi anugerah itu dan anigerah ini berbanding berkorban untuk menegakkan agama suci yang mereka anuti itu.

Mungkin satu anjakan paradigma dan revolusi mental golongan-golongan yang mendakwa ingin berdakwah melalui seni ini perlu dilakukan. Di bidang perfileman pula, juga perlu ada ruang untuk para produser filem “Islam tulen” meluaskan sayap doktrin mereka demi melumpuhkan penularan ideologi Islib “jika mereka benar-benar merasakan Islam mereka adalah yang lebih benar dari Islib”. Untuk mengharapkan filem-filem jarak panjang yang dihasilkan selayak filem-filem konvensional agak keterlaluan. Mana ada dana!!!, yang dimaksudkan di sini ialah filem “shorts” yang bercorak memenuhi selera orang muda tetapi masih menjaga batas syarak. Cerpen-cerpen dan novel-novel untuk mematahkan kemaraan Islib juga belum ada yang mucul di pasaran. Jika ada cerpen-cerpen Islami pun hanya bersifat tradisional dan lesu serta tidak mengetuk pemikiran para pembaca. Cinta sudah tentu menjadi MSG paling utama untuk melariskan novel-novel yang dihasilkan. Maknanya 101 ruang lagi belum benar-benar diterokai oleh golongan Islam tulen untuk mempertahankan kesucian Islam anutan mereka.

Majoriti pendokong Islam tulen hanya mengharapkan agar adanya cop “HARAM” dan “SESAT” ke atas fraksi-fraksi Islib dikeluarkan oleh pihak JAKIM, tulisan-tulisan dan penerbitan-penerbitan brbau Islib diharamkan, upacara penangkapan pendokong-pendokong Islib di bawah ISA, pendokong-pendokong Islib dibawa ke layar TV untuk upacara penghakiman dan keinsafan lagak mantan pimpinan-pimpinan al-Aqrqam suatu waktu dahulu, dan juga bermacam-macam penggunaan kuasa autoriti dan juga “usage of force” dikenakan oleh pihak berkuasa. Ibarat bermimpi di siang hari, mereka yang ramai ini terlupakan bahawa pihak penganut Islib juga terdapat di dalam jentera-jentera kerajaan yang akan memastikan usaha-usaha yang sedemikian adalah “mustahil” dikenakan ke atas saudara dan saudari sefikrah mereka.

Mereka tidaklah sedangkal golongan al-Arqam yang amat mudah dititik dan dipicit oleh pihak berkuasa kerana kekurangan strategi dan juga bersikap ekslusif. Mereka adalah promoter “fikiran” dan bukannya kumpulan. Sekali lagi perlu ditekankan, perjuangan mereka adalah perjuangan pemikiran dan ianya perlu ditentang dengan pemikiran juga. Penggunaan kuasa tidak akan kemana, kerana tiada sesiapa yang dapat menghalang manusia dari berfikir dan mendapatkan maklumat di era globalisasi ini.

Nampaknya, kemunculan fenomena Islib di Malaysia ini di sebalik kepahitannya ada hikmahnya juga. Apabila munculnya golongan Islib, barulah ramai yang sedar keadaan kejahilan masyarakat berada di tahap yang membahayakan, Barulah ramai yang sedar perlunya melipat gandakan penyebaran doktrin Islam yang sebenar. Barulah ramai yang sedar bahawa masyarakat terpelajar sudah ramai yang celik dan berfikir. Barulah ramai yang sedar bahawa Islam tulen yang mereka anuti dan percayai selama ini berada di dalam ancaman dari dalam dan bukannya dari luar lagi.

Seperti kata Fathi Aris Omar di dalam salah satu artikelnya, “kemunculan golongan Islib ini telah menjadikan orang-orang PAS aktif, kreatif dan mula berfikir…” (selepas diubah gaya bahasa asalnya). Penulis pula ingin menambah, “Bukan hanya sekadar PAS yang telah menjadi semakin kreatif, aktif dan mula berfikir, malah keseluruhan pejuang-pejuang Islam tulen…”. Persoalannya adakah semua lapisan penganut Islam tulen benar-benar celik, merasakan ancaman dan bahaya Islib lantas bangun untuk memberikan reaksi demi mempertahankan Islam tulen mereka?, tanyalah jiran di sebelah rumah anda, adakah mereka tahu apa itu Islam Liberal dan Islam tulen?, jika tidak, muhasabahlah kembali diri kita sendiri!

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: