jump to navigation

Hasmi Hashim: Nabi Yang Perlu Membela Saya Nanti! Mac 20, 2006

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

Ketika kerajaan membungkam Sarawak Tribune, sayup-sayup kedengaran suara Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) membantah tindakan yang dikiranya itu sebagai satu reaksi berlebihan.

Jurubicara KsJT yang ketika itu, Hasmi Hashim menggesa supaya difahami dahulu perdebatan tentang kebebasan media, dan tidak menjadikan isu yang cuba diputarkan oleh Jyllands-Posten sebagai kayu ukur mutlak tentang konsep serta makna “kebebasan media.” Malah, sikap yang sama beliau ulangi semasa Debat “Karikatur Menghina Nabi” pada 7 Mac 2006, yang turut dihadiri oleh wakil PAS dan Umno. Kini, ketika suasana kian reda, sekali lagi bicara anak muda ini bersama kita dalam wawancara (via emel) yang diatur oleh Ummahonline Team.

Pertama dan terpenting sekali, apakah pendirian anda terhadap penyiaran karikatur oleh akhbar Jyllands-Posten?

Kita harus segera menolak penghinaan, termasuk yang cuba dilakukan oleh Jyllands-Posten itu ~ penolakan kepada kebencian harus bermula semudah lagu �Laskar Cinta� oleh Dewa, yang ulang kali saya dengar beberapa hari lalu:

Sebarkanlah benih-benih cinta
Musnahkanlah virus-virus benci
Virus yang bisa rusakkan jiwa
Dan busukkan hati.

Laskar cinta
Ajarkanlah ilmu tentang cinta
Karena cinta adalah hakikat
Dan jalan yang terang bagi semua manusia.

Jadi, dalam hal ini, apakah anda juga bermaksud mahu turut sama membela Nabi?

Nabi bukan DO Bukit Beruntung! Persoalan orang-orang yang mendakwa �membela� Nabi sesungguhnya sedang berbuat apa? Seperti kain rentang yang mereka tulis seperti �demi maruah ugama,� kita menduga mereka sedang mahu �mencapai kemuliaan�…

Namun, derajat itu tidak tercapaikan hanya mengasosiasi diri dengan �yang mulia.� Tiap-tiap Muslim, juga menganut ugama apa pun, harus sanggup melakukan kemuliaan dari diri masing-masing. Tegakkan yang baik, yang adil, yang benar… tolak yang jahat, termasuk assabiyah dan taklid, tentang penindasan walau dilakukan oleh saudara se-ugama. Jangan berbohong. Dalam hal ini, kita mesti bertegas.

Muhammad bukan DO Bukit Beruntung. Muslim lebih perlu menegakkan ajaran baik yang ditunjuk Nabi�bukan, demi mencapai derajat tinggi�lantas mengangkat senjata dan melaungkan kalimah-kalimah. Atau mendesak agar surat khabar ditutup… kelakuan sedemikian tidak membela apa pun, termasuk Nabi. Emosi lebih ketimbang akal dan rasionaliti; sememangnya tampak ugama ini mulai diterapkan dengan hanya emosi, barangkali.

Tetapi kalangan fundamentalis agama mendakwa mereka mahu membela Nabi, bukan?

Dakwaan ini dangkal ~ �mengukur akhirat dengan ukuran dunia� adalah kesesatan yang awal dalam berugama. Hal ini diungkapkan oleh Ibn Rushd, filasuf Islam kurun ke-13 dalam karyanya yang mashyur itu, �Tahafut at-Tahafut.� Maksud saya, akal-budi bangsa kita, mahupun Muslim hari ini, nampaknya ada kecenderungan untuk korup. Korup akal. Misalnya, apakah dengan membela Nabi itu sesederhana membodek DO Bukit Beruntung, atau Ketua Umno Bahagian yang kemudiannya kita boleh mendapat bahagian peruntukan tanah lebih daripada orang lain? Maksudnya, kita merasakan bahawa dengan cara keluar dan membakar bangunan kedutaan Denmark di Pakistan atau menutup Sarawak Tribune, maka kita akan memperolehi �imbuhan� lebih di akhirat nanti? Membakar bangunan, menghancurkan harta benda dan membunuh orang yang tidak bersalah adalah larangan ugama. Itu termasuk aksi teror dan keganasan. Bahkan, membungkam surat khabar juga boleh dianggap teror, iaitu �teror politik� atau �keganasan politik.�

Namun, seperti yang saya katakan tadi, kita perlu �bertegas,� tapi, bukan �berkeras.� Persoalan �karikatur Muhammad� wajar dilihat sebagai urusan dunia dahulu, sebelum mempertimbang balasan di akhirat. Kita perlu jujur dalam hal ini… saya melihat orang-orang Muslim dicucuk hidung oleh politikus tertentu, termasuk di kalangan pemerintah dan pembangkang. Kesudahannya apa? Sudahnya, kebebasan Muslim di negara ini yang sediakala sedikit, menjadi hampir pupus terus!

Kita harus membela �yang mulia� dan �yang baik� itu lebih daripada mana-mana DO sekalipun! Dan, membodek adalah sikap yang tidak produktif.

Dari pengamatan anda, adakah bila dihinanya Nabi menerusi karikatur ini, maka kemuliaan Nabi akan tergugat seperti yang dibimbangi oleh fundamentalis agama? Atau, ada perkara lain yang lebih anda bimbangi?

Nabi-nabi diangkat Tuhan sebagai tinggi letak derajatnya. Ini terjamin. �Muhammad terpelihara,� atau disebut sebagai maksum. Tidak akan tercela kemuliaan Muhammad walau pun dicerca; umpama dilontar dengan tahi oleh seorang perempuan tatkala setiap pagi baginda hendak ke masjid. Kaseh Nabi, atau kaseh kepada siapa sahaja itu umumnya baik. Cuma �laku �memelihara� yang sudah dijamin terpelihara� menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam kefahaman Muslim hari ini.

Apakah kita berfikir bahawa kita lebih tahu dari Yang Maha Mengetahui untuk �menjaga� KekasihNya itu? Saya ingatkan orang-orang yang teruja dengan kekuasaan, sama ada di kalangan parti-parti politik sampailah kepada pemimpin NGO Islam dan pemimpin gerakan pelajar, jangan terlalu sombong di hadapan Tuhan. Apakah kalian lebih tahu daripada Tuhan, termasuk dalam hal memelihara kekasihnya itu?

Karena itu saya katakan, bahawa orang-orang sebegini ada yang tidak jujur, ditambah pula yang terkeliru dan tidak matang dalam menilai serta membuat keputusan yang terkait antara agama dengan politik.

Selain hujah fundamentalis bahawa karikatur tersebut menghina agama, apa lagi hujah yang lebih bermutu bagi menyanggah tindakan akhbar Jyllands Posten tersebut?

Seperti yang saya sebutkan dalam debat dengan wakil Pemuda Pas dan Umno pada 7 Mac lalu, kita perlu melihat kepada dasar dan asas masalah sebenar.

Sejak ditubuhkan awal 1970-an, Jyllands-Posten mengakui mereka membawa fahaman sosialisme-nasionalisme, atau faham perkauman sepertimana yang diwariskan oleh Ayah Hitler. Surat khabar itu tidak lebih adalah antara lain untuk menjaga kepentingan orang kulit putih sebagai �tuan� bumi Danmark ~ samalah seperti Umno dan agen-agen surat khabarnya yang menganggap diri mereka �tuan� kepada bumi ini… Denmark hari ini juga sedang dipimpin oleh parti berhaluan kanan, Danish People Party. Namun, tetap sahaja ada lagi parti lainnya yang lebih ekstrim rasis, misalnya yang ditubuhkan oleh Mogens Glistrup. Seperti seorang ahli sejarah Jerman, David Irving yang menulis buku �Hitler�s War,� Mogens juga menolak kenyataan tentang Holocaust.

Lima tahun lalu, Mogens dipenjara karena mengeluarkan kata-kata menghasut dan menyalakan api perkauman. Orang jahat ini tidak insaf-insaf. Pada 2004, dia sekali lagi terang-terangan mengeluarkan kata-kata yang jelas membakar sentimen dan kebencian antara kaum di televisyen. Katanya, pengikut Muhammad, atau disebut sebagai �Mohammedans� akan menguasai populasi penduduk Denmark dan orang kulit putih akan disisihkan dan negara mereka akan �dirampas� pendatang Muslim. Semua ini tidak lain adalah kenyataan rasis: perkauman. Karena itulah saya tidak senang kalau ada yang menyeret agama masuk ke kancah ini… sesungguhnya tidak ada kena mengena konflik ini sama ada dengan Islam, Kristian, Yahudi, Nasrani, Buddhi, Hindu atau apa sahaja.

Melihat sedikit jauh ke dalam sejarah Eropah, selepas Perang Dunia ke-2, arus kemasukan imigran di beberapa negara Eropah adalah besar sekali. Misalnya di Perancis.

Negara itu memerlukan buruh asing untuk membangunkan kembali negeri yang hancur akibat perang. Mendadak pada hujung 1940-an, lebih 20 ribu buruh asing dibawa masuk. Rasa tidak senang, cemburu dengan menimbulkan penindasan kepada buruh asing yang rata-rata daripada Asia pun bermula. Lalu pada 1968 berlaku rusuhan kaum pendatang untuk mendapat hak dan layanan lebih baik daripada pemerintah. Penindasan kepada kaum imigran akhirnya melarat menjadi penindasan kepada umumnya rakyat Perancis itu sendiri. Keadaan ini samalah seperti Malaysia hari ini, di mana �penindasan yang positif� ke atas golongan minoriti itu sudah melarat menjadi penindasan kepada umum, rakyat atau golongan majoriti sekalipun.

Lalu, anak-anak mahasiswa di kebanyakan universiti di Perancis juga akhirnya bergabung dengan kaum imigran, sehingga akhirnya mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat menentang tirani pada awal 1970-an. Kebangkitan ini lebih awal daripada Revolusi Iran. Gerakan inilah yang memunculkan apa yang dikenali sebagai �New Left Movement.�

Rusuhan yang dengan latar yang sama masih terus berlangsung sampai tahun-tahun mutakhir ini. Misalnya, pada hujung November tahun lalu, di mana imigran Muslim yang kini menjadi generasi kedua tanah Perancis sekali lagi bangkit menuntut hak mereka. Ada di antara mereka yang sudah berjaya dalam pelbagai lapangan seperti pendidikan dan menjadi pensyarah, tetapi masih terus dipinggir oleh sistem sosio-budaya dan ekonomi Perancis. Begitu juga undang-undang dan sekatan dalam pelbagai bentuk untuk menyekat daripada warganegara Muslim ini bertudung, misalnya. Ini latar penting yang dibicarakan secara serius di Eropah.

Karena itulah saya nyatakan bahawa persoalan di Eropah, juga di kebanyakan pelusuk dunia hari ini, termasuk Malaysia, antara lainnya adalah �persoalan identiti.� Tapi pemimpin politik dan autoriti ugama di negara ini tidak faham apa itu �persoalan identiti.� Bagi mereka �identiti� adalah bagaimana cara kita berpakaian dan bagaimana sesebuah konsert atau rancangan TV tidak melanggar hukum-hakam yang mereka tetapkan. Kita sedang dipimpin dengan satu gejala yang disebut sebagai �narrow mindedness.�

Bagaimana anda melihat bantahan yang dilakukan oleh ummat Islam? Adakah ia lebih terjurus kepada sentimen (religio-politik) semata-mata, atau memang berlandasan kesedaran agama yang kental?

Yang ramai itu adalah rakyat biasa: orang awam ~ mereka ini boleh dikatakan sebagai kelompok jujur, genuine.

Sejak September 1998, jumlah rakyat yang sedar betapa perlunya diusahakan satu proses perubahan (reformasi) bertambah ramai. Ada di antara mereka yang menyertai parti-parti politik, dan ada yang masih tidak menyertai apa-apa pertubuhan. Tapi kejujuran ini dieksplotasi dan terjerumus ke dalam arus �narrow mindedness,� oleh para pemain-pemain politik. Rata-rata orang politik merasakan bahawa politik adalah sejenis �gelanggang� atau labirin yang tidak perlu kekuatan idea dan akal.

Penyakit ini ditanamkan kuat sejak zaman perdana menteri Dr Mahathir, walaupun Dr Mahathir itu secara peribadi tampak seperti sedikit berminat dengan hal-hal keilmuan. Tetapi, banyak sekali dasar Dr Mahathir yang membeku dan membunuh perkembangan ilmu. Penyakit ini saya tandakan sebagai �Mahathirisme.� Orang yang menutup kebebasan, apabila tidak punya kuasa akan kembali tampak seolah-olah pro-kebebasan dan demokrasi. �Lakonan� dan feel ini biasa, dan bukan terlalu aneh. Karena itu, hari ini kita lihat Dr Mahathir juga lantang mengkritik kerajaan dan pemerintahan perdana menteri Abdullah Badawi. Tetapi, kata-kata saya ini tidak bermaksud bahawa Abdullah itu lebih cerdik daripada Dr Mahathir; itu ukuran yang lain pula.

Cuma, narrow mindedness dan �Mahathirisme� ini nampak berjangkit kepada semua pihak, termasuklah pembangkang. Dalam banyak keadaan, kita lihat pembangkang masih tidak dapat membezakan antara strategi dan prinsip-prinsip asas. Misalnya, dalam kes seumpama membungkam Sarawak Tribune, bagi saya Pas terkeliru. Oleh karena Tribune itu baik dengan BN Sarawak, apakah menyokong membungkam Tribune adalah tindakan berprinsip dan bermoral dari sudut politiknya? Tentu jawab saya tidak! Walaupun Pas akhirnya melalui ketua penerangannya, Ahmad Awang mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa parti itu tidak menyokong penutupan media, tetapi kenyataan itu selepas Tribune ditutup, dan selepas Guang Ming Daily ditutup.

Karena itu, dalam hal berlaku zalim dan melanggar prinsip-prinsip kebebasan media, saya berani katakan bahawa Pas sudah menemui kata sepakat dengan Umno. Kenyataan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub nampaknya tidak banyak beza dengan kenyataan dan desakan ketua pemuda Umno, Hishamuddin Hussein.

Saya tidak nampak kesucian agama di sana, yang wujud adalah kepentingan politik bagi mengaut keuntungan daripada sentimen Muslim dan orang Melayu umumnya. Masalah tidak selesaikan juga.

Perlu dijelaskan juga, bahawa kata �Nabi� itu berasal daripada akar kata �naba,� yang bermaksud khabar atau berita. Karena itulah, �Nabi� bermaksud �pembawa berita.� Di sini menunjukkan bagaimana �berita� atau �khabar� itu penting sekali. Tetapi, mereka yang kononnya membela Nabi nampaknya lebih berminat atau cenderung untuk menutup �khabar� atau �berita�, walhal yang kononnya hendak ditonjolkan ialah seiring dengan tuntutan agama. Apa ertinya ini?

Saya tidak begitu kecewa kalau Umno yang melakukan perkara ini sendirian, tetapi Pas, yang diwakili dengan pandangan dan tindakan dewan pemudanya juga melanggar prinsip-prinsip moral dan kebebasan media. Mengapa, sedangkan kita tahu Pas mendokong proses perubahan ke arah kebaikan dan demokrasi, tetapi bertindak sesuara dengan Umno yang jelas counter-reformasi. Yang tidak kurang malang juga ialah, ada di kalangan pemimpin Parti Keadilan juga terkeliru di dalam hal ini ~ sebuah parti yang mahukan perubahan dan kebebasan. Kenyataan Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Ismail yang tidak bersetuju dengan penutupan media tidak dijelaskan dan disambut sewajarnya oleh pemimpin parti itu sendiri.

Baik Pas, Keadilan, Umno, DAP dan banyak pertubuhan yang berorientasikan politik kekuasaan percaya kepada keajaiban dengan �kebaikan� itu boleh tertegak tanpa usaha cermat dan betul… salah tidak mengapa, janji niat nampak baik dan secara permukaan nampak seperti ikut tertib budaya Timur. Apa maknanya semua ini?

Kita tidak boleh membiarkan masyarakat ini, termasuk ahli-ahli daripada semua parti politik dan masyarakat daripada terus diperbodohkan demikian rupa, dengan langsung tidak jelas soal prinsip dan moral di kalangan pemimpin politik itu.

Jadi, inikah yang anda namakan sebagai over-reacted (reaksi yang berlebihan)? Bagaimana dengan demostrasi bantahan, adakah ia juga boleh sebagai di anggap sebagai over-reacted?

Kalau membakar bangunan itu namanya teror atau keganasan. Ini bukan aksi berlebihan dalam maksud tindak yang diizinkan oleh demokrasi, tetapi ini keganasan dan pelakunya itu, adalah pengganas ~ perlu ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Tidak semua demonstrasi itu bertujuan untuk membebaskan diri dari kezaliman. Ada juga demontrasi hanyalah bertujuan untuk menunjukkan diri mereka kuat dan sombong. Yang bertujuan untuk pembebasan, saya setuju, tetapi yang bertujuan untuk memperkukuh kesombongan dengan kemudiannya mengongkong, saya tidak setuju.

Dalam rentetan kes, bagaimana sikap anda pula dengan penerbitan semula karikatur akhbar Jyllands-Posten ini oleh akhbar-akhbar lain di Eropah, malah juga di Malaysia? Haruskah?

Penyiaran di Eropah oleh akhbar-akhbar lain memang sesuatu yang boleh dipersoal. Tetapi, di Britain dan Amerika, tidak ada surat khabar yang menyiarkan kembali karikatur berkenaan. Bagi mereka, isu ini tidak penting, dan mereka memilih untuk tidak terjebak di dalam persoalan �remeh-temeh�. Ada hal lain yang lebih utama dan perlu segera dibangunkan. Inilah yang disebut sebagai tahu memilih keutamaan, atau dirumuskan sebagai fiqh aulawiyat.

Persoalan saya bukan harus atau tidak harus. Persoalan saya ialah sikap berpura-pura. Mereka sebenarnya sudah melihat imej karikatur itu di dalam internet dan blog yang �pro-Islam� sekalipun. Dan, saya percaya, karikatur itu tidak menyebabkan iman jadi goyang atau tercalar. Terlalu �kecil� untuk karikatur itu mencalarkan iman… Namun, apabila disiarkan di media massa, tiba-tiba ramai yang berpura-pura terkejut dan berkata, �apa ini? Wah, surat khabar itu wajib ditutup!� Inilah sikap pura-pura yang semakin luas di kalangan masyarakat Malaysia, bukan sahaja Muslim, tetapi umumnya rakyat Malaysia.

Tetapi, setelah isu ini muncul, wajarkah Kerajaan Denmark memohon maaf terhadap tindakan yang telah dicetuskan oleh akhbar Jyllands Posten ini? Tidakkah yang bertanggungjawab dalam soal ini ialah akhbar Jyllands Posten, bukannya Kerajaan Denmark?

Menuntut kerajaan Denmark meminta maaf juga tindakan politik yang tidak jernih. Kita kena sedar, sekalipun Jyllands-Posten itu pro dan mendukung pemerintah Denmark hari ini, tetapi antara pemerintah tidak ada kena mengena dengan surat khabar itu. Tidak seperti hubungan Berita Harian, Utusan Malaysia dengan Umno. Atau The Star dengan MCA, Tamil Nesan dengan MIC. Bukan juga seperti hubungan Pas dengan Harakah atau Suara Keadilan dengan Anwar Ibrahim. Bukan.

Secara umumnya, surat khabar di sana relatif bebas. Kalau Jyllands-Posten berbuat durjana, yang harus didesak ialah ketua pengarangnya. Itu pun kalau difikirkan berkesan. Mendesak agar Perdana Menteri Denmark memohon maaf bagi pihak Jyllands-Posten adalah kerja karut. Atas ukuran apakah Abdullah pernah didesak rakyat China untuk meminta maaf apabila tersebar berita rakyatnya yang dibogelkan di negara ini? Tidak ada bukan!?

Betapa, di negara inilah surat khabarnya perlu dibebaskan, bukan di negara orang lain; kita sewajarnya melihat hal ini lebih penting. Tetapi, saya tidak tahu, mungkinkah kita boleh berharap dengan ketua pengarang dan editor-editor yang bertenggek di media hari ini? Mereka yang ada adalah simplistic, iaitu berkhidmat kepada si pembayar gaji mereka, iaitu tuan-tuan politik mereka. Hujah ini boleh diguna kalau kita sudah ada kebebasan media. Tetapi negara ini belum ada kebebasan media, tetapi, nampaknya editor-editor itu sahaja yang berlagak, bahawa dia sudah ada kebebasan media.

Golongan inilah pengkhianat utama dalam menjadikan media terus terkongkong. Mereka harus didesak meminta maaf, lebih-lebih lagi beradanya mereka di situ hanya atas perkiraan gaji bulanan sekian ribu, yang, ditutup dengan retorik memperjuang bangsa, agama, negara dan keadilan, kononnya. Kalaupun mereka bukan penipu, tetapi merekalah penangguh perubahan sebenarnya.

Bagaimana hubungan antara sebuah Kerajaan dengan media seharusnya terjalin?

Ini soalan yang penting. Saya wajar meminjam kata-kata daripada Dr Ronald Dworkin yang kini menjawat jawatan profesor undang-undang dan falsafah di Universiti New York. Dalam tulisannya yang terbit dalam New York Review of Books awal Mac lalu, iaitu The Right to Ridicule, Ronald menjelaskan bahawa hanya kebebasan media sahaja yang mampu menyekat pemerintah daripada menggunakan kuasa tanpa batas.

Kalau orang berkata kebebasan perlu ada batas, saya jawab, di Malaysia belum ada kebebasan mahupun daripada sudut prinsipnya sekalipun. Misalnya rukun negara, tidak ada satu barispun di dalam rukun negara yang menyatakan hak dan kebebasan rakyat akan terpelihara. Yang ada semuanya sejenis �perjanjian� yang dipaksakan kepada rakyat untuk semuanya kepada Negara, dan segala yang ditentukan oleh Negara. Mana janji Negara kepada rakyat?

Seperkara lagi, walaupun Artikel 10 dalam perlembagaan menjamin kebebasan dan hak rakyat, tetapi banyak sekali undang-undang yang menyekat media di bawah Artikel berkenaan. Di Malaysia, pemimpin politik pemerintah beranggap bahawa mereka adalah Negara itu sendiri. Karena itu, media bagi mereka harus berada di bawah duli tapak kaki mereka, dan hari ini majoriti orang politik merasa yakin begitu. Orang politik ini tidak maksum, dan karena itu perlu satu makanisme untuk mengalirkan idea dan pandangan, bukan sahaja kepada rakyat, juga kepada orang politik. Tetapi, mengalirkan pandangan di sini pun sering dianggap mencabar mereka, dan mencabar mereka bermaksud mencabar Negara. Betapa ringkas dan dangkalnya pemikiran begini.

Rakyat harus sedar, semua pemimpin politik bukan Nabi Isa dan mereka bukan juru selamat. Negara ini akan hanya terselamat oleh rakyatnya sendiri, oleh kesedaran dan bukan oleh undang-undang dan polisi semata-mata. Oleh itu, kebebasan media penting untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini. Selepas hampir lima puloh tahun merdeka, pekerjaan ini tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Perlu dilakukan sekarang ini juga.

Jadi, dari persoalan yang berbangkit ini, sejauh mana kebebasan media yang harus dibenarkan? Dengan isu karikatur ini, bukankah ini membuktikan bahawa kebebasan media itu ada batasnya?

Batas kebebasan media, atau kebebasan apa pun adalah pada undang-undang lainnya seperti fitnah, salah lapor dan yang dikepung oleh etika kewartawanan umumnya. Kalau saya menulis berita, ada displin dan hukum-hukum asas yang perlu saya lalui seperti mengesahkan sumber dan sebagainya. Tetapi, asas profesionalisme kewartawanan ini tidak dapat berkembang di Malaysia kerana ada batu-batu besar lainnya yang lebih menakutkan seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan. Namun begitu, selagi kita ada Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, Malaysia tidak ada kebebasan media. Jadi, tidak perlu bercakap soal batas-batas, karena memang tidak ada ruang kebebasan pun. Kita tidak ada rumah, bagaimana kita boleh bercakap pasal pagar?

Sekiranya tidak tersilap, anda pernah memetik keluhan warga muslim Denmark tentang isu ini, pertama Nabinya dihina, dan kedua bendera negaranya dibakar. Dari petikan anda ini, apakah mesej yang ingin anda ungkapkan?

Selepas saya memberikan kenyataan ini, ada yang bertanya, apakah di Denmark itu ada orang Islam? Mereka rupa-rupanya tidak sedar, bahawa yang mereka musuhi selama ini sebagai Barat itu, rupa-rupanya berserta 11 juta orang Islam.

KsJT, ketika isu ini hangat di Malaysia, barangkali merupakan satu-satunya organisasi yang membantah penutupan akhbar Sarawak Tribune, sebelum sikap yang sama di ikuti oleh PAS baru-baru ini? Bagaimana KsJT boleh berfikir berbeza dengan fikiran arus perdana ketika waktu itu?

Inilah sewajarnya wajah anak Malaysia hari ini, iaitu yang berprinsip dan berfikir. Kami tidak �menjual� nama Tuhan dan bangsa, dengan yang lebih penting ialah jelas akan pendirian dan prinsip-prinsip asas sebagai kekuatan idealisme dan moral yang perlu dipelihara. Sesederhana itu sahaja.

Isu karikatur ini juga telah memperlihatkan bagaimana Datuk Bandar London, Ken Livingston bersama-sama menyertai demostrasi membantah tindakan Jyllands-Posten ini? Tetapi, mengapakah sikap yang sama tidak diperlihatkan oleh pemimpin-pemimpin muslim bila berlakunya perghinaan terhadap agama-agama yang lain? Adakah ini menunjukkan bahawa muslim lebih cenderung berfahaman sektarianisme, bukannya universalisme?

Tujuh puloh peratus mungkin �ya.� Saya membaca dalam Harakah tentang anak-anak bukan-Muslim yang masuk tadika Islam, iaitu Pasti. Tentulah tujuan berita itu juga untuk berbangga-bangga dan menunjukkan bagaimana Islam sudah �diterima� oleh yang bukan Islam. Saya tidak menjadi soal dengan hal itu. Tetapi, kita tidak boleh meletakkan faham dan ideologi politik lebih daripada nilai manusiawi. Apakah ideologi lebih penting daripada insan? Tidak seorang pun nama anak-anak comel yang bukan-Muslim itu dituliskan di akhbar berkenaan.

Bagi saya ini adalah �tanda� bagaimana �penghormatan� tersebut tidak sepenuhnya penghormatan, dan ada fahaman serta ideologi lain yang lebih tinggi dari karamah insaniah. Inilah contoh kecil, tetapi membawa pengertian yang besar dalam melihat bagaimana politik-Islam sudah masuk ke dalam kotak mancis dan boleh terbakar sesama sendiri.

Komen-komen»

1. aqil fithri - November 16, 2007

salaam,

saya fikir wawancara ini perlu diberi perhatian yang sungguh2 oleh kelompok2 Islam. memang, sebahagian besar daripada idea yang diungkapkan oleh Hasmi ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam kes kita mengendalikan emosi ummat ekoran isu karikatur tersebut. ketika itu, ada kebenarannya juga, bahawa fakulti rasional orang-orang politik akhirnya telah ditundukkan oleh emosi yang berbaur kepentingan politik!

malah, ketika saya menghadiri debat yang dianjurkan oleh ODC tentang isu ini baru-baru ini, Hanipa Maidin, wakil PAS, terang2 menyatakan bahawa PAS sebagai parti politik juga ada kepentingan dalam menguruskan isu ini, lebih-lebih lagi ketika emosi ummat Islam sedang hangat waktu itu. jadi, seperti yang diakui oleh Hanipa sendiri, memang satu masalah bila sesuatu keadaan cuba diukur dari kacamata politik, bukan kerana fikiran yang jernih!

sekian, komen saya

2. demn - April 4, 2008

urmmm..

3. Nic - April 15, 2008

Salam,

Saya hormat artikel ini. Selama ini, saya membantah perbuatan boikot. Dan dgn leganya, saya gembira apa yg saya tanam dlm jiwa saya bukan saya seorg di samping perbuatan saya bukan salah, walaupun saya tak menganggap ianya benar2 betul. Tetapi saya bersyukur. Terima kasih kerana membantu saya berfikir dgn lebih berkesan.

Sekian dan salam sejahtera.


Tinggalkan komen