jump to navigation

Ruhollah Khomeini: Pemelihara Ingatan Mac 26, 2006

Posted by ummahonline in Tokoh.
trackback

Oleh: Abu Muhammad

Budaya agama kita tentunya tidak akan membawa kita mendekatinya. Dilahirkan pada 24 September 1902, dalam sebuah keluarga yang ketat dengan tradisi agama, dan di sebuah di daerah kecil, Khomein, iaitu ditengah-tengah Iran. Ketika berusia lima bulan, ayahnya Sayyid Mustaffa Musawi gugur syahid menentang kaum kapitalis yang rakus mengaut tanah rakyat miskin. Justeru, pengalaman sewaktu kecilnya sudah awal-awal lagi sangat akrab dengan makna kesyahidan dan pembelaan mustadh’afin.

Sejak usia dini, beliau menekuni pengajian agama termasuk matematik, astronomi dan falsafah sehingga bekal ini menjadikannya kelak seorang faqih dan mujtahid yang mashyur. Di tangan Mirza Mohammad Ali Shah Abadi, beliau terpana dengan mikraj irfan serta asyik dengan isra’ hamasah. Ketika berusia 27 tahun, beliau telah membuka kelas pengajiannya yang meliputi falsafah Islam, tasawuf nazari, feqah, usul dan akhlak.

Ketegasannya menyanggah kezaliman sosial, menentang korupsi ideologi dan memulih kebejatan moral sudah terpancar semenjak awal belianya lagi. Sementara, pada tahun 1941, beliau menerbitkan buku pertamanya Kasyful Asrar yang menyenaraikan kezaliman 20 tahun pemerintah waktu itu, Reza Shah. Kitab tersebut telah menghimpun kritikan kaum kaum ulama yang belot dan ahli sufi yang pinggirkan perubahan sosial, selain mengungkapkan kriteria dan pembinaan pemerintahan Islam.

Dalam rangkaian surat serta ceramahnya, beliau menyeru para ulama agar memperkasa kesedaran rakyat serta segera bangkit melawan pemerintahan Shah. Selain itu, beliau secara konsisten membongkar tentang hubungan intim pemerintah dengan Israel, lalu mengirim amaran keras kepada pemerintah waktu itu. Sebagai jawapan, Shah menyerbu pusat pendidikan Faiziyah dan membunuh para pendukungnya. Sudahnya, yakni bermula dari peristiwa khordad tersebut, amarah rakyat terhadap kerajaan semakin membara, lebih-lebih lagi beliau telah ditangkap oleh pemerintah.

Menghadapi situasi yang penuh gawat itu, pemerintah akhirnya memutuskan untuk menghalau keluar dari tanahairnya. Bertitik-tolak dari sini, maka bermulalah episod pelariannya dari satu negara ke satu negara. Selama 11 bulan di Turki, 13 tahun di Iraq, dan beberapa bulan di Neauphle-le-Chateau, Paris, seluruh liku-liku perlariannya diisi dengan menulis kitab serta menjalinkan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam sedunia, termasuklah di Iraq, Lebanon dan Palestin. Seruan akbarnya ketika itu ialah bangkit melawan para mustakbirin.

Dalam waktu yang sama, kebangkitan rakyat Iran sendiri tidak pernah sunyi. Kaset-kaset ucapan beliau terus tersebar ke dhamir rakyat. Manakala, episod perjuangan rakyat telah merebak dan makin membengkak setiap hari. Demikian, bila setiap rakyat yang dibunuh oleh regim, pasti diganti oleh puluhan pemuda yang bersedia untuk menjadi jantung sejarah kemanusiaan. Darah syuhada mula membanjiri segenap ingatan pemerintah dan mengusarkan Shah. Akibatnya, keadaan ssudah menjadi tidak terkawal, yang akhirnya ini memaksa Shah melarikan diri pada Januari 1979.

Bertolak dari Perancis, sebuah penerbangan tiba di Mehrabad Airport Teheran pada Februari 1979, yang bersama-sama dengan penerbangan tersebut bukan sahaja membawa seorang ulama yang sudah tua, bahkan cita-cita sebuah negara sempurna. Beliau disambut oleh jutaan rakyat yang menyayanginya. Di dataran luas, Beheshti Zahra, iaitu sebuah kuburan para syuhada, beliau mengungkapkan pidato ulungnya yang mengecam campurtangan Amerika, Israel dan sekutu Barat ekoran perkembangan terbaru negara Sassanid tersebut. Setelah 10 hari, revolusi Islam ini mengorak sebuah sistem.

Dan, selama 10 tahun terkemudian, beliau mengisi negara baru ini dengan segala doktrin-doktrin Islam. Buat julung kalinya tafsiran politik Islam telah menemukan wajahnya dalam bentuk praktikal. Kejayaan dramatik gerakan beliau telah menjadi inspirasi buat gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia. Dunia, menerusi majalah Time, mengiktiraf beliau sebagai Man of the year. Di samping itu, bersama rakyatnya, beliau memimpin utuh mempertahankan batas negara ekoran pencerobohan Iraq.

Manakala, dalam waktu yang sama, beliau tetap tegas mempertahankan sumber minyak negaranya daripada direbut oleh Barat, serta teguh hati menghadapi sekatan ekonomi dunia. Malah, dengan pedih juga beliau beliau pasrah ketika lebih 400 rakyatnya dibunuh oleh tentera Saudi sewaktu mengerjakan ibadah Haji, juga ketika menerima berita 290 rakyatnya terkorban dalam pesawat penumpang ditembak oleh tentera Amerika.

Namun, dalam segala kepayahan ini, beliau tetap tekun meneruskan ajaran dari leluhur sucinya. Beliau tetap tabah untuk terus memerintah dengan agama. Dan, pada 1 Januari 1989, beliau mengirim pesan besar kepada Mikhail Gorbachev. Suatu pesan yang bakal menghumbankan idea komunisme menjadi muzium sejarah. Malah, beliau tidak segan-segan mengajak pemimpin Soviet Union tersebut untuk menerima Islam sambil menolak materialisme Barat.

Demikian juga, tanpa mempedulikan ancaman Barat, serta dengan penuh keyakinan, beliau tekad dan nekad memfatwakan hukuman bunuh terhadap Salman Rushdie atas penerbitan buku Satanic Versesnya — suatu fatwa yang sangat-sangat revolusioner, dan sekaligus fatwa yang membangkitkan kembali semangat ummah melawan penindasan Barat, setelah sekian lama kekosongan ikon sejagat.

Namun, hari demi hari, keadaan fizikalnya semakin melelahkannya. Kelelahannya ini akhirnya memburuk. Sudahnya, setelah 10 hari diam di hospital Teheran, akhirnya beliau aman menemui zat yang dirindu-rinduinya pada malam hari, 3 Jun 1989. Serentak dengan itu, langit ummah mendung bagaikan kehilangan sebutir bintang thurayya. Hadirnya dirasai, dan perginya ditangisi.

Maka, salam atas anda, yang telah mengisi hidup ummah dengan makna-makna baru, lalu meninggalkan pula ummah dengan segenap pesan-pesan kemanusiaan. Maka, mudah-mudahan nama anda, Ruhollah, akan terus kekal dalam catatan dan ingatan sejarah masa depan ummah; ummah yang masih ada percaya kepada tradisi dan masih menyimpan keyakinan kepada iman. Ya, salam atas anda, pemelihara ingatan agama, Ruhollah Khomeini al-Musawi!

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: