jump to navigation

Ali Bukhari Amir: Memerdekakan Jiwa Gerakan Mahasiswa (Bahagian Kedua/Terakhir) Mac 28, 2006

Posted by ummahonline in Wawancara.
trackback

Oleh: Aqil Fithri

“Tidak cukup mengatakan kita mesti kembali kepada Islam,” kata Dr Ali Shariati, seorang arkitek Revolusi Islam di Iran. “Kita juga mesti menentukan Islam yang mana: Islam Abu Zarr atau Islam Marwan Raja”.

Ungkapan ini sebenarnya merupakan kutipan oleh seorang anak muda yang begitu meminati Dr. Ali Shariati. Dalam wawancara bahagian kedua yang asalnya dimuatkan dalam ForumNet (II) ini, Ali Bukhari sepertinya mahu memaknai kembali semangat Dr. Ali Shariati ini dalam konteks gerakan mahasiswa. Justeru, maka ada baiknya jika para mahasiswa dapat menekuni lagi lanjutan buah fikiran yang cuba dikemukakan oleh Ali Bukhari ini:-

Jika anda mengikuti perkembangan politik kampus, menurut penelitian anda, adakah pilihanraya kampus bagi pemilihan MPP di IPTA boleh kita sifatkan sebagai telus, berjaya dan saksama? Di samping itu, adakah pengamalan pilihanraya kampus ini boleh menjadi platform terbaik untuk mahasiswa belajar akan erti demokrasi? Dan, apa komen anda terhadap prestasi MPP IPTA sekarang ini?

Secara realitinya, pilihan raya kampus yang baru berlalu adalah yang paling kotor dalam sejarah pilihan raya kampus. Saya terlibat secara langsung dalam membuat liputan berita mengenainya di USM. Dalam ruang yang amat terbatas ini saya cuba menceritakan seringkas mungkin. Sejak awal, kita boleh mengesan taktik yang sama berlaku sebelum penamaan calon, iaitu Hep menolak borang penamaan calon pembangkang.

‘Trend’ seperti ini berlaku di hampir seluruh universiti. Di USM, saya terlibat di dalam pembikinan berita kampus. Pada malam pengiraan undi, 15 September, 2004, saya mendapat maklumat bahawa pro-pembangkang telah menang. Kiraan undian tamat kira-kira jam 12.00 malam. Keesokan harinya, 16 September 2004, sebuah akhbar mainstream menyiarkan berita kemenangan pro-kerajaan di seluruh universiti termasuk di USM.

Hal ini sangat menghairankan. Ada beberapa perkara yang boleh dianalisa di sini. Pertama, bagaimana berita kemenangan pro-kerajaan boleh tiba kepada akhbar itu dalam tempoh tidaklah sampai 24 jam? Huraiannya begini. Selewat-lewatnya sekitar 10 malam, pejabat akhbar akan tutup untuk kerja-kerja percetakan dan pengedaran keesokannya.

Adalah mustahil berita itu sampai ke akhbar, kerana keputusannya diumumkan pada malam itu, selepas pejabat akhbar ditutup dan akhbar itu mungkin juga di dalam proses percetakan.

Kedua, saya sendiri menjadi saksi bahawa tiada seorang pun wartawan daripada akhbar berkenaan yang datang membuat liputan berita mengenai keputusan pilihanraya di USM. Oleh itu, bagaimana wartawan akhbar itu dapat menulis berita mengenai keputusan pilihan raya kampus? Setidak-tidaknya, keputusan pilihan raya dibacakan selepas 10.00 malam dan pada ketika itu, akhbar berkenaan telah pun siap menjalani percetakan.

Ketiga, seorang wartawan lain yang turut membuat liputan MPPUSM sebelum ini memberitahu saya bahawa beliau turut menulis kemenangan pihak pembangkang. Namun begitu, berita itu tidak digunakan apabila sampai ke ibu pejabat.

“Spite…,” katanya. “Berita itu diketepikan. Editor tak pakai berita tu lalu diganti dengan berita lain pula. Terus lain dari maksud asal.”

Akibat penulisan berita itu di dalam Berita Kampus juga menyebabkan saya turut dihadapkan ke Jawatankuasa Siasatan. Walhal, kalaulah laporan itu silap maka pihak Hep sepatutnya menulis sepucuk surat agar fakta itu dibetulkan. Akhbar akan menulis ralat itu bagi membetulkan kesilapan laporan yang dipetiknya. Tetapi, hal itu tidak berlaku.

“The damage has been done,” kata mereka. Dari sini, kita dapat mengesan iaitu, ada sesuatu yang disembunyikan. Sebenarnya, ralat adalah suatu usaha untuk memohon maaf kalau kita tersilap fakta. Tapi, ternyata laporan itu adalah benar. ‘Kerosakan’ yang kononnya tidak dapat dipulihkan itu cuma helah bagi menutup rahsia peringkat tertinggi.

Deep Throat memberitahu bahawa sumbernya, seorang mahasiswa pro-kerajaan menyatakan: “Kami tahu kami akan menang kerana keputusan itu didapati melalui Biro Tata Negara (BTN).” Maknanya, semua maklumat mengenai keputusan awal seolah-olah dipusatkan kepada BTN. Tidak hairan apabila melihat mahasiswa pro-kerajaan bersorak malam itu walaupun keputusan menunjukkan bahawa mereka kalah tipis 19 – 18.

“Senang cakap macam ni sajalah, semua tempat, kami main tipu, kecuali UIAM,” kata sumber itu kepada Deep Throat. Ketika ditanya mengapakah di UIAM mereka tidak boleh menipu, sumber berkenaan enggan mengulas.

Beberapa hari sebelum menghadapi Jawatankuasa Siasatan HEP, Deep Throat ada bercerita mengenai 13 orang Umno di sebuah bahagian / cawangan yang ditangkap pada malam rapat umum. Tetapi, seorang pegawai tinggi Hep datang, lalu melepaskan mereka. Menyentuh mengenai pemilihan MPPUSM, seorang ahli MPP menyatakan bahawa BTN menggunakan psikologi sebelum pemilihan jawatankuasa tertinggi MPP bermula.

“Kami dipecah kepada beberapa sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK),”katanya. Di dalam sesi itu mereka telah diberi salinan senarai nama yang dicadang untuk mewakili pimpinan tertinggi MPP.

“Apabila kami menolak, mereka (BTN) berasa kesal,” kata sumber berkenaan. “Kata mereka, hal itu cuma ujian untuk melihat bagaimana persepsi peserta dan mereka merasa kecewa melihat di kalangan calon-calon MPP itu sudah ada berpuak-puak.”

Adakah dengan fakta ini menunjukkan bahawa pilihan raya kampus dalam realiti begini mampu menjadi wadah terbaik untuk mahasiswa belajar makna demokrasi? Sudah tentu tidak. Selagi ada arahan-arahan baru yang tidak releven, seperti manifesto tidaklah dibenarkan, kewujudan parti di kalangan pelajar dinafikan, dan lain-lain maka tertutuplah minda pemimpin generasi akan datang.

Universiti yang tidak membenarkan kewujudan pakatan dan parti politik di dalam pilihan raya kampus adalah terlalu ideal yang bercanggah dengan realiti di luar. Kalaulah mereka bertanggungjawab, saya fikir, mereka (pemimpin universiti) perlulah menyatukan parti-parti politik di luar sebelum mahu (kononnya) mengelakkan perpecahan di kalangan mahasiswa dengan sebab politik kepartian di luar ini.

Saya tidak nampak MPP sekarang ghairah menulis dan melontarkan wacana baru di akhbar, majalah dan lain-lain. Mereka tidak ghairah mengangkat masalah nasional dan antarabangsa. Mungkin kerana mereka tidak berpengalaman, tidak dilatih atau pun tidak diberikan ruang secukupnya oleh Umno sendiri.

Dalam Pulau Pinang misalnya, isu-isu kemiskinan tegar yang dihadapi Melayu di sini pernah disinggung mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia perlulah ditangani dengan bijaksana oleh pelajar, tambahan pula hubungan mereka akrab dengan pimpinan Umno di sini. Tapi, tidak nampak adakah hal itu berlaku. Adakah mereka telah menerbitkan laporan-laporan terkini penyelidikan mereka? Apakah yang mereka lakukan sekarang? Saya sendiri pun tidak tahu.

Di kalangan gerakan mahasiswa Islam di kampus-kampus, mereka menunjukkan bahawa gerakan mereka seolah-olah anti-konsert. Konsert-konsert seperti Siti Nurhaliza, M.Nasir dll yang di adakan dalam kampus disambutnya dengan demonstrasi. Inikah tanda kematangan gerakan mahasiswa Islam negara kita? Wajarkah hanya nasyid sahaja dibenarkan mengadakan persembahan di dalam kampus? Juga, benarkah persembahan kumpulan-kumpulan rock, pop, rap di dalam kampus boleh mengugat intelektualisme mahasiswa?

“Saya mahu jadi seniman yang educated.” kata P. Ramlee ketika ditemubual oleh seorang wartawan hiburan.Beliau pernah diundang ke Kongres Kebudayaan Kebangsaan, 1971 di Universiti Malaya yang menjadi asas kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Beliau juga mengesyorkan agar kursus seni muzik diajar sebagai pelajaran di sekolah.

Di Hollywood, pelakon Martin Sheen mengadakan rapat umum untuk membantah serangan Amerika ke atas Iraq. Pengarah filem terkenal, Michael Moore mengarang serta memfilemkan Fahrenheit 911 sebagai langkah protes terhadap perang itu. Bahkan secara terbuka di Grammy Award, dia menyimbah seranah ke atas tindakan Bush sebagai satu tindakan yang memalukan.

Sarimah Ibrahim juga dalam kenyataannya dahulu menyatakan rasa gembiranya ketika beliau diberikan kepercayaan untuk menjayakan program RTM, ‘Malaysia 2020’ RTM melalui TV1. Pelawak Osman Kering pernah menyeru secara serius dalam Debat Perdana tidak lama dahulu, agar Pas dan Umno kembali bersatu.

Dalam program Melodi (TV3), penyanyi Hattan berkata golongan artis mesti peka kepada terhadap isu-isu semasa tanahair. “Kita tidak mahu orang ramai anggap golongan artis ini macam tidak ambil peduli hal ehwal semasa kerana asyik ghairah dengan gosip dan publisiti saja,” katanya.

Pelakon Indonesia, Sophia Latjuba berkata di dalam Jawa Pos April lalu, “Saya ingin bekerja dengan menggunakan otak”. Walaupun, semua orang tahu kisah skandalnya memang hangat beberapa bulan lalu di media Indonesia.

Dalam temubual di TV1, Datuk Jins Shamsudin mengulas kekurangan pawagam di negara. Beliau turut menyentuh mengenai khazanah filem Melayu yang dipunggah ke Hong Kong, China. “Lalu khazanah filem Melayu sudah tiada lagi,” katanya.

Para artis Singapura dulu juga cergas dalam demonstrasi dan bantahan mereka ke atas isu-isu tertentu melibatkan dunia dan industri muzik. Jins turut menceritakan secara jelas, penglibatannya dalam gerakan politik berhaluan kiri di sana di dalam biografinya.

Pelakon dan pengarah veteran, Salleh Ghani menulis buku mengenai sejarah filem Melayu di Singapura. Beliau menulis beberapa kelemahan filem Melayu dan mengkritik dominasi dan monopoli Yahudi dalam industri perfileman Hollywood.

Nasyid-nasyid kini tidak seperti dulu yang selalu mengangkat tema jihad, seperti Nada Murni, The Zikr dan lain-lain. Setelah dikomersialkan, lahirlah angkatan baru yang lebih mengangkat tema cinta lelaki dan wanita. Cuma, bezanya sedikit, cinta Adam-Hawa ini ialah kerana Allah. Nasyid dahulu segar, masih basah dengan kehangatan Jihad kerana kekuatannya terletak di atas keikhlasan. Bukan glamour, periuk nasi dan lain-lain.

Demikianlah antara beberapa catatan lalu, keratan akhbar, komentar sesetengah orang mengenai industri muzik dan filem tanahair. Sekarang, apa pandangan anda kepada beberapa komentar di atas? Semoga pandangan ini tersilap. Tapi fakta tak pernah menipu. Islam tidak haramkan muzik. Saya tidak tahu apa pandangan agama lain.Bahkan di dalam tamadun Islam, kita temui sosok Al-Farabi dan Siti Zubaidah yang ghairah dengan bunyi-bunyian. Teori muzik al-Farabi misalnya diplagiat orang Eropah.

Sebelum itu, marilah bermuhasabah, adakah kita menghormati artis dan apa kayu ukur yang membuktikan kita ‘menghormati’ mereka? Apa pula erti ‘penghinaan’ kepada artis? Apakah mereka selalu mahukan tepukan setelah melakukan persembahan? Sebagai pelajar, adakah cara kita melayan artis, sama dengan khalayak lain? Tidakkah hal di atas memberi gambaran bahawa insan seni juga mahu dilayani secara intelektual?

Adakah kita menghormati wanita dengan menidurinya, lalu memberi wang di atas perkhidmatannya? Padahal ada waktu-waktunya, wanita itu sendiri merasa dihargai kalau ada orang yang datang cuma berbual dan bertanyakan khabar mereka.

Hakikatnya, tindakan membayar perkhidmatan wanita ini adalah satu penghinaan kepada mereka walaupun kedua-dua lelaki dan wanita berpendapat tiada tindas-menindas dan eksploitasi dalam ‘urusniaga’ ini. Demikian contoh yang mungkin mudah difahami.

Maka, ‘urusniaga’ dengan insan seni ini perlu diperbetulkan segera sebagaimana layaknya status mahasiswa tanpa mengenepikan nilai intelektual. Khalayak muda-mudi di luar universiti mungkin boleh berurusniaga secara tradisional, tapi adakah mahasiswa kita masih menggunakan urusniaga yang sama di era global?

Kalau dahulu, melalui Kongres Kebudayaan Nasional, 1971, mahasiswa meraikan kedatangan P. Ramlee melalui ‘urusniaga’ intelektual, hingga lahirlah Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Mengapakah tradisi ‘urusniaga’ itu tidak boleh diteruskan kepada M. Nasir, Siti Nurhaliza dan lain-lain? Ertinya, universiti adalah ‘kampung’ idea bagi pejuang seni untuk menyambung perjuangan bangsa. Adakah universiti kini sedang menuju ke arah itu atau mahasiswa ‘mengeksploitasi’ mereka hanya untuk tujuan ‘amal’ dan bukan lainnya?

Dalam makna lain, saya berasa (semoga saya tersilap ketika mengungkap hal ini) tindakan kita meraikan para artis cuma kerana ingin hiburan ini adalah satu ‘penghinaan’ kepada mereka secara tidak disedari. Belajarlah menghormati mereka melalui pendekatan ceramah dan dialog mengenai masalah dalam dunia seni. Kemudian, mahasiswa dapatlah melahirkan satu pandangan mengenai bagaimana seharusnya meningkatkan mutu hiburan seni tanahair, perusahaan filem dan lain-lain lagi.

Bermula sekarang, mahasiswa perlu menggerakkan ‘Gerakan Pencerdasan Artis’. Mereka boleh menjemput seniman, bertukar-tukar pandangan mengenai halatuju segala filem dan drama di televisyen.

Paling penting, adakah pelajar tergerak hati untuk mengadakan wacana – dialog bersama sutradara untuk memberikan suntikan idea ke arah pemikiran-pemikiran baru? Filem kita wajah kita. Lalu, persembahkanlah realiti sebenar kemahasiswaan dalam karya mereka. Apakah budaya intelektual seperti ini;mengundang artis-artis untuk dialog-dialog tidak boleh diusahakan oleh persatuan-persatuan pelajar?

Di Indonesia, selepas era Suharto, sutradara dan mahasiswanya berganding tenaga memfilemkan sejarah mahasiswa menewaskan Suharto. ‘Ku Tunggu Di Sudut Semanggi’, umpamanya sebuah filem reformasi mahasiswa ditayangkan secara terbuka di pawagam. Setelah kenal-mengenal, maka timbullah kepercayaan antara sutradara-pelajar.

Masa dahulu, ketika dakwah bercambah di kampus, ada orang berkata, “Kenapa cakap agama di sini? Nak ceramah, pergilah masjid!”. Saat itu, urusan agama di masjid saja. Belenggu sekular kuat mencengkam.Kini, dalam ucapan, wazan dan timbangan ayat yang lebih kurang sama, jika ada orang bertanya, “Kenapa menyanyi di sini (universiti)? Nak menyanyi pergilah Malaysian Idol!”. Rasanya bagaimana? Jika acara nyanyian boleh diprogramkan secara ‘rasmi’ dalam IPT, maka hal itu bererti, belenggu ‘anti-intelektual’ kuat mencengkam di zaman ini kerana ia telah ‘didaulatkan’. Berhiburlah, tiada salahnya. Tapi, jangan berlebihan kerana tumpuan kita ialah belajar. Berhiburlah, tapi, pastikan tiada duit universiti yang disia-siakan.

Ini kerana, dana universiti bertujuan membangunkan penyelidikan, pembangunan idea, dan lain-lain kegiatan akademik. PTPTN berhutang berbilion ringgit saban tahun daripada KWSP.Duit itu,duit orang tua kita juga. Apa pandangan anda jika duit orang tua kita digunakan kepada hiburan melampau? Apa pula perasaan orang tua kita, jika mereka tahu duit KWSP yang dilabur ke PTPTN itu dijadikan wang yuran asrama dan kolej, lalu duit itu digunakan untuk acara hiburan pula oleh pihak berkenaan? Akhirnya, guru-guru selalu menasihatkan tentang matlamat kita datang ke universiti? Belajar atau bernyanyi? Tepuk dahi, tanyalah akal fikiran yang waras.

Kita pernah terbaca tulisan Ahmad Lutfi Othman, beliau menyifatkan mahasiswa negara memerlukan ‘korban’ dalam perjuangannya. Maksudnya korban dari kalangan aktivis seperti insiden Trisakti di Indonesia. Menurut hemat anda, adakah teori beliau ini ada kebenarannya ke arah mencetuskan perubahan politik negara yang lebih bermakna?

Dalam Islam, ‘korban’ ialah sejenis ujian yang menentukan tahap iman seseorang. Tuhan berfirman, “Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan bebas untuk berkata, “Kami beriman”, padahal mereka belum diuji?” (al-Qur’an). ‘Korban’ itu muncul seawal peradaban manusia berasaskan konflik Habil – Qabil yang mengorbankan hasil ternakan dan tanaman mereka.

Dalam kes Habil – Qabil, perintah pertama ke atas mereka – korbankan sebahagian daripada hasil tanaman dan ternakan. Maka korban ternakan haiwan itu diterima dengan sebab keikhlasan Habil. Lalu, tradisi pengorbanan melalui ‘darah–daging’ (haiwan) inilah yang terpilih lalu dicubai pula ke atas Nabi Ismail a.s dan Nabi Ibrahim a.s.

Takdirnya, kedua-dua mereka berjaya lalu tradisi pengorbanan ‘darah dan daging’ ini terus diikuti oleh seluruh umat manusia pada hari ini. Allah s.w.t telah memuliakan mereka sehingga setiap pergerakan mereka dijadikan salah satu syariat yang diikuti oleh tiap-tiap manusia yang mengaku Muslim.

Perilaku Siti Hajar yang berlari-lari anak antara bukit Safa dan Marwah, misalnya jadi contoh ikutan yang dinamakan saie. Allah memberikan kemuliaan kepada wanita ini lantaran pengorbanannya dan ketaatan kepada suami ketika diperintahkan untuk menetap di padang pasir yang tandus dari sumber makanan dan minuman.

Tindakan Nabi Ibrahim a.s melontar batu kepada Iblis di Jamrah, turut mendapat penghormatan sehingga Tuhan merakamkan sebahagian daripada tindakan mereka untuk diabadikan dalam ibadat-ibadat haji dan umrah; satu-satunya amal ibadat yang ditiru dari perlakuan mereka. Manakala puasa, solat dan zakat, bukannya terbit dari perilaku insan.

Selanjutnya, Nabi Ismail a.s yang menyerahkan diri kepada ayahnya Nabi Ibrahim a.s untuk dikorbankan, akhirnya menjadi amalan seluruh umat Islam hingga kini di mana mereka mengorbankan haiwan ternakan mereka sebagai mengingati hal itu.

Di sana ada hadis mengenai kisah Ashabul Ukhdud yang berkaitan dengan surah (al-Buruj: 4 – 8). Seorang kanak-kanak lelaki yang pada asalnya dilatih dengan ilmu sihir dan akhirnya menemui jalan Tauhid setelah berguru kepada seorang rahib. Kanak-kanak ini tidak mati walaupun dibunuh pelbagai cara. Sebaliknya, beliau sentiasa pulang istana sambil menyeru raja agar bertauhid kepada Allah.

Setelah buntu, akhirnya budak ini memberikan jalan untuk membunuhnya dengan syarat, sang raja mengumpulkan orang ramai di sebuah padang lalu menikamnya dengan tombak sambil berkata: “Dengan nama Allah, Tuhan budak ini”. Pada akhir cerita,rakyat memilih jalan Tauhid setelah budak ini hanya syahid atas nama Allah. Raja gementar lalu memerintahkan sebuah parit besar dengan api menjulang di dalamnya disediakan untuk menyiksa semua rakyatnya agar kembali kepada agama asal. (Sunan Tarmizi, hadis 3340, Kitab Tafsir al-Qur’an, Sahih Muslim, hadis 3005, Kitab Zuhud wa Ar-Raqa’iq, Bab 17).

Di sini, ramailah yang terkorban hanya kerana beriman seperti yang diimani oleh budak tersebut. Hal ini menjadi bukti bahawa kekuatan ‘darah’ – ‘daging’ atau terkorban menempuh kematian oleh anak muda demi mereformasikan Tauhid serta merevolusikan aqidah telah mendapat penghormatan besar daripada Allah s.w.t hingga sejarahnya turut dirakamkan di dalam al-Qur’an.

Dalam alam Melayu, dikisahkan oleh Tun Seri Lanang melalui Sulalatus Salatin bahawa idea seorang budak telah menyelamatkan Singapura yang sedang diancam todak akibat kezaliman penguasa membunuh Tun Jana Khatib. Namun, hayat budak ini tidaklah lama kerana dia mati dibunuh selepas penguasa dihasut oleh para pembesar yang dengki.

Tiada hadiah sepersalinan baju dari pihak istana kepadanya seperti adat penguasa Melayu memberikan anugerah kepada sesiapa yang berjasa kepada bangsanya, melainkan darahnya sendiri yang dengan sewenang-wenangnya ditumpahkan. Ertinya, korban dalam konteks pertumpahan darah, lazimnya melahirkan peristiwa besar yang akhirnya menukar sudut dan cara pandangan, persepsi serta tanggapan manusia terhadap beberapa nilai yang difikirkan kukuh oleh mereka selama ini.

Sesungguhnya, ‘pengorbanan’ memerlukan ketahanan mental, kekuatan jiwa serta kepercayaan kepada diri sendiri terhadap apa yang ingin diperjuangkan.Ia bukanlah boleh dibuat-buat, dilakonkan kepada khalayak bahawa kita ini memang bersedia berkorban.

Sebab itulah, Islam mewajibkan ibadah haji kepada mereka yang ‘mampu’ kerana ia memerlukan keazaman, kesabaran dan pengorbanan. Hal ini kerana, tidak semua orang mampu berkorban, terkorban dan dikorbankan. Manusia yang telah bersedia dikorbankan dianggap mulia kerana mereka sanggup melakukan sesuatu yang luar biasa di mana pada ketika itu, tiada manusia lain yang sanggup kehilangan jiwa, harta dan lain-lainnya.

Mereka boleh jadi hilang segala-galanya. Dalam konteks yang kita bicarakan ini, mahasiswa yang berkorban diri mendepani keangkuhan penguasa dan pentadbir universiti akan menanggung risiko hilang maruah di mata khalayak, pekerjaan, pelajaran dan lain-lainnya di masa depan. Hanya keyakinan kepada Allah s.w.t adalah sebaik-baik bekalan.

Dalam al-Qur’an, Allah s.w.t berjanji bahawa sesiapa yang membantu agamaNya, maka mereka pasti akan dibantu serta diperteguhkan dirinya. Dan mereka yang berjuang dengan kefahaman ini pastilah tidak takut dengan celaan orang yang mencela, nistaan orang yang menista dan cercaan orang yang mencerca, demikian kata al-Qur’an.

Akan tetapi, teori ‘darah – daging’ itu harus dipraktikkan secara bijaksana. Jangan sampai tindakan kita ditafsirkan dari sudut agama sebagai perbuatan membunuh diri. Kita hendaklah benar-benar menjadikan kematian kita sebagai syahid. Nyawa dan jiwa hanya sekali seumur hidup. Oleh itu, jika mahu korbankan jiwa, maka pastikan ia benar-benar di atas urusan agama, bangsa dan tanahair.

Untuk membuat perubahan, maka seseorang perlu dikorbankan. Jika kita terpilih, seharusnya kita telah pun bersedia untuk menjayakan cita-cita revolusi. Tetapi, berapakah orang yang sanggup menjadi lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain?

Seharusnya, bagaimanakah pendekatan gerakan mahasiswa yang paling praktikal pada hari ini bagi memartabatkan semula gerakan ‘istimewa’ ini di kacamata rakyat? Harapan kita dengan pendekatan baru tersebut, ia dapat memecahkan kebuntuan politik nasional serta memartabatkan kembali karismatik gerakan mahasiswa negara kita.

Tiada dasar yang lebih baik daripada ilmu pengetahuan. Itulah modal utama serta ukuran pertama yang membezakan di antara masyarakat pelajar dan bukan pelajar. Dalam al-Qur’an, Tuhan pernah bertanya, apakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sudah tentulah tidak sama. Yang berilmu menyebarkan ilmu, beramal dan tidak tertipu. Yang jahil tidak tahu beramal, tiada yang disebarkan dan mudah tertipu.

Saya suka bermain dengan kata-kata dan istilah. Ketika anda mengungkap istilah ‘praktikal’, maka tergambar di ruang minda saya pergerakan mahasiswa yang ucapannya, kata-katanya, tindakannya melahirkan perubahan yang besar lagi berpengaruh kepada khalayak. Atau mungkin anda menyimpan makna lain? Kalau bersetuju dengan tafsiran peribadi (semoga saya tidak tersilap) ini, maka sila ikuti pandangan selanjutnya.

Di dalam al-Qur’an, Allah mengangkat maqam orang beriman dan yang berilmu dengan beberapa darjat. Dalam mana-mana masyarakat pun, yang dihormati adalah orang yang sedang belajar dan yang mengajar kerana merekalah modal intelektual. Tinggal lagi mereka ‘bergerak’ dengan sebenar-benar pergerakan ataupun ‘mempraktikkan’ atau tidak mengamalkan segala ilmu di dalam komuniti mereka.

Perlu diingat bahawa masyarakat kita pada hakikatnya walaupun kelihatan maju di luar tapi jalan berfikirnya tenat, mindanya dahagakan ilmu walaupun mereka kelihatan ghairah dengan isu picisan. Tuhan menjadikan masa sehari semalam 24 jam. Dalam masa itu, ada waktu-waktunya tertentu timbul beberapa saat, mereka terfikir tentang ketuhanan, akhirat dan lain-lain hal berbentuk falsafah.

Ada ketikanya nanti, masyarakat mulai bosan dan keghairahan kepada hiburan yang melekakan mulai menumpul dan pudar sejajar dengan usia yang meningkat. Mereka akan berasa bosan walaupun dikelilingi dengan hiburan. Pada ketika ini, mereka mula merasakan kehilangan ‘sesuatu’ Dan mereka akan mencarinya. Apakah ia? Itulah ilmu.

Saya katakan begini kerana kita selalu memikirkan bahawa masyarakat menunggu pelajar bertindak. Dan tindakan itu pula ditafsirkan dengan kekerasan pula. Kita mungkin perlu menukar kepada strategi yang lebih memperlihatkan kematangan berfikir.Salah satu daripadanya ialah dengan memperbanyakkan penulisan. Betapa tandusnya pemikiran kita sehinggakan kurangnya buku mengenai pergerakan mahasiswa yang ditulis mutakhir ini.

Bukti jelas, hingga kini buku “Mahasiswa Menggugat” terpakai sampai sekarang menjadi rujukan pergerakan pelajar. Kita selalunya akan merujuk buku ini ketika menulis kertas kerja atau esei dalam mana-mana seminar mengenai pergerakan mahasiswa. Dasar kefahaman yang jelas melalui gerakan idea dan pemikiran adalah garis utama membentuk pergerakan yang praktikal itu.

Dalam surah al-‘Alaq, istilah al-Qalam (pena) pertama kalinya disebut. Ia adalah lambang pemupukan budaya ilmu dalam sesebuah tamadun. Dalam usaha menafsirkan tamadun, bahasa dan ‘tulisan’ adalah ciri-ciri khas tamadun. Ini kerana, tulisan-tulisan di dalam pelbagai bidang itulah yang mengikat ilmu dalam pelbagai disiplinnya.

Sementara itu kaum penulis yang muncul dengan penulisannya telah merakamkan ilmu dan menumpahkan pengetahuan dalam semua tamadun dan peradaban silam.Mereka itulah pencipta sejarah. Dalam hal ini, mantan Pengarah DBP, Tun Syed Nasir berucap dalam majlis perasmian penulis-penulis Muar pada 4 November 1967.

“Mereka (penulis) telah menyemaikan benih yang berupa idea dan cita-cita kepada seluruh pembaca di tanahair ini yang kemudiannya tumbuh menjadi semangat kebangsaan yang kukuh. Kaum pemimpin muncul untuk memimpin semangat dan benih yang sudah disemaikan lebih dahulu oleh kaum penulis … ”

Imam Hasan al-Banna dalam risalahnya bertajuk 40 Kewajipan Ikhwan menyeru ahli Ikhwan supaya menulis dalam surat akhbar dalam untuk mempengaruhi minda orang ramai. Beliau sangat menghormati kaum penulis ini. Seorang ahli Ikhwan yang terkenal, Syeikh Muhammad al-Ghazali ketika di usia mudanya pernah menerima kiriman tahniah daripada Imam Hasan al-Banna kerana penulisannya. “Beginilah caranya orang Ikhwan menulis … menulis dengan cermat, jelas dan terang,” kata Hasan al-Banna.

Ringkasnya,ilmu, debat dan penulisan yang berterusan itulah yang lebih praktikal. Contohnya, barangkali anda menganggap biasa kepada tulisan-tulisan kecil dalam akhbar dan majalah.Tapi, secara tidak disedari akan ada wartawan yang mengambil idea ataupun mengangkat soalan anda kepada menteri-menteri tertentu pada hari berikutnya lalu hal itu boleh menjadi berita besar pula. Manalah tahu. Kadangkala, hal itu biasa berlaku.

Ada banyak lagi cara yang boleh dilakukan. Tetapi, penulisan itulah modal utama yang mencipta banyak peristiwa luarbiasa di dunia ini.Sebahagian besarnya telah menjadi sejarah dan akan kekal dalam lipatan ingatan manusia sampai bila-bila. Barangkali kalau kita ghairah menulis dan merakamkan sejarah perjuangan mahasiswa pada hari ini, siapa tahu, mungkin generasi depan akan menelaah sirah mahasiswa di sekolah-sekolah rendah.

Pada fikiran anda, apa puncanya pemimpin gerakan mahasiswa yang hebat di kampus suatu ketika dulu, tetapi tidak meneruskan idealismenya sementelah keluar dari dunia pengajian? Di mana silapnya?

Seperti yang biasa kita dengar, ramai pihak mengaitkan hal ini dengan kefahaman individu yang terlibat di dalam gerakan mahasiswa.Ada pemimpin kampus yang bergerak dengan semangat, kurang membaca atau gagal meluaskan pembacaan dan keilmuannya. Selepas keluar kampus, terputus pula hubungan dengan rakan-rakan, maka mereka boleh jadi tenggelam punca. Mahu bermula dari mana setelah mereka lama berhenti?

Tapi,tidak kurang juga yang memang memiliki kekuatan fahaman yang tinggi dan jelas, tetapi tidak meneruskan lagi idealismenya selepas tamat pengajian. Oleh itu, ramai pula pihak mengaitkannya dengan kerjaya, keluarga, anak pinak dan komitmen yang lain. Berdasarkan hal, memang betul juga ada kebenarannya.

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (al-Anfaal : 28)

Di alam kampus, gangguan anak-anak tidak ada. Demikian juga, mahasiswa tidak ada tanggungjawab kerjaya kerana semata-mata belajar.Dengan itu, sesiapa yang bekerja, memiliki tanggungan anak-anak, tapi masih bertenaga menyerlahkan idealismenya, maka wajarlah mendapat penghormatan.

Adalah satu kerugian apabila mereka yang telah keluar kampus ini, tidak memberi sedikit imbuhan pengalaman kepada tunas-tunas baru. Ini kerana, dengan pengalaman itu, lebih berharga kepada tunas-tunas baru sebagai pengajaran kepada mereka. Pengalaman yang lampau menjadi sempadan supaya generasi mahasiswa berikutnya dapat mengenali ruang dan peluang di masa depan serta mengelakkan kesilapan berlaku kali kedua.

Sekiranya, mahasiswa yang terlatih dan kukuh pula pendiriannya, tapi tidak mahu terlibat dengan kegiatan ilmiah dan meneruskan idealismenya dahulu, maka hal ini yang mungkin ditafsirkan ramai pihak sebagai ‘futur’. Mereka mungkin kecewa kepada kepada beberapa peristiwa silam di dalam persatuan, boleh jadi berasa dikhianati, atau boleh jadi mereka sendiri yang bermasalah kepada pertubuhan itu sendiri.

Apa-apa pun, masalah adalah hal yang perlu diselesaikan serta dicari sebab-sebab untuk dirakamkan agar menjadi iktibar kepada orang lain pula.Justeru,untuk bersikap adil dan saksama, marilah kita bahaskan kenapa ramai pelajar yang ‘futur’ atau kecewa ini.

Adakah wujud kemungkinan, kita sendiri membuat ukuran atau ‘standard’ sendiri mengenai ‘futur’ itu. Lalu, kita menganggap mereka ‘futur’. Walhal mereka bukan seperti yang disangkakan. Boleh jadi dia bergerak mengikut keserasian jiwanya sendiri. Ertinya, pendekatan pertubuhan yang tidak berubah baginya, sudah tidak menarik minatnya untuk kembali bergabung. Pernahkah kadangkala kita terfikir kemungkinan itu?

Mungkin, dulu dia pernah menyatakan suatu hal agar pertubuhan itu menukarnya dan hal itu pula ada logiknya. Tapi, pertubuhan tidak endahkan saranannya. Dia kecewa lalu melarikan diri dan pertubuhan menganggapnya lemah kerana tidak meneruskan idealismenya mengikut ketetapan pertubuhan. Boleh jadi begitu. Sebenarnya, ada banyak kemungkinan dan pandangan yang perlu ditinjau dari pelbagai sudut.

Pengalaman ini saya kongsi bersama anda dengan rakan-rakan lain yang telah pun memasuki alam kerjaya. Mereka bukannya tidak mahu menawarkan bantuan, tetapi tidak tahu bagaimana mahu menawarkan bantuan. Antara faktor awal yang dikesan ialah pihak atasan tidak meletakkan potensi seseorang bekas graduan itu pada kedudukan yang betul. Lalu, bagaimanakah seseorang itu mahu menjalankan operasinya dengan baik?

Misalnya, seseorang yang mahir dengan penulisan diberikan tugas menguruskan kewangan persatuan. Jiwa anak-anak muda misalnya tidak boleh terperap dengan suasana dalam pejabat. “Mati kutu…” seorang rakan saya mengulas masalah pertubuhannya. Jika dilihat kepada Debat Perdana 12 Jun lalu, ternyata isu yang dibangkitkan ialah persoalan umur. Ada belia ‘purba’ tapi masih dianggap belia, maka bagaimanakah pemikiran serta tenaga belia yang masih muda bertenaga ini mahu diterjemahkan.Lalu,tidak hairan wujud sindrom belia lesu. Itu cerita masalah dalaman pertubuhan belia.

Bagaimanapun, kita tidak berkompromi dengan bekas mahasiswa yang tidak lagi meneruskan idealismenya dengan sebab hal-hal yang berkaitan dengan kekeruhan jiwa. Angkuh dengan pendapat, ghairah dengan jawatan dan lain-lain, adalah lambang terhadap hal di atas. Dalam perkara ini, kita menepis keegoan lantaran penyakit ini memang tidak wajar hadir dalam pertubuhan dan akan mematahkan ranting-ranting perjuangan.

Saya optimis, sikap keterbukaan jika diamalkan, pemimpin atasan yang memiliki keupayaan ‘mendengar’ akan mampu selesaikan masalah graduan yang tidak meneruskan idealisme ini. Bertanya dan bermuhasabah adalah jalan yang terbaik. Sangatlah mustahil, seseorang yang pernah berbakti kepada persatuan di usia mudanya telah lumpuh tenaga.

Tidak perlu mengulas lebar tentang perkara ini jika penyelesaian tidak dijanakan. Mungkin sebagai langkah awal, senior-senior ini boleh dipanggil semula dalam wacana-wacana tertentu dan letakkan mereka dengan peranan yang sesuai dengan potensi mereka. Berbicaralah dengan mereka mengenai apa sebenarnya kekurangan pertubuhan serta apa yang dapat mereka sumbangkan untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

Bagaimana anda melihat perkembangan intelektual di kalangan aktivis gerakan mahasiswa? Apakah rangsangan yang perlu kita lakukan agar tahap intelektual mahasiswa dapat dipertingkatkan supaya mereka benar-benar menepati harapan generasi pewaris negara?

Apabila kita menyebut intelektual, saya melihat di sana ada istilah lain yang lebih sesuai dibahaskan; ‘pemikir’. Kerana ada bezanya intelektual dan pemikir. Ringkasnya, seorang pemikir adalah intelektual, tapi seorang intelektual belum tentu seorang pemikir.

Ertinya, pemikir jauh lebih tinggi darjat serta martabatnya berbanding intelektual. Hal ini umpama tingginya darjat ‘muttaqin’ (orang bertakwa) kalau berbanding ‘mukmin’ (orang beriman). Tuhan berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Ali Imran: 102)

“Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya …” (al-Hujurat: 13)

Jelaslah di sini, yang beriman pun disuruh bertakwa. Maka, tidak semestinya yang beriman itu bertakwa. Yang bertakwa tentulah beriman. Demikianlah pemikir yang sudah tentulah intelektual. Tapi yang bergelar intelektual, belum tentu layak digelar pemikir.

Insan ‘beriman’ kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari kiamat, qada dan qadar. Tapi, taqwa hanya dirujuk kepada Allah. Tidak pada yang lain. Ini menunjukkan ‘taqwa’ lebih tinggi daripada ‘iman’ seumpama ‘pemikir’ itu lebih tinggi daripada ‘intelektual’, seperti juga ketinggian darjat rasul ke atas nabi. Taqwa itu tinggi kerana ia hanya kepada Allah dan pemikir itu disebabkan pemikir memikirkan umatnya. Tidak kepada yang lain.

Intelektual bersifat statik, tapi pemikir lebih dinamik. Merujuk kepada mahasiswa yang tergolong dalam kumpulan cerdik pandai yang terpilih, maka mereka itu sebenarnya terbahagi dua. Kelompok pertama hanya menumpukan kepada kegiatan intelektual sahaja tanpa mempedulikan hal sekeliling. Sementara kelompok kedua inilah yang benar-benar menggunakan landasan intelektual mereka untuk membangunkan masyarakat luar.

Segala teori kuliah yang dipunggah untuk menyempurnakan penyelidikan tentang masalah khalayak inilah yang dikatakan tindakan pemikir. Kelompok ideal ini juga turut mempersoal beberapa polisi negara yang kelihatan bercanggah dengan apa yang mereka pelajari di universiti. Demikianlah perbezaan antara pemikir dengan intelektual. Pemikir bukannya selalu berkonflik dengan kerajaan, bahkan membantu mereka dengan teguran, dengan niat bagi membetulkan keadaan. Dalam masa yang sama, pemikir dikatakan telah membantu rakyat dengan memastikan polisi kerajaan sentiasa di landasan yang betul.

Manakala intelektual, seperti yang dimaklumi, teori yang dipelajari tidak mampu menggerakkan diri sebagai agen perubahan. Bagi mereka, ilmu itu untuk berbakti kepada kerajaan dengan cara memenuhi pasaran buruh. “Dengan ini, produktiviti meningkat,” kata mereka. Demikianlah ilmu digunakan untuk mendokong aspirasi kerajaan. Oleh itu, sikap mereka selalunya kelihatan tidak seimbang dari sudut tenaga yang disalur kepada pihak atasan sahaja. Orang bawahan ketinggalan menikmati daya intelektual mereka.

Seperti tindakan Musa mencabar akar teologi Firaun dan dalam masa yang sama, Baginda menentang sistem perhambaan oleh bangsa Mesir ke atas Bani Israel, maka yang demikian itulah tindakan kaum pemikir. Ibarat nasihat Sunan Bonang kepada Sunan Kali Jogo, “Mendidik rakyat sekali gus membetulkan pemerintah.”

“Tidak cukup mengatakan kita mesti kembali kepada Islam,” kata Dr Ali Shariati, seorang arkitek Revolusi Islam di Iran. “Kita mesti menentukan Islam yang mana: Islam Abu Zarr atau Islam Marwan Raja”. Beliau melihat ada garis besar antara Islam rakyat dan Islam penguasa. Satu pihak tertindas dan satu pihak lagi korup.

“Ia (Islam) mengarahkan seorang mukmin memperjuangkan keadilan, persamaan dan penghapusan kemiskinan,” kata Shariati. Tetapi, Abu Zarr mencabar penguasa bukan melalui pemberontakan berdarah melainkan bersabar. Rasulullah s.a.w bertanya: “Wahai Abu Dzar, jika di kemudian hari nanti kamu melihat penguasa memakan harta ghanimah milik kaum Muslimin, apakah yang hendak engkau lakukan?”. Abu Zarr berkata: “Demi Allah yang megutusmu membawa kebenaran! Aku akan tebas leher-leher mereka dengan pedang ini!”. Lalu, kata Rasulullah: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu cara yang lebih baik daripada itu, wahai Abu Dzar?”. Abu Dzar: “Ya.”. Sabda Rasulullah: “Bersabarlah sampai engkau berjumpa dengan aku pada hari kiamat nanti.”

Seterusnya, anda bertanya tentang rangsangan. Tidak dapat tidak, apa yang saya lihat ialah kurang semangat membaca di kalangan pelajar. Tapi, yang paling parah, ialah kebekuan idea pemimpin mahasiswa. Semakin gersang tulisan mengenai kemahasiswaan di dada akhbar. Jadi, bagaimanakah pelajar mahu meneliti idea pemimpin mereka? Kalau dilihat, lebih pesatlah pertumbuhan kesedaran kerana sumber maklumat lebih banyak dari dahulu. Kini, internet beroperasi 24 jam, ditambah pertumbuhan media berhaluan kiri.

Namun, jikalau pemimpin pelajar dan pelajar itu sendiri tidak berani menyanggah Auku dan lain-lain sekatan, maka rangsangan ke arah pemulihan bangsa akan sentiasalah beku, jumud dan tidak bergerak. Sekatan wujud di mana-mana negara pun. Tetapi, pelajar di negara lain sudah bersedia menempah keranda.

Mereka tidak kenal Abu Zarr dan Shariati. Mereka melancarkan pemberontakan berdarah. Dalam tradisi kita, ada perhimpunan aman. Tetapi, jikalau berlaku pembunuhan dengan sebab tembakan, semua orang tahu hanya tentera–polis bertanggungjawab kerana tiada rakyat Malaysia yang bersenjata kecuali dengan lesen dan permit.

Rangsangan kini bergerak di antara idea dan pemikiran.Menguasai, mencipta atau membentuk media sendiri adalah satu tanggungjawab yang pasti. Mungkinkah radio, tv internet dan sebagainya boleh diwujudkan bagi memudahkan komunikasi menyampaikan idea dan pandangan dari semasa ke semasa mengenai isu-isu tertentu.

Maaf, ramai yang menyifatkan ramai aktivis gerakan mahasiswa hari ini psikologi ilmunya tinggi (kononnya), tetapi mereka tidak pandai untuk merumuskan pendirian secara bebas. Sebaliknya, setiap pendapat yang dikeluarkan merupakan lanjutan dari perbincangan politik luar atau idea-idea yang di kitar semula; bukannya hasil daripada gagasan mahasiswa itu sendiri? Mungkinkah ini bersumber dari kelemahan aktivis mahasiswa untuk menyampaikan hujah atau barangkali aktivis mahasiswa sudah diresapi oleh dependency syndrome (sindrom kebergantungan) atau juga mereka mungkin malas untuk berwacana?

Terima kasih. Saya bersependapat. Sikap kerdil diri itu masih ada serta sikap takut-takut untuk membawa idea dan melahirkan pandangan itu memang hadir di kalangan pelajar. Jadi, kemungkinan besar mereka mengambil keputusan mencedok idea luar lalu dikembangkan kononnya untuk mengelakkan kesilapan.

Boleh jadi mereka anggap idea orang tua lebih matang,tidak mungkin tersilap atau kalau silap sekali pun, setidak-tidaknya ia adalah kesilapan kecil berbanding idea mereka sendiri yang mungkin wujud kesilapan besar. Lagi pula, kalau idea dan pendapat itu silap, maka setidak-tidaknya, idea itu bukan dari mereka tetapi idea orang luar. Boleh jadi juga.

Entahlah, kita cuma boleh teka pelbagai kemungkinan. Kita sendiri tidak dibekal dengan kuasa meneropong naluri manusia. Sekarang kita tertanya-tanya, mengapa orang suka mencemuh sikap mengitar semula idea orang lain? Adakah mencedok, meniru-niru idea yang baik itu adalah salah? Saya rasa, mem’plagiat’ idea orang lain jauh lebih serius masalahnya. Mengitar semula idea itu dinyatakan sumbernya dari siapa. Atau, kalau tidak dinyatakan sumber sekalipun, tetapi dengan kefahaman umum, akhirnya orang tahu yang ucapan kita itu dicedok daripada idea tokoh politik tertentu.

Di sana, ada sikap yang lebih bahaya serta tidak boleh kita kompromi dengannya. ‘Plagiat’ idea adalah suatu jenayah intelektual,apatah lagi jika dilakukan oleh mahasiswa. Dalam perkembangan kemajuan peradaban Barat, para sarjananya telah melakukan satu jenayah yang sangat serius. Mereka telah mem’plagiat’ idea para sarjana Muslim lalu hal itu didakwa sebagai hasil idea mereka sendiri sedangkan para sarjana Muslim mengambil sikap bertanggungjawab dalam menyebarkan ilmu pengetahuan. Sarjana Muslim dengan berdisiplin telah menyatakan sumber-sumber mereka daripada Yunani dan lain-lain.

Maka, hal yang utama di sini,setidak-tidaknya,meniru dengan menyatakan sumber idea adalah jauh lebih baik daripada ‘plagiat’ idea lalu dikatakan idea sendiri.Pelajar yang terbatas cara berfikirnya, insya Allah, akan meningkat matang juga dengan akibat meniru ini. Penulis muda yang cuba meniru lenggok dan gaya bahasa penulis yang veteran, insya Allah akan menemui lenggok bahasanya sendiri di kemudian hari. Demikianlah kebaikan meniru atau mengitar semula idea itu. Lagi pula, adalah baik jikalau meniru amalan yang baik dan sangatlah buruk jika kita meniru amalan dan pandangan yang buruk pula.

Lagipun, bukankah pelajar belajar dengan meniru-niru perbuatan orang lain?Qabil setelah membunuh Habil, telah mendapat ilmu tentang kaedah mengubur mayat daripada seekor gagak yang menanam bangkai seekor gagak lain; iaitu musuhnya. Maka, hukamak berpendapat, watak yang hina akan belajar sesuatu dengan meniru daripada watak yang hina juga seperti Qabil yang berdosa belajar daripada gagak yang hitam. Manakala watak yang baik akan menerima ajaran daripada watak yang baik pula. (al-Baqarah: 31)

Dalam konteks pelajar, kita akan meniru, mungkin mengitar idea dan teori orang lain terlebih dahulu sebelum akal kita matang sehingga boleh menimbang semula hakikat kebenaran teori orang lain. Lama-kelamaan, timbul pula rasa ingin mencabar setelah kita merasakan ada idea dan teori baru yang lebih baik dari pandangan lama itu.

Semua itu, adalah kemuliaan juga sebab kita belajar meniru daripada watak yang jauh lebih hebat keilmuannya dari kita seperti pensyarah dan cendekiawan universiti. Cuma, jika fikiran kita lebih maju ke depan kerana banyak melakukan kajian, membaca, berdebat dan lain-lain, maka hal itu menjadi ‘markah bonus’ terhadap kita kerana berjaya menimbulkan idea segar dan baru yang menyebabkan kita lebih terhormat.

Saya optimis, di masa hadapan, kita akan berjaya melahirkan generasi muda yang lebih segar pemikirannya daripada kita sendiri nanti. Namun, berjanjilah bahawa sekatan dan halangan yang ada mestilah dirempuh seperti yang wujud di zaman kita ini. Dan lagi, perkara yang melalaikan generasi masa depan seperti hiburan yang melampau ini perlu dikurangkan. Kita pula harus berjanji akan menghormati mereka yang akan lahir, kerana kita sendiri merasai betapa deritanya ketika segala memorandum kita dibakulsampahkan.

Ingatlah, bahawa antara sifat sejarah ialah ia akan sentiasa berulang. Pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz,ketika baginda sedang menerima laporan dari jajahan masing-masing, seorang wakil jajahan Hijaz (seorang budak) diarahkan berucap dahulu. Namun, memandangkan dia masih budak, Umar menegahnya agar menghormati yang lebih tua.

Lalu dia menjawab:“Ya Amirul Mukminin,insan dilihat dari dua perkara; hati dan lidah. Ketika Allah telah mengurniakan seseorang itu lidah yang petah dan hati yang arif, orang itu lebih berhak bersuara. Jika di pandang dari segi umur, ketahuilah hai Amirul Mukminin! Ada orang yang lebih berhak untuk duduk di atas takhta Paduka Tuan itu.”

Umar r.a. hairan melihat kefasihannya, lalu bertanya: “Berapa umurmu?” Jawab budak itu: “Sepuluh tahun”. Oleh itu, apakah yang menghalang kita menjadi wakil rakyat pada usia muda kita ini? Apakah wajar menolak Parlimen Mahasiswa dengan alasan yang pelajar tidak intelek, sedangkan sejarah telah membuktikan bahawa jajahan Hijaz pernah mewakilkan seorang budak? Kalau bukan di zaman kita ini, mungkin di era selepas kita akan hadir wakil-wakil mahasiswa yang mantap berhujah menerbitkan idea dan teori baru melalui Parlimen Mahasiswa. Semua itu boleh berlaku. Sejarah akan berulang.

Rasulullah bersabda, bahawa Allah amat menyenangi anak muda yang berfikiran seperti orang tua dan Allah amat membenci orang tua yang berfikiran seperti anak muda. Jika demikian, memang akan wujud anak muda yang berfikiran matang seperti orang tua. Jika tidak, mengapakah Baginda berkata demikian? Namun, jumlah mereka mungkinlah tidak ramai, satu dalam sejuta atau seratus tahun sekali baru berjumpa. Namun, pokoknya kita mestilah berusaha mencari mereka dan memberi ruang dan peluang kepada mereka secukupnya untuk memimpin umat di masa depan. Wallahu A’lam.

Ada yang berpendapat, idea, bakat dan imaginasi gerakan mahasiswa hanya dapat dilahirkan jika negara kita demokratik. Selagi ini belum diraih, selagi itulah minda aktivis mahasiswa tidak akan cerah ekoran kebebasan yang terhad. Anda setuju dengan pendapat ini? Mengapa?

Ada betulnya. Tapi, keadaan demokratik atau pun tidak, tidak menjamin idea serta bakat berkembang. Di sana, ada beberapa fenomena yang membuktikan, makin seseorang itu ditekan, semakin mereka bangkit melawan. Maknanya, keperitan hidup menyebabkan mereka teransang, lalu akal mereka bekerja keras memikirkan, kenapa penderitaan harus berlaku dan bagaimana cara menyelesaikan masalah sekeling mereka.

Di dalam krisis perang saudara di Liberia selama lebih 10 tahun, ramailah remaja berperang mengangkat senjata dan ketika ditanya oleh wartawan, kenapa ikut berperang? Mereka dapat menjawab satu persatu tentang kegawatan iklim politik negara yang tidak menentu di musim tengkujuh yang angkuh dan sentiasa berhujankan peluru.

Kita juga boleh meninjau anak-anak remaja Palestin yang lahir dari celah bingitan bom peledak Mossad Israel, telah bangkit bersama Hamas Intifadhah serta sudah khatam makna Jihad dan Syahid. Jika dibandingkan dengan gerakan pelajar yang lahir di negara-negara kaya, mereka lebih selesa dan ghairah berbicara tentang seks, hiburan, kehidupan mewah, gaya fesyen dan lain-lain topik yang remeh.

Mengulas mengenai hal ini, as-Syahid Imam Hasan al-Banna dalam ucapannya di hadapan ribuan mahasiswa telah berkata bahawa pemuda kini terbahagi dua. Pertamanya, pemuda yang lahir di dalam negara aman. Mereka lebih senang dan tidak ghairah dengan pemikiran berat seperti pemuda yang kedua – lahir dalam negara yang berkonflik.

Tapi, boleh jadi soalan itu merujuk kepada amalan politik dalam sesebuah negara. Demokratik atau tidak?Kalaulah difikirkan secara biasa, benar juga. Mungkin demokratik dihubungkan dengan suasana yang tiada sekatan, hukuman penjara untuk mengugut dan sebagainya. Oleh itu, pelajar dan khalayak tidak perlu menulis surat layang mendedahkan amalan rasuah orang tertentu, editor akhbar pula bebas melaporkan berita seorang demi seorang berpangkat ‘Datuk’ yang ditangkap kerana jenayah rasuah.

Tetapi, harapan tinggal harapan sekiranya generasi hari ini tidak merubah suasana yang tidak demokratik hari ini. Dengan contoh di atas, penulis tidak menyatakan, suasana tidak demokratik itu lebih baik, tapi cuma meminta agar kita memikirkan faktor lain yang menyebabkan pelajar cepat matang dan sedar.

Dalam mazhab pertama, kita merujuk konflik pelajar-penguasa. Demokratik akan menyebabkan lebih banyak debat terbuka. Tetapi, situasi ini lebih memihak kepada watak pencerahan. Watak ini telah sedar menerusi pembacaan, kesedaran yang lahir dalam diri, dorongan keluarga dan rakan seperjuangan yang ghairah berdebat mengenai idea.

Bagaimana dengan watak ‘kegelapan’ yang ketandusan dorongan di atas? Mereka tidak dilahirkan dalam keluarga yang menuangkan idea-idea segar. Rakan-rakan ghairah dengan seks, motor dan lain-lain daripada, agama, siasah,isu semasa dan lain-lain? Watak ‘kegelapan’ akan sedar saat jiwanya merantau ke negara yang wujud krisis kejiwaan dan politik yang parah, kemiskinan dan lainnya. Atau, seperti pandangan al-Banna, terserah takdir watak itu sendiri. Maknanya, jika watak pelajar itu lahir dalam iklim politik yang keruh. Watak ini menuju pencerahan dan cenderung ke arah usaha menjernihkan suasana.

Menunggu wujud kesedaran dalaman sangatlah mustahil bagi watak ini, tanpa ada momentum atau ‘chaos’ dalam diri. Jadi, mazhab kedua membahaskan; kesedaran pelajar itu hadir sebagai respon serta reaksi terhadap persekitaran serta bukannya reaksi terhadap ‘konflik terpinggir’; pelajar – penguasa yang bertarung idea mengenai demokrasi dan segala macam isu yang lain. Kecualilah, sampai ketikanya, dia terdedah dengan konflik terpinggir; pelajar – penguasa, maka dia akan terkelompok dalam mazhab pertama.

Saya katakan begini kerana, dalam realiti kehidupan universiti, ada ramai pelajar yang tidak peduli dengan permasalahan berat kerana ghairah ini hidup berfoya-foya. Oleh itu, jika situasi politik luar telah stabil (demokratik) sekalipun, kelazatan melahirkan idea dan menggilap bakat ini hanya dirasai oleh para pendokong mazhab pertama sahaja. Selebihnya yang terhimpun di dalam mazhab kedua, samada suasana demokratik atau pun tidak, memang langsung tidak memberi bekas terhadapnya. Akta Rahsia Rasmi, ISA, Auku dan lain-lain perundangan drakonian tidak dirasakan mengikat jiwa, merantai pemikiran dan membelenggu pergerakan mereka selama ini.

Pun begitu, bagi watak pencerahan dan sedar ini, adakah kita ini hanya menunggu ketibaan fajar demokratik, maka barulah kita meledakkan suara serta menggilap potensi? Saya tidak fikir itu satu langkah yang tepat. Dari itu, kita harus bekerjasama sedaya upaya dalam usaha menipiskan tembok keangkuhan autokrasi yang kian menebal setiap masa.

Apa yang pasti, usaha ‘pencerahan agung’ perlu diteruskan. Mendidik mahasiswa mazhab kedua dengan lemah lembut, sekali gus mendidik pemerintah supaya memahami, bahawa dalam apa jua keadaan sekalipun, kedaulatan rakyatlah yang patut dijulang.

Bagaimanakah gambaran gerakan mahasiswa ideal yang anda impi-impikan?

Saya impikan golongan mahasiswa berjiwa merdeka.Kerasnya kemahuan hati dan semangatnya. Degil dan tidak peduli dengan ancaman serta ugutan daripada sesiapa.Tapi, mereka bukannya berani melulu membuta tuli, tetapi mereka itu berani kerana bijaksana, kerana tindakannya dipandu hikmah. Ilmu itu tonggak utama garis perjuangannya.

Mereka tidak perlu petah berbicara, kerana Nabi Musa a.s diangkat sebagai rasul bukan kerana lidahnya, tetapi keberanian dan ilmunya, walau tidak sepetah bicara Harun, saudaranya. Oleh itu, umat ini bukannya dipimpin melalui akta dan kata-kata. Tapi ilmu. Yang memimpin itu tidak semestinya petah bicara. Memadai khalayak memahami apa yang dimaksudkannya. Di zaman kita, ramai yang petah berbicara, tapi isinya kosong tidak membawa apa-apa makna dan pembaharuan.

Tapi jiwa yang kuat, keberanian yang luarbiasa tatkala berdepan dengan penguasa berwatak Firaun.Kental semangat walau dipenjara kerana mungkin menjadi korban fitnah seperti Yusuf dan dengan izin Allah mampu pula menolak ajakan godaan wanita. Dia rela menyabung nyawa seperti Ismail a.s yang menyerah dirinya untuk dijadikan korban.

Mereka memahami; sunnatullah menunjukkan bahawa reformasi serta revolusi di dalam mana-mana bangsa dan peradaban bukan berlaku dalam masa yang singkat. Hal ini memerlukan kefahaman rakyat. Kesedaran perlu dikembang dengan siri penerangan yang baik, tazkirah tersusun dan penulisan berkesan kerana dunia ini dicipta Tuhan, memakan masa ribuan tahun enam masa. (7:54), (10:3), (25:59), (32:4), (50:38), (57:4).

Ambillah pula, contoh ketika roh Adam ingin memasuki jasadnya beberapa tahun lamanya. Dan kiaskanlah bagaimana kita mahu memasukkan roh kefahaman al-Qur’an di dalam jiwa. Namun yang paling getir, kalau kita sendiri yang tidak memahami al-Qur’an. Yang demikian itulah selemah-lemah pergerakan.

Jika mahasiswa itu bergelar pimpinan, dia tidak sesekali meninggi diri, sebaliknya dia bersikap lemah lembut dengan sahabat-sahabatnya, orang bawahannya walaupun ada pergeseran pendapat kadangkala. Mereka mendidik rakyat bukan dengan paksaan, emosi keterlaluan dan tidak terkawal, jeritan atau cemuhan kepada orang yang tidak terpaut pada idea mereka. Sebaliknya mahasiswa itu berlemah-lembut dengan mereka.

“Maka oleh kerana rahmat dari Allah (kepadamu hai Muhammad),engkau berlemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.” (Ali Imran: 159)

Tetapi, sekali-sekala, apabila perlu, mereka berani pula mencabar ego pemimpin universiti dan penguasa negeri yang egonya melonjak tinggi. Namun, kalau ego penguasa pudar, lekas-lekas pula mereka meminggir.Jelasnya, mereka menggunakan keegoan cuma ketika berdepan dengan penguasa dan pemimpin universiti yang ego.

Kita tidak mahu mahasiswa yang bersifat garang sesama mereka tetapi takut pula dengan orang atasan. Yang kita inginkan ialah mahasiswa yang berlemah-lembut sesama ‘seteru’ mereka di kalangan mahasiswa dan orang bawahan, tapi tegas kepada pimpinan.

Di dalam adab berseteru dan adat bermusuh, perseteruan itu mestilah di atas nama akademik dan bukannya politik kepartian yang sempit. Jika menang di dalam pilihan raya yang kalah tidak akan rasa terhina kerana yang menang tidak mengejek pihak yang kalah. Hinggakan yang kalah akan berkata, “memang patut kita kalah kepada mereka, siapa pun yang bertempur dengan mereka pasti berpuas hati dengan kekalahan mereka sendiri.”

Seumpama peristiwa ‘Pembukaan Makkah’, pahlawan Islam masuk ke kampung mereka semula tanpa sebarang pertumpahan darah dan bibir mereka hanya mengucapkan tasbih dan tahmid. Tiada ejekan kaum Muslimin ke atas kaum Musyrikin ketika itu.

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (berjaya menguasai negeri Makkah), -Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, – Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (an-Nas’: 1 – 3)

Dua kelompok yang lama berseteru ini mungkin boleh meningkatkan kerjasama dalam beberapa hal. Seperti isu membanteras rasuah dan penyelewengan di dalam negara dan unit-unit, kolej, desasiswa, jabatan serta fakulti tertentu dalam konteks universiti.Ada banyak hal lagi yang boleh kita mantapkan kerjasama.

Kalakian, yang menulis itu bukanlah yang terbaik daripada yang membaca tulisan ini. Tapi, yang menulis ini adalah sikit bercita-cita, menaruh harapan untuk pergi ke arah itu. Dan kita optimis, watak ini akan tiba suatu masa nanti. Kalau ada berjumpa dengan mereka, kembalikan kepada kita. Mungkin bolehlah kita melatihkan diri berbicara dengan mereka atau mungkin sampai ke satu tahap, kita berguru pula kepada mereka.

Syahadan, universiti telah melahirkan seribu watak MPP, tapi mereka belum tentu bergelar pemimpin mahasiswa yang sejati. Negara kita hanya melahirkan menteri-menteri YB-YB dan Datuk-datuk Seri. Mereka belum tentu lagi pemimpin hakiki. Kerana mereka bukan memimpin umat ini dengan hati –– akal fikiran sendiri melainkan dengan ‘tangan-tangan ghaib’ yang merosakkan umat. Pemimpin sejati memimpin dengan hati ketika dia berjaya memimpin hatinya sendiri.

Kalakian, dalam tubuh anak Adam itu ada sepotong daging. Kalau baik daging itu maka baiklah seluruh anggota. Kalau buruk, maka buruklah seluruh anggota. Ketahuilah, daging itu ialah ‘hati’. Dan di dalam tubuh universiti ada sebuah jabatan. Jikalau baiklah jabatan itu, maka amanlah seluruh warga universiti itu. Jikalau buruk, maka huru-haralah universiti. Ketahuilah, jabatan itu ialah HEP.

Dalam hal ini, kita terpaksa menoleh ke arah realiti. Jika HEP memang memegang watak politik kepartian, maka, dalam pandangan kita, tiada lagilah ideal di sini. Haruslah sama-sama mahasiswa berhaluan kanan dan kiri menonjolkan watak kepartian juga.Kalau guru kencing berdiri, maka apa salahnya murid kencing berlari?

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: