jump to navigation

Bahkan malaikat pun bertanya Mac 28, 2006

Posted by ummahonline in Telaah Buku.
trackback

Oleh: Jalaluddin RakhmatPengarang: Jeffrey Lang
Buku: Bahkan Malaikat pun Bertanya
Terbitan: Serambi, 2002
Halaman: 320
ISBN: 979-3335-06-8

Sore itu, di sebuah restoran hotel berbintang, saya berkumpul dengan sekelompok muslimah. Sambil makan tengahari, kami merencanakan sebuah seminar antarabangsa di Jakarta. “Subhannalah sekali, ya, kita boleh berkumpul sekarang ini,” kata perempuan paling muda di situ. Insya Allah, kita akan mengundang syaikh kita. Masya Allah, beliau bersedia datang ke Indonesia.” Kemudian, perempuan muda itu seterusnya sentiasa memasukkan setiap ungkapan bahasa Arab dalam setiap kalimatnya.

Saya segera menyela dengan menanyakan, apakah ia pengikut ustadh si fulan. Saya mengenal ustadhnya itu sebagai orang yang sangat saleh. Kesalehan itu ditampakkan dengan banyak memasukkan zikir dalam pembicaraan. Jika anda datang ke pesantrennya, anda akan menemukan papan tanda semacam, “Kedai 100 meter lagi, insya Allah,” “Alhamdulillah, ini ruang makan,” atau “Allahu Akbar, ini mushalla.” (Kalimatnya tentu saja tidak persis seperti itu kerana saya mengubahnya hanya supaya pesantren itu mudah-mudahan tidak dikenali). Ustadhnya sendiri memakai pakaian Arab – jubah dan serban. Jika anda agak dekat dengan beliau, anda akan mencium minyak kesturi, asli dibeli dari Madinah. Satu botol kecil minyak itu pernah diberikannya kepada saya. Bila saya memakai wangiannya itu, keluarga saya segera mendengus sambil berkata, “Bau Arab!”

“Kesalehan” perempuan itu dan ustadhnya mengingatkan saya kepada serangan kawan saya: “Aku tidak mau mengikuti kamu, kerana agama kamu itu agama Arab. Mungkin lebih baik bagiku ikut Kristian saja.” Saya menjelaskan kepadanya bahawa Islam itu agama universal, melintasi ruang dan waktu. “Omong kosong,” kata dia, “buktinya kamu harus sembahyang dengan bahasa Arab. Dalam Kristian, kami membaca Alkitab dalam bahasa Indonesia, dan sembahyang dengan menggunakan bahasa Indonesia.”

Untunglah waktu itu dan sampai sekarang, walaupun saya sudah diberi gelar kiai, saya tidak pernah memakai jubah atau serban yang dirancang menurut gaya Arab. Saya tegaskan bahawa bahasa Arab itu hanya dipergunakan untuk membaca Al-Quran dan doa-doa yang standard dalam salat. Untuk menyampaikan doa sendiri, baik di dalam mahupun di luar salat, kita boleh menggunakan bahasa Indonesia. Sambil sedikit menyerang balik, saya juga menyebut kebiasaan orang Katolik untuk menyampaikan doa-doa baku mereka dengan bahasa Latin atau para mahasiswa mereka yang menyanyikan lagu Godiamus Igitur dengan menggunakan bahasa Latin.

Sekiranya saya berdebat lagi dengan teman itu sekarang, saya mungkin tidak berkutik. Ia akan menyebut perempuan muda itu (maaf, saya berulangkali menyebutnya kerana kekaguman saya) dan berbagai contoh Islamisasi yang berbentuk Arabisasi: Protes kepada Gus Dur kerana mau mengganti assalamu ‘alaikum dengan selamat pagi. Bank Islam yang mengganti istilah-istilah perbankan dari bahasa Inggeris ke bahasa Arab. Hotel yang disebut Islami kerana memasang kaligrafi Arab di setiap ruangan. organisasi yang disebut Islami kerana menyebut anggaran dasar dengan Qanun Asasi. Sebuah buku Islam yang dikritik kerana tidak ada tulisan Arab di dalamnya. Pesta pernikahan yang memisahkan tetamu lelaki dari tetamu perempuan. Lasykar Jihad yang berada dimana-mana dengan jubah putih dan serban. Keharusan berwajah Arab dan berjanggut. Perempuan yang menutup seluruh mukanya (empat contoh terakhir ini tidak berkaitan dengan penggunaan bahasa Arab, tetapi merujuk pada kebudayaan Arab).

Betulkah kita harus menjadi orang Arab untuk menjadi Muslim yang baik? Betulkah nama apa pun sebaiknya harus diganti dengan nama Arab, bila kita masuk Islam atau naik haji? Inilah pertanyaan yang mengusik Dr. Jeffrey Lang (seorang mualaf yang menulis buku Even Angels Ask tentang pengalamannya sebagai muslim di Amerika) ketika ia masuk Islam. Ia memutuskan untuk tidak mengganti namanya, seperti Cassius Clay yang menjadi Muhammad Ali. Ia juga tidak melepaskan kot dan kemejanya untuk diganti dengan jubah dan serban seperti Cat Stevens, yang mengganti namanya menjadi Yusuf Islam. Ia juga pernah berusaha menggunakan thank God sebagai pengganti alhamdulillah dalam percakapan ringan di sebuah Islamic Center. Saya akan mengutip satu bahagian dari buku Dr. Lang untuk anda:-

At the Islamic Center one evening, I was greeted by an American Muslim who asked me how things were going. “Very well, thank God. And how are you?” I responded.

“Alhamdulillah!” (All praise belongs to God) he answered. “And how are you?” he asked again.

“Fine, thank God!” I repeated.

He looked dissatisfied and a few seconds later repeated his question, and I repeated my answer. Another few conversation, and then the same question and answer. I realized he would not give up until he received a satisafactory reply. I held on a little longer but finally gave him the answer he wanted: “Alhamdulillah, “I sighed.

With an approving look on his face he nodded, “Alhamdulillah.”

Banyak orang Islam memang merasa belum puas kalau belum menggunakan kata-kata seru –interjections– dalam bahasa Arab. Dengan jenaka, Dr. Lang menceritakan kawannya, yang tertarik dengan Islam. Supaya diterima penuh dalam masyarakat Islam, kawannya itu sudah menemukan kuncinya: “Pakai kopiah, pelihara janggut panjang, katakan alhamdulillah, masya Allah, assalamu’alaikum, jazakallahu khayran dalam situasi yang tepat.” Kawannya yang lain, yang sudah masuk Islam, berkomentar bahawa orang Islam itu tampaknya menduga Tuhan hanya mengerti bahasa Arab.

Kesan bahawa Islam itu agama orang Arab adalah salah satu di antara stereotype yang popular di Barat. Kita menyebutnya stereotype, kerana kesan itu terus bertahan walaupun “kajian membuktikan” bahawa lebih dari 85 peratus umat Islam itu bukan Arab. Kerana itu, tidak mengherankan jika para mualaf umumnya, termasuk Dr. Lang dan kawan-kawannya menangkap kesan itu.

Lapan tahun setelah masuk Islam, Dr. Lang membawa semua keluarganya pergi hijrah ke Arab Saudi. Ia ingin menikmati Islam dalam lindungan negara Islam, the land of the Prophet! Lapan tahun ia hidup bersama komuniti Islam dalam lingkungan budaya Amerika. Ia tertarik kepada Islam bukan kerana perilaku orang Islam di Amerika. “My only Muslim contacts for many years were drug users, adulterers, and gamblers” tulis Dr. Lang. Selama lapan tahun ia telah menyaksikan bagaimana Muslim yang saleh saling mendengki, saling memaki, dan saling memfitnah. Dengan sedih ia harus menyaksikan kawannya, seorang Muslim mualaf juga, yang akhirnya pindah ke agama Buddha, kerana dalam agama Buddha ia menemukan pemeluk agama yang mempraktikkan apa yang diajarkan agamanya. Dengan kecewa ia harus melihat di depan matanya bagaimana orang-orang Islam yang saleh itu menjual –Dr. Lang menggunakan kata “melacurkan”– agamanya untuk tujuan-tujuan duniawi (hal yang tidak aneh di negeri kita dan juga di negeri-negeri Islam yang lain).

Ia melakukan hijrah ke Arab Saudi bukan untuk menemukan masyarakat Islam yang sebenar-benarnya. Ia tahu keadaan masyarakat Islam seperti yang dipelajarinya dalam pengalaman hidupnya sebagai Muslim. Ia pergi ke negeri Rasulullah untuk menemukan kedamaian dan ketenteraman dalam menjalankan ajaran Islam. Ia ingin menjalankan salat berjamaah, salat Jumah, puasa Ramadan dan menikmati hari istimewa dalam Islam bersama saudara-saudaranya kaum muslimin. Tetapi, setahun kemudian, ia terbang kembali, pulang ke kampung halamannya, ke Universiti Kansas. Ia menyedari bahawa “there was no escape for being American.” Kerana alasan yang tidak boleh difahaminya, Arab Saudi telah mencekiknya secara ruhaniah:

“Di negeri yang menyaksikan kebangkitan Nabi Muhammad, yang mengandung dua kota Islam yang paling suci dan Ka’bah yang menjadi arah salat saya, negeri yang didominasi oleh kaum muslimin, dan tanah air bagi kebudayaan yang dipenuhi agama, saya merasa beku secara spiritual, tanpa harapan sama sekali. Di Arab Saudi, Islam berhenti sebagai kekuatan untuk perkembangan kepribadian, dan iman saya segera kehilangan daya hidupnya. Bukan kerana negeri itu kekurangan orang-orang saleh dan beragama –sebaliknya, saya banyak berjumpa dengan kaum Muslimin yang ihklas dan taat di sana– tetapi dalam pandanganku, gerakan Islam di kerajaan Arab Saudi diarahkan menuju masa lalu yang diidealisasikan. Saya tidak boleh menjadi bahagian daripadanya; sesuatu pemahaman agama yang didasarkan pada penafsiran Islam, yang secara cepat kehilangan kepercayaanku.”

Dr. Lang ingin meninggalkan watak keamerikaannya dan menjadi Muslim. Ia gagal. Tetapi ia berhasil menemukan pencerahan baru. No escape for being American. Ia tidak perlu lari dari keamerikaannya. Menjadi Islam tidak bererti harus menanggalkan semua latar belakang budaya kita. Islam tidak pernah datang pada suatu budaya vakuum. Kerana itu, kita menemukan Islam Arab, Islam Iran, Islam India, Islam Cina, Islam Indonesia. Mengapa tidak boleh ada Islam Amerika?

Sebelum Dr. Lang sampai ke situ, di benua Eropah seorang mantan Komunis yang menjadi Muslim, Dr. Roger Garaudy menegaskan bahawa ada hambatan besar bagi kaum muslimin untuk mengembangkan ijtihad: keterikatan kepada masa lalu dan taklid kepada Barat. Yang pertama melihat masa lalu sebagai rujukan ideal. Pemikiran Islam terdahulu, hasil ijtihad orang-orang Islam ratusan tahun yang lalu dianggap begitu sakral sehingga sebahagian kaum Muslim dengan bangga menyebut dirinya Salafi (secara harafiah berarti merujuk kepada yang terdahulu, masa lalu, masa yang sudah lewat. Menurut kamus, salafa bererti to be over, be past, be bygone, precede, antecede). Kerana ratusan tahun pertama sejarah Islam bergabung dengan sejarah Arab, maka Islam masa lalu berjalin erat dengan kearaban. Dari sinilah muncul anggapan bahawa menjadi Muslim adalah menjadi orang Arab. Mereka tidak boleh memisahkan antara kebudayaan Arab dengan ajaran Islam. Islam yang melintas ruang dan waktu sekarang dibatasi pada ruang Arab dan waktu yang lalu.

Dr. Lang pernah ditegur oleh orang Maghribi kerana tidak berpakaian yang sesuai dengan Sunnah. Pakaian yang menurut “Sunnah” itu mestilah jalabiyah gaya orang Maghribi. Ia mengingatkan kawannya bahawa bahkan pakaian yang dikenakan oleh orang Saudi sekarang tidak sama dengan pakaian Hijaz abad keenam, pada zaman Rasulullah. Saya teringat kepada jenis-jenis busana Muslim sekarang ini. Menurut kawan saya dari Jemaat Tabligh, yang di situ Lang pernah menjadi salah seorang anggotanya, pakaian Islam bagi lelaki itu adalah pakaian orang India (Pakistan); yakni, kemeja yang memanjang sampai ke atas lutut. Bagi kebanyakan orang Indonesia, busana Muslim untuk salat dan acara keislaman adalah bajunya yang tersendiri. Bagi saudara saya dari Lasykar Jihad, pakaian Islami adalah pakaian orang Arab Selatan. Bagi saudara saya yang lain, yang terpengaruh Syiah, busana Muslim adalah apa yang dipakai oleh para mullah di Iran. Maka jika begitu tidak hairan sekiranya Dr. Jeffrey Lang mengusulkan agar busana Muslim bagi orang Barat ialah pakaian lengkap, dengan kemeja dan kot.

Tapi, jika kita menerima usulan Lang, tidakkah kita jatuh pada hambatan besar kedua: mengekori Barat? Memang, di samping kaum “fundamentalis” yang mengekori kebudayaan Arab, kita menemukan juga kaum “liberal” yang mengekori Barat. Kelompok ini melihat Barat sebagai puncak peradaban. Mereka kemudian membungkus kebudayaan Barat dengan kemasan Islam. Saya pernah mendengar seorang pendakwah –yang sekaligus doktor lulusan Amerika– bercerita di depan saya bahawa di Amerika Islamnya banyak tetapi Muslimnya sedikit; manakala di Arab Saudi, Muslimnya banyak tapi Islamnya sedikit. Dari pemujaan kepada Barat yang berlebihan tidak jarang sebahagian di antara mereka meninggalkan sebahagian syariat, yang dianggapnya bukan ajaran Islam. Kelompok kedua ini juga jatuh pada perangkap kelompok pertama: tidak dapat memisahkan antara kebudayaan Arab dan ajaran Islam.

Agar tidak jatuh kepada perangkap-perangkap itu, Dr. Lang menganjurkan agar kita tetap mengembangkan sikap kritis. Ia menulis, “The most effective way to counter either danger is not to discourage questioning and criticism, but, on the contrary, the Muslim community should encourage both. We are most prone to error when we refuse to be self-critical.” Kita harus selau bertanya dan mempertanyakan. Even Angels Ask, bahkan malaikat pun bertanya! Lihatlah, bagaimana malaikat yang sangat dekat dengan Tuhan “berani” mempertanyakan kebijaksanaan Tuhan untuk menunjuk khalifah di muka bumi: Apakah Engkau akan jadikan di sana makhluk yang berbuat kerosakan dan menumpahkan darah (QS. Al-Baqarah: 30).

Pertanyaan malaikat inilah yang sangat mengesankan Dr. Jeffrey Lang. Ini juga yang membawanya kepada Islam. Jika ia ditanya mengapa masuk Islam, jawabannya singkat saja: Al-Quran. Bacalah Al-Quran dengan terus bertanya. Dari buku Even Angels Ask, Dr. Lang menunjukkan bagaimana setiap pertanyaan yang mengusik dia dijawab oleh rangkaian ayat-ayat Al-Quran satu demi satu. Membaca Al-Quran menjadi dialog ruhani yang menyejukkan.

Pada akhir bukunya tersebut, Dr. Lang menyarankan agar Islam Amerika harus menciptakan iklim intelektual yang mendukung penelitian kritis. Ia menyaksikan pada masyarakat Muslim di Amerika ada keengganan untuk menerima kritik satu sama lain. Mereka cenderung saling menuduh dengan tuduhan kafir atau bid’ah. Di antara sesama muslim disebarkan desas-desus dan fitnah, berita dusta, dan umpatan. Seorang mualaf baru, kawan Lang pernah berkata kepadanya, bahawa hiburan favorite orang Islam adalah mengumpat dan menyebarkan fitnah.

Membaca buku Even Angels Ask ini dari awal sampai akhir adalah mengikuti perjalananan spiritual bukan saja seorang muslim Amerika tetapi juga perjalanan intelektual muslim di mana pun, ketika ia dihadapkan pada kegelisahan kerana benturan Islam konseptual dengan Islam aktual. Dr. Lang menulis buku ini untuk anaknya. Ia sudah menjawab beberapa pertanyaan yang mengganggunya. Ia ingin agar anaknya melanjutkan penelitian kritis ini dengan berpijak pada hasil kajian kritisnya.

Apa saja yang sudah ia pertanyakan dan sudah ia temukan jawabannya? Secara singkat, ia mengajukan pertanyaan-pertanyaan berikut ini: Betulkah menjadi muslim bererti menjadi Arab? Betulkah setiap Muslim harus berjuang mendirikan negara Islam, kalau perlu dengan menghancurkan negara Amerika? Betulkah Islam agama yang misogynist –yang membenci perempuan? Bagaimanakah strategi dakwah Islam di Barat, agar kita menarik non-Muslim ke pangkuan Islam dan sekaligus mempertahankan putera-puteri Islam dalam pangkuan Islam? Seluruh buku ini menjawab pertanyaan itu dengan jawaban yang sangat menakjubkan. Ia menulis dengan sangat persuasif. Ia meyakinkan kita tidak saja dengan argumentasi yang logik dan tidak terbantahkan, bukan hanya dengan dalil akli dan nakli. Ia juga menyentuh emosi kita dengan kisah-kisah yang terkadang jenaka, terkadang mengharukan.

Seperti Dr. Murad Hofmann, muslim Jerman yang menulis Islam the Alternative, saya juga ingin menekankan anjuran Lang agar kita tidak bersandar secara membuta pada masa lalu kita, tidak mendogmakan pendapat, kecuali kalau kita ingin jatuh pada atrophy dan kehancuran. Dengan latar belakang budaya kita masing-masing, marilah kita kembangkan Islam yang kontekstual, Islam yang tumbuh subur pada tanah mana pun. Bukan hanya Islam Arab, tetapi juga Islam Amerika, Islam India, dan tentu saja Islam Indonesia.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: