jump to navigation

Islam Progresif April 2, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Muhamad Faisal AshaariTarikh 18 Mac 2005 merupakan tarikh yang bersejarah bagi umat Islam sedunia kerana pada tarikh ini, terdapat seorang wanita yang menganjurkan Solat Jumaat di sebuah gereja yang diimami sendiri oleh beliau setelah permintaannya untuk diadakan di masjid ditolak. Beliau yang merupakan seorang penolong profesor di Virginia Commonwealth University, USA turut menyampaikan khutbah sebelum solat Jumaat itu.

Dalam sejarah Islam, tiada seorang pun wanita yang menjadi imam kepada lelaki dalam solat Jumaat dan tiada pula yang menuntut hak sebagai imam kepada orang lelaki. Ini kerana umum menyedari bahawa imam bukanlah suatu hak tetapi merupakan tanggungjawab kepada lelaki. Namun bagi Wadud, ia merupakan suatu hak yang tidak pernah dituntut oleh wanita sebelum ini dan tiada pula nas yang melarang wanita menjadi imam. Para ulama seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi telah mengutuk tindakan beliau dan telah mengeluarkan berbagai hujah menolak pandangan Wadud yang songsang itu. Peristiwa bersejarah yang memalukan ini merupakan salah satu daripada pemikiran Islam Progresif yang sangat bercelaru pada masa ini. 

Islam Progresif merupakan produk baru kepada Modernisme abad ke 21 dan saudara kembar kepada Islam Liberal yang terkenal di Indonesia. Sebagai mana Islam Liberal di Indonesia berani mengeluarkan idea yang sangat bercanggah dengan prinsip Islam, begitulah juga dengan Islam Progresif atas nama hak asasi manusia, demokrasi dan kesamarataan gender. Kemunculan Islam Progresif ini sungguh berbahaya kerana gerakan ini bersifat rasional dan mampu menarik mereka yang tidak mempunyai asas agama yang kuat. Tambahan pula ia berkonsepkan pendekatan lebih mesra kepada kemajuan dan kemodenan yang sangat diidamkan pada masa kini. Penulis tidak menolak keperluan kita kepada kemajuan, tetapi apa yang penting ialah kemajuan yang tidak bercanggah dengan thawabit (prinsip yang tidak boleh berubah) yang terdapat dalam Islam.

Asal usul Islam Progresif

Dari sudut literalnya, Islam progresif bermaksud Islam maju dan Wikipedia Free Ensiklopedia menterjemahkannya kepada al-Islam al-Mutaqaddimah dan al-Islam al-ijtihadiyyah. [1] Dari sudut literal ini, kita dapati gerakan ini merupakan gerakan yang cuba memberi tafsiran baru kepada Islam agar ia lebih sesuai dan selesa dengan tuntutan kemajuan dan kemodenan zaman kini.

Penggunaan perkataan Islam yang dikaitkan dengan progresif ini dikatakan bermula pada 1983 apabila Suroosh Irfani cuba mempopularkannya dalam tulisannya yang berjudul Revolutionary Islam in Iran – Popular Liberation or Religious Dictatorship ?. [2] Beliau mengatakan bahawa perkataan progresif telah digunakan oleh aliran puak kiri seperti Sir Sayyid Ahmad Khan dan Jamaludin al-Afghani. Beliau telah menyebut:-

… [the] progressive Islamic movement is anti-imperialist, and in the economic domain, its opposition to capitalism and the exploitative system on which capitalism rests is unequivocal. It believes that Islam as an ideology can mobilize the Muslim masses by its appeal to social justice and the challenge it poses to the status quo. [3]

Idea-idea ini telah dikembangkan dan dibangunkan pada lewat 1980an bermula di Southern California melalui perbincangan dan diskusi melibatkan ahli akademik dari pelbagai disiplin bermula dari mereka yang mendapat didikan agama dan yang mendapat pendidikan sekular. [4] Penyertaan dalam perbincangan ini mula mendapat sambutan di kalangan aktivis sosial terutamanya yang tidak mendapat tempat dalam negaranya sendiri. Mereka berusaha mewujudkan jaringan sesama mereka dan saling memberi input dan idea antara satu sama lain. Perbincangan ini bergerak atas tema menentang ketidakadilan dan memperjuangkan demokrasi dan kebebasan hak asasi manusia. Pembenihan idea ini akhirnya mewujudkan gerakan secara organisasi seperti Sister in Islam (SIS) di Malaysia pada 1988.

Jaringan ini dilebarkan dalam satu jaringan utama yang dinamakan Progressive Muslim Network (PMN) yang berjaya dibentuk secara rasmi pada 1 Januari 1999. Progressive Muslim Network melalui webnya menyatakan: –

“Progressive Muslims Network was born on January 1st of 1999 as an e-mail discussion group. Its creation was the result of months, even years of discussion and debate among some of the activists of different Muslim communities in Toronto (Canada) regarding the issues of their communities and the need for a forum to discuss, decide and eventually act upon such obstacles.” [5]

Kini (Mei 2005) kita mendapati jaringan ini telah berjaya mengumpulkan 143 kumpulan yang melibatkan ahli seramai 1,349 orang dari 22 negara yang kebanyakannya dari AS dan UK. [6] Kumpulan yang teramai ialah dari New York iaitu 259 ahli dan penyertaan mendapat sambutan hangat sejak peristiwa 11 September 2001.

Peristiwa 11 September dan Islam Progresif

Peristiwa 11 September 2001 telah memberikan kesan yang besar kepada umat Islam khususnya yang berada di barat. Pihak kerajaan khususnya AS telah melaksanakan pelbagai polisi dan dasar yang menyempitkan aktiviti orang Islam yang akhirnya menyusahkan mereka. Pihak media pula berperanan membentuk mentaliti masyarakat dunia agar menerima sinonim orang Islam dengan keganasan. Selepas peristiwa itu, gerakan orang Islam khususnya di negara barat dikawal kerana kerajaan AS secara terang menuduh tanpa bukti yang sah bahawa orang Islam terlibat merancang serangan itu.

Dari sudut dasar luar pula, AS telah menjalankan dasar masuk campur hal ehwal dalaman negara luar dengan alasan menentang keganasan. Mereka telah melakukan pelbagai tekanan terutamanya kepada negara Islam agar menghapuskan mana-mana gerakan yang hanya disyaki ada hubungan dengan al-Qaeda sungguh pun tiada bukti yang sah. Lebih malang apa yang berlaku di Afghanistan apabila AS bertindak menyerangnya dan akhirnya negara Afghanistan hancur. Begitu juga yang berlaku di Iraq, dengan alasan yang sama AS bertindak menjatuhkan kerajaan Saddam Hussain dan akhirnya menghancurkan negara itu. Sehingga kini (Mei 2005) pembunuhan masih lagi berlaku dan kerajaan yang stabil masih lagi gagal dibentuk.

Pelbagai ulasan dan pandangan bagaimana peristiwa ini berlaku. Salah satunya ialah pendapat yang tidak menolak kemungkinan peristiwa ini berlaku hasil dari perancangan teliti yang dilakukan oleh orang Yahudi untuk menghancurkan Islam. Ini kerana sehingga kini (Mei 2005), Osama bin Laden masih tidak lagi ditemui dan mengaitkan peristiwa ini dengan umat Islam tanpa bukti yang kukuh. Terdapat juga berita yang mengatakan bahawa orang Yahudi yang berurusan di World Trade Center itu semuanya selamat apabila mereka tidak berada dalam kejadian itu. Walau apa pun, tiada suatu jawapan yang tuntas yang boleh disahkan oleh semua pihak.

Apa pun, 11 September merupakan pengesahan terhadap tesis yang dikemukakan oleh P Samuel Huntington yang mengatakan bahawa selepas kejatuhan blok komunis pada 1992, terdapat ancaman baru kepada tamadun barat iaitu tamadun Islam. Menurutnya pertembungan antara kedua tamadun ini tidak dapat dielakkan kerana pertembungannya adalah mendasar sama sekali. [7] Tamadun lain seperti Cina, India dan Jepun tidak diramalkan oleh beliau akan berlaku pertembungan kerana perbezaan antara tamadun tersebut tidak mendasar. Ramai yang kurang selesa dengan kenyataan ini dan berpandangan bahawa itu hanyalah silang budaya sahaja. Mereka telah mengambil tindakan berhati-hati agar pertembungan ini tidak menjadi kenyataan.

Bagi Islam, perkara ini jelas kerana firman Allah Maksudnya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). [8]

Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya: Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendta-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong. [9]

Tulisan Huntington ini yang berjudul The Clash of Civilization pada 1994 telah menyebabkan orang Islam mewar-warkan prinsip kesederhanaan Islam (wasatiyyah) atau moderation. Namun, perkataan moderate atau wasatiah itu sendiri mempunyai kepelbagaian dalam pentafsirannya dan tiada kesatuan dalam definisinya terutamanya antara barat dan Islam. Bagi media barat seorang yang moderate itu ialah orang yang sama ada memiliki kecenderungan politik ala barat atau bersifat kritikal terhadap dirinya sendiri. Ia turut menggambarkan bentuk Islam yang lembut dan kesediaan untuk hidup secara bersama dengan masyarakat bukan Islam yang lain. [10]

Bagi AS dan sekutunya, perkataan moderate digunakan untuk orang Islam yang pro mereka dan bagi yang bersifat ekstrem digambarkan dengan fundamentalis. Mereka meminjam istilah yang digunakan dalam agama Kristian. Umat Islam sangat tidak puas hati dengan petunjuk ini kerana seorang Islam yang sebenarnya ialah seorang yang moderate dan sekali gus fundamentalis. Ini berasaskan kepada firman Allah:-

Maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia. [11]

Ayat ini menjelaskan matlamat hidup kita ialah kejayaan hidup di akhirat dan dunia ini sekadar bekalan. Dengan kata lain “cari akhirat jangan sampai lupa dunia” bukan “cari dunia jangan sampai lupa akhirat”. Dalam masa yang sama, kita perlu menunjukkan kecemerlangan dan kualiti hidup di atas dunia ini agar semua umat selesa dengan Islam kerana Islam itu merupakan agama yang membawa rahmat ke sekalian alam.

Konsep Islam yang sederhana terus diperkenalkan berdasarkan kepada ayat dalam Surah al-Baqarah. Di Malaysia sendiri, ia telah dimasukkan dalam silibus Pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) [12] . Di Insitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mereka menggunakan pendekatan silibus subjek umum bagi menjelaskan konsep ini. Pernah pada tahun 1998, Dr. Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia (kini bekas Perdana Menteri dan diberi gelaran Tun Dr. Mahathir) memberikan ucapan khas tentang kesederhanaan menurut Islam. [13]

Apabila 11 September berlaku, umat Islam dicop sebagai pengganas dan AS sebagai polis dunia telah menjadikannya sebagai pasport untuk melakukan apa sahaja kepada umat Islam khususnya yang berada di AS. Umat Islam telah menafikan sekeras-kerasnya kaitan Islam dengan keganasan. Akhirnya, keadaan ini telah melahirkan kecenderungan untuk mentafsirkan Islam yang lebih mesra dengan barat. Kalau dahulu, perkataan moderate sangat popular namun kini perkataan progresif menjadi sebutan kerana spektrumnya lebih luas daripada moderate. Ini kerana konotasi perkataan progresif meliputi usaha menjadi sebuah negara maju dan bersifat terbuka dengan mana-mana peradaban dan tamadun. Justeru, 11 September membantu mempopularkan lagi gagasan Islam progresif.

Catatan Kaki:

[1] http://en.wikipedia.org (16 May 2005)

[2] Farid Esack, In Search of Progressive Islam Beyond 9/11, dlm. Omid Safi (Pnyt.). Progressive Muslims: On Justice, Gender, and Pluralism, One Wolrd Publication, Oxford, 2005, hlm. 79-82. Sila lihat juga http://ihsan-net.blogspot.com (17 May 2005)

[3] Sorush Irfani, Revolutionary Islam in Iran – Popular Liberation or Religious Dictatorship, Zed, London, 1983.

[4] http://www.muslimwakeup.com (17 May 2005)

[5] http://progressivemuslims.8m.com (16 May 2005)

[6] http://progmuslim.meetup.com (17 May 2005)

[7] P. Samuel Huntington, The Clash of Civilization, The World Affair.

[8] Surah al-Baqarah, 2: 120.

[9] Surah al-Maidah, 5: 82.

[10] Muqtedar Khan, Who are moderate Muslim? http://www.ijtihad.org (17 May 2005)

[11] Surah al-Qasas 28: 77.

[12] Silibus Pengajian Tinggi LAN.

[13] Sila lihat teks penuh ucapannya dalam http://eppublic1.pmo.gov.my (17 May 2005)

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: