jump to navigation

Syaja’ah dan gerakan mahasiswa April 3, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Muhtar Suhaili“Mengiayakan yang benar dan menidakkan yang bukan”. Inilah yang dinamai syaja’ah. Iaitu berani kerana benar dan takut kerana salah. Prinsip dan perangai yang sihat ini sewajarnya dipegang utuh, dijiwai dan dibudayakan oleh generasi muda amnya dan mahasiswa khususnya ke arah meluruskan ufuk minda dan sekaligus mengangkat martabat gerakan.

Menurut Prof. Dr. Hamka di dalam bukunya ‘Tasauf Moden’, keutamaan syaja’ah merupakan salah satu syarat yang perlu dalam memantapkan kesihatan jiwa selain daripada sifat ‘iffah (pandai menjaga kehormatan batin), hikmah (tahu rahsia dari pengalaman hidup) dan ‘adaalah (adil yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya). Prof. Dr. Hamka menukilkan bahawa syaja’ah ialah perangai yang timbul daripada tabiat manusia yang bernama ghadab, ertinya marah. Syaja’ah mempunyai dua pinggir. Pinggir sebelah ke atas terlalu panas dan itulah yang bernama tahawwur, iaitu berani membabi buta. Sementara pinggir ke sebelah bawah terlalu dingin dan itulah yang bernama jubun, iaitu pengecut. 

Tahawwur ialah keberanian manusia menempuh suatu hal meskipun menurut pertimbangan akal yang waras perkara itu tidak sewajarnya ditempuh. Punca kepada timbulnya sikap berani membabi buta ialah lantaran darah marah yang mendidih yang timbul dari nafsu membalas dendam. Manakala jubun pula ialah penyakit yang di bawah dari darjat pertengahan. Pendek kata, kalau diukur dengan termometer kehidupan, tabiat ini amat dingin. Kurang perasaan marah, sehingga tidak ada marahnya pada ketika dan tempat sepatutnya marah. Sikap pengecut atau bacul ini menjadikan seseorang tidak mampu untuk tampil ke hadapan sewaktu perkara tersebut menjadi kewajipan baginya.

Syaja’ah merupakan pusat dari segala budi pekerti dan kemuliaan. Melalui syaja’ah maka akan lahirlah sifat-sifat dan ciri-ciri mulia yang lain. Adaptasi budaya ini jugalah yang akan mengarahkan kepada terhasilnya pembangunan seimbang yang kolektif dari segi pembangunan intelektual, kekudusan rohani, keperkasaan jasmani dan kesejahteraan emosi di dalam kehidupan mahasiswa.

Gerakan Mahasiswa

Dato’ Saifuddin Abdullah di dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Mahasiswa, Pemikiran dan Partisipasi’ menyatakan: “Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil perhitungan (a force to be reckoned with). Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, gerakan mahasiswa punya sejarahnya yang tersendiri. Kadang-kadang ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, manakala kadang-kadang pula ia hanya tercatat sebagai sejarah di kalangan aktivis dan pendokongnya sahaja. Jika ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang baik, manakala kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang tidak baik.

Walauapapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap gerakan mahasiswa, hakikatnya ialah ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif, sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang-kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Oleh kerana itu, ia perlu dilihat dan dirakam dengan bijaksana sebagai sejarah dan penunjuk arah bagi pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.”

Sememangnya sering diperkatakan bahawa mahasiswa merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Golongan ini jugalah yang merupakan pelapis berjiwa kental yang akan menjadi aset penting untuk kelangsungan perjuangan bangsa dan agama. Jatuh bangunnya ummah di millennium mendatang banyak bergantung kepada kemandirian komuniti teras ini. Malah, frasa-frasa seperti ‘cream of the society’ dan ‘mahasiswa jurubicara masyarakat’ turut dicanangkan bagi menunjukkan keluhuran dan ke’gah’an masyarakat kampus ini.

Walaubagaimanapun, senario mutakhir ini menggamit lantas menuntut wibawa mahasiswa untuk mematangkan keintelektualan ilmu, kewarasan akal, kemurnian budi, kecerdasan minda dan ketrampilan syakhsiah. Pengalaman kepimpinan yang berteraskan kepimpinan futuristik perlu dibajai dan disuburkan di menara gading atas premis bahawa ianya sangat signifikan sebagai arca penentu jatuh bangunnya ummah di period seterusnya.

Syaja’ah dan idealisme perjuangan

Secara asasnya, demi kelangsungan gerakan mahasiswa terdapat tiga elemen penting yang perlu diusahakan dan dijayakan secara bersama dan saksama oleh gerakan mahasiswa kini. Tiga elemen tersebut yang sebenarnya saling berkait rapat antara satu sama lain ialah pembentukan idealisme, pembumian basis intelektualisme dan pengaktifan aktivisme. Sebagai golongan sedar, sewajarnyalah mahasiswa menjadi satu entiti yang amat penting dan cukup berperanan dalam melaksanakan agenda perubahan dan pemerkasaan dalam masyarakat.

Berpaksikan kepada asas inilah, maka sifat syaja’ah yang tulen perlu dibudayakan dan diperkasakan bagi memastikan segala agenda yang telah direncanakan mampu diimplementasikan. Ini sekaligus akan membakulsampahkan segala persepsi negatif yang mungkin wujud dalam gerakan mahasiswa itu sendiri. Lantaran itu, syarat pertama agar sifat syaja’ah mampu dibudayakan di dalam gerakan mahasiswa serta dapat direalitikan di pentas kenyataan ialah melalui pembentukan idealisme perjuangan yang terarah. Usaha gigih yang diakari oleh dasar dan tindakan perlu dipersada ke arah tercapainya maksud ini. Lebih daripada itu, penentuan halatuju dan matlamat yang jelas perlu didiskusikan secara intensif dan jujur.

Sesetengah pihak berpendapat bahawa, secara keseluruhannya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Pindaan 1975 telah mewujudkan budaya takut (culture of fear) di kalangan mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam gerakan mahasiswa. Walaubagaimanapun, meskipun diakui terdapat beberapa seksyen yang perlu dikaji semula, ianya perlu dilihat secara positif, menyeluruh dan dengan perasaan terbuka. Undang-undang akan berfaedah apabila dilaksanakan dan diterima dengan ehsan serta penuh muhibah. Apa jua undang-undang yang digubal, tetapi sekiranya sifat syaja’ah benar-benar dijiwai, yakin dan percayalah bahawa segalanya akan memberi sinar harapan serta tidak akan menjadi halangan dan hadangan. Perlu difahami bahawa masih terlalu banyak ruang lingkup, platform dan aktiviti yang boleh diadaptasi dengan sebaik-baiknya untuk menjayakan segala idealisme yang digariskan. Jika ada peluang gunakanlah peluang dan jika tiada peluang, ciptalah peluang!

Justeru, gerakan mahasiswa kini perlu keluar dari kepompong kejumudan untuk menerobos ke ruang gerakan yang lebih luas. Pendukung gerakan mahasiswa perlu berjiwa besar dalam memikul amanah perjuangan menegakkan aspirasi mahasiswa dan masyarakat ke arah standard yang dicita-citakan. Yang paling penting ialah membawa mahasiswa mencapai matlamat yang sahih melalui konsep syura dan musyawarah yang sekaligus membolehkan gerakan mahasiswa itu dapat dikemuncakkan kembali. Mungkin caranya berbeza dan tidak semestinya sama dengan approach yang telah digunapakai oleh mahasiswa tahun 1960-an dan 70-an, tetapi zaman kemuncak yang baru dan lebih berjaya perlu dipugarkan.

Secara tuntas, bolehlah disimpulkan bahawa dengan adanya syaja’ah dan dalam apa jua kondisi, gerakan mahasiswa perlu terus memainkan peranannya dengan dipandu oleh idealisme perjuangan dan dasar yang pastinya luhur dan tulus. Sekaligus, ‘syaja’ah beridealisme’ akan menjadikan mahasiswa sebagai inspirator, pelopor, pejuang, peneraju, penggerak, reformis dan pelaksana yang berkesan dalam memastikan masa depan mahasiswa, universiti, agama, bangsa dan negara yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang serta bukan sekadar temberang.

Syaja’ah dan basis intelektualisme

Prof. Dr. Hamka di dalam bukunya ‘Lembaga Budi’ telah menukilkan percikan pengalaman dan kata renungan budi yang berbunyi: “Kepemudaan satu cabang dari kegilaan. (Hadith Nabi SAW). Memang kegilaan itu ditakuti tetapi kadang-kadang kegilaan itu perlu untuk mengubah sejarah yang telah membeku. Revolusi yang besar-besar selalu dipelopori oleh kegilaan pemuda. Tetapi setelah babak pertama dan revolusi selesai, datanglah masanya memakai fikiran dan renungan yang timbul dari kearifan.”

Sementara itu, Aristotle, seorang ahli falsafah Yunani pula mengungkapkan di dalam tulisannya, Nicomachean Ethics: “Adalah mudah bagi setiap manusia untuk meluahkan kemarahan dan mampu bertindak mengikut kemahuan kemarahannya itu, tetapi untuk meletakkan kemarahannya itu pada orang yang betul, waktu yang tepat, tujuan yang baik, jalan yang hikmah dan tahap yang sepatutnya mereka menjadi marah itu tidak mudah dan payah untuk dilakukan.”

Maka secara ironinya, sifat syaja’ah yang selamat lagi menyelamatkan perlu diperkukuhkan dan dipandu dengan basis intelektualisme. Membumikan visi kecemerlangan bersepadu dan mempasakkan misi kesarjanaan fikrah merupakan formula ampuh yang akan meluncurlajukan lagi himmah untuk mencipta kejayaan demi kejayaan yang bermakna. Oleh itu, gedung ilmu tidak patut sunyi dari perdebatan mencari kebenaran dan meninggikan lagi martabat ilmu. Perlu difahami, suara hati nurani murni generasi muda selaku generasi pelapis dan pewaris sebenarnya merupakan azimat keramat dalam menentukan penghakupayaan generasi mendatang.

Lebih daripada itu, mahasiswa khususnya pemimpin mahasiswa tidak patut menjadikan perbezaan pendapat sebagai punca krisis tetapi sebaliknya menjadikan krisis sebagai jalan mengatasi masalah dan memperkayakan intelek. Namun, para pemimpin mahasiswa kebelakangan ini biasanya akan lebih mementingkan –meminjam istilah David McLeland- need for power daripada need for achievement dan need for afiliation. Dikotomi dan taboo seperti pelabelan pro-aspirasi dan pro-pembangkang di dalam Majlis Perwakilan Pelajar memburukkan lagi keadaan. Padahal, para pemimpin mahasiswa sepatutnya menjadi sosok-sosok pejuang dan pemikir serta kewibaannya dapat dilihat dari bagaimana cerdasnya peribadi dan kuatnya perjuangan yang mereka lakukan.

Apa yang lebih malang, pengamatan yang dilakukan menunjukkan betapa fenomena kegagalan gerakan mahasiswa dalam memperjuangkan visi dan misinya seperti sudah menjadi perkara yang lumrah terjadi dewasa ini. Gerakan mahasiswa seringkali terperosok dalam lubang yang sama dan cepat puas dengan keberhasilan yang bersifat semu. Antara sebab-sebab terjadinya perkara ini antara lain adalah disebabkan oleh fenomena keringnya basis intelektualisme dalam tubuh gerakan mahasiswa itu sendiri. Selain itu, perkara ini juga mungkin dipengaruhi oleh fenomena mahasiswa yang terbiasa dengan sifat-sifat seperti lemah berfikir, kurang kesedaran, ketandusan ilmu, bankrap idea, bengap fikrah dan muflis keintelektualan.

Lantaran itu, mahasiswa haruslah bangkit agar mampu menjadi transformer yang bisa menginjak naikkan paradigma berfikir, meninggikan kualiti ilmu, memantapkan ketrampilan syakhsiah serta memurnikan institusi ulama’ dan umara’. Pelbagai usaha yang bersifat realistik, progresif dan bukan hanya konvensional serta boleh menjadi enkoder ke arah pengharmonian dan pemugaran kembali nilai-nilai murni yang kian sirna dalam masyarakat di seantero ‘Taman Ilmu dan Budi’ hari ini perlu dilaksanakan dan disegerakan.

Syaja’ah dan keaktifan aktivisme

Seorang sarjana Islam pernah mengatakan; “Insan perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab.” Sememangnya golongan mahasiswa merupakan kelompok generasi terbaik untuk mengalami proses pembentukan mental, pembangunan syakhsiah dan ketangkasan fizikal. Mereka memiliki potensi yang pelbagai dan kejayaan mencernanya dengan baik boleh menyumbang ke arah pembangunan sumber daya insan yang berkualiti.

Maka, setelah mempunyai idealisme perjuangan dan diadun pula dengan basis intelektualisme, sifat syaja’ah yang tulen juga menuntut kepada keaktifan aktivisme sebagai pelengkap kepada kecemerlangan gerakan mahasiswa. Dengan syaja’ah yang berhikmah, gerak kerja yang proaktif, mantap dan berkesan perlu dijana dan dipelbagaikan agar segala misi dan visi tidak sekadar menjadi pemanis mulut dan ‘sembang kemas’ belaka. Komitmen dan kualiti perlu menjadi keutamaan kerana asas inilah yang menentukan keberjayaan segala strategi dan perancangan.

Justeru, kesempatan menjadi mahasiswa perlu digunakan untuk menyambar peluang yang tersedia agar segala kapasiti yang terhidang dapat diisi dan dimanipulasi seoptimum mungkin. Persatuan-persatuan yang ditubuhkan serta variasi program yang dijalankan di institusi pengajian tinggi tanah air merupakan platform terbaik untuk melatih dan mengembangkan potensi mahasiswa yang pelbagai. Mahasiswa harus memupuk semangat berorganisasi secara demokratik dan menjadikan diri anggota masyarakat yang berpedoman.

Walaubagaimanapun, atas premis apa sekalipun pimpinan mahasiswa itu sendiri perlu digarap dan difahamkan sebenar-benar kefahaman sebelum memulakan dan merancang segala aktiviti. Ini merupakan kekuatan nahdah (kebangkitan). Secara khusus, sebagai mahasiswa Muslim, perlulah disematkan bahawa aktivisme merupakan sebahagian daripada intisari dakwah dan bukan sekadar atas sentimen hak asasi manusia, bukan sentimen politik dan bukan juga sekadar semangat muda. Asas du’at sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Abu A’la Al-Maududi iaitu berpegang kepada prinsip Islam yakni berpaksi pada aqeedah tauheed, petunjuk ar-Rasul dan tempat tuju akhir perlu menjadi panduan mahasiswa Islam. Dalam erti kata lain, gerakan mahasiswa Islam hari ini perlu didokongi dengan kefahaman dasar dalam memahami Islam sebelum mereka ‘turun padang’ kepada rakan seangkatan dan masyarakat seluruhnya.

Waimma, melalui syaja’ah di dalam aktivisme akan mengembalikan gerakan mahasiswa kepada masyarakat dengan memenuhi konsep mengakar dan merimbun, malah berbunga yang harum sehingga dapat menarik perhatian. Untuk mengakar mahasiswa harus bersedia memberi lebih masa bersama-sama masyarakat. Usaha ini telah terbukti dan method ini menyaksikan kejayaan gerakan mahasiswa beberapa dekad lampau. Aktivisme gerakan mahasiswa seharusnya bukan hanya di pinggiran tetapi meresap masuk ke dalam setiap qalbu mahasiswa, masyarakat dan semua pihak tanpa mengira bulu politik, susur galur, perbezaan fikrah dan status insani.

Penutup

Sebagai kesimpulannya, kepemudaan yang ada sebagai mahasiswa wajar dibina dan dilatih dengan intensif agar mampu mengadaptasi sepenuhnya sifat syaja’ah di dalam semua tindakan. Usaha ke arah pembentukan gerakan mahasiswa yang sistematik dengan idealisme yang jelas, berasaskan basis intelektualisme dan dibuktikan dengan keaktifan aktivisme hendaklah disuburkan. Paling penting, kualiti gerakan mahasiswa merupakan indikator penting yang mampu menyumbang kepada pembaikan dan keterbilangan generasi akan datang. Kualiti hendaklah dianggap sebagai suatu perlumbaan dan bukannya garisan penamat. Ini kerana apabila kualiti sudah berada di penghujung, maka segala idea dan reformasi minda akan menjadi bobrok!

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: