jump to navigation

Cinta Ilahi April 5, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohd Razlan Abdul RazakHati yang hidup ialah hati yang mencintai Allah. Sesiapa yang mencintai Allah, dia mencintai Islam kerana kehidupan Islam ialah kehidupan yang ditunjuki oleh Allah. Barangsiapa mencintai kehidupan Islam maka dia mencintai kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat radiaLlahu anhum. Kehidupan mereka merupakan tafsiran ajaran Islam secara praktikal.

Mereka merupakan lelaki-lelaki atau perempuan-perempuan sejati yang pernah dilahirkan di dunia ini. Mereka juga adalah generasi yang membangunkan dunia dengan kecintaan kepada Allah SWT dan membawa kebahagaian kepada kehidupan manusia dan alam. 

Apabila kita menyebut tentang cinta Allah, ianya mestilah bertempat di hati sebab hati dicipta untuk merasai dzauqi atau kelazatan menghayatinya. Hati juga tempat makrifat, tempat iman, tempat rindu. Hati ini dikategorikan oleh Ulama Sufi kepada 4 peringkat, iaitu (1) Hati yang lalai kepada Allah, (2) Hati yang ingat kepada Allah, (3) Hati yang asyik dengan Allah, dan (4) Hati yang makrifat kepada Allah.

Pada hari ini, kebanyakan ulama, para pendakwah atau orang awam memiliki hati yang berada pada tahap pertama, iaitu hati yang lalai dengan Allah SWT. Ini dapat dilihat dalam kehidupan mereka yang tidak menunjukkan mereka cinta kepada Allah, bersungguh dalam ibadah dan mujahadah serta sentiasa memelihara diri daripada perkara-perkara yang haram, syubhah dan makruh. Mereka juga tidak berhati-hati dalam perkataan, penglihatan serta pendengaran yang akibatnya hati mereka bertambah keras dan rosak.

Berapa ramai ulama yang bercakap tentang takut kepada Allah tetapi sanggup menyembunyikan kebenaran kerana takutkan manusia. Mereka juga dunukilkan oleh Allah sebagai orang yang menjual ayat-ayat Allah untuk kepentingan duniawi. Ada juga di kalangan para pendakwah yang bercakap tentang ayat-ayat Allah tetapi kadang-kala mereka “menjual” ayat-ayat Allah demi mendapatkan keuntungan, kemasyhuran, pengikut yang ramai serta pujian dari manusia lain. Mereka sebenarnya orang-orang yang mati hatinya daripada perasaan cintakan Allah. Manakala orang awam, kehidupan mereka dibelenggu oleh kesibukan mencari harta, pangkat dan mencintai kaum keluarga diatas hawa nafsu sehingga melalaikan mereka daripada Allah SWT.

Manusia wajib mencintai Allah. Ia adalah perkara fitrah kerana asal roh manusia datang dari Allah. Ketika di alam arwah, manusia telah mengaku bahawa Allah adalah tuhan mereka dan tiada yang lain dalam cintanya, zikirnya, ingatannya, pujaannya, semuanya adalah untuk Allah SWT semata-mata. Mereka sudah berilmu dan mengenal Allah dengan pengenalan yang hakiki. Apabila manusia itu lari dari fitrah dan tidak menghalakan roh dan hati mereka untuk mencintai Allah, mereka sebenarnya meronta-ronta untuk kembali kepada Allah, untuk mengenal Allah, mencintai Allah atau Rabbnya kerana itulah fitrahnya.

Namun kehidupan dunia yang hanya membawa halangan dan rintangan kepada diri seseorang untuk terbang ke hadrat Ilahi telah menyebabkannya menderita kerana mencintai dunia yang bukan fitrahnya. Ketahuilah, sesiapa yang cuba menentang fitrah dengan tidak mencintai Allah, sebaliknya mencintai dunia atau yang lain, ia akan menderita.

Ramai manusia yang mempunyai atau memiliki kekayaan tetapi sedikit yang memiliki kebahagiaan. Kebahagiaan itu hanyalah apabila roh atau hati kembali kepada Allah. Ibarat seekor ikan yang dilepaskan kembali ke lautan atau nseekor burung yang tinggal di dalam sangkar emas kemudian dibukakan sangkar hingga ia kembali mendapat kebebasan. Walaupun tinggal di dalam sangkar emas, hakikatnya burung itu tidak mendapat kebebasan. Begitu juga dengan roh. Jangan biarkan roh kamu terkurung di dalam sangkar emas (dunia dan hawa nafsu), walaupun ia kelihatan cantik tetapi ia bukan kebahagiaan hakiki.

Ramai manusia menyangka apabila mereka kembali kepada Allah, mereka akan terpenjara dan hidup terkongkong kerana dikawal oleh peraturan-peraturan Allah. Sedangkan ianya merupakan satu kunci untuk roh bebas terbang kepada Allah SWT. Apabila mereka menjauhkan diri atau melanggar peraturan-peraturan Allah dan menurut akal mereka, sebenarnya mereka menguncikan diri mereka di dalam sangkar. Inilah hakikat kehidupan manusia. Sehinggalah mereka dapat melihat ketika menghadapi sakaratul maut, baru mereka akan sedar. Ketika itu, ia sudah tidak berguna lagi.

Apabila seseorang itu mencintai harta, maka dia akan menjadi hamba kepada harta. Kalau dia mencintai pangkat, dia akan menjadi hamba kepada pangkat itu. Begitu juga, mencintai kaum keluarga, sanak saudara atau lain-lainnya, maka jadilah dirinya hamba kepada apa yang dicintainya. Sebaliknya, sesiapa yang mencintai Allah, dia akan bermujahadah dengan hawa nafsunya dan membebaskan diri dari belenggu yang mengikat rohaninya untuk mencintai Allah. Hanya kekasih Allah-lah memiliki hati yang mencintai-Nya, sentiasa mengingati-Nya, mencintai akhirat dan menangis kerana takut kepada-Nya. Pecah tumit kakinya kerana berdiri di malam hari menghadap Allah dengan rasa kehambaan. Perasaan kecintaan dan kehambaan yang tinggi kepada Allah menyebabkannya mengambil kehidupan dunia dengan amat sederhana.

Islam telah berjaya menguasai dunia dan menjadi model kepada kehidupan manusia. Islam telah menjadi kuasa yang amat ditakuti dan disegani kerana bukan sahaja menjadi contoh dalam aspek kerohanian tetapi juga dari segi akhlak peribadi dan pendidikan anak-anak. Rumahtangga orang Mukmin tertumpu kepada tujuan mencari cinta Allah. Suami menjadi pemimpin isteri, manakala isteri menjadi penasihat kepada suami dan mendidik anak-anak. Malah Islam telah berjaya melahirkan generasi contoh dalam pengurusan kehidupan manusia seperti dalam urusan ekonomi, politik, pentadbiran negara, intelektual, sosial dan sebagainya. Generasi ini menterjemahkan Islam yang syumul secara praktikal dan membincarakan permasalahan kehidupan manusia seperti kesucian diri dari hadas kecil hingga kepada kesucian pentadbiran negara dan dunia.

Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk melahirkan kembali generasi contoh yang hebat ini melainkan mengikuti kembali jalan-jalan mereka, peribadi, akhlak, ibadah, mujahadah dan pengorbanan jihad mereka. Mereka telah dididik oleh Rasulullah SAW dengan keimanan makrifatullah, keimanan yang hakiki. Diwajibkan ke atas mereka melakukan Qiamullail untuk melahirkan kecintaan kepada Allah, hati yang hidup dengan Allah. Mereka ditarbiyah dengan sentiasa membaca Al-Quran dan menghadiri majlis-majlis tazkirah untuk melahirkan dan menguatkan perasaan cinta kepada Allah. Kecintaan mereka ialah kecintaan kepada hati yang dzauq dan tubuh badan yang sihat. Segalanya berpunca dari hati sebab itu hati mestilah diutamakan dalam pendidikan manusia.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: