jump to navigation

Sekali bah, sekali pasir berubah April 5, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Malaysia Baru.
trackback

Oleh: Ahmad Lutfi OthmanKetua Pengarang Kumpulan NSTP, Hishamuddin Aun dan pendahulunya, Kalimullah Hassan, dalam Berita Minggu, 26 Februari lalu, seolah-olah meratapi risiko kehidupan seorang peneraju utama akhbar.

“Harap yang terbaik, bersedialah untuk yang terburuk,” Hishamuddin merakamkan kembali pesan kepada isterinya ketika dilantik Pengarang Kumpulan Berita Harian pada 18 Julai 2003 dan diulangi sejurus pelantikan selaku Ketua Pengarang Kumpulan The New Stratis Times Press, 1 Januari lalu.

Kalimullah pula menulis: “Bersama rakan sekerja Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Syed Faisal Albar, Hishamuddin dan Pengarang Kumpulan NST, Brendan Pereira, kami berganding menentang api marak menyala selama lima hari. Sepanjang tempoh itu juga, kami jarang berada di rumah, jauh sekali berehat melelapkan mata kerana terlalu banyak perlu dihadapi.”

Namun semuanya gara-gara penyiaran kartun menghina Nabi oleh NST, yang diekori dengan pelbagai kecaman dan laporan polis yang dibuat badan-badan tertentu, manakala kemuncaknya demonstrasi aman di hadapan pejabat NSTP, Bangsar.

Ia tidak ada kena mengena dengan tindakan represif pemerintah mahu memancung hayat akhbar, yang selalunya cukup merisaukan penerbit-pengarang media, malah Perdana Menteri sendiri menjadi penjamin utama Hisham dan Kali.

Bingung saya memikirkan bagaimana mereka berdua boleh begitu bimbang dan takut berdepan “musibah yang sengaja diundang,” sedangkan pengalaman saya semasa mengendalikan beberapa penerbitan jauh lebih buruk.

Bermula di Harakah, hanya kerana merakamkan aksi anak-anak muda kampus menentang konsert di Universiti Malaya, saya dizalimi ISA. Buku-buku politik saya jarang dapat dipasarkan dengan mudah.

Polis, tanpa waran, menggeledah rumah sewa saya di Selayang Baru, di depan anak isteri. Kilang percetakan buku-buku saya kerap diserbu, dan rampasan dibuat dalam jumlah besar, tanpa penjelasan dan rasional. Kerugian usah dikira.

Majalah yang saya sewa daripada seorang rakan, Detik, hanya sempat bernafas selama 11 bulan, 17 keluaran, meskipun pernah dicetak hampir 100,000 naskhah sebulan. “Adiknya”, Wasilah, direntap permit secara tiba-tiba, sedangkan ia bukan majalah politik, sekadar meninjau kehidupan remaja wanita Muslim.

Siapa pernah peduli nasib saya dan lebih 15 orang kakitangan lain di Penerbitan Pemuda apabila bisnes kami dimusnahkan sekelip mata? Jangan tanya tentang hutang pengedar lebih RM1.5 juta yang tidak dapat dikutip selepas majalah tidak dibenarkan terbit.

Soal sewa kedai dan gaji bulanan rakan-rakan yang sama-sama berkorban, siapa mahu menanggung kepedihan itu?

Melihat ada ruang untuk menerbitkan akhbar tidak berkala, saya gagahi juga, dengan meminjam modal daripada kawan-kawan yang cukup mengerti dan amat membantu.

Namun, penguatkuasa KDN tetap mengintai. Saya naik turun mahkamah untuk menyelesaikan masalah definisi penerbitan yang tidak memerlukan permit.

Pernah, semua akhbar Memo14 berjumlah 50,000 naskhah diambil begitu saja pihak polis, dan hingga kini tiada pendakwaan dibuat. Yang penting, bagi KDN, Ahmad Lutfi mesti didera dan disakiti jiwa raganya!

Untuk Hisham dan Kali, sesekali bila berdepan suara rakyat (yang tidak punya kuasa) yang gelisah dan resah dengan “kebiadaban” akhbar saudara, ingatlah bahawa ada di luar sana, yang sering dihantui mimpi ngeri memikirkan sama ada permit penerbitan mereka akan disambung atau dicantas terus.

Anda bertuah kerana Perdana Menteri akan mempertahankan apa saja tindakan anda, tapi beringatlah … sekali bah, sekali pasir berubah.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: