jump to navigation

Bukan semata-mata khalifah April 11, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Abu DzarTentang satu kisah menarik, kitab-kitab berikut telah memberikan keterangan tentang peristiwa penting yang terjadi pada penolakan Saidina Ali untuk menyetujui keputusan Saqifah mengenai perlantikan khalifah: (1). Tarikh Tabari, jilid III, hlm 198, (2). ‘Iqd al-Farid, Ibn Abdul Rabbih, jilid II, hlm 179, cetakan Mesir, (3). Tarikh Abul Fida’, jilid I, hlm 165, cetakan Mesir, (4). Al-Imamah wa al-Siyasah, Ibu Qutaibah, jilid I, hlm 20, cetakan Mesir, (5). Muruj az-Zahab, Mas’udi, hlm 159, (6). Al-Milal wan Nihal, Syahristani, jilid I, hlm 25, cetakan Bombay, (7). Al-Faruq, Syibli Nu’mani, cetakan India, dan (8). Syarh Nahjul Balaghah, Ibn Abil Hadid.

Yang ingin kita kemukakan bukanlah persoalan khilafah yang serba rumit itu. Cuma banyak yang dapat dikumpulkan daripada keterangan yang diberikan oleh buku-buku ini adalah episod sedih dan pedih. Antara lain kisah Saidina Ali dan Fatimah, isterinya. Walaupun Saidina Ali telah memutuskan untuk mengundurkan diri ke rumahnya dan tidak akan mengambil bahagian dalam politik kekuasaan, namun rumahnya dibakar di atas kepala keluarganya sendiri! Entah pintu yang menyala atau pukulan yang keras dari ulu sebilah pedang atau dorongan keras, atau kesemuanya sekali, telah mematahkan rusuk dan tangan Fatimah puteri Rasul, menyebabkan cedera yang demikian serius sehingga bayi dalam kandungannya meninggal. Allamah Syahristani dalam Al-Milal wal Nihal (jilid 1 hlm 25) mengatakan bahawa tiada seorang pun dalam rumah selain Ali, Fatimah, Hasan dan Hussein (yang berusia lapan dan empat tahun). 

Serangan itu mendadak dan tak terduga. Tiada seorang pun yang bersedia untuk itu. Kekacauan yang diakibatkannya lebih dapat dibayangkan daripada diriwayatkan. Ibu rumah itu cedera parah dan pengsan. Rumah penuh dengan asap dan anak-anak ketakutan. Ali yang sedang merawati isterinya yang cedera dan anak-anak yang dikeroyok, diseret dari rumah itu. Diceritakan, seorang Yahudi yang melihat kejadian itu begitu terkejut lantas mengucap dua kalimah syahadah. Ketika ditanya, apakah yang menyebabkan anda Muslim? Dia menjawab, “Kelmarin aku melihat orang ini (Saidina Ali) dengan gagah mengangkat pintu Khaibar dengan sebelah tangannya kerana mematuhi perintah Nabinya. Hari ini aku melihat dia diseret oleh sahabat-sahabatnya tanpa melawan sepatahpun, dan aku percaya kerana dia juga sedang mematuhi pesan Nabinya.” Setelah serangan ke atas ‘rumah wahyu’ itu, tanah Fadak warisan Rasul kepada Fatimah juga dinafikan. Cedera fizikal dan kejutan perasaan menambah beban deritanya.

Setelah menderita sakit sekian waktu, Fatimah meninggal dunia pada 3 Jamadil Akhir 11H. Dia dikuburkan di tengah malam. Selain keluarga Bani Hasyim, hanya para sahabat setia Nabi ini sahaja yang diizinkan menyertai penguburannya; Salman, Abu Dzar, Ammar dan Miqdad. Ini adalah ‘silent protest’ daripada Fatimah untuk musuh beliau. Sebelum meninggal dunia dia telah melahirkan penderitaannya dalam bentuk puisi, yang salah satu baitnya dijadikan peribahasa dalam bahasa Arab. Dia mengatakan, “Sekian banyak penderitaan telah menimpaku; apabila semua itu turun di siang hari bolong, maka siang itu akan berubah menjadi malam.”

Riwayat tentang hari terakhir kehidupannya jelas menunjukkan jenis perempuan yang bagaimanakah puteri Rasul ini. Dia mengatakan kepada seisi rumah bahawa sakitnya makin sembuh, rasa sakit rusuk dan tangannya tidak terlalu parah dan panas badannya telah turun. Dengan dibantu oleh Ali, suaminya dan Fizzah, pembantu mereka, dia memandikan anak-anaknya dan menggantikan pakaian mereka. Mereka dititip kepada sepupunya. Lalu dia memanggil Saidina Ali ke sisinya seraya berkata, “Ali, suamiku yang tercinta. Engkau sangat mengetahui mengapa saya melakukan semua ini. Mohon maafkan kesalahan saya. Mereka telah demikian menderita bersama hari terakhir hidupku. Wahai, Ali. Engkau pun tahu bahawa hari ini adalah hari saya yang terakhir; saya gembira, tetapi saya juga sedih. Saya senang kerana penderitaan saya akan segera berakhir dan saya akan bertemu dengan ayah. Dan saya sedih kerana harus berpisah denganmu. Saya memohon agar engkau catitlah apa yang saya katakan dan lakukanlah apa yang ingin saya pinta engkau laksanakan. Sepeninggalan saya, engkau boleh mengahwini siapa saja yang engkau sukai, tetapi hendaklah engkau kahwini sepupu saya, Yamamah. Dia mencintai anak-anak saya, dan Hussein sangat manja dengannya. Biarlah Fizzah tinggal bersama engkau, sekalipun dia sudah berkahwin, sekiranya dia mahu. Dia lebih dari sekadar seorang pelayan bagi saya. Saya mencintainya sebagai anak.

Ali, kuburkan saya di malam hari. Jangan biarkan orang-orang yang telah demikian kejam terhadap saya turut mengiringi pengkebumian saya. Jangan biarkan kematian saya mengecilkan hatimu. Engkau harus melayani Islam dan kebenaran untuk waktu lama yang akan datang. Janganlah penderitaan saya memahitkan kehidupanmu. Berjanjilah kepada saya, Ali.”

Perlahan, Saidina Ali menjawab, “Ya Fatimah, saya berjanji.”

“Ali”, katanya meneruskan. “Saya tahu betapa engkau mencintai anak-anak saya, tapi berhati-hatilah dengan Hussein. Dia sangat mencintai saya dan dia akan sangat sedih atas kehilangan saya. Jadilah ibu baginya. Menjelang sakit saya ini, dia biasa tidur di sisi saya. Sekarang dia telah kehilangan itu.” Ali sedang mengelus-ngelus tangan yang patah itu, ketika airmatanya jatuh ke tangan Fatimah. Fatimah mengangkat muka seraya berkata, “Jangan menangis, Ali. Saya tahu dari zahir wajah yang kasar, betapa lembut hatimu. Engkau telah menderita terlalu banyak dan masih akan terus menderita. Selamat tinggal tuanku, selamat tinggal suamiku tercinta, selamat tinggal Ali. Katakanlah selamat jalan kepada saya.”

Kesedihan telah mencekik Ali. Kata-katanya bercampur airmata. Dia berbisik pilu, “Selamat jalan Fatimah.” Mendengar ini, Fatimah mendoakan, “Semoga Allah yang Maha Pengasih menolongmu menanggung penderitaan dan kesedihan ini dengan sabar. Sekarang biarkanlah saya bersendirian bersama Tuhan saya.” Ketika mengatakan ini, dia berpaling ke arah sejadah lalu sujud ke hadrat Ilahi. Beberapa detik kemudian, Saidina Ali memasuki ruangan itu dan mendapati Fatimah masih bersujud tetapi jiwanya telah berangkat untuk menyertai ayahnya yang suci menuju ke rahmat Allah. Dia meninggalkan suami, anak-anak dan pencintanya yang dikasihi. Dia meninggal dalam usia yang sangat muda, seperti kata Saidina Ali, “Sekuntum bunga yang dipotong ketika sedang berkuncup dari Syurga dan dibawa menuju ke Syurga, tetapi telah meninggalkan semerbak harumnya dalam jiwa saya.”

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: