jump to navigation

Warga Indonesia bukan ‘Pendatang’ ke Malaysia! April 14, 2006

Posted by ummahonline in Islam Bi La Hudud, Kolum.
trackback

Oleh: Farish A. Noor

Dari mana datangnya konsep ‘pendatang asing’? Walaupun istilah ini kerapkali digunakan baik oleh media arus perdana maupun dalam perbualan omong-omong kosong di warung jalanan, ia merupakan suatu konsep yang amat padat dan berat dengan signifikansi politik-ideologisnya.

Dua perkataan yang penuh bermakna: ‘Pendatang’ dan ‘Asing’. Kedua-duanya dengan konotasi tertentu, dimuatkan dalam suatu relasi dialektik yang amat berkesan. Apakala sesuatu objek atau fenomena diberikan label ‘Asing’, dengan terus-menerus ia diletakkan dalam ruang yang berbeda dari apa yang ‘Sama’. Fenemona ‘Asing’ itu selalu dianggap sesuatu yang luar dari yang biasa; sesuatu yang ganjil, aneh, tidak konformis, bertentang dengan arus norma-norma dominan, dan juga sudah tentu merbahaya. Apatah lagi apabila label ‘Asing’ itu dicantumkan dengan perkataan ‘Pendatang’. Tiba-tiba insan manusia yang lain itu diberi imej dan konotasi yang begitu negatif sekali: Bukan lagi seorang pelancong (tourist) atau kawan yang mengunjung kemari (visitor), tetapi seorang ‘pendatang’ yang karakternya ‘asing’ sekali.

‘Pendatang asing’ merupakan suatu karakter liminal, existensnya jauh di sempadan imaginasi kolektif masyarakat. Kerapkali apabila saja istilah ‘pendatang asing’ itu digunakan, agenda politik-ideologis yang ada disebaliknya tidak jauh dibelakang. Baik di Eropah, dimana budaya Islamofobia semakin marak, ataupun di Asia, konsep ‘pendatang asing’ itu selalu digunakan oleh regim dan pihak berkuasa untuk mengkambing-hitamkan suatu kelompok minoritas yang lemah dan terpinggir. Dari sinilah lahirnya budaya pogrom dan kempen-kempen diskriminasi. Inilah benih tabiat rasisme yang begitu merbahaya.

Dewasa ini istilah ‘pendatang asing’ digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang menerajui media arus perdana di Malaysia, lebih lagi di koran-koran tabloid yang begitu populer. Bagi mereka yang lebih prihatin kepada perkembangan politik dalaman Malaysia, wujudnya istilah ‘pendatang asing’ ini merupakan tanda pertama bahawa suatu kempen politik akan dilancarkan. Nah, sekarang jelas sekali bahawa kombinasi retorika dan praxis politik telah bersetubuh dan melahirkan suatu kempen politik, untuk menangkap dan menghantar kembali ‘pendatang-pendatang asing’ yang dikatakan tenaga perkerja tampa izin di Malaysia. Mangsa-mangsanya warganegara Indonesia, Filipina dan negara ASEAN lain. Masyarakat Malaysia, yang begitu terpesona dengan retorika politik ini juga meluahkan persetujuan mereka, meng-iakan sesuatu yang memang patut disoal.

Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia nampaknya telah lupa fakta-fakta historis yang telah dibenamkan atau dipinggirkan langsung oleh golongan elit-politikus. Naratif dan wacana politik Malaysia pasca-era kolonial memberi suatu gambaran asimetris: Negara Malaysia – yang sempadan geografinya ditentukan bukan oleh rakyat Malaysia sendiri tetapi oleh pentadbir zaman imperialis – diterima tampa soal. Sama juga dengan thesis bahawa Malaysia itu suatu negara-bangsa yang homogen, dengan sempadan politik, budaya dan historis yang tetap dan kekal. Status kewarganegaraan kita juga diterima tampa soal, bersama dengan perbedaan kita dari bangsa-bangsa jiran lain.

Dari thesis ahistoris dan tampa asas inilah konsep kewarganegaraan Malaysia itu wujud. Konsep negara Malaysia (sama dengan negara-negara ASEAN yang lain), yang merupakan suatu konstruk bukan-semulajadi (artificial) menentukan siapa yang layak dimuatkan dalam kategori ‘dalam’ dan ‘luar’; siapa yang layak dianggap ‘warganegara’ dan ‘pendatang’. Segala fobia, prejudis, rasisme warga Malaysia dibentuk oleh logik negara-bangsa dan kewarganegaraan moden ini.

Waktu ini kelihatan bahawa perasaan takut dan prejudis terhadap fenomena yang ‘asing’ dan ‘lain’ itu diluahkan dalam kempen populer anti-pendatang asing. Tetapi kita lupa bahawa warga Indonesia itu bukan ‘pendatang’ yang ‘asing’ dari kita sendiri. Dimanakah habitus semulajadi rakyat Indonesia, jikalau bukan di bumi Nusantara ini? Dan manakah habitus semulajadi rakyat Malaysia, jikalau bukan di bumi Nusantara yang sama?

Dapatkah kita mengenalpasti mana-mana individu ataupun kerajaan Melayu yang wujud ex nihilio, tampa berinteraksi dengan teman-saudara kita dari Indonesia? Bukankah kerajaan Melaka zaman lalu, yang kemegahannya dilaungkan berkali-kali oleh golongan elit Malaysia ini, suatu kerajaan yang dibina oleh Paramesvara, putera Sumatra yang berasal dari Palembang dan kerajaan Srivijaya?

Dan lupakah kita bahawa kebanyakkan dari pemimpin, penaung dan ahli gerakan nasionalisme dan reformis Kaum Muda di bumi Malaysia ini juga datang dari tanah seberang, yang waktu ini digelar ‘Indonesia’? Lupakah kita bahawa Syed Sheikh al-Hady, Sheikh Tahir Jalaluddin, Tok Janggut, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestaman dan lain-lain pangkat kerabat gerakan modernis-nasionalis – yang merupakan bapa-bapa negara-bangsa kita – semuanya berketurunan Sumatra ataupun Jawa?

Dan lupakah kita bahawa dalam dekad tahun 1930-an and 40-an begitu ramai warga Malaya yang menyeberangi selat Melaka untuk berjuang bersama teman-teman Indonesia kita, untuk menentang bala tentera kolonialis Belanda, Jepang dan Inggeris? Kita tidak patut lupa bahawa Ibrahim Yaakob, pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) langsung berpindah ke Indonesia, menyumbang tenaga, masa dan nyawanya demi nama republik Indonesia yang dianggap sebagai sebahagian Nusantara-Raya? (Akhirnya Ibrahim Yaakob langsung diangkat pangkatnya dan dilantik menjadi duta Indonesia di Manila dan Phnom Penh. Beliau meninggal di Indonesia dan dikebumikan di Makam Pahlawan Kalibata di Jakarta, dikebumikan dalam bumi Nusantara ini sendiri.)

Persoalan status halal atau haramnya tenaga perkerja luarnegara itu merupakan persoalan undang-undang teknis. Hakikatnya ialah Malaysia, sebagai suatu negara yang membangun dengan pesat, memerlukan tenaga perkerja dari luarnegara kerana kapital buruh di Malaysia itu memang jelas tidak mencukupi. Jikalau adapun begitu banyak perkerja haram di Malaysia, soalan itu dapat ditanya dari perspektif yang lain: Mengapakah pihak kerajaan dan kompeni-kompeni Malaysia membiarkan keadaan ini berterusan begitu lama, sehingga sampai ke tahap yang kritikal begini?

Persoalan yang lebih penting, kritikal dan sensitif ialah mengapakah kempen mengembalikan tenaga perkerja luarnegara ini diwarnai oleh sentimen-sentimen prejudis yang begitu kental sekali? Mengapakah dalam koran-koran tabloid, halaman-halaman web, forum diskusi internet dan ruang-ruang publik yang lain, sentimen anti-Indonesia itu begitu jelas kelihatan? Bukankah ini membangkitkan persoalan yang lebih rumit, iaitu sentimen komunitarianisme kaum warga Malaysia itu sendiri?

Kita, warga Malaysia, sepatutnya bermula dengan proses menyoal nilai-nilai dan pendirian kita sendiri dahulu. Jikalau begitu ramai warga Malaysia terasa bahawa Malaysia dewasa ini dilanda ombak lautan ‘pendatang asing’, kita juga patut bertanya kepada diri kita sendiri: Bukankah perkerja asing ini yang telah menolong kita menjayakan wawasan kita untuk membina suatu negara Malaysia yang serba-moden, kaya dan sempurna? Kalau tidak kerana sumbangan tenaga dan usaha ‘pendatang asing’ ini, mungkinkah kita membina suatu negara Malaysia yang membangun lagi megah, bersaing dengan kerajaan Melaka yang lalu, yang terkenal seluruh dunia? Dari Melaka ke Putrajaya dan menara kembar KLCC, kemegahan negara-bangsa Malaysia itu merupakan hasil interaksi dan kerjasama antara masyarakat Malaysia dan jiran-jiran serantau kita.

Pada masa yang sama, warga Malaysia juga patut berterus-terang dengan diri mereka sendiri. Tatkala semangat patriotisme dan nasionalisme kita begitu membara, kita menipu diri kita sendiri jikalau kita masih berfikir bahawa kemegahan dan kejayaan Malaysia ini dicapai dengan tenaga rakyat Malaysia semata-mata. Walhal tenaga perkerja Indonesia (dan juga Filipina, Bangladesh dan India) telah mendirikan asas kepada pembangunan Malaysia, apa pula sumbangan Malaysia kepada perkembangan negara-negara jiran kita?

Waktu ini ada seorang warga Malaysia – Dr. Azahari – yang telah melarikan diri dari Malaysia dan menjalankan kempen terror bawah-tanah di Indonesia. Aksi-aksi beliau, termasuklah kempen meletupkan bom di sekitar bumi Indonesia, telah merumitkan dan merepotkan lagi keadaan hidup di negara jiran kita. Apakah masyarakat Malaysia masih jahil, dan tidak sedar bahawa aksi-aksi terroris ini disebabkan oleh seorang warga Malaysia? Apakah tanggungjawab kita, sebagai warga Malaysia, jikalau kita tidak menolak, mengkritik dan memprotes segala aktiviti beliau di Indonesia? Dimanakah semangat solidaritas kita dengan jiran-jiran serantau? Ironinya ialah, walhal tenaga perkerja Indonesia datang ke Malaysia demi untuk menjayakan projek pembangunan Malaysia; warga Malaysia seperti Azahari telah ke Indonesia hanya untuk membalas dendam, melancarkan terror dan merosakkan imej Indonesia!

Dalam konteks perkembangan rantau ASEAN jangkamasa panjang, semangat dan sentimen solidaritas antara-bangsa dan antara-kaum mesti dihidupkan kembali oleh kita semua, baik warga Malaysia dan juga Indonesia. Kita, pangkat kaluwaraga Nusantara Merdeka, mesti ingat dan sedar bahawa perbedaan kewarganegaraan, politik dan ideologi itu hanya perbedaan normatif yang ditentukan oleh fakta-fakta sejarah. Namun begitu kesinambungan budaya, bahasa dan tamadun Nusantara merupakan suatu realitas yang tidak dapat dinafikan, malah patut kita kembangkan dan jayakan lagi, bersama.

Tidak ada perbedaan ontologis antara Malaysia dan Indonesia, baikpun Filipina dan negara-negara ASEAN yang lain. Masa depan ASEAN dan masyarakat ASEAN mesti ditentukan oleh warganegara ASEAN itu sendiri. Walaupun golongan elit politikus mungkin memecah-belahkan kita, pertalian darah, budaya dan sejarah itu masih kekal dan kukuh.

Kondisi pertama yang perlu diterima kita semua ialah perlunya konsep dan praxis politik negara-bangsa dikritik dan disoal kembali. Sempadan geografi-politik tidak patut dijadikan sempadan mutlak yang membelah-bagikan masyarakat rantau Nusantara ini. Atas nama dan legasi generasi yang lalu, dan demi nama generasi yang akan datang, marilah kita wujudkan suatu fahaman identitas Nusantara yang lebih inklusif, abstrak, komprehensif dan sempurna. Kita semua, warga rantau ASEAN ini, baik yang yang miskin ataupun yang kaya, yang muda maupun yang tua, semuanya anak bumi Nusantara yang sama: Berdiri bersama teguh, berkecuali kita rempuh.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: