jump to navigation

Berkongsi keasingan April 15, 2006

Posted by ummahonline in Kolum, Pub.
trackback

Oleh: Fathi Aris OmarUntung juga menjadi Sudirman Hj Arshad kerana penyanyi terkenal 1980-an ini dapat menguar-uarkan rasa keterasingannya, dan kesakitan yang hadir bersamanya, dalam sebuah lagu. Keterasingan cinta yang dihadirkan di muka khalayak.

Mungkin lebih beruntung daripada menyaksikan Alfred Kinsey (filem Sexually Kinsey) atau John Nash (filem Beautiful Mind) yang harus bergelut dengan tekanan sekeliling di dua kampus berasingan di Amerika Syarikat pertengahan kurun lalu. Keterasingan mereka yang mendahului gelora zaman.

Nasib yang pernah pula dialami oleh John Stuart Mill, pengarang On Liberty atau Principles of Political Economy, sewaktu mempromosikan idea-idea liberalisme di awal abad ke-19 di Eropah. Tokoh ini yang mendahului anjuran agar politik diurus secara lebih rasional atau memakai ukuran inderawi (empiricist). Mill dan teman-teman disebut penjunjung ‘radikal falsafah’.

Kemelut Mill mudah sahaja, mengikut tafsir kita saat ini, bagaimana menerbitkan buku dan memperkenalkan dirinya sedangkan beliau tidak memegang sebarang gelar akademik, apatah lagi sebarang kedudukan dalam masyarakat.

Keterasingan seumpama ini berlanjutan apabila pendekatan jamak bidang Alvin Toffler, sebelum mengejutkan banyak orang dengan analisanya dalam buku Future Shock, tidak pernah diterima orang pada 1960-an. Tiada siapa mahu menaja kajiannya walau, kemudian, karya 1970 itu membuka mata banyak orang betapa derasnya arus perubahan mendatang bakal menghanyutkan mereka.

Keterasinganlah yang hampir-hampir mencabut nyawa Buckminster Fuller, pereka kubah geodesik seperti kita lihat pada bumbung Pusat Sains Negara, pada dekad yang sama. Sewaktu dia berniat membunuh diri di kala hutang melilit pinggang, keluarga semakin membesar, sedangkan ideanya tidak diterima orang lain.

Namun tokoh-tokoh Barat ini kisah berenang-renang ke tepian cemerlang walau harus terpaksa berakit-rakit ke hulu yang melukakan. Nasib dua mahasiswa Universiti Malaya, yang saya temui bulan lalu, belum tentu sebaik Sudirman, Mill atau Toffler. Mereka menjeruk perasaan di tengah keriuhan pesta kedangkalan orang ramai.

Rahman (bukan nama sebenar) dituduh penganut Syiah, sebuah aliran tradisi agama yang cukup tua tetapi sering dikepung oleh Ahlul Sunnah wal Jama’ah. Namun di negara kita, menganut Syiah juga bermakna wajar dipenjarakan atau layak didiskriminasikan. Seorang pensyarah pengajian Islam di kampusnya pernah mengesyaki anak muda 22 tahun ini seorang yang ‘tidak mempercayai Tuhan’ atau lebih ilmiah, atheist.

Rahman menjadi ‘korban sosial’ dalam masyarakat akademia kita, sama ada siswa apatah lagi pensyarah, yang tidak meminati falsafah dan menutup siri-siri persoalan yang masih berdenyut-denyut di kepala. Tiada yang tidak pasti – semuanya ada jawapan, begitu masyarakat beranggapan, sedang dirinya sendiri masih bergelombang dengan pilihan-pilihan hidup atau mazhab agama.

Dalam pencariannya yang sepi, di sebuah dunia yang tidak mesra ujikaji akliah, dia sering berjumpa pensyarah-pensyarah. Tentu untuk bertanya, meredakan keresahan yang ditanggung sendirian. Pasti dia juga – ini memang syarat wajib dalam pencarian – membeli buku-buku dan majalah-majalah, antaranya Siasah (tidak lagi beroperasi).

Semua pensyarah itu, kecuali satu atau dua, mendominasikan ideologi ilmu dan perspektif (ulang: ilmu, di sini, sebagai ideologi) masing-masing sebagai ‘jawapan’. Ada pula yang pantang dicabar atas kepejalan sekelumit pengetahuan yang mereka paksakan untuk ditelan mahasiswa.

Sementara temannya, sebut sahaja Bakar, tidak meminati falsafah tetapi menumpukan perhatian pada karya-karya sastera Melayu. Minat yang tidak ada pada Rahman ini membolehkan Bakar berkongsi keterasingan yang sama kerana majalah ini (sempat diterbitkan selama setahun mulai pertengahan 2002) mencantumkan falsafah, seni,agama, sastera, hiburan pop dan isu-isu semasa.

Semuanya bermula lebih giat di sebuah kampus kecil di Nilam Puri pada tahun majalah itu diterbitkan. Tidak terduga sama sekali, ramai juga anak muda berjaya disesatkan oleh majalah kecil yang tidak luas edaran ini, rupa-rupanya!

Sementara pengajian Islam yang mereka terima itu bukan sahaja meminggirkan falsafah tetapi mengendurkan ghairah Bakar pada sastera, minat yang susah payah dipupuk dengan segala kesepiannya sejak di bangku sekolah menengah. Buku warisan bapanya memang ada di rumah, tetapi bukan karya sastera.

Sejak berabad-abad falsafah di sisi pemikir-pemikir Islam, apatah lagi dalam tradisi Sunni, memang hampir menjadi barang tercela khasnya selepas berkembang Tahaffut al-Falasifat dan sentimen Wahabisme kemudiannya.

Ibnu Rushd, permata Timur yang bersinar di Renaissance Itali, gagal mengembalikan kehebatan dunia falsafah dalam dunia Islam selepas karya besar al-Ghazali tersebut. Falsafah dan pemikiran sudah terpenggal daripada ruh agama, agamawan dan ideologi aktivis agama hingga saat ini. Kritik Seyyed Hossein Nasr, dalam Traditional Islam in the Modern World, terhadap gejala fundamentalisme akhirnya seperti debu-debu berterbangan.

Dengan ghairah sastera itu, tanpa bimbingan sesiapa, Bakar mengenali nama-nama pengarang Malaysia dan juga nama-nama tokoh pengarang Indonesia. Anak muda 22 tahun ini tenggelam dalam permainan kata penulis-penulis muda kreatif Melayu seperti Faisal Tehrani atau Azman Hussein walau sekarang pastilah dia sudah tidak boleh diperdayakan oleh mereka lagi. Bakar kini mula berkenalan dengan Living to Tell The Tale oleh Gabriel Marquez dan filem La Petite Lili dari Perancis.

Ustaz-ustaz dan teman-teman siswanya, atau Universiti Malaya seluruhnya, tidak berminat pada filsafat atau sastera – semua mereka fana’ dalam dunia pengajian Islam yang ekspres sifatnya. Mereka disibukkan dengan koleksi pengetahuan yang dangkal, cerita Bakar, tetapi diasak-asak semester demi semester sehingga ruang meneroka hidup (malah, peluang menjelajah akal, jasad dan ilmu sendiri) menjadi semakin sempit.

Pengalaman Bakar ini membenarkan ungkapan T S Eliot, “alangkah bosannya bertemankan seorang yang banyak maklumat tetapi dangkal ilmunya.” Ya, memang, dia dan Rahman juga siswa pengajian Islam tetapi di sini sumur ilmu sudah kering – mungkin di sisi dua anak muda ini, kampus agama sebagai padang pasir tanpa wadi.

Namun harapan sentiasa bersinar pula, fathuba lil ghuraba’, kata Nabi, beruntunglah mereka yang terasing.

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: