jump to navigation

Sunyinya Universiti di Malaysia April 15, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: Baharuddin Ahmad

Tidak lama dahulu saya pernah bertanyakan seorang Profesor Emeritus di sebuah universiti tempatan sama ada beliau masih memberi syarahan ataupun tidak. Beliau menjawab dengan nada mengeluh bahawa beliau kurang berminat sekarang ini kerana pelajar kini tidak sama dengan pelajar dahulu. Mereka kurang memahami apa yang diajarkan.

Sebagai seorang pengajar saya juga banyak kali menerima undangan menyampaikan ceramah dan juga menghadiri seminar di universiti tempatan. Saya dapati terlalu kurang bilangan penuntut universiti yang menghadiri seminar dan kongres atau majlis ceramah.

Ramai di antara mereka yang hadir yang tidak berapa kerat itupun akan keluar di pertengahan majlis, tentulah dengan alasan menghadiri kuliah; sama ada benar ataupun tidak Tuhan sahaja yang tahu.

Apabila persidangan hari pertama nampaklah penuntut di sana tetapi pada hari kedua sudah tidak ada lagi. Mereka juga tidak pernah aktif di dalam sesi soal-jawab. Hal ini menyebabkan kita ingin bertanya seperti di bawah ini: Benarkah mutu pembelajaran atau peribadi penuntut di universiti tempatan semakin menurun?

Apa yang pasti kampus-kampus di negara ini umumnya sangat sepi terutamanya pada waktu malam. Hampir tidak ada aktiviti keilmuan pada waktu malam dan pada siang hari pula hanyalah aktiviti kuliah, tutorial dan membuat rujukan di perpustakaan.

Saya teringat kata-kata Dr. Abdul Hadi W.M. yang kini mengajar di Jakarta. Menurut beliau undangan memberi ceramah yang beliau terima tidak kurang dari lima undangan seminggu. Ini tidak termasuk majlis membaca puisi atau majlis menilai persembahan teater. Pendek kata kampus di Jakarta tidak pernah sunyi dari aktiviti keilmuan di samping aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang biasa di universiti.

Menurut Abdul Hadi lagi, seorang yang lebih terkenal seperti Rendra atau Goenawan Muhammad menerima berpuluh-puluh undangan seminggu. Yang pasti mereka tidak dapat melayani undangan terutamanya dari penuntut universiti.

Semasa saya belajar di Amerika Syarikat (AS) hal yang sama juga kedapatan di sana. Kampus universiti di sana tidak sunyi dari aktiviti tidak kira siang mahupun malam. Terdapat banyak persatuan, pergerakan pelajar, pergerakan yang dianjurkan bersama di antara pelajar dengan pertubuhan luar, syarikat luar atau dengan individu tertentu. Pendek kata kampus-kampus di universiti di sana sentiasa “hidup” berbanding dengan kampus kita di sini yang “hampir mati” terutamanya di waktu malam.

Demikian juga dengan berpersatuan. Sebuah persatuan sains akan mengundang tokoh sains yang terkenal untuk menyampaikan ceramah. Tokoh ini pula silih berganti dengan tokoh yang lain dan mereka mengambil peranan yang aktif bertanya soalan, bertentangan pendapat, kadang kala bersikap kasar dan berdebat tanpa henti. Walaupun cara mereka kurang bersopan namun mereka yang pastinya bersifat aktif dan menunjukkan minat yang mendalam tentang persoalan yang mereka minati.

Apakah faktor yang menyebabkan penuntut universiti kita lemah di dalam mengejar cita-cita, mengenal diri, bersikap aktif di dalam kehidupan dan berkeperibadian tinggi? Adakah universiti terlalu mengongkong aktiviti penuntut sehingga mereka kurang berminat untuk menjalankan aktiviti kampus? Adakah kerenah birokrasi di kampus ataupun sikap penuntut sendiri kebelakangan ini?

Para penuntut universiti tentulah datangnya dari sekolah rendah dan menengah. Apakah persediaan mereka semasa di sekolah tidak mencukupi bagi mereka melahirkan kedinamikan hidup semasa di kampus?

Bagaimanakah perpustakaan dimanfaatkan di sekolah rendah dan menengah sehinggakan minat membaca, mendalami ilmu pengetahuan, mencari makna kehidupan begitu suram apabila penuntut sampai ke kampus-kampus universiti?

Seorang pelajar sekolah rendah sepatutnya wajib membaca sebuah buku seminggu dari perpustakaan dan boleh menceritakan semula bacaan yang dilakukan. Seorang pelajar sekolah menengah pula wajib membaca dua buah buku seminggu dan boleh menulis laporan dari bacaan mereka selain daripada buku teks yang diwajibkan. Apakah perkara ini sedang berlaku di sekolah rendah dan menengah?

Apakah pula buku teks di sekolah berjaya menarik minat mengetahui dengan lebih mendalam sesuatu persoalan sama ada di dalam bidang sains ataupun sastera?

Saya rasa ada perlunya kajian dibuat kini tentang mengapakah minat mendalami ilmu, membaca, berdebat dan mencari makna kehidupan semakin layu di kalangan generasi muda kita di sekolah mahupun di kampus.

Saya juga merasakan bidang keilmuan di kampus terlalu menjurus kepada bidang masing-masing dan gagal menghubungkaitkan di antara bidang pengajian dengan bidang kehidupan. Ini menyebabkan hilangnya daya kreatif dan perluasan fikiran sehinggakan penuntut lebih berminat belajar apa yang didapati di dalam buku teks dan tidak mahu keluar sedikit melihat hubung kait di antara apa yang diajar dan apa yang patut diketahui sebagai manusia amnya dan bukannya penuntut sesuatu bidang.

Disebabkan keperluan ini maka pemisahan bidang sains dan sastera, sejarah dan pendidikan, biologi dan falsafah perlu diperkecilkan. Saya rasa bidang ilmu di universiti kini terlalu jumud dan sempit sehingga pemisahan yang keterlaluan berlaku di antara apa yang dipelajari dengan apa yang patut difikirkan atau direnungi.

Sifat ilmu di peringkat universiti harus lebih universal dan merangkumi banyak bidang sehinggakan apa yang dipelajari juga menjadi apa yang bermakna kepada kehidupan dan apa yang boleh menimbulkan tanda tanya kepada banyak persoalan kemanusiaan umumnya. Ini akan menjadikan ilmu lebih menarik dan bermakna.

Sifat berfikiran kritis dan kreatif perlu ada kepada penuntut sains dan sifat berfikiran objektif dan mementingkan fakta pula perlu ada kepada penuntut sastera. Kedua-duanya perlu diimbangkan. Kebanyakan ahli sains yang terkemuka berfikiran terbuka dan mencuba sesuatu yang mungkin terdapat di dalam akal potensi atau alam tabii walaupun belum dibuktikan oleh sains hukumnya

Universiti ialah tempat di mana ilmu yang universal diajarkan dan dituntut. Konsep universiti berasal dari konsep ilmu di dalam Islam yang kuliyyat sifatnya. Dengan yang demikian kampuslah merupakan tempat pertukaran fikiran, perubahan minda dan percubaan demi percubaan di lakukan.

Saya menyebut pelajar universiti sebagai penuntut. Mereka sewajarnya menuntut hak diri mereka sendiri iaitu ilmu. Ilmu ialah hak diri manusia di dalam membentuk peribadi serta mengisi akal budi sehingga dapat mencapai keyakinan diri dan memahami makna diri serta kehidupan.

Nota: Dr. Baharuddin Ahmad merupakan tenaga akademik dalam bidang perbandingan agama dan kajian melayu di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: