jump to navigation

Mahasiswa beralih arah April 26, 2006

Posted by ummahonline in Artikel.
trackback

Oleh: Mohd Nor Zaiman Che Mansor

Kali ini ingin saya berbicara berkaitan senario perkembangan mahasiswa. Walaupun keadaan sekarang ini dapat kita perhatikan bahawa mahasiswa kita semakin suram perkembanganya dari hari ke hari, namun tidak dapat dinafikan mereka masih lagi menyelitkan diri ke dalam arena dakwah. Ramai memberi pendangan bahawa mahasiswa semakin “lesu”. Namun buat saya mahasiswa bukan lesu dari semua aspek, malah perkembanganya semakin menarik kalau dilihatkan dari satu aspek. Dari aspek mana? InsyaAllah akan diperbincangkan nanti.

Terlebih dahulu saya ingin mengemukakan satu pandangan mengenai label “mahasiswa lesu”. Bagi saya mereka yang melabelkan mahasiswa sekarang ini “lesu” adalah tidak berapa objektif. Ini kerana kalau dilihatkan sejarah yang lepas iaitu selepas zaman 60-70 an, mahasiswa sudah mengalami zaman kelesuannya. Mungkin benar kalau ada yang mengatakan bahawa mahasiswa di zaman 60 dan 70 an adalah zaman kegemilangan mahasiswa. Namun bagaimana pula mahasiswa zaman 80-90 an pula? Tidak ada sejarah terukir pada zaman tersebut. Tidak ada pembukuan mengenai mahasiswa pada era tersebut.

Ini menunjukkan bahawa mahasiswa mengalami zaman kelesuannya sejak zaman tersebut lagi hinggalah sekarang ini. Fikirkanlah sudah hampir lebih 20 tahun. Dan antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku, apabila mahasiswa diberi tekanan dari pelbagai aspek termasuklah dengan terbentuknya perlembagaan yang sudah pasti menyekat idealisme tersebut seperti (AUKU).

Adakah mahasiswa lesu? Bagi saya tidak sesuai kita melabelkan mahasiswa “lesu”. Ini kerana masih ada lagi mahasiswa yang tergolong dalam golongan yang begitu mengambil berat perkembangan semasa. Mereka bukan sahaja bergelomang dengan dunia “keintelektualan” namun juga turut terlibat di dalam arena dakwah. Walaupun mereka ini seolah-olah tidak diberikan perhatian oleh masyarakat, namun hakikatnya tidak dapat dinafikan.

Kembali kepada tajuk di atas, kenapa saya mengatakan mahasiswa sudah beralih arah? Beralih arah dari sudut mana? Adakah dari sudut keintelektualannya?Atau pun dari sudut keterlibatan dalam arena politik? mahupun dari sudut uslub dakwah mereka? InsyaAllah dengan beberapa ”observation ” yang dilakukan bersama dengan beberapa orang teman, saya akan huraikan. Mungkin “obeservation yang dilakukan tidak merangkumi semua aspek dan keadaan namun diharapkan ianya dapat dikongsi bersama. insyAllah ianya akan dihuraikan dengan seberapa ringkas.

Nasionalis & Harakah Islamiyyah

Dapat kita perhatikan bahawa, mahasiswa di era 70 an dan 80 an mahupun 90 an boleh dibahagikan kepada dua gerakan. Pertama mereka yang terlibat dalam gerakan yang bersifatkan “nasionalis” iaitu yang bersifatkan kebangsaan, terutamanya apabila memperkatakan ke”melayu”an. Kedua mereka yang terlibat dalam gerakan yang bersifatkan “haraki”. Mereka ini melabelkan sebagai “harakah Islamiyyah” ataupun gerakan Islam. Saya tidak akan memperkatakan mereka yang bersifatkan “nasionalis” kerana ianya tidak berapa sesuai diperkatakan di sini, namun tumpuan utamanya pada mereka yang terlibat di dalam gerakan Islam atau secara khususnya boleh diberikan sebagai gerakan pelajar Islam.

Gerakan pelajar Islam ini banyak memberi perkembangan yang sihat di dalam dunia dakwah di Malaysia ini, merekalah yang banyak memperkatakan tentang Islam kepada masyarakat, selain parti politik yang bersifatkan Islam dan juga para penceramah yang ramai kelulusannya dari tanah Arab. Suasana yang banyak dipengaruhi oleh pelbagai gerakan Islamiyyah di dunia Islam yang lain banyak memberi kesan kepada uslub dakwah yang di bawa oleh gerakan pelajar Islam ini.

Pengaruh Ikhwanul Muslimin

Pengenalan sistem “usrah”, “liqa tafaqquh fi deen” perbincangan yang berbentuk ilmiah banyak direalisasikan di kampus-kampus yang ada. Rujukan yang berteraskan kepada gerakan harakah Islamiyyah terutamanya rujukan daripada gerakan ikhwanul muslimin di Mesir terus diperbincangkan. Pengasas kepada ikhwanul muslimin iaitu Hassan al-Banna dijadikan idola. Para Cendikiawan terutamanya mereka yang berkelulusan dari Universiti al-Azhar, Mesir banyak dijadikan rujukan oleh gerakan pelajar Islam ini. Buku-buku yang dihasilkan oleh para cendikiawan terutamanya mereka yang terlibat di dalam “ikhwanul Muslimin” banyak dijadikan rujukan terutamanya di dalam perbincangan usrah. Gerakan haraki ala “ikhwanul muslimin” cuba diterapkan pada setiap program yang dijalankan. Ianya juga cuba diterapkan mengikut suasana dan keaadan yang ada di Malaysia.Selain ianya merebak di dalam suasana politik dan juga gerakan Islam di Malaysia, ianya juga merebak meluas di kampus-kampus yang kebanyakkan dipelopori oleh gerakan-gerakan pelajar Islam di setiap kampus.

Pengaruh politik semasa

Tidak dapat dinafikan juga suasana politik semasa yang berlaku di arus perdana banyak memberi impak kepada gerakan pelajar Islam. Walaupun terdapat golongan yang menafikannya, namun realitinya dapat dilihat dengan jelas. Apatah lagi dapat dilihat bahawa kelompok politik Malaysia dapat dibahagikan kepada dua. Iaitu kelompok yang kurang mempertahankan Islam dengan kelompok yang kuat mempertahankan Islam. Sudah pastilah dapat dilihat kebanyakkan gerakan-gerakan pelajar Islam jelas kecenderungan mereka terhadap kelompok yang kuat mempertahankan Islam. Senario ini adalah petanda yang baik menunjukkan mereka juga cuba membawa mesej amar- ma”ruf di dalam semua aspek termasuk juga politik.

Pengaruh-pengaruh yang dinyatakan di atas terus berjalan sehingga sekarang. Setiap perancangan program-program yang berbentuk tarbiyyah masih beroperasi sampai sekarang. Sistem usrah, ta”lim, liqa tafaqquh fi deen terus dijalankan. Respon terhadap pergolakkan yang berlaku di dalam arus politik sekarang masih juga dilakukan oleh ”sekelompok” mereka. Walaupun “kelompok” ini semakin mengecil, namun kita tidak dapat menafikannya. Walaupun kita dapat melihat suasana suram yang menyelubungi mahasiswa sekarang tetapi usaha-usaha yang dilakukan oleh sebahagian kelompok yang kecil ini masih berlaku.

Mengapa mahasiswa sekarang di cop sebagai lesu?

Sesungguhnya saya tidak menafikan akan suara-suara yang mengatakan mahasiswa sekarang ini lesu. Sedikit sebanyak ianya dapat dilihat dengan jelas. Kurangnya suara-suara mahasiswa terhadap pelbagai isu yang melibatkan masyarakat. Meterialisme dan hedonisme sedikit sebanyak menyumbang kepada kelesuan mahasiswa. Fenomena ”cinta anta dan anti” juga banyak menular dikalangan mahasiswa yang terlibat dengan gerakan-gerakan pelajar Islam. Sesungguhnya fenomena ini sedikit sebanyak memberi kesan negatif terhadap gerakan pelajar Islam. Berapa ramai dapat dilihat mereka yang dulunya kuat berbicara soal perjuangan akhirnya tewas apabila terjebak ke dalam fenomena ini. Sedih amat menyedihkan. Namun itulah realitinya. Walaupun kita dapat lihat mahasiswa lesu di dalam memberi respon terhadap isu masyarakat, namun majlis terbiyyah ilmiah masih terus berlangsung walaupun di dalam bilangan yang kecil.

Budaya ilmu masih terus diaktifkan walaupun dalam kelompok yang kecil. Perbincangan ilmiah, bicara fi deen masih terus berlangsung. Kitab rujukan ulama-ulama “haraki” masih terus dijadikan rujukan. Perbincangan tentang agama yang merangkumi semua aspek masih hangat diperbahaskan. Tindak balas terhadap arus politik negara dikurangkan dengan menitik beratkan perbincangan berbentuk ilmu.

Mahasiswa sekarang banyak bicara soal ilmiah

Dapat dilihat sekarang perbincangan berbentuk ilmiah dikalangan mahasiswa makin rancak diperbahaskan. Bukan untuk menafikan mahasiswa terdahulu tidak banyak berbincang soal ilmiah, namun seolah-olah dapat dilihat tercetusnya satu momentum baru yang berlegar dikalangan mahasiswa masa kini. Perbincangan dari perbahasan hukum fiqh, ibadah sehinggalah skop yang lebih besar termasuk gerakan mencari kebenaran di dalam agama makin hangat diperkatakan. Kalau dahulu dapat dilihat mahasiswa hanya berlegar dalam skop gerakan ikhwanul muslimin di Mesir dan juga soal arus politik negara semata-mata, kini tercetusnya satu lagi fenomena iaitu gerakan “mencari kebenaran di dalam agama”.

Apa yang dimaksudkan gerakan “mencari kebenaran di dalam agama” ini? kalau dahulu mahasiswa banyak berbicara soal kebenaran dan keadilan di dalam konteks politik, sosial dan juga harakah, kini dapat dilihat mereka juga mencari kebenaran dalam soal yang berkaitan hukum fiqh, ibadah sehinggalah dalam skop yang lebih besar seperti yang dinyatakan tadi. Perjuangan yang meletakkan al-Quran dan as-Sunnah banyak membuka mata dan minda untuk mencari jalan yang mendekatkan mereka kepada dua sumber besar tersebut.

Pengaruh gerakan salafi di kalangan mahasiswa

Kalau pada awal lagi saya berbicara soal pengaruh gerakan Ikhwanul Muslimin dan juga politik semasa dikalangan mahasiswa, kini dapat dilihat wujudnya satu pengaruh yang semakin menular dikalangan mahasiswa iaitu gerakan yang mengajak kepada mengikuti jejak salafus soleh dengan meletakkan kebenaran al-Quran dan as-Sunnah sebagai prioritinya. Rujukan kepada ulama-ulama yang lebih muktabar keilmuannya di dalam memperkatakan soal dua sumber terbesar ini tanpa mengecil-kecilkan ulama-ulama yang lain makin banyak dijadikan rujukan.

Kalau dahulu mahasiswa kurang untuk mengenali kesohehan sesuatu yang berkaitan tentang agama, kini mereka lebih berminat dan berhati-hati di dalam setiap penerimaan dan juga penyampaian. Apatah lagi kalau berbicara soal petikan dan juga penafsiran al-Quran dan juga hadis Nabi sallahua”laihiwasalam. Setiap perbincangan ilmiah bahkan seminar-seminar yang berkonsepkan kepada “mencari kebenaran ” ini ramai dihadiri oleh mahasiswa yang berminat dengan hujah-hujah yang dikemukan.

Pengaruh ini bukan sahaja merebak dikalangan mereka yang mengikuti pengajian Islam, bahkan mereka yang mengambil pengajian sains, engineering, undang-undang, arkitekture dan sebagainya. Dan dapat dilihat juga mereka yang bukan berlatarkan pengajian Islam ini juga lebih menunjukkan minat daripada mereka yang mengambil bidang dalam pengajian Islam. Inilah satu fenomena yang mula mengalih pandangan mahasiswa yang terlibat dalam harakah.

Walaupun banyak suara-suara yang memandang serong oleh sebilangan mahasiswa terhadap pengaruh ini, namun inilah hakikat yang semakin membara dikalangan mahasiswa sekarang. Pelbagai cop yang cuba disebarluaskan oleh golongan tertentu seperti cop “gerakan wahabi” yang menyesatkan cuba untuk mengelirukan pandangan orang ramai. Namun disebabkan hujah-hujah yang kuat dikemukakan oleh para penceramah yang banyak mempengaruhi mahasiswa ini, perkara tidak dapat mengubahkan keaadaan. Pengaruh ini makin kuat melebarkan sayapnya dikalangan mahasiswa.

Penutup

Inilah antara pengaruh yang banyak menyebabkan mahasiswa sekarang mula beralih arah. Ianya juga banyak menular di dalam gerakan-gerakan pelajar Islam. Fenomena baru ini juga banyak membuka mata dan minda sebahagian mahasiswa yang ingin betul-betul memperjuangkan al-Quran dan as-Sunnah dengan mengarah ke arah kebenaran. Ianya juga satu perkembangan yang positif yang banyak membantu budaya ilmu dikalangan mahasiswa yang semakin berminat dengan perbincangan ilmiah yang lebih terbuka. Pengaruh ini juga banyak mengeluarkan minda mahasiswa untuk sedikit keluar dari kepompong sendiri. Kalau dahulu budaya ilmu hanya berlegar di dalam skop mereka sahaja, kini mereka lebih terbuka kepada perbincangan yang lebih membuka minda.

Wallahua’lam

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: