jump to navigation

Muhammad Taqi Mishbah Yazdi: Failasuf Semasa Iran Mei 2, 2006

Posted by ummahonline in Tokoh.
trackback

Oleh: Abu Muhammad

Dilahirkan pada Januari 1934 di kota Yazd, Iran dari kalangan keluarga religius. Di kota kelahirannya ini, pada tahun 1947, Ayatollah Muhammad Taqi Mishbah Yazdi telah menamatkan pendidikan asasnya dalam ilmu-ilmu Islam. Ekoran meraih keputusan yang cemerlang, Mishbah Yazdi telah berjaya memasuki Hawzah di Yazd serta menamatkan pendidikannya dalam tempoh empat tahun di bawah bimbingan Shaykh Muhammad Ali Nahawi.

Namun, untuk lebih arif dalam bidang ilmu-ilmu Islam ini, Mishbah Yazdi mengambil keputusan berangkat ke Najaf al-Ashraf, di Iraq. Selama setahun di Najaf, Mishbah Yazdi kemudiannya telah dihimpit dengan faktor kewangan yang terbatas. Ekoran daripada kesulitan ini, Mishbah Yazdi akhirnya memilih untuk kembali semula ke Iran sambil meneruskan pengajian formalnya di Qum al-Muqadassah.

Dari tahun 1952-1960, di Qum ini, Mishbah Yazdi dengan penuh tekun telah mengikuti kuliah-kuliah fiqh yang dianjurkan oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini, dan dalam selang waktu yang sama turut menghadiri kuliah tafsir dan falsafah, kuliah Al-Syifa’ (dari karya Ibn Sina) dan kuliah Al-Asfar (dari karya Mullah Shadra) yang dianjurkan pula oleh Allamah Thaba’thaba’e.

Di samping itu juga, Mishbah Yazdi selama hampir lima belas tahun turut menuntut dengan Ayatollah Bahjat dan Ayatollah Ansari. Sungguhpun begitu, pembelajaran berkesan dengan Ruhollah Khomeini berakhir dengan pengusiran ikon hawzah tersebut dari Qum. Selama Ruhollah Khomeni di dalam tempoh pengusiran di Najaf al-Asyraf, Mishbah Yazdi menekuni pula ilmu-ilmu dalam bidang sosial Islam, jihad, perundangan serta permerintahan Islam.

Sekitar tahun 1964, Mishbah Yazdi berkerja sama erat dengan Ayatollah Shahid Husayn Baheshti, Syahid Javad Bahonar serta Hujjatul Islam Hashemi Rafsanjani untuk melakukan gerakan kebangkitan rakyat bagi menentang rejim Shah Pahlevi. Dalam kesibukan aktiviti sosial ini, Mishbah Yazdi masih lagi sempat menulis dua karya iaitu Bi’tsat (Misi Kenabian) dan Intiqam (Tindak Pembalasan), yang terbitkannya sendiri.

Selama mengajar di Qum, Mishbah Yazdi bersama-sama dengan kalangan ulama’-ulama yang lain telah bersatu mendirikan organisasi politik ulama’ Qum, yang diketuai oleh Ayatollah Rabbani Syirazi. Organisasi ini turut dianggotai oleh Ayatollah Ali Khamenei, Hashemi Rafsanjani dan Syahid Ali Quddusi. Namun, aktiviti organisasi ini akhirnya disekat oleh rejim Shah Pahlavi menerusi badan kerahsiaan Savaknya.

Keadaan ini telah mengugat kestabilan di Hawzah-hawzah hingga memaksa ramai pimpinan organisasi ini menyembunyikan diri, termasuklah Mishbah Yazdi sendiri. Dan, setelah keadaan politik mula tenang, Mishbah Yazdi kembali semula ke Qum dan meneruskan aktivitia-aktiviti keilmuannya seperti biasa, di samping merangka kerjasama dengan sekolah Muntaziriyyah.

Kemudian, iaitu bermula pada tahun 1975, Mishbah Yazdi mula membangunkan Institut Dar Rah e-Haqq bersama-sama dengan Ayatollah Jannati, Husayn Baheshti dan Ali Quddusi. Selama kira-kira sepuluh tahun terlibat dalam institut ini, Mishbah Yazdi berpeluang menyampaikan ilmu-ilmu falsafah serta melakukan kajian tematik terhadap Al-Qur’an.

Tika yang sama, atas dorongan serta dukungan kuat Ruhollah Khomeini, Mishbah Yazdi secara serius mula terlibat dalam mendirikan sejumlah Institut-institut pendidikan yang lain. Dan, di antara institut yang utama yang didirikan ialah Yayasan Baqir al-‘Ulum dan Institut Pendidikan & Penyelidikan Imam Khomeni.

Kemudian, setelah kemenangan revolusi Islam, iaitu selepas 1979, Mishbah Yazdi banyak meluangkan waktu dengan mengajar di hawzah-hawzah di Qum sambil cuba mencari pendekatan bagi merapatkan hubungan antara Hawzah dan universiti.

Dan kini, Mishbah Yazdi merupakan ahli Majelis-e Khubregan (Dewan Ulama’ Revolusi) semenjak 1996 dengan mewakili wilayah Khuzestan, sambil memimpin Institut Pendidikan & Penyelidikan Imam Khomeni. Kerana sumbangannya dalam bidang pemikiran dan falsafah, beliau dewasa ini telah dijuluki sebagai Muthahhari II, suatu nama sempena mengenang pemikiran luar biasa Ayatollah Syahid Murtadha Muthahhari.

Di dalam banyak karyanya, terdapat beberapa karyanya yang tersohor seperti Chikideh-ye Bahts-e Falsafi (Ringkasan Perbahasan Falsafah), Pasdari Az Sangarha-ye Iydi’uluzhik (Pengawal Benteng Idealogi), Iydi’uluzhi-e Tathbiqi (Perbandingan Idealogi), Durus Falsafah (Pelajaran Falsafah), Ma’arif Al-Qur’an (Ajaran-ajaran Al-Qur’an), Hukumat-e Islami va Vilayat-e Faqih (Pemerintahan Islam dan Kepimpinan Faqih) dan Syarh-e Asfar al-Arba’ah (Syarah atas Empat Perjalanan).

Dalam satu bukunya lagi Amuzesh-e Falsafeh (Pengatar Falsafah), Mishbah Yazdi cuba untuk menonjolkan kekuatan rasionaliti dalam kehidupan beragama sembari mengajak umat kembali menghayati khazanah Al-Qur’an dari sisi-sisi yang jarang disentuh oleh ilmuan-ilmuan Islam yang lain. Malah, Mishbah Yazdi dengan nada falsafah, turut menekankan konsep tawhid dari perspektif yang sangat indah sekali.

Tidak hairanlah, lantaran kelebihan yang terhimpun dalam pemikirannya ini, maka Ayatollah Ali Khamenei dengan jujur menyatakan, “salah satu cara untuk memperdalamkan pegetahuan kita tentang Al-Qur’an adalah dengan mengkaji tulisan-tulisan Murtadha Muthahhari serta kearifan cendekiawan semasa seperti Muhammad Taqi Mishbah Yazdi, yang mana mereka ini sangat-sangat memahami asas intelektual Islam.”

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: