jump to navigation

Ummah Centric atau Jamaah Centric? Mei 2, 2006

Posted by ummahonline in Surat Pembaca.
trackback

Oleh: CarbonytteSurat ini merujuk kepada wacana dari beberapa tulisan iaitu, Merombak fikiran lapuk, Asrisme dan Hizbut Tahrir: Fenomena dakwah IPT kedua-duanya nukilan Maszlee Malik, dan reaksinya Memurnikan amal jamaie oleh Shark. Dari wacana ini, masing-masing cuba untuk membahaskan tentang gagasan Ummah Centric dan Jamaah Centric daripada perspektif tersendiri. Namun, bagi saya, gagasan ini perlu diperhalusi kembali, supaya yang kebenaran (al-haqq) itu diletakkan di tempat yang sepatutnya ia berada.

Dewasa ini, “bayangan” yang muncul di minda masyarakat kampus terutamanya tentang gagasan-gagasan ini telah membuatkan saya begitu risau dan khuatir terhadap penerimaan masyarakat terbanyak kepada penyelesaian yang ditawarkan oleh gerakan Islam. Begitu juga risaunya saya terhadap suasana yang boleh menyebabkan amal Islami yang tidak lagi mempunyai susunan yang teratur ekoran ragam kontradiksi dalam gagasan-gagasan ini yang di salah tanggap.

Apakah itu Ummah Centric? Bagi saya, Ummah Centric adalah pemikiran yang berkonsepkan umat. Umat di sini adalah umat yang menganut Agama Samawi –Agama Allah– Agama yang diturunkan olehNya kepada seluruh ‘alam melalui RasulNya yang terulung, Khatimul Anbiya’, Rasulullah Muhammad.

Memang di akui, pemikiran untuk membentuk satu generasi umat amat perlu diperkemaskan, bahkan langkah ini sudah menjadi suatu kewajipan bagi setiap individu muslim. Allah berfirman dalam surah ‘Ali Imraan: 103 yang bermaksud: “Dan berpeganglah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”. Manakala, ayat sebelum itu: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan kamu semua Islam”.

Daripada apa yang saya pelajari sebelum ini, apabila Allah merakamkan di dalam kalamNya yang ada berbunyi, “Wahai orang-orang yang beriman”, ini sama sekali membawa pengertian bahawa adanya satu perintah, larangan, bahaya, atau janji yang ingin Allah berikan kepada kita sebagai umat Islam. Ia bagaikan SWOT analysis; Strength, Weakness, Oppurtunity, Threat yang Allah mahu sampaikan kepada kita sebagai umat Islam di akhir zaman.

Maka, berbalik kepada surah ‘Ali-Imraan: 103 tadi, Allah telah menjelaskan tentang perlunya ada satu wehdah di antara umat Muslim di dunia ini. Kesatuan yang perlu dijana menerusi pengharapan kesemuanya kepada Allah. Pertautan hati yang kuat kepada Allah yang di penghujungnya dapat menjana pertautan hati dan ‘amal bagi setiap ‘amilin di seluruh dunia ini persis seperti yang terakam dalam Surah as-Saff: 4: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya di dalam saf-saf seperti bangunan-bangunan yang tersusun.”

Demikian juga apa yang dicatatkan dalam Hadis riwayat Abdullah Ibn Ahmad Ibn Hanbal bahawa, “Jemaah itu rahat dan perpecahan itu azab”. Manakala dalam satu hadith yang lain yang terdapat dalam Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim, “…Kamu hendaklah bersama jemaah Muslim dan imam mereka”.

Justeru, dari kutipan ini, maka perlu diinsafi bahawa sesungguhnya umat Islam kini berada di zaman kebatilan yang sangat berleluasa, yang memerlukan kepada kesatuan kita kepada jemaah-jemaah Islam yang sedia.

Tak perlu saya nyatakan di sini jemaah-jemaah itu, cukuplah dengan membuat PMI (Plus Minus Interesting) terhadap jemaah yang ada dan kesejajaran jemaah tersebut dengan hukum dan syar’iat Islam. Andai kata tidak sejajar, bahkan menentang hukum-hukum yang sedia ada dalam Islam, hatta sehingga membuat hukum-hukum sendiri, maka sewajarnya ditinggalkan jemaah itu.

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah menegaskan rukun-rukun bai`ah, yakni rukun-rukun yang perlu dilaksanakan selepas berjanji dengan Ikhwanul Muslimin (dan inilah rukun yang kira-kira diambil oleh kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia). Rukun-rukun tersebut termasuklah, Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Pengorbanan, Taat, Tetap Pendirian, Tajarrud, Persaudaraan dan Thiqah.

Bertitik-tolak dari rumusan cemerlang Al-Banna ini, maka di sini ingin saya menghuraikan sedikit tentang dua daripada rukun-rukun tersebut iaitu, Taat dan Tajarrud. Taat di sini, menurut Fathi Yakan di dalam karangannya “Ma Za Ya’ni Intima’ Lil Islam” ialah mematuhi perintah dan melaksanakannya di masa susah dan senang, dalam perkara yang disukai dan dibenci.

Malah, seruan ini diperkuatkan pula dengan satu usul fiqh yang terkenal, “Tiada Islam tanpa jemaah. Tiada jemaah tanpa pimpinan. Dan, tiada pimpinan pada taat”. Lantaran itu, daripada nash-nash ini, maka seharusnya sudah terang lagi bersuluh kepada kita tentang kepentingan untuk taat kepada pimpinan dan jemaah yang disertainya.

Kemudian Al-Banna menekankan pula tentang tajarrud. Tajarrud di sini, menurut Fathi Yakan lagi di dalam kitab karangannya yang sama, ialah mengajak amilin agar ikhlas terhadap fikrah yang di dokongnya, sambil menolak prinsip-prinsip serta individu yang lain daripada fikrahnya, kerana fikrah yang di dokongnya itu adalah fikrah yang paling tinggi dan lengkap.

Tajarrud terhadap gerakan yang amilin berbai`ah kepadanya perlu ada dan harus kemas ikatannya. Andai kata terdapat perselisihan pendapat di antara dua jemaah Islam yang berlainan, seharus amilin tersebut tetap berada pada pendapat jemaah asalnya. Dan, itulah yang dimaksudkan dengan Jamaah Centric.

Seterusnya, ingin saya mengambil konsep sulbu yang juga diperkenalkan oleh Al-Banna iaitu: Individu Muslim, Baitul Muslim, Masyarakat Muslim, Daulah Islamiyyah dan Khilafah Islamiyyah.

Al-Banna, secara baik, telah merumus dan menjelaskan kelima-kelima aspek yang menjadi matlamat gerakan Islam secara fundamental ini. Jadi, persoalan yang boleh dibangkitkan, tidakkah mewujudkan satu umat, dan satu masyarakat Muslim itu sudah menjadi dasar abadi suatu jemaah Islam? Maka, apa lagi perlunya kita kepada gagasan Ummah Centric dan Jamaah Centric?

Tidak dinafikan, pemikiran-pemikiran sama ada Jamaah Centric ataupun Ummah Centric, tidak dapat dielakkan, namun ianya tidak boleh ada mencetuskan konflik di kalangan jamaah, apa lagi jika ada percanggahan di antara keduanya. Jika hal ini berlaku, maka ia akan mendorong kepada kekalahan umat Islam dalam menghadapi arus globalisasi yang kini sudah tampak akan tanda-tandanya untuk melenyapkan suara Islam dari muka bumi Allah ini.

Sementara itu, pemikiran seseorang individu muslim itu seharusnya menepati kaedah sulbu yang diperkenalkan oleh Al-Banna ini. Bagi saya, Al-Banna telah membuatkan satu dasar yang sudah cukup baik untuk rujukan kita bersama, di mana setiap kelima-lima tujuan tersebut haruslah bergerak secara serentak dan seimbang.

Selain itu, pendekatan Al-Banna ini turut menepati fiqh aulawiyyat, kerana kaedah sulbu atau kaedah bulat di mana Individu Muslim diletakkan di tengah-tengahnya sebagai titik permulaan dan Khilafah Islamiyyah diletakkan di lapisan paling hujung. Namun, kedua-duanya masih lagi bersentuhan antara keduanya, yang dilapisi oleh tiga lapisan lain, dan ini sekaligus menunjukkan masih terdapat kesejajaran.

Kesimpulannya, maka sudah jelas lagi terpapar, bahawa Islam itu akan bangkit, obor Islam yang sudah lama terpadam itu sedang dinyalakan semula. Janganlah ada lagi perpecahan yang berlaku. Jamaah tetap jamaah, dan jangankan perpecahan ini akan membataskan amal Islami kita untuk sama-sama memenuhi kelima-lima matlamat itu yang di hujungnya tertera, Khilafah Islamiyyah!

Advertisements

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: